Monday, November 12, 2012

(CERPEN) Malaikat Subuh




Kayu Sugi. Jam tangan casio. Tasbih kayu kokka.

Plushhh!

Bunyi percikan air kolah. Alias, 26 tahun, gempal dan seorang imam di surau ini. Surau al-Islah, tempat persinggahan musafir dunia. Hijau, warna cat yang menghiasi dinding surau, binaan bata hasil sumbangan penduduk setempat.

Usai Alias ambil wudhu’, dicapai segera kelengkapan yang diletakkan di tebing kolah surau. Sugi dimasukkan dalam poket jubah putih yang masih jelas kebiruan rendaman nila. Jam tangan casio disarungkan ke pergelangan tangan kanannya dan tasbih digenggam di tangan kiri.


“Allahumma-j’alna minat-tawwabin, waj’alna minal-mutatohhiriin, waj’alna min ibadika-ssolihin,” seraya menekup mukanya. Alias terus berdhuha. Selesai diberi salam saat penghabisan tahiyat akhir,

“Allah!” Alias terkejut. Ada seorang pemuda, sasa badannya, kerinting dan berpakai baju T yang tertulis ‘OMG!’. Fikirnya tiada makmum, kerana selama ini hanya dia menjadi imam dan makmum. Bahkan kadangkala dialah imam, bilal, makmum merangkap tok siak surau al-Islah.

“Enta tak cuit bahu ana pun tadi, ana ingat tak ada orang,” Alias mulakan bicaranya. Hairan, pemuda itu tak menjawab. Bahkan pemuda itu menoleh ke belakang, kiri dan kanan. Berlagak betul budak ni, desis hati Alias.

“Pak Imam cakap dengan saya ka?”

Abestu? Enta ingat ana sembang dengan sapa?” Alias menjawab, cuba meniru loghat utara pemuda tersebut.

“Lawa masjid ni, Pak Imam”

“Ni surau, bukan masjid. Kalau masjid, kat dinding tu ada papan tanda niat tahiyatul-masjid”

“Oh,”

Alias bangun melipat sejadah.

“Pak Imam tak nak doa ka?”

“Ya Allah, lupa pulak.”

###

Motosikal RXZ merah elok bersandar di tepi surau al-Islah. Tayarnya botak, bunganya pun sudah layu kehausan. Bersandar ke dinding tanpa tongkat. Barangkali itulah sebabnya motosikal RXZ merah itu bersandar di dinding surau – tiada tongkat. Siapa lah yang curi?

Azan zohor berkumandang. Suara Alias memecah kebuntuan di kala matahari mencanak di atas langit. Selesai azan, Alias menunggu dengan penuh kesabaran. Manakala pemuda yang sebentar tadi menjadi makmum solat dhuha sedang membelek kopiah wakaf di satu sudut surau tersebut.

Selepas setengah jam menunggu, perut Alis memulas. Terkentut. Pemuda itu mengerling dari jauh. Alias meniru bunyi ‘Prrrt’ dengan menggetarkan bibirnya. Terngiang-ngiang  dalam ingatannya, telur rebus – kegemaran Alias – yang dimakan semasa majlis doa selamat jirannya selepas subuh tadi.

Pemuda itu mendekati Alias.

“Pak Imam, memang selalu macam ni ka?”

“Hah! Bukan ana, bukan… tobat bukan ana,”

“Apa yang bukan, Pak Imam? Maksud saya, memang selalu tak dak orang mai solat ka?”

“Oh, memang… selalu macam ni” jawab Alias cuba berlagak tiada apa yang berlaku. Perutnya masih memulas. Serban dikepalanya dileraikan dari kopiah putihnya, bersama tasbih, jam tangan casio dan kayu sugi yang diletakkan di tepi pintu surau.

“Enta… boleh jaga… tolong jaga barang ana sat, sakit perut ni,” pinta Alias sambil menunjuk telunjuknya pada perut yang memulas.

“Boleh, tapi saya semayang dulu la noh,”

“Tunggu makmum dan tunggu ana, solat Jemaah lagi banyak pahala,”

“Kalau Pak Imam lambat sangat, saya jadi Imam la,”

“Jangan,” tegah Alias, “enta tak cukup kelayakan nak jadi Imam,”

“Sampai hati Pak Imam cakap lagu tu.  Bukan payah pun, baca al-fatihah ja, makmum ikut saja apa yang Imam buat kan,”

“Bukan macam tu, nak bagi orang ikut kita, pertama sekali kenalah amanah dan ada ilmu. Macam dalam surah Yusuf ayat 55 yang bermaksud ‘Nabi Yusuf berkata, jadikanlah aku bendaharawan negeri Mesir kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga amanah, dan berpengetahuan’”

Prrrettt!

“Pak Imam boleh ka?” soal pemuda itu. Alias mengerut dahinya dan memegang perutnya. Sambil bergegas ke tandas, dia berkata,

“Enta solatlah dulu,”

###

Plushhh!

Alias mengambil wudu’ selepas selesai membuang hajat. Segera solat zohor diikuti solat sunat rawatib. Selesai memanjatkan munajat dan doa kepada Allah Taala, terlintas difikirannya tentang gelagat pemuda sebelum ini. Alias menoleh ke belakang. Tiada.

Pemuda tersebut tiada. Barangkali dah pulang. Maklumlah, lama juga Alias bertapa membuang hajat. Separuh dari setengah jam. Alias bingkas bangun dan bergerak untuk menutup suis kipas surau al-Islah. Terjeda seketika langkahnya saat berdepan dengan cermin.

Melayu Malaysia, bisik hatinya, merujuk kepada misainya yang lebih lebat berbanding janggutnya yang tumbuh tidak sekata. Lebih baik botak dari kerinting macam budak tadi, seloroh Alias. Mulutnya berkumat-kamit mebacakan doa “Allahumma Ahsanta Khalqi, Fahassin Khuluqi.”

Oh ya, bercakap soal botak, baru Alias ingat bahawa dia solat zohor tanpa memakai serban. Tambahan pula, kopiahnya terjatuh sewaktu dia bergegas ke tandas. Alias segera ke pintu surau. Tiada. Musykil dan pelik.

“Takkan lah budak tu yang ambil. Astaghfirullah, apa yang aku fikir ni,”

Kopiah wakaf pun hilang, bisik hatinya. Alias mengunci pintu surau. Tiada selipar. Hilang lagi. Mungkin pemuda itu yang rembat, umpat hatinya. Alias masih menahan sabar, barangkali kifarah dosa yang lalu. Lantas mengeluarkan kunci motosikalnya.

“Siapa lah yang sandarkan moto ni kat dinding surau?” Alias cuba membetulkan kedudukan motosikalnya. Kebiasaannya motosikal menyerong disebelah kiri.

BAMM!

Side mirror yang baru dibeli Alias patah, motosikal RXZ merahnya jatuh. Tiada apa yang mampu diungkapkan Alias, melainkan mengetap bibir dan memejam matanya. Dalam hatinya membekas dengan pelbagai pertuduhan ke atas pemuda itu. Sampai ke lubang cacing aku cari kau, amarah menular dalam atma jiwa Alias.

###

Seperti biasa, Alias selesai solat Maghrib bermakmumkan sejadah, kipas dan naskhah surah lazim di kabinet surau. Ligat mindanya memikirkan cara untuk menarik masyarakat setempat untuk berjemaah di surau. Barangkali kerana ini surau, maka ramai menganggap solat Jemaah hanya di masjid sahaja.

“Assalamualakum Pak Imam,”

“Waalaikumussalam,” pemuda yang dicari-cari Alias berada di depan matanya, “enta mai sini buat apa?”

“Uik, marah nampak. Saya mai ni nak mintak pandangan agama dari Pak Imam.”

“Tentang apa?”

“Saya tanya, Pak Imam jangan marah, kena open-minded sikit,”

“Apa dia yang enta nak tanya ana?” soal Alias kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menceritakan tentang keinginannya untuk menghadiahkan kepada bakal isterinya satu hadiah.

“Betul bakal isteri ni,”

“Betul, tobat, sumpah, Lillah!” tegas pemuda tersebut. “Saya nak tanya, disebabkan bakal isteri saya tu perempuan, saya nak hadiahkan minyak wangi kat dia.”

“Jadi apa masalahnya?”

“Ni la masalahnya, nak bina masjid ni bukan senang, kena berkat baru bahagia hingga ke anak cucu,”
Alias mengerti maksud pemuda tersebut, “senang saja, jangan hadiahkan barang curi sudahlah.”

“Pak Imam macam perli saya ja. Saya belum tanya soalan lagi ni,”

“Apa soalannya?”

“Saya selalu dok termenung, termanggu-manggu seorang diri, antara perfume bodyshop dengan minyak atar mana lagi berkat?”

Alias ketawa kecil, “macam ana kata tadi, jangan hadiahkan barang curi sudahlah. Yang paling penting jangan membazir.”

“Tapi Pak Imam, saya kalau boleh nak bagi hadiah minyak wangi special kat bakal saya tu,”

“Kalau kamu ikhlas beri hadiah kepada si dia, si dia takkan menolak kerana yang penting keikhlasan kamu untuk beri hadiah tu,”

Pemuda tersebut mengangguk faham. Alias menjemput pemuda tersebut pergi ke bilik Imam. Lantas dia membuka satu almari dan mengambil satu kotak bersaiz sederhana dari almari tersebut. Dibukanya kotak tersebut, pelbagai variasi minyak atar dipertontonkan kepada  pemuda tersebut. Sebut sahaja Malaikat Subuh, Jumaat, Kasturi dan pelbagai lagi diisi dalam balang kaca silinder tersendiri.

“Terima kasih Pak Imam sebab bagi saya bau wangian minyak atar ni,”

“Sama-sama,”

“Pak Imam pandai tulis ayat-ayat cinta tak?”

“Enta tulislah sendiri, nanti ana tulis nanti nampak macam Islamik sangat pulak,” ujar Alias menolak.

“Sebab saya nak ayat-ayat cinta Islamiklah saya minta Pak Imam tolong tuliskan,”

Ada-ada saja budak ni, hati Alias membisik. Diturutkan sahaja permintaan pemuda itu. Terpaksalah Alias merisik kembali ingatan dan memorinya terhadap satu rangkap petikan skrip Ketika Cinta Bertasbih. Maka di ambil satu lembaran kertas putih dan dinukilkan,

‘Cinta ada kekuatan yang mampu..
mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur
mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang
mengubah setan jadi manusia, mengubah iblis jadi malaikat
mengubah sakit jadi sihat, mengubah bakhil jadi dermawan
mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana
mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi mahabbah
Itulah dia Cinta..
Sekalipun cinta telah kuuraikan, dan kujelaskan panjang lebar, namun jika cinta kudatangi, aku jadi malu pada keteranganku sendiri..’

 “Cayalah Pak Imam. Memang versatile…”

“Dah nak masuk Isyak ni, enta tolong azan boleh tak?”

“Boleh,”

Alias berjalan menuju ke kolah suaru untuk mengambil wudhu’. Sakit perut yang dialaminya siang hari masih berbaki. Was-was dibuatnya, terasa nak buang hajat atau tidak. Alias melunaskan was-was yang ada dengan segera ke tandas.

Plushhh!

Alias segera mengambil wudhu’ dan segera bergegas ke dalam surau untuk menunaikan solat Isyak.  Matanya meliar mencari kelibat pemuda tersebut. Tiada. Sah, mesti budak tu mencuri lagi. Kali ni nak mencuri apa? Sejadah? Banyak lagi yang berlipat. Kopiah? Al-Quran? Semua masih elok berada di tempat sepatutnya. Minyak atar?!

###

“Abang, kat surau ada minyak atar lagi tak?” soal Wawa, adik bongsu kepada Alias.

“Sepatutnya ada, sekarang dah tak ada,” balas Alias. Wawa tak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Alias. Wawa menyambung, “kalau tak ada, Wawa nak sedekahkan minyak atar kat surau,”

“Ikut suka hati kamu lah,” ujar Alias acuh tak acuh. Wawa masuk ke biliknya. Alias pula membelek surat khabar semalam. Dibacanya dengan teliti pada muka surat tengah dan belakang – ruangan hiburan dan sukan. Wawa keluar dari biliknya dengan membawa satu bungkusan.

“Abang, ni minyak atar yang Wawa nak dermakan kat surau. Sumbangan ikhlas dari Wawa,” Wawa cuba berseloroh.

“Hmmm, letak dulu kat meja tu,” Alias masih tak mempedulikan adiknya. Melihat sikap Alias yang acuh tak acuh, Wawa ke dapur untuk membantu ibunya.

“Ada surat dalam bungkusan tu, siap dengan skrip filem lagi,” ujar Wawa sebelum meninggalkan Alias di ruang tamu.

“Surat siapa?” soal ibunya yang berada di dapur.

“Entahlah ibu, orang yang tulis tu kata dia buat sendiri. Ingat kita tak tahu yang dia copy paste dari filem Ketika Cinta Bertasbih,” ujar Wawa kehairanan.

Mendengar perbualan adik dan ibunya di dapur, Alias segera menyemak bungkusan yang dikatakan minyak atar sumbangan ikhlas Wawa. Dibelek satu persatu balang kaca itu.



TIDAKKK!!!

 Malaikat Subuh, Kasturi, Jumaat dan yang lain semuanya ada. Barulah dia tahu bahawa dirinya dipergunakan pemuda itu untuk mengorat adik perempuannya sendiri.

No comments: