Friday, November 16, 2012

(CERPEN) GAZA




Arghhh!

Satu hari yang tenang di Gaza. Bertemankan terik mentari serta debu pasir yang suci. Sesuci paras wajah arwah ibuku.

Hanya jeritan abangku yang menonton rancangan bolasepak. Hitam putih sahaja yang kelihatan. Kakinya menendang setiap kali bola menjengah ke jaring. Dia lebih suka menonton dari bermain dengan kawannya di luar.

Aku pula hanya menyaksikan – dari tepi pintu –  sahabatku yang lain bermain. Masih tidak mengerti kenapa ramai orang diluar rumahku membawa senjata. Berpakaian seragam. Sering memukul ibu, makcik dan kanak-kanak yang lain.


Aku masih tidak mampu berjalan. Dan tidak mungkin akan berjalan. Bukan kerana aku bayi yang baru dilahirkan. Hanya kerana kakiku ditelan letupan.

Bapaku selalu ceritakan setiap kali sebelum aku lelapkan mata, bahawa kakiku akan tumbuh di alam yang lain.

Alam yang kekal, tiada cacat celanya dan segala-galanya tersedia. Tempat semua permintaan bisa ditunaikan. Namun, bukan semua mampu melangkah ke sana.

Aku impikan anak patung Barbie. Kerana aku seorang gadis. Umurku baru mencecah belasan tahun. Namun, memori aku sedikitpun tak mengingatkan aku bagaimana aku hilang nikmat berjalan.

Aku inginkan Playstation. Untuk aku hadiahkankan kepada abangku. Kerana dia selalu meminta-minta kepada bapaku. Aku selalu terfikir bagaimana dia ingin terima hadiah itu dengan bahunya.

Aku keliru.

###

Aku seorang bapa. Bapa kepada dua orang anak remaja. Mereka masih belajar tentang dunia. Tiada buku kecuali telinga untuk mendengar.

Menjadi impian seorang bapa, untuk membesarkan anaknya dalam suasana yang selesa. Aku ingin selalu mainkan lagu kedamaian di telinga mereka. Aku mahu nyanyikan lagu keamanan di persisir telinga mereka.

Aku tidak cemburu dengan lelaki di benua lain yang ingin berkahwin lain. Di sini, anak-anakku adalah perhatianku selain agamaku sebagai pelindung keluargaku.

Namun, apa yang mereka selalu dengar adalah  bunyi serpihan binaan yang berterbangan menimpa binaan yang lain.

Bunyi lintasan helikopter di sekitar halaman rumah. Bunyi bom yang tak kenal siapa yang ada di sekitarnya. Tidak kira musuh atau makhluk tak berdosa.

Gempita yang melanda memusnahkan harapanku sebagai bapa.

Aku juga keliru.

###

“Gol!”

Aku sedang menonton perlawanan bolasepak. Perlawanan yang sengit. Aku lihat di luar jendela, ramai kanak-kanak main bolasepak. Menjadikan dinding bangunan sebagai gawang gol.

Aku ingin sertai mereka. Aku juga kanak-kanak sewaktu tanganku masih mampu memimpin tangan adik perempuanku. Aku pun masih kanak-kanak sewaktu aku merasai dentuman ‘mercun’ yang dilemparkan ke tanah suci ini.

Aku lihat ramai berjogging. Ada yang lari sekuat hati, ada yang tidak sempat melarikan diri dan ada yang ditelan kepulan asap. Dan kebanyakannya adalah…. mereka yang meniarap.

Setelah beberapa ketika, mereka masih meniarap. Sehinggalah ada insan membantu mereka disusuli laungan takbir Allahuakbar.

Aku lihat kulit mereka bukan lagi seperti sebelumnya. Kaku sahaja. Diselimuti kain putih para syuhada’. Hanya aku yang mampu berdiri. Tanpa tangan untuk melambai pergi.

“Gol!”

Sempatkah aku menontonnya esok hari?

###

Setiap hari ibarat  perayaan bagi kami. Kami tidak perlu bersusah payah menyalakan bunga api. Sampai masanya kami akan lihat cahaya di langit. Dan ia tak terhenti hanya di langit, bahkan terus menerkam sasarannya di bumi.

Semalam kami bergurau senda dengan ibu, isteri dan saudara. Kami bercerita tentang cita-cita. Kami tidak pernah persoalkan masa depan kami. Jauh sekali mempertikai peranan ibubapa kami dalam membesarkan kami.

Hari ini kami mengukir senyum rindu atas pemergian mereka.

Kami hanya fikirkan masa depan tanah air kami. Kadangkala kami selalu terfikir, apa yang perlu kami jawab jika rakan kami dari negara lain bertanya,

“Apa tarikan negara kamu?”

Perlukah kami jawab bahawa di negara kami ada semangat integrasi perpaduan kaum? Atau perlukah kami jawab bahawa kami punyai negara jiran yang sangat pentingkan keamanan dan keharmonian?

“Kemanusiaan,” kami akan katakan begitu.

Jika mereka persoalkannya dan menyatakan bahawa kami bukan berada di Afrika. Maka kami akan katakan bahawa kami tiada benua. Kami berjiran dengan negara Eropah, kami juga berjiran dengan negara Asia.

Namun tiada siapa peduli. Wajarkah kami katakan kami sebahagian dari mereka? Atau kami adalah saudara mereka? Sedangkan mereka hanya melihat kami sebagai sebahagian dari berita dunia.

Yang pastinya, kami adalah hamba-Nya. Kami redha jika kisah kami dijaja untuk membangkitkan yang masih nyenyak  lenanya. Kami rela jika kisah kami diguna untuk menyedarkan umat yang tergelincir dari jalan-Nya.

Kami pasrah jika kami adalah sebahagian perancangan-Nya?

###

Jika kami syahid dan menemui Rasulullah di syurga, apa yang perlu kami beritahu pada Baginda?

Adakah kami perlu katakan yang sebaliknya? Atau perlukah kami katakan kamu bukan sebahagian dari saudara kami yakni umat Baginda?

Jika kami syahid, apa yang perlu kami jelaskan pada Baginda andai Baginda tanyakan kepada kami di mana umatnya ketika kami memerlukan?

Perlukah kami jawab bahawa kamu berjuang untuk kami? Tidak membiarkan jasad kami gugur ke bumi. Tak membiarkan anak-anak kami dimamah fana duniawi. Benarkah ini yang terjadi?

Atau kami perlu jawab sejujurnya? Ya Rasululllah, kami lah umatmu. Yang punya impian, yang punya cita-cita dan punyai permainan yang ingin dimiliki.

Hakikatnya, negara dimana saudara kami yang lain, yang tercapai mimpi mereka, serta memiliki segalanya, masih belum bangkit dari lena mereka yang panjang.

Atau perlukah kami berterus-terang bahawa kamu hanya fikirkan tentang diri kamu. Kamu tidak layak bergelar saudara kami.

Kami tidak bermusuh dengan sebahagian dari kamu. Sebahagian dari kamu yang kami maksudkan adalah yang bukan hanya sekadar melafazkan amarah, tetapi bersungguh dalam doanya.

“Bangunlah dari lenamu,” pesan terakhir kami untuk kamu. Sebelum  kami melangkah pergi, menang sebagai mujahid, mati sebagai syahid.

BOMMM!!!

Setiap penjuru kejiranan Gaza kembali ‘meriah’. Tangisan, jeritan dan kegelisahan membasahi tanah suci ini. Tanah ini sekali lagi dihujani dengan peluru berpandu. Gegak gempita perut bumi menelan seksaan manusia.

Persoalannya, apa yang perlu kami jawab kepada Baginda tentang tanah suci ini? Apa yang sudah terjadi padanya? Soalan yang perlu dijawab sekalian umat Baginda.

Tak perlu jawab… jika kamu bukan sebahagian dari kami!

Ayuh, doakan kesejahteraan dan yang terbaik untuk saudara kita di Gaza, Palestin!

No comments: