Wednesday, November 14, 2012

(CERPEN) Musafir Cinta PhD




Benarkah cinta itu buta dan membutakan? 

Pagi ini, embun masih menghiasi sekitar resort. Aku berdiri seorang diri menghirup udara segar bersama tumbuhan malar hijau di balkoni, sambil melihat kawanan burung terbang berpasangan.
Rasa dingin bayu pagi mencengkam diri. Sesekali alam menghembus anginnya. Eww, sejuk betul. Aku masuk semula ke bilik dan melabuhkan badanku di katil.

Aku menyengetkan badanku ke sebelah kanan.


Wajahnya ayu. Tidak seperti enam tahun lalu. Keningnya tersusun rapi, cuma berdengkur. Penat barangkali. Maklumlah perjalanan dari Kuala Lumpur ke resort memakan masa 4 jam. 

Aku benar-benar tak menyangka yang aku menjalani hidup pada hari ini sebagai suami. Semalam majlis akad nikah dan kenduri, malamnya juga terus bergegas ke resort milik bapa mertuaku.

Aku perhatikan setiap simetri wajah isteriku. Riak mukanya persis air sungai jernih yang mengalir. Rasa tenang dan bahagia. Suatu perasaan yang aku tak bisa ungkap dengan kata-kata.

“Awak tenung lama-lama muka saya kenapa?” kata isteriku yang terjaga dari lenanya.

Aku diam. Hanya mampu mengukir senyuman. Isteriku mencebik dan menekup mukanya. Kemudian dia berpaling dariku. Aku tahu kenapa dia berpaling dariku. Tak mengapalah, aku ubah posisi badanku. Sesekali aku menoleh ke kanan, isteriku masih menekup mukanya dan berpaling dariku.

Aku termenung, fikrianku melayang ke satu memori yang aku tak dapat lupakan.

###

“Cantekkk!” aku menjerit sepuas hatiku. Ini sudah bagus, nama aku sekali dengan Nurul Huda Hidayah dalam kumpulan MUET. Yezza!

“Hidayah tu dah ada balak la,” kata Ammar, rakan sekelas yang bermasalah. Suka kencing malam. Aku tahu sebab aku sebilik dengan dia. Setiap pagi kami sama-sama membanting tulang jemur tilam masing-masing.

Aku segera menjawab, “semua kita ni Tuhan empunya.” Jawapan lain dari yang lain. Takkanlah aku nak bagi jawapan klise ‘sedangkan yang bertunang boleh putus, yang berkahwin boleh cerai-berai, inikan pula yang tiada apa-apa’.

Esoknya, aku dapat melihat muka Nurul Huda Hidayah. Sengaja aku curi pandang wajahnya, tiba-tiba mata kami bertentang. 

Hati aku terasa sakit. Fuhh, inikah penangan cinta pandang pertama. Aku bingkas bangun  dari kerusi dan berpaling ke arah lain sambil mengurut dada yang terasa nak meletup.

“Oit!” sergah Sharifah Shafiqah. Ketua Pengawas sekolah aku.

Macam mana pulak aku boleh satu kumpulan dengan dia ni. Skema tahap dewa dan mulutnya sumbing. Tak silap aku, waktu aku tengok nama kat papan kenyataan semalam, tak ada nama minah ni.

“Kenapa? Terkejut aku ada,” Sharifah Shafiqah memandang sinis kepada aku, “aku sendiri mintak dengan Sir Bashir untuk masuk kumpulan ni.”

Tak apa, rezeki ada di mana-mana. Motivasi aku makin tinggi selepas dapat bertentang mata dengan dia. Semenjak dari itu, aku berusaha mendapatkan cintanya.

Senakal-nakal aku keluar asrama tanpa kebenaran sekalipun, aku pergi juga kuliah agama di masjid. Lepas solat, baru aku lepak kat kedai mamak mapley tengok bola.

Ada sekali tu, ustaz kata hidayah takkan datang sendiri, sebaliknya kita kena berusaha mencarinya sendiri. Terkesan dengan kata-kata ustaz, aku bergegas pulang ke asrama. Aku tulis balik apa yang ustaz kata sambil aku tambah ayat aku sendiri pada satu kertas kecil,

‘Saya dah berusaha mencari awak, sekarang saya akan berusaha untuk dapatkan awak. Harap bersabar yer,’

Kertas kecil itu aku masukkan dalam meja di kelasnya esok pagi sebelum perhimpunan. Bersama dengan kertas kecil, aku kepilkan sekali bunga raya merah. Nak beli bunga ros merah, duit yang ada sekadar cukup untuk beli bunga api je. Petik bunga yang ada kat sekolah je lah.

Pertama kali dan kali terakhir aku menjejakkan kaki awal ke sekolah. Bahkan guru MUET aku menggeletar tangannya memegang rotan sebab tak dapat denda aku.

“Allahumma layyinta qalbuha kama layyinta li dawudal hadid,” aku menghembuskannya pada kertas kecil dan bunga raya merah tu sebelum aku beredar. Berharap pada Yang Maha Kuasa.

Memori ini masih segar dalam ingatanku.

###


“Awak…” Nurul Huda Hidayah baru tiba di perpustakaan. Dengan ego seorang lelaki, aku menunjuk jam tanganku kepada Hidayah.

“Ala, lambat sikit je. Marah ek… Marah kena jual nanti,”

Memang la aku marah. Setengah jam aku berdiri tengah panas.

“Tak lah,” itu sahaja yang keluar dari mulutku. Takkanlah aku nak marah gadis kesayanganku. Lelaki dayus dituduhnya nanti.Tambah pulak dia buat mata kucing membulat, ego aku cair seketika.

Kami berdua masuk ke dalam perpustakaan. Rasa sejuk dari penghawa dingin mula terasa. Segarnya tiada terkata, setelah aku berjemur di bawak terik cahaya matahari.

Waktu ini, kami sudah menjejak ke tahun kedua di Universiti. Kami belajar bersama, mengulangkaji bersama, menghabiskan wang biasiswa bersama dan kami menduduki peperiksaan bersama.

Ada juga mamat-mamat senior yang minat dengan Hidayah. Macam biasa, kalau dah rasa diri besar dan rasa orang lain tu kerdil, peduli apa gadis tu dah berpunya atau tidak.

Disebabkan aku selalu workout, dumbell aku ada dua dan setiap pagi aku angkat 15 kilo sebanyak berpuluh kali, jelaslah juga kematangan tubuh badan aku. Takut juga senior aku nak mengayat. Maklumlah, yang badan sasa semua tak minat gadis, tinggal yang keding sahaja. Aku pun tak tahu kenapa.

Sedang aku asyik melayan anime manga dalam internet,

Handsome-nya Lee Minho,” kata Hidayah kagum.

Aku buat tak peduli. Walaupun dalam hati aku kuat menyatakan aku lebih kacak dari artis korea. Setakat buat muka kiut, tebuk pipi bagi nampak lesuk pipit – itu aku pun boleh. Beza aku dan diorang hanya peluang. Peluang untuk masuk majalah.

“Awak baca majalah apa tu?” aku mencelah tatkala Hidayah sedang melayan majalah yang baru diambil dari rak bacaan.

“Eiii, majalah wanita la,” Hidayah seperti menghalang aku dari melihat apa yang dibacanya.

“Ish, ish, ish… Tak elok baca benda-benda macam tu,”

“Eh, kenapa tak boleh baca pulak?”

“Sebab tak senonoh lah,”

“Awak tahu ke apa yang saya baca?”

“Mesti awak baca artikel pasal suami isteri kan. Ingat saya tak tahu perangai awak,”

Please lah, ingat saya pervert ke? Saya baca pasal maksud warna bunga ros la,”

“Eleh, saya tak baca pun tahu. Warna merah untuk I love you.”

“ Selain warna merah?” soal Hidayah kepadaku. Ah, sudah. Aku tahu warna merah sahaja.

“Awak nak warna apa?”

“Aiyo, berlagak ek. Warna lavender?”

Lavender tu warna apa. Aku tak pernah dengar warna lavender. Oh ya, aku baru ingat. Lavender, benda tu ada dalam almari aku.

Dengan selamba aku menjawab, “It means awak sangat wangi hari ni,” sambil mengangkat-angkat kening aku ala Ziana Zain.

“Banyak la wangi. Maksudnya cinta pandang pertama la,” balas Hidayah sambil ketawa besar. Nasib baik muka cantik.

“Kan bagus ada orang hadiahkan bunga,” kata Hidayah seperti meminta.

Aku tak tahu apa niat sebenar dia cakap macam tu. Lagipun aku dah serik bagi bunga kat dia.

Sebabnya, Hidayah tak pernah dapat surat kecil dan bunga raya merah tu, Sharifah Shafiiqah yang dapat. Aku akui salah aku sebab tak check betul-betul meja Hidayah, boleh pulak guru kelas rombak kedudukan kelas hari tu. Adeh.

Tapi Hidayah tahu yang aku minat kat dia, Cuma dia cakap yang dia tak ada masa untuk ada hubungan. Kawan tak apa, sebab katanya boleh bertemu dan berpisah bila-bila masa.

Aku tak kisah apa juga alasan dia, janji aku boleh rapat dengan dia. Lama kelamaan nanti dia akan jatuh cinta juga kat aku.

Pada masa itu, aku memang dah yakin bahawa Nurul Huda Hidayah adalah gadis yang sebaik-baiknya. Lebih baik dari yang mengaku hatinya baik tapi tak bertudung litup. Lebih jernih penampilannya dari yang bertudung labuh.

Sungguh aku tak sangka, aku masih ingat moment ni.

###

Graduasi.

Aku sudah bergraduasi. Semua rakan sekelas-ku gembira. Ibu bapa pun turut serta bersama anak mereka. Setiap tangisan, hilai tawa, sesak hiba, dan pelbagai rasa bercampur antara mereka. Aku pula, kurang gembira.

Hidayah tak bergraduasi. Sebabnya dia ada minta tangguh selama setahun. Jadi baki pengajiannya masih ada setahun.

Congrate awak,” suara Hidayah yang singgah di telingaku, “mesti awak tengah gembira kan.”

Aku tak bersuara.

“Ramai tak orang kat sana? Best tak?” sambung Hidayah dalam telefon.

“Lagi best kalau awak ada kat sini,”

“Tahu,” kata Hidayah sebak.

“Takpe lah, tahun depan awak graduate jugak,” kataku cuba menenangkan Hidayah. Aku menyambung,

“Jangan risau, tahun depan saya akan datang majlis graduasi awak,”

Hidayah masih mendiamkan diri. Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Tangan kanan aku dah lenguh memegang telefon ni.

“Awak,” Hidayah bersuara.

Aku hanya menjawab ya.

“Saya tak yakin saya sempat graduate untuk tahun depan.”

Mendengar kata-kata Hidayah yang tampak seperti patah semangat, aku segera memotivasikan dirinya. Aku katakan yang dia gadis yang paling cantik di dunia, selalunya pemeriksa akan bagi lulus semua kertas peperiksaan gadis cantik.

Aku dengar suaranya ketawa sebak. Sebelum kami tamatkan perbualan dalam telefon, aku katakan pada Hidayah,

“Saya akan tunggu awak, kalaupun bukan tahun depan, mungkin dua, tiga atau berpuluh tahun lagi, saya tetap akan tunggu awak. Chaiyok!, Chaiyok!”

Sekali lagi, Hidayah tak bagi sebarang respons. Aku ingatkan dia dah letak, tapi masa panggilan masih berjalan. Aku ulang beberapa kali perkataan hello. Masih tidak berjawab. Sebelum panggilan kami tamat, aku terdengar bunyi sedu. Dia menangis ke?

Boleh tahan jugak aku bagi ayat puitis.

Aku masih ingat situasi ni.

###

Aku berjaya habiskan Master aku dalam tempoh setahun. Dalam erti kata lain, mungkin aku sempat bergraduasi bersama dengan Hidayah. Sharifah Shafiqh pun berjaya habiskan Master. Kami berdua ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat PhD.

Kalau dulu aku sentiasa bersama dengan Hidayah belajar bersama, kini aku bersama dengan Shafiqah untuk buat penyelidikan bersama. Menghabiskan peruntukan penyelidikan bersama. Aku dapat rasa Shafiqah memang memendam rasa kat aku.

Tapi hati aku ini sudah bertaut kukuh untuk Nurul Huda Hidayah. Melalui Shafiqah lah aku dapat tahu perkembangan Hidayah. Aku akui bahawa aku tak berjumpa dengan dia sebab jadual penyelidikan aku sangat padat, terpaksa bergerak  dari satu negeri ke negeri lain.

“Piqa,” gelaran yang aku selalu gunakan kepada Sharifah Shafiqah, “Hidayah dah habis pengajian dia kan?”

Shafiqah tak menjawab. Cemburu mungkin. Ah, aku bukan kekasih dia pun. Shafiqah menggelengkan kepala.

“Maksud kau?” soalku yang keliru sama ada maksudnya tak tahu atau tak berjaya habiskan pengajian.

“Hidayah tak attend last paper. So ada satu paper sangkut,”

Maksudnya, Hidayah kena sambung lagi satu semester untuk ambil kertas terakhir. Aku sebenarnya nak tanya lagi kenapa Hidayah tak hadir untuk kertas peperiksaan terakhirnya. Fikirku, lebih baik aku tanya tuan punya body.

Aku cuba buat panggilan ke telefon bimbit Hidayah. Tidak terjawab. Banyak kali aku ulang dail, masih tak terjawab.

Mungkin dia tengah sedih, jadi aku kena biar dia bertenang dulu. Tunggu dua atau tiga hari lagi.
Hurmmm… Kenapa aku masih ingat kenangan ni?

###

Orang kata, kalau kita lafazkan yang kita sayang kat seseorang, orang itu akan pergi jauh sedikit demi sedikit dari kita. Makin banyak kita lafaz sayang sebelum kahwin, makin jauh orang yang kita sayang dari kita. Entahlah.

“Saya sayang awak,”

Hidayah masih mendiamkan diri.

“Saya betul-betul sayangkan awak,”

Dia masih tidak berganjak, bahkan kini dia palingkan mukanya dari aku.

“Demi Allah, saya memang sayangkan awak,”

Dia terus meninggalkan aku tanpa sebarang ucapan selamat tinggal. Aku tak tahu kenapa, mungkin dia malu kot. Oh ya, waktu ni aku ada di hospital. Teman bapaku yang sakit dan doktor kata injap jantung bapa aku dah rosak sebelah. Mungkin kena operate.

Dalam perjalanan aku ke kafeteria hospital ni, aku terserempak dengan Hidayah. Wajahnya masih jelita. Setiap kali matanya bertentang dengan aku, aku dapat rasakan ada kilauan cahaya di wajahnya.
Aku ada tanya apa yang dia buat kat sini. Tak ada kelas ke hari ini. Dia hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.

Aku sememangnya dah pendam lama rasa cinta aku ni kat dia. Hidayah pun tahu tentang rasa cinta aku pada dia. Orang kata, jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang. Aku pun confess lah kat dia di hospital ni. Barangkali aku terlalu naïf untuk mendalami perasaan wanita.

Confession aku ni ada sebabnya. Minggu lepas, Shafiqah confess kat aku.

“Aku memang suka kat kau, Cuma aku nak tahu kau ada perasaan kat aku tak?”

Aku hanya jawab, hati aku hanya untuk Hidayah seorang. Tiada galang ganti gadis itu dengan wanita lain.

“Langsung tak ada perasaan kat aku, walaupun sedikit?” Shafiqah mengasak aku dengan soalannya.

Tak pernah aku rasa tersepit antara cinta dua wanita. Agak tak gentleman kalau aku jawab dia tak ada rupa, jadi dia bukan taste aku. Sejujurnya, disebabkan dia baik dengan aku, dan aku dah lama tak bertemu dengan Hidayah, rasa suka pada Shafiqah tumbuh dengan sendirinya.

Namun aku segera cantas. Aku hanya jawab yang aku suka dia cuma perasaan aku masih ada pada Hidayah. Pheww! Aku memang tak kuat jadi jejaka gilaan wanita.

Aku beli air tin milo di kafeteria hospital. Kemudian aku terus bergerak kembali ke bilik wad bapa aku ditempatkan.

Tiba-tiba aku nampak Shafiqah masuk ke satu bilik wad. Dia sakit ke? Atau dia melawat keluarga yang sakit. Aku kenal benar keluarganya. Ayahnya seorang usahawan resort yang berjaya. Mungkin aku perlu melawat keluarga Shafiqah selepas  aku menjenguk bapa aku di wad.

Aku pun tak tahu kenapa aku masih ingat peristiwa ni?

###

 Ngggg! Ngggg! Ngggg!

Skrin telefon bimbit aku papar nombor telefon Shafiqah. Dia nak confess kat aku lagi ke?, bisik hatiku. Aku tak jawab panggilan Shafiqah.

Jururawat datang ke katil bapa aku.

Sengaja aku bertegur sapa dengan jururawat di situ dan bertanya keadaan bapa aku selepas dibedah nanti. Jururawat, dengan senyumannya, menjawab,

“InsyaAllah selamat semuanya,”

Aku tanya sekali lagi, “ ada tak pesakit yang lepas dibedah, ada masalah selepas tu?”

“Ada. One of the patient di hospital ni, dah lima enam kali keluar masuk wad. Sekarang hanya tunggu masa sahaja,”

“Kesian keluarga dia,” aku membalas ringkas.

“Itulah. Kadang-kadang Allah ambil nyawa orang yang paling kita sayang untuk tunjukkan bukan semua orang yang kita sayang akan kekal disisi kita,”

“Yup, kita kena redha,” kataku bersetuju dengan kata-kata jururawat tadi.

Hurmmm…

###

Aku mendekati pintu bilik wad yang aku ternampak Shafiqah masuk tadi.

“Tapi dia cintakan awak, Hidayah,”

Suara Shafiqah, desis hatiku.

“Cinta sahaja tak cukup, lagipun saya dah tak lama kat sini,”

Hidayah?! Apa yang dia buat kat sini. Aku memasang telinga.

“Dia sendiri kata yang dia masih cintakan awak,”

Hidayah ketawa, “dia masih terlalu naïf untuk tahu apa itu cinta.”

“Tapi tak naïf untuk mengetahui gadis mana yang patut dia cintai,”

Aku dapat rasakan Shafiqah maksudkan aku dalam kata-katanya.

“Saya tahu dia pun sukakan awak,”

“Hidayah, saya tak layak untuk dia,”

“Jadi awak fikir saya layak untuk dia,”

“Kenapa tidak?”

Hidayah memandang tepat ke mata Shafiqah, kemudian membuka tudungnya, “saya dah tak cantik macam dulu,”

Aku terkejut melihat rambut Hidayah yang sangat jarang. Hatiku membentak. Adakah kerana rambutnya yang jarang menyebabkan dia malu untuk bertemu dengan aku selama ni.

Shafiqah menggenggam tangan sahabat karibnya, dingin dirasakan.

“Awak perlukan dia masa ni,”

“Bukan… saya perlukan masa untuk mencintai dia,” balas Hidayah. “Dan sebab masa juga saya lepaskan dia untuk awak,”

“Awak…” air mata jernih mengalir turun membasahi pipi Shafiqah.

“Masa saya sekarang untuk Tuhan saya.”

Aku tak faham dengan apa yang diperkatakan Hidayah. Walaupun aku hanya curi dengar perbualan mereka, hatiku rasa bagai dicucuk. Aku sesak. Jantungku tak pernah rasa berdebar sebegini.

“Dia kata pada saya, hati dia hanya untuk awak,”

Kali ini aku lihat dari celahan pintu, Hidayah mula mengalirkan air matanya.

“Saya sudah puas terima hati orang lain,” dia menyambung,

“tapi hati saya tetap lemah.”

Hidayah sedar aku berdiri di hadapan pintu bilik wad. Dia memandang tepat ke arah mata aku,

“Tak mungkin saya terima hatinya untuk lihat dia menderita selepas saya tiada,”

Hati. Langkahan ku longlai meninggalkan mereka berdua. Aku terduduk di kerusi berhampiran. Aku mengurut dadaku, lebih tepat di kawasan hatiku. Separuh hatiku seperti menderita.

Kenapa masih aku ingat tentang dia?

###

Aku masih ingat memori aku dengan dia yang sudah tiada. Perlukah aku lupakannya?

Aku memandang kembali isteriku, masih menekup mukanya dan berpaling dari ku. “Merajuk lah tu,” usikku.

“Abang masih ingat dia?”

Aku tahu dia cemburu, isteri mana tak cemburu jika tahu suaminya memikirkan orang lain. Aku memegang bahunya sambil membisikkan ke telinganya,

“Awak bidadari saya dunia dan akhirat,”

“Tapi mulut saya sumbing, tak secantik dia?”

Aku tenang menjawab, “Cinta saya bukan lagi pada rupa awak, cinta saya pada jiwa dan raga awak. Seteruk mana pun muka awak, bagi saya awaklah yang paling jelita di dunia ini.”

Isteriku kembali ubah posisinya, namun masih menekup mukanya. Hidungnya berair dan kemerahan. Aku dapat rasakan linangan air matanya membasahi pipi gebunya.

Aku menurunkan tangan isteriku yang sedang menekup mukanya, sekali lagi aku lihat wajahnya yang ayu, lantas aku katakan padanya,

“Isteriku Sharifah Shafiqah… tak ada lah teruk sangat.”

Isteriku merengek manja sambil menumbuk lembut dadaku. Aku hanya mampu tersenyum sambil mencium dahi isteriku.

Ramai yang kata cinta itu buta dan membutakan. Ya, membutakan mata hati seseorang yang yakin cintanya itu akan kekalkan hayat orang yang dicintainya.

Pesanku, cinta tanpa kesungguhan umpama memburu sesuatu yang tiada, kesungguhan tanpa ketentuan Tuhan umpama memburu tanpa senjata.

No comments: