Sunday, November 18, 2012

(CERPEN) Gelincir




JUST… leave me alone!

Telefon bimbit berjenama Ion dilempar ke tepi seat penumpang. Kakinya menginjak sebencinya pada pedal minyak. Proton Perdana silver metallic itu terus meluncur laju membelah bayu malam di Kota Kuala Lumpur.

Sepuntung rokok singgah di bibir keringnya sambil tangan kirinya erat menggenggam stering kereta. Kepulan asap keluar dari lohong mulutnya. Tingkap yang dibuka membawa bersama bidasan dingin bayu malam.

Maria Muktar, seorang akauntan. Lima tahun lalu, dia seorang pekerja harapan. Kini, hanya seorang insan yang putus harapan.Sambil memandu, kepalanya menyenget ke kanan dipangku telapak tangan. Sikunya bersandar di tebing tingkap kereta.


Tidak berdaya menahan kekusutan di mindanya, air mata hangat membasahi pipinya. Rosak celaknya apabila dia mengesat air mata. Semakin dikesat, semakin laju turun air matanya. Lalu dia berhentikan keretanya di persimpangan jalan.

Maria keluar dari kereta tanpa sepatunya, membawa diri dalam kepekatan malam. Berjalan dengan langkahnya yang longlai, tanpa arah tujuan bersama esakan tangisnya.

‘Serabutnya!’ lolong hatinya. Matanya kini membengkak sama seperti telapak kakinya.

Berjalan sejauh berbatu kilometer, akhirnya Maria berhenti di satu jambatan. Lalulintas yang sibuk tidak dihiraukannya langsung.

Setibanya di pertengahan jambatan, Maria memanjat tembok jambatan itu. Dia berdiri sambil mengimbangkan badannya. Cuba merasai angin yang menderu sambil matanya memejam lega. Namun, tangisnya masih tidak berhenti.

Melihat gelagat Maria yang berdiri di tembok jambatan, banyak pemandu kereta di situ memberhentikan kenderaan mereka. Mereka tertanya-tanya apa yang sedang Maria lakukan.

Di bawah jambatan itu, terdapat sebatang sungai yang mengalir deras. Suara arusnya membingitkan kecamuk hati Maria. Fikirannya kembali memikirkan tentang segala masalah yang membelenggu jiwanya.

Niatnya untuk keluar dari kepompong masalah duniawi, namun dia tidak kuat untuk meloloskan diri.

I deserve to end my life here!’ nekad hati Maria.

Matanya meliar melihat arus sungai yang seakan memanggil-manggil namanya. Maria mendongak ke langit sambil dipejamkan matanya. Air matanya meleleh keluar tatakala mata tertutup rapat.

“Kenapa aku perlu lalui semua ini?!”

Pekik suara Maria itu mengejutkan khalayak yang menyaksikan tingkahlakunya sejak dari tadi. Kini fahamlah mereka bahawa ada seorang perempuan cuba terjun dari jambatan. Kini mereka risau.

“Sabar, dik. Bawak mengucap!” sahut salah seorang dari mereka.

Maria yang sudah putus asa dengan hidupnya tersentak. Tangan kanannya mengenggam benci tiang lampu jalan di sebelahnya.

“Jangan dekat! Aku terjun kang..” bentak Maria mengugut. Orang ramai cuba menenangkan Maria. Kelibatnya seperti orang gila atau orang yang meroyan kehilangan anaknya. Namun nyawa tetap nyawa, tiada galang gantinya, atas dasar itu mereka simpati dengan Maria.

“Aku benci! Aku benci! Aku benci!” pekik Maria, “kenapa dunia ni kejam dengan aku!”

“Bawak bertenang, dik. Istighfar banyak-banyak, ingat Tuhan…” kata salah seorang dari mereka yang bersimpati dengan kelibat Maria. Sebahagian dari mereka melangkah perlahan cuba mendekati Maria.

Telinga Maria pantas menangkap bunyi langkahan kaki mereka.

“Aku dah kata… jangan dekat! Kalau tak aku terjun!” Maria mengugut sekali lagi. Kali ini mengacah tubuhnya untuk terjun. Mereka berundur semula.

“Apapun masalah yang ada, kita boleh selesaikan…”

“Diam!!!” pekikan suara Maria menyeka setiap mata yang memandangnya. Maria menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menekup telinganya dengan telapak tangan.

Badannya kini terhuyung-hayang mengikut rentak alunan angin yang bertiup.

Khalayak yang melihat mula risau. Sesekali Maria tampak seperti tergelincir dan terjatuh, nasib baik tangan kanan Maria sempat menggenggam erat tiang lampu di sebelahnya.

“Dunia ni memang kejam! Kau orang nak tahu kenapa?” Maria bersuara sambil telunjuknya dituding tepat ke arah lelaki dalam kalangan mereka yang melihat, “sebab kau! Kau! Dan kau!”

Mata Maria kini tepat melihat rembulan. Sinarnya tidak pernah sirna di malam hari. Esakan tangisnya mulai kedengaran dan meruntun mata yang memandangnya. Dia seperti menceritakan kesedihannya melalui esak tangisannya.

Jemari kakinya mula mengenjit perlahan ke penghujung tembok jambatan sehingga dirasakan tiada lagi alas. Air matanya turun laju memikirkan sedikit masa lagi dia akan jatuh dihanyutkan arus sungai di bawah.

‘Ya Allah! Kenapa kau tak pernah makbulkan doaku!’ desis hatinya. Serentak dengan itu, angin secara tiba-tiba bertiup kencang. Maria yang terkejut dengan hembusan kuat angin itu, cepat-cepat tangannya memeluk erat tiang lampu.

Dalam masa yang sama, orang ramai yang melihat Maria, turut menjerit kerisauan menyangka Maria hendak tergelincir.

Angin kembali tenang. Namun jiwa Maria tak pernah tenang. Sama seperti jiwa orang ramai yang menyaksikan kejadian itu. Kerisauan mereka bercampur dengan rasa serba salah.

Hendak mendekati Maria, dia ugut untuk terjun. Tak mendekatinya pun, Maria masih akan terjun. Ibarat telan mati mak, luah mati bapa.

Maria kembali nekad. Runtun jiwanya semakin hebat, gelojak nafsunya kian kencang dan esak tangisnya makin deras.

‘Selamat tinggal dunia,’

###

Nekad hati Maria menutup segala pertimbangan yang ada. Sebelum Maria terjun ke arus sungai di bawah, dia cuba menoleh ke belakang ingin melihat orang ramai yang sedang menyaksikannya.

Belum sempat ditolehnya ke belakang, mata Maria terpaku melihat seorang lelaki berdiri sambil tersenyum di tembok berdekatannya.

“Kau siapa?” soal Maria.

Lelaki itu tidak memandang Maria. Hanya senyuman terukir di raut wajahnya.

“Aku dah kata jangan dekat!” Maria memberi amaran.

Lelaki itu kini menoleh ke muka Maria. Maria terkejut dengan reaksi lelaki itu. Dia memeluk erat tiang lampu.

Gila, bisik hati Maria. Lelaki itu hanya tersenyum, kemudian memalingkan mukanya dari Maria.

“Kau siapa?”

Masih tak berjawab.

“Oiii, pekak ke?”

Hanya senyuman dilemparkan lelaki itu. Intuisi Maria bertambah, ingin juga dia tahu siapa lelaki yang turut berdiri di tembok jambatan itu. Barangkali ingin membunuh diri juga.

“Dunia ni kejam kan,” ujar Maria mengesat air matanya. “Aku tahu, kau pun sama dengan aku, nak bebas dari masalah dunia. Kau nak terjun kan?”

Lelaki itu kini menghentikan senyumannya.

“Aku agak dah. Kita terjun sama-sama nak?” pelawa Maria. “Tapi sebelum tu, aku nak tahu kau ni siapa?”

“Aku?” lelaki itu bersuara.

“Ya, kau. Siapa lagi?”

“Aku adalah yang selalu kau minta,”

“Eiii, tak payah nak gebang la!” bentak Maria seperti tidak selesa, “ nak buat cerita seram pulak! Rimas la aku! Rimas!”

Lelaki itu kembali senyum. Kini dia duduk di tembok jambatan itu. Kakinya dihayunkan.

“Kenapa kau teragak-agak nak terjun?”

Soalan lelaki itu benar menyentap ego Maria. Maria membongkokkan badannya.

“Kau nak tengok aku terjun sangat ke?”

“Silakan…”

Cabaran lelaki itu segera disahut Maria. Orang ramai yang melihat kelibat Maria menjerit kerisauan.

“Kau dengar tu! Suara ni la yang buat aku tak jadi nak terjun!”

“Alasan.”

‘Berlagak juga mamat ni. Kang aku tolak jugak dia ke bawah,’ geram hati Maria sambil matanya memandang sinis.

“Wahai hamba Allah yang kecewa dengan diri sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,”

‘Berceramah pulak mamat ni,’ Maria duduk bersila meghadap lelaki itu. “Kau ni siapa sebenarnya? Yang kau nak berlagak pandai agama kenapa?”

“Saya tak berlagak pandai, saya cuma sampaikan kata-kata…”

“Kata-kata siapa?”

“Allah Taala. Surah az-Zumar ayat 53,”

‘Aduhai, macam mana la aku boleh layan cakap dengan mamat agama ni,’ pandang Maria tidak berpuashati. “Kau ni sebenarnya ada masalah apa? Cer cerita kat aku?”

Lelaki itu sekali lagi tersenyum.

“Hah! Sengih la lagi, sengih bagi nampak gusi!” sindir Maria. “Okey, macam ni lah. Mula-mula aku ceritakan pasal masalah aku, pastu kau pulak story-mori masalah kau kat aku. Amacam?”

Maria menunjukkan ibu jarinya sebagai tanda persetujuan. Namun, lelaki itu sekali lagi tidak memberi respons kecuali senyuman.

“Aku assume yang senyuman kau tu sebagai tanda setuju la yek,” Maria muktamadkan persetujuan.

Maria mengubah posisi duduknya seperti lelaki itu, kakinya dilunjurkan ke bahagian luar tembok jambatan. Maria mengeluh sambil melihat cahaya bulan.

“Aku dulu baik. Tak macam sekarang,” Maria memulakan luahannya, “tapi disebabkan aku tak tahan orang mengata aku berlagak baik, jadi aku pun ikut cara dia orang. Kau tahu, dulu aku pernah cuba nak jadi macam muslimah lain, berjubah bagai, lastly aku jadi jugak macam sekarang. Orang sekeliling aku siap kata aku ni berdosa dan selamanya berdosa.”

Maria tidak mampu menyeka air matanya.  Pipinya kembali dibasahi air mata kesedihan.

“Mungkin betul apa yang dia orang kata, orang macam aku ni dah tak ada harapan untuk hapuskan dosa-dosa yang lalu. Lagipun siapa lah aku kalau nak dibandingkan dengan orang yang mengata kat aku,” kata Maria disusuli esakan tangisnya.

“Man qala halakan-nas, fahuwa ahlakuhu…”

“Kau cakap… cakap apa ni,” kata Maria menahan sebaknya.

“Sabda Nabi Muhammad, siapa yang mengatakan seseorang itu berdosa atau jahanam, maka dialah yang  sebenarnya berdosa dan jahanam itu,” ujar lelaki itu.

Kata-kata lelaki itu nyata menenangkan gelora di jiwa Maria. Terukir senyum manis di sebalik sebak.

“Tapi kau tak kenal aku siapa lagi, apa yang aku buat dan latar belakang keluarga aku,” ujar Maria cuba menafikan dorongan lelaki itu. Maria masih tidak puas melayan kisah silamnya.

Fikirannya mula terbayangkan kisah yang berlaku pada bulan lepas. Kisah antara dia dan Zekri.

###

Sebulan yang lalu.

“Cantik isteri abang hari ni. Mimpi jumpa Nabi ke?” perli Zekri ketika melihat Maria memakai tudung di cermin.

“Tudung baru la bang. Kenapa? Tak suka?”

Zekri bingkas bangun dari katil. Tangan sasanya segera menyentuh bahu Maria. Mereka berdua sama-sama melihat cermin dihadapan.

“Kan bagus macam ni,” ujar Zekri cuba membuka tudung di kepala Maria.

“Bang, Maria nak pergi kerja ni. Nanti lambat pula masuk office,” rengek manja Maria.

Zekri mencebik cuba meraih simpati. Maria mencubit bibir suaminya itu.

“Aduiii. Ooo, dah pandai pukul suami ek,” Zekri mengangkat isterinya itu dan diletakkan ke atas tilam. Zekri mengeletek Maria. Maria tidakmampu berbuat apa-apa melainkan ketawa akibat tindakan suaminya itu.

Bingit suasana pagi di rumah agam Datin Zubaidah.

‘Bising betullah,’ getus hati Datin Zubaidah yang sudah bersedia untuk sarapan. Sambil melihat jam di tangannya, Datin Zubaidah menjerit memanggil anak tunggalnya, Zekri untuk turun bersarapan.

“Abang… mak datin dah panggil tu…” kata Maria sambil meminta Zekri berhenti menggeleteknya.

“Hah? Tak dengar pun…” Zekri tak mempedulikan panggilan bondanya dan terus mengeletek isteri kesayangannya.

Datin Zubaidah sekali lagi menjerit memanggil nama Zekri. Tapi kali ini, dengan suara yang lebih lantang.

“Abang!” tegas Maria mengisyaratkan bahawa  Datin Zubaidah memanggil nama suaminya. Zekri menghentikan gurau senda dengan Maria.

“Ya, bonda! Nak turun dah ni,” Zekri bergegas untuk turun ke tingkat bawah rumah agam itu untuk bersarapan, sambil tangannya erat memegang tangan Maria. Mereka berdua turun bersama untuk bersarapan.

“Assalamualikum bonda,” Zekri memberi salam kepada Datin Zubaidah diikuti Maria.

Namun Datin Zubaidah tidak menjawab salam yang diberikan Maria. Hati kecilnya sedikit terasa.

Apatahlagi perangai Datin Zubaidah mula berubah tatkala mengetahui Maria masih belum mengandung setelah lima tahun berkahwin.

“Bonda nak Zekri ikut bonda pergi rumah Julia petang ni,”

Tersedak Maria mendengar kata-kata Datin Zubaidah. Hati kecilnya kini sakit. Bukan dia tak tahu, Julia itu bekas teman wanita Zekri. Berpisah dengan Zekri kerana Julia tak mahukan anak jika berkahwin.

“Nak buat apa bonda? Kahwin lagi satu ke?” seloroh Zekri. Maria senyum kelat. Dia tahu suaminya cuba bergurau, namun, entah kenapa hati kecilnya kuat mengatakan ia bukan gurauan.

Maria mencubit peha Zekri. Zekri membalasnya dengan kenyitan mata. “Gatal,” Maria membisik ke telinga Zekri setelah menghabiskan makanannya. Maria mengambil pinggannya dan pinggan Zekri ke sinki untuk dibasuh.

“Bonda, abang, Maria minta diri dulu, takut lewat sampai office ni,” pinta Maria.

“Malam ni balik awal sikit yer,” usik suaminya. Maria sekali lagi mencubit peha suaminya, sekali lagi Zekri hadiahkan kenyitan mata buat isterinya. Maria segera bergegas keluar rumah setelah waktu  di jam tangannya menunjukkan dia sudah lewat ke tempat kerja.

Datin Zubaidah mengerling dari jauh sama ada Maria sudah keluar dari rumah atau belum.

“Bonda nak kamu kahwin dengan Julia. Julia pun dah setuju,”

Tersembur air kopi yang diminum Zekri.

“Senonoh sikit, Zekri.”

“Maaf, Bonda. Zekri tak nak kahwin lain. Cukuplah Maria seorang,”

“Zekri, ni untuk kebahagiaan Zekri jugak. Anak ni penyeri hubungan rumahtangga,”

“Zekri tahu. Memang Zekri nak anak, tapi bonda pun tahu keadaan Maria macam mana,”

“Bonda tak kira. Zekri mesti ikut cakap Bonda!” tegas Datin Zubaidah kepada Zekri.

“Tak… Zekri, tak boleh ikut…”

Melihat kata-kata Zekri yang seakan sudah nekad hidupnya dengan Maria sahaja, Datin Zubaidah mula memujuk.

“Zekri tak kesian dekat bonda ke?” kata Datin Zubaidah bernada sedih, “ kawan-kawan bonda semua tanya anak bonda dapat anak ke tak? Bonda dah penat menjawab sampaikan kawan-kawan bonda mula katakan siapa yang sebenarnya mandul. Malu bonda, jatuh maruah keluarga kita Zekri!”

Zekri mula serba salah. Dia tahu bahawa bondanya hanya ada dia sahaja sebagai penyeri hidup. Ayahandanya baru tahun lepas meninggal dunia.

Dengan nada hiba, Datin Zubaidah berkata, “Beginilah Zekri. Kamu pergi jumpa dulu dengan Julia. Mana tahu kamu berubah fikiran.”

“Ehem!” Maria sengaja batuk, “saya tertinggal kunci kereta.” Maria tidak terus tercegat disitu walaupun dia sudah mendengar semua perbualan ibu mertuanya. Hatinya kini bertambah sakit.

Linangan air matanya menderu jatuh membasahi pipi.

###

Tiga minggu lalu.

“Hello-mello,” panggilan dari nombor yang tidak diketahui. Maria seperti kenal suara yang berada di talian.

‘Hairil,’ hatinya meneka. Nama bekas teman lelakinya. Dahulunya, mereka berdua sama-sama berjanji untuk berkahwin selepas terlanjur. Namun, Hairil tidak lulus ujian HIV, sedangkan Maria bersih.

You nak apa lagi?” nada Maria tegas. Bimbang juga jika suaminya tahu dia sedang berbual dengan Hairil.

“Saje nak tanya khabar. Babe, you sihat?”

Stop calling me like that. I’m not your babe anymore!” segera diptuskan talian itu. Zekri yang baru tiba ke pejabat Maria terkesima.

“Awak okey ke?” soal Zekri sedikit risau.

Maria terperanjat dengan soalan Zekri. Lidahnya kelu. Maria takut jika Zekri tahu yang Hairil menelefonnya. Zekri melambai-lambai ke arah muka Maria.

Mari tersedar dari lamunannya.

Okey… Jom, bang. Kita makan,”

“Makan? Bukan kat rumah dah sarapan ke?” soal Zekri yang kemudiannya ditarik oleh Maria. Mereka bergerak ke satu restoran yang terkenal dengan nasi arabnya.

“Kuat isteri abang makan. Tak takut gemuk ke?” sekali lagi Zekri mengusik.

“Tak…” Maria selamba membalas.

“Gemuklah… Nanti abang cari lain nanti,”

Maria terus meletakkan sudu dan garpunya. Tisu ditepi pinggan segera diambil dan dilapkan pada bibirnya. Mukanya masam mencuka. Zekri tahu isterinya merajuk.

“Sedapnya… Rugi tak makan, kat rumah mak datin tak ada nasi arab,” Zekri sengaja mengacah Maria. Maria terliur tapi tetap mencuka wajahnya. Dia minta dipujuk. Namun Zekri tetap mengacah tentang keenakan nasi arab.

 Akhirnya, Maria mengalah. Maria mengambil kembali sudu dan garpunya. Belum sempat menjamah makananya, Zekri memegang tangan Maria sambil mengatakan, “Abang hanya cinta Maria seorang sahaja!”

Mata Maria bergenang dengan air mata. Zekri panik dan cuba tenteramkan isterinya.

Maria mengipas mata dengan jemarinya.

###

Dua minggu lalu.

“Cik, Puan Maria tak bagi sesiapa masuk tanpa kebenaran,” setiausaha peribadi Maria cuba menghalang Julia dari menceroboh masuk pejabat Maria, tapi tidak berjaya.

“Perempuan sundal!”

Terjeda seketika kerja Maria. Maria merenung tajam ke arah setiausaha peribadinya, dan hanya diabalas dengan angkat bahu tanda tidak boleh berbuat apa-apa.

“Nak saya panggil sekuriti?” setiausaha peribadinya beri cadangan. Maria menolak dan menyuruh setiausahanya membiarkan dia dan Julia dalam pejabatnya.

“Kau kenapa datang pejabat orang memekik tak tentu pasal?” kata Maria.

“Hei, perempuan. Kenapa kau rampas Zekri dari aku, hah?”

“Elok sikit, cik Julia! Kau sepatutnya cermin muka kau dulu,”

“Ewah-ewah,” senyum sinis Julia sambil cekak pinggangnya, “ kau ingat aku tak tahu kisah silam kau.”

Maria terdiam. Jantungnya berdegup laju. Mana mungkin Julia tahu kisah silamnya.

Tangannya menggeletar. Namun Maria cuba mengawal dirinya supaya tampak tenang. Jemari runcing Julia menyentuh tudung bawal yang dipakai Maria.

“Tak sangka, orang yang bertudung pun lagi teruk dari yang tak pakai apa-apa,” bisik Julia yang dari belakang.

Stop this nonsense…” balas Maria menepis sentuhan Julia. Namun Julia sempat memegang hujung tudung Maria.

Berlaku pergelutan antara Maria dan Julia. Maria cuba pertahankan dari tudungnya ditarik oleh Julia.

Maria berjaya melepaskan tudungnya dari jemari Julia. Maria yang berang dengan tindakan Julia segera menolaknya menyebabkan pinggang Julia terkena bucu meja. Senak rasanya.

Bonda dan Zekri yang baru tiba melihat Maria menolak Julia. Bonda meluru ke arah Maria dan terus menamparnya.

Tiada apa yang mampu dilakukan Zekri melainkan melihat sahaja isteri kesayangannya ditampar bondanya.

###

Minggu lalu.

Maria terpaksa makan malam seorang malam ini. Ini kerana suaminya perlu mengikut Bonda untuk melawat Julia dirumahnya.

Telefonnya berbunyi. Maria melihat pada skrin telefonnya dan nombor Hairil yang muncul. Dia tak mengangkatnya. Sekali lagi telefonnya berbunyi. Kini diletakkan telefonnya dalam mod senyap.

Sekali lagi Maria menyedari ada panggilan telefon dan kini vibrate-nya jelas kedengaran. Maria matikan terus telefonnya dan menyimpannya dalam tas tangan merah jambunya.

“Hai, Maria,”

Terkejut Maria apabila lelaki yang terpacak di hadapannya adalah Hairil. Maria bingkas bangun untuk meninggalkan mejanya namun dihalang Hairil.

Just wait… please…” rayu Hairil.

“Sudahlah you. Terimalah hakikat yang kita dah tak ada apa-apa,”

“Tapi I masih sayangkan you. You  pun tahu yang I dah banyak berkorban untuk you,”

but I’m married. Dah jadi isteri orang dan I dah berubah,”

I boleh terima you bertudung. At the same time, you kena terima I jugak,” Hairil benar-benar merayu sambil tangannya memegang jemari halus Maria. Maria cuba menepis namun tidak berjaya.

Stop it!” jerit Maria. Pelanggan di restoran itu terkejut dan semua mata memandang Maria dan Hairil. “I dah berpunya,  just admit the fact!” tegas Maria terus meninggalkan Hairil terpinga-pinga.

Sekembalinya Maria ke rumah agam Datin Zubaidah, ibu mertua dan suaminya masih belum pulang. Maria segera ke biliknya dan mengemaskan dirinya. Setelah itu, Maria menunaikan solat dan berdoa ;
‘Ya Allah, bimbinglah daku menjadi hamba-Mu yang sentiasa mencari redha-Mu. Tetapkanlah hati hamba-Mu dengan cintaku terhadap-Mu dan suamiku. Jadikanlah daku isteri yang solehah, isteri yang menjaga maruah.

Ya Allah, hamba-Mu ini tidak siap untuk menghadapi segala rintangan mendatang, daku memohon jika hamba-Mu ini tak mampu menghadapinya, maka pandulah hamba-Mu ini ke jalan yang benar lagi nyata.’

Kereta jenama Bentley memasuki perkarangan rumah agam Datin Zubaidah. Maria melipat kembali kain telekungnya dan bersiap untuk berjumpa dengan suaminya yang baru pulang. Sedang dia menuruni tangga, Maria terdengar perbualan antara Datin Zubaidah dan Zekri.

“Bonda dah agak mesti ada benda tak kena dengan dia,” kata Datin Zubaidah. Zekri mengerut dahinya. Tiada senyuman di wajahnya, serius sahaja. “Bonda rasa lebih baik Zekri lepaskan dia secara elok…”

“Maksud bonda? Ceraikan Maria, begitu…” sampuk Maria yang tampak tidak berpuashati.

Datin Zubaidah yang terkejut dengan suara Maria, mengadu kepada anaknya, Zekri, “ tengok isteri kau tu Zekri. Dah mula tinggi suara dengan bonda, biadap…”

“Dahla bonda…” ujar Zekri cuba menenangkan bondanya.

“Zekri, kamu masih nak menangkan perempuan sundal ni?” soal Datin Zubaidah.

Maria mendekati ibu mertuanya itu. Kali ini darahnya memang naik. Tidak terperi sakitnya hati tatkala gelaran itu terpacul dari mulut ibu mertuanya sendiri.

Watch out your mouth, bonda!” kata Maria dalam nada marah.

Look Zekri. Dari lorong mana dia belajar tatasusila bercakap dengan orang tua!” tengking Datin Zubaidah. “Betullah apa yang Julia kata, your wife is not fit with our family! Dia ni bohsia!”

“Datin Zubaidah, enough!” rayu Maria. Air mata mula mengalir turun membasahi pipi. Maria terduduk, kemudian mendapatkan Zekri.

“Abang…” rintih simpati Maria kepada suaminya yang tersayang. Namun ditolak oleh Datin Zubaidah. Ibu mertuanya itu kemudian melemparkan sekeping gambar ke muka Maria. Gambar yang menunjukkan Maria dan Hairil berpegang tangan di restoran arab tadi.

“Kenapa abang kol, awak matikan telefon?” soal Zekri simpati. Belum sempat Maria menjawab.

“Gambar ini sudah cukup untuk jelaskan kesemuanya,” sampuk ibu mertuanya.

Datin Zubaidah dan Zekri terus meninggalkan Maria meraung kesedihan.

###

“Kau tahu, sebelum aku sampai sini, suami aku telefon…” kata Maria kepada lelaki yang berada bersamanya di tembok jambatan, “ dan aku kata just leave me alone.”

Lelaki itu hanya tersenyum. Senyumannya tidak pernah berubah. Kemudian, lelaki itu menoleh ke arah Maria.

“Rahmat Allah itu sangat luas, pintalah pada-Nya,” kata lelaki itu.

“Huh!!!” Maria mengeluh panjang, “ aku dah banyak kali berdoa sebelum kembali semula dengan perangai lama aku, tapi tiada apa-apa yang berlaku”

Lelaki itu bangun dari silanya dan berdiri. Dia berkata, “Kau tahu kuasa disebalik doa?”

“Tak…”

“Pernahkah Tuhan tak pernah makbulkan doa kau?”

“Pernah,”

“Pasti?”

“Pasti sebab aku pernah minta duit supaya aku tak perlu jadi bohsia!”

“Kerana apa yang sebenarnya kau minta adalah keluar dari kehidupan lama kau, itulah yang terbaik untuk kau,” jawab lelaki itu dengan senyuman, “bahkan diberikan suami yang menyayangi kau sebagai tambahan.”

Maria mendongak mukanya ke langit. Malam ini sungguh kelam sekali.

“Sudah berapa banyak kau berdoa dalam hidup kau, dan Allah makbulkan sehingga kau berjaya merentasi pelbagai kesusahan dalam hidup sehingga ke hari ini,” tambah lelaki itu.

“Adakah Allah masih menerima hamba-Nya… yang sudah tergelincir dari taubat pada-Nya? Masihkah anak keturunan lorong ini… mampu bertaut pada cinta-Nya?” soal Maria yang gagal menyeka air matanya dari gugur ke bumi.

“Pernahkah kau dengar kisah Ikrimah anak Abu Jahal?”

“Tak..”

“Bapanya adalah saudara sedarah yang paling kuat memerangi Nabi, namun Ikrimah anaknya memeluk Islam dan menjadi antara sahabat penting Nabi… Bahkan dalam satu hadis qudsi ada menyebut bahawa ada seorang hamba Allah yang selalu tergelincir setelah bertaubat, cuba sekali lagi memohon keampunan-Nya. Kau tahu apa jawapan Allah?”

“Tak…”

“ ‘Alima abdi annalahu rabban yaghfiru zanba. Yang bermaksud, Aku tahu bahawa hambaku itu mengetahui bahawa Aku sesungguhnya Tuhan yang mengampunkan dosa-dosa,”

Menitis laju air mata Maria tatkala mendengar kata-kata lelaki itu. Maria mula saedar segala keterlanjuran perilakunya malam ini sambil kepalanya bersandar di tiang lampu. 

Orang ramai yang melihat Maria tidak lagi mengacah untuk terjun, segera menghampiri dan mendekatinya.

“Siapa kau?” soal Maria kepada lelaki itu.

“Bukankah kau yang berdoa kepada Tuhan supaya memandu kau kembali ke jalan yang benar jika kau tak mampu menghadapai ujian-Nya?”

Orang ramai berjaya menyelamatkannya. Maria segera dipapah ke ambulan yang baru sahaja tiba. Pandangan mata Maria semakin kabur, penglihatannya samar-samar. Lelaki itu hilang seperti debu pasir. Hilang ditiup bayu malam.

“Sayang… Sayang…”

Kelopak mata Maria perlahan-lahan dibuka. Disisinya Datin Zubaidah dan suaminya Zekri.

“Sayang…” Zekri mengharap Maria sedar. “Abang tahu abang salah, maafkan abang, Maria.”

“Maafkan bonda juga, Maria” Datin Zubaidah mengucup pipi menantunya.

“Abang tak jadi kahwin dengan Julia. Dan Doktor beritahu yang Maria mengandung,” Zekri membisik ke telingan Maria dengan gembira sekali. Tak semena, linangan air mata mula mengalir keluar.

‘Allah tak pernah hampakan harapan hamba-Nya,’ bisik hati Maria.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Tuhan tak pernah tanya siapa bapa kita, siapa ibu kita, atau apa keturunan kita sebelum atau selepas doa dan taubat dipanjatkan. Dengan syarat kita bersungguh-sungguh berdoa dan bertaubat pada Yang Maha Pengampun.

No comments: