Sunday, November 25, 2012

(CERPEN) Persona Designata




MALAM ini merupakan malam yang cukup istimewa buat Fara Asyikin. 

Aurora terukir di lelangit pulau yang jauh dari hirup-pikuk kota metropolitan, menambah seri gurau senda rakan dan keluarga. Beberapa saat sahaja lagi, gadis kecil molek ini akan diraikan sebagai ratu berseri buat raja sehari.

Di latari lanskap persisir pantai, terbinanya satu pentas yang dihiasi belon nitrogen berwana unggu bersama hiasan bunga mawar lavender menyerkap setiap mata yang memandang.


Rona kain hiasannya cukup menceritakan ketulusan cinta antara Fara dan lelaki idamannya. Menantinya adalah satu kek tiga tingkat. Di puncak kek itu pula diletakkan patung mini simbolik cinta sejati.

Hamparan permaidani merah juga menunggunya. Mengikut perancangan, apabila Fara menjejakkan kakinya ke permaidani merah itu, maka gesekan biola bakal mengirinya bersama bayu pantai yang menderu. Setiap langkahannya bakal dihujani dengan kelopak ros merah sehinggalah bertentang matanya dengan lelaki idaman yang setia menunggu di pentas utama.

Fara Asyikin masih bersiap di biliknya. Gementar di jiwanya tidak terkata. Walaupun sudah selesai upacara akad nikah dan lelaki idamannya itu sudah sah bergelar suaminya, namun dia masih tak dapat mengawal gelora di jiwanya.

Dia risau andai berlaku suatu yang tak diingini semasa dia berjalan menuju ke pentas utama.

Knok! Knok! Knok!

Pintu biliknya diketuk seseorang. Berdiri seorang lelaki segak bergaya dengan sut tuksedo kelabunya. Tinggi lampai, 1.85 cm ukurannya. Lelaki itu cuba minta izin untuk bertemu dengannya. Fara mengizinkan. Mereka duduk berdampingan di katil.

“Fara,” lelaki itu bersuara bersama lesung pipit di pipinya.

Fara hanya menunduk malu.

I have a special present for you,” ujar lelaki idaman itu. Fara teruja tatkala mengetahui lelaki idamannya menyediakan hadiah istimewa untuknya.  Hatinya kuat menyatakan bahawa lelaki idaman itu adalah hadiah yang paling istimewa buatnya.

Mana taknya, gadis Malaysia mana yang tak suka jika selebriti Korea Selatan menjadi suaminya. Cukup pakej lahiriahnya, tinggi lampai berlesung pipit menggamit rasa teruja sesiapa sahaja.

“Lee Minho,” panggil Fara kepada lelaki itu. “Boleh saya buka hadiah ini?”

Lelaki itu hanya tersenyum mengiyakan permintaan Fara. Tanpa melengahkan masa, Fara terus meleraikan simpulan reben yang melingkari kotak hadiah itu.

Lelaki itu kemudian menahan Fara untuk membuka kotak hadiah.

“Saya mahu keluar sebentar,”

“Awak tahu cakap melayu?” soal Fara kehairanan.

Just for you,” jawab lelaki idamannya memberi maksud apa sahaja bahasa akan dituturkan untuk Fara. Lelaki itu kemudian beredar meninggalkan bilik Fara. Fara memerhatikan setiap gerak dan langkahan lelaki idamannya itu.

Tiba di dedaun pintu, lelaki itu menoleh ke belakang dan mengeyit matanya ke arah Fara. Fara malu-malu kucing apatahlagi melihat senyuman berlesung pipit terukir di raut wajah lelaki idamannya, Lee Minho.

‘Bertuahnya aku,’ bisik hatinya riang.

Kotak hadiah dibuka secara perlahan-lahan. Hatinya berdebar menanti apa yang terdapat dalam kotak hadiah tersebut. Emas, berlian atau rantai? Mungkin juga teddy bear.

‘Jam loceng,’ terkebil mata Fara Asyikin melihat hadiah yang diterimanya. Dia membelek-belek jam loceng itu, seperti pernah dia lihat. Jarumnya masih berdetik.

Jantungnya kini berdegup kencang. Jiwanya tak tentu arah. Dia cuba bergerak tetapi badannya seperti kaku dengan sendirinya. Dia cuba menjerit meminta tolong, namun lidahnya kelu seribu bahasa.

Dia segera merenung jauh di luar jendela. Lelaki idamannya sudah menunggu di pentas utama sambil melambai-lambai ke arah Fara Asyikin. Fara juga melambainya kembali dengan wajah cemas.
Jarum di jam loceng tepat menunjukkan jam 9 tepat.

Kring!!!

“Tidak!!!” jerit Fara sambil kedua-dua tangganya memegang kepalanya tanda tidak percaya.

###

“Mak aku jatuh ditimpa tangga… eh… ditimpa batu! Eh..” latah Zarina terkejut dengan jeritan Fara Asyikin.

“Ah! Setiap kali pagi mesti kau buat hal,” marah Fara sambil menutup penggera jam loceng miliknya.

“Kali ni pelakon korea mana pulak jadi suami kau?”

“Lee Minho,” jawab Fara malas. Dia tahu yang Zurina bukan berminat nak tahu tentang mimpinya, hanya sekadar mahu memerli sahaja.

“Dah, pergi mandi.”

Sambil matanya keberatan untuk celik, Fara bangkit bergerak ke bilik mandi.

Setelah selesai mandi, dia bersiap-siap untuk ke kuliah di universiti. Hari ini cadangnya dia ingin menumpang Zurina untuk ke kuliah. Skuter merah jambunya masih di bengkel.

Fara membuka peti ais untuk meneguk sedikit air susu sebagai menghilangkan dahaga. Puas matanya meliar mencari kelibat Zarina, namun tak jumpa.

Sekeping nota kecil terlekat di pintu peti ais.

‘Aku pergi dulu. Bye!’

Fara membaca nota kecil yang dilekatkan Zarina. Dia mengeluh panjang. Nampaknya pagi ini terpaksalah dia menaiki bas untuk ke kampus.

Selesai sarapan, Fara mengambil segala kelengkapan dan terus mengunci rumah sewa Zarina. Dia hanya menumpang sahaja.

Jarum di jam tangannya menunjukkan sudah hampir pukul sepuluh pagi.

‘Alamak, dah lambat,’ hatinya cemas sambil dia bergegas lari menuju ke perhentian bas. Penat berlari, Fara berhenti di satu simpang jalan. Mulutnya tercungap-cungap meredakan degup jantungnya.

Sudah lama dia tak berlari sekabut itu sejak dari hari sukan sekolah rendah sepuluh tahun yang lalu. Dia akur bahawa staminanya tak mengizinkan untuk dia berlari menuju ke perhentian bas. Akhirnya, Fara berjalan dengan mengendeng beg polkadot-nya.

Sambil berjalan seperti itik pulang petang, Fara kembali merisik mimpinya tadi. Dia masih membayangkan pentas utama perkahwinannya. Kek tiga tingkat, kelopak ros merah dan anak kundang yang lengkap berpakaian mengikut tema. Yang paling penting, pengantin lelakinya adalah lelaki idamannya, Lee Minho.

‘Wah!,’ sorak hatinya ceria sambil kepalanya menyenget ke kanan dan kedua-dua telapak tangannya digenggam erat rapat ke bahu kanan. Kaki kirinya pula terangkat sedikit ke belakang. Matanya dipejam rapat menikmati khayalan mimpinya sambil mulutnya terukir senyuman gembira.

Hangat dengan lamunan mimpinya, badannya dilanggar seorang lelaki yang meluru datang dari belakang. Fara tersungkur jatuh ke tepi jalan.

Sorry!” sahut lelaki itu meminta maaf tanpa memberhentikan lariannya.

‘Aduh, sakitnya!’ adu hatinya sambil  membelek tangan dan kakinya mencari luka yang terhasil. Mujur tiada apa-apa. Ikutkan hatinya, nak sahaja dia melempar beg yang digalasnya ke arah lelaki tersebut.

Fara segera memasukkan kembali kelengkapan yang berselerak di tepi jalan ke dalam begnya. Sedang dia mengutip satu persatu kelengakapannya, bas berlalu memintasnya.

Fara Asyikin cepat-cepat mengambil segala kelengkapan tanpa sempat dimasukkan ke  dalam begnya. Dia berlari sekuat hati mendapatkan bas tersebut. Akhirnya dia berjaya juga masuk ke dalam bas tersebut.

Tanpa berfikir panjang dia terus duduk di tempat duduk hadapan. Sebelahnya seorang lelaki lagaknya seperti orang Korea, yang sedang mengelap peluhnya dengan tas tangan berwarna unggu.

Fara memandang lelaki itu dengan senyuman perkenalan dan disambut dengan cara yang sama oleh lelaki itu.

Are you hurt?” tanya lelaki itu.

“Hah?” balas Fara ingin tahu kenapa soalan yang ditanyakan kepadanya.

“Saya minta maaf langgar awak tadi,” jelas lelaki itu. Fara hanya senyum kelat. Jauh di lubuk hatinya penuh dendam kesumat terhadap lelaki itu. Fara menarik nafas sedalamnya, melepaskan segala lelahnya berlari.

Setibanya di kampus, Fara bergegas berlari ke bilik kuliah. Dia sebenarnya dah terlewat setengah jam. Perlahan-lahan dia memulas tombol bilik kuliah, melihat dari celahan pintu keadaan di dalam.

“Hah! Baru sampai… orang dah nak habis lecture baru sampai!” sergah Rizal Asraf, tutor subjek Kehakiman dan Kepeguaman. Fara hanya mampu tersengih dan segera duduk di belakang.

Dia mendengar setiap syarahan Rizal Asraf sambil memangku kepalanya di meja.

###

“Fara…”

Fara Asyikin yang sedang leka menikmati udara segar di tepi pantai menoleh ke arah suara yang memanggil namanya. Dia tersenyum lebar tatkala melihat seorang lelaki kacak mendekatinya.

“Awak dah lama tunggu saya disini?” soal lelaki kacak itu.

“Tak lah,” jawab Fara tersimpul malu.

“Maaf sebab saya lambat sikit hari ni,”

“Takpe.. saya pun lambat juga…”

“Lambat? Saya rasa awak datang sini lebih awal dari saya.”

“Oh, bukan. Sebenarnya saya datang lambat ke kuliah…”

Lelaki kacak itu menjemput Fara Asyikin untuk duduk di satu kerusi panjang. Fara melabuhkan punggungnya di kerusi tersebut. Lelaki itu duduk tegak, jelas menampakkan ketampanannya. Fara memandang dengan mata berkelip-kelip.

“Awak tahu maksud Persona Designata?” soal lelaki itu.

“Tak. Kenapa awak tanya?”

“Awak kan belajar undang-undang. Mesti la tahu Persona Designata tu apa,” kata lelaki kacak itu dengan senyuman menawannya. “Tapi tak mengapa, saya pun baru tahu maksudnya. Persona Designata tu adalah orang yang dilantik untuk menduduki suatu jawatan atau tempat,”

“Oh…” balas Fara ringkas. Lelaki kacak itu bangun dan kemudiannya melutut menghadap Fara Asyikin. Di tangan kanan lelaki kacak itu sebentuk cincin emas putih.

Fara Asyikin memaling mukanya malu. Telapak tangannya digenggam rapat sambil matanya dipejam.

“Saya rasa hati awak masih tiada penghuninya. So, sudikah awak terima saya untuk jadi Persona Designata di hati awak?” soalan keramat dari lelaki kacak itu.

Lama juga Fara Asyikin menahan rasa malunya. Disebabkan lelaki itu sangat kacak, maka Fara Asyikin bingkas bangun dan menjerit , “Saya terima awak di hati saya, Joongki hyung!” sambil kedua-dua tangannya diangkat ke langit seperti bersorak Hoorey!

Fara membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Bermula dengan kelopak mata sebelah kanan dan diikuti sebelah kiri.

Alamak! Semua mata memandang ke arahnya.

‘Aku masih dalam kelas ke?’ bisik hati Fara menyangka mimpi siang harinya itu adalah kenyataan.

“Fara Asyikin!” Rizal Asraf mula menyinga, “keluar dari kelas saya…”

“Maafkan saya encik Rizal. Saya tak sengaja.”

“Tak sengaja awak kata. Ini dah banyak kali saya lihat awak selalu tidur masa saya mengajar.”

“Saya tak tidur, saya dengar apa yang encik Rizal cakap..” Fara menjawab cuba berdalih. Sebenarnya dia memang dengar apa yang diajarkan namun dalam keadaan separa sedar.

“Baiklah. Cuba ulang balik apa yang saya ajar tadi,” arah Rizal Asraf ringkas.

“Hah!” Fara Asyikin hanya mampu menggelengkan kepala.

“Berdiri di hadapan sampai saya habis mengajar!” tegas Rizal Asraf kepada Fara. Fara tiada pilihan melainkan terpaksa akur dengan arahan Rizal.

Jiwanya memberontak. Jika disuruh rakannya yang lain untuk ulang kembali apa yang diajar Rizal Asraf, belum tentu mereka mampu ingat. Sudah banyak kali dia didenda sebegitu oleh Rizal.

Selesai sahaja syarahan yang diberikan oleh Rizal Asraf, semua pelajar dalam kelasnya bergerak keluar ke destinasi masing-masing. Fara Asyikin juga kembali ke tempat duduknya untuk mengambil beg.

“Awak… awak nak ke mana?” soal Rizal Asraf. Fara hanya menunjukkan telunjuknya ke pintu dewan kuliah sebagai tanda untuk keluar pulang. Jari  telunjuk kanan Rizal memanggil Fara Asyikin.
Mahu tak mahu, Fara kena juga berhadapan dengan Rizal Asraf.

“Siapa Joongki?”

“Hah?!” Fara terkejut dengan soalan Rizal. Dia hanya mampu tersengih.

“Siapa dia?” sekali lagi Rizal tanya, “teman lelaki awak?”

Fara menafikannya. Dia sebenarnya malu untuk beritahu yang dia bermimpi lagi dengan selebriti Korea Selatan.

Biasalah, fenomena terkini. Jikalau dulu, dia meminati pelakon lelaki Jepun seperti Mizushima Hiro, Oguri Shun, Tomoya Nagase, Yamapi, Ikuta Toma, Sorimachi Takashi, Tepperi Koike dan Hidetoshi Nakata. Eh, Nakata pemain bola Jepun, bukan pelakon.

Rizal Asraf mengizinkan Fara untuk keluar setelah dia selesai mengemas meja mengajarnya.

“Terima kasih encik Rizal, huh!” Fara Asyikin melemparkan senyuman sinis dan memalingkan kepalanya dari Rizal Asraf dan terus beredar.

###

“Yo!”

“Botol kicap pun ada nama tau,”

“Janganlah majuk, ala bucuk-bucuk,”Fara sengaja mengacau Zarina yang sedang gigih mengulangkaji. “Runningman baru dah download?” soal Fara ringkas sambil meletakkan tangannya di bahu Zarina.

“Kau ingat aku ni tokan…”

“Ala, selalunya kau yang selalu download. Kalau kau dah download, so aku nak sedut lah…”

“Banyaklah kau punya sedut,”

“Ala, aku dah lama tak tengok muka Gary dan Jongkook. Bolehlah?” rengek Fara manja.

“Nah,” Zarina memberikan pendrive-nya.

Thanks  sayang. Muahhh…” kucupan singgah ke pipi Zarina. Zarina spontan mengelap pipinya dengan tapak tangan.

“Jangan buat benda songsang kat sini. Dah dapat apa yang kau nak kan. Sekarang pergi main jauh-jauh…”

“Yosh!” tabik hormat Fara kepada Zarina dengan lagak gembira. Fara terus menghadap laptopnya. Selama beberapa jam dia berteleku di hadapan komputer riba menonton pelbagai drama korea.
Tisu telah tersedia di ribanya. Sesekali hilai tawanya mengganggu ketekunan Zarina untuk belajar. Berang dengan tindakan Fara, Zarina segera menyumbat telinganya dengan putik kapas.

Sweetnya,” kata Fara merujuk kepada drama Korea yang berjudul Queen In Hyeon’s Man.

“Taklah. Bosan.” Kata Zarina ringkas.

“Eleh, aku tahu la yang kau suka layan cerita samarinda jer. Jangan jeles dengan drama korea yer,”

“Sekurang-kurangnya aku tak lah sampai bawak ke dalam mimpi,” perli Zarina. Fara hanya mencebik.

“Zarina,” panggilan Fara hanya dibalas dengan renungan tajam Zarina. “Kau rasa ada tak lelaki Malaysia iras-iras pelakon Korea?”

“Dah mula la tu nak berangan,”

“Aku tanya je,”

“Ha! Aku rasa ada?”

“Siapa, siapa?” soal Fara berminat.

“Encik Rizal Asraf,”

“Huh?!” terkejut Fara mendengar nama lelaki yang selalu menghukumnya di kelas. “Jauh panggang dari api,” Fara cuba nafikan raut wajah segak Rizal seperti artis Korea.

“Sekurang-kurangnya dia suami kau, harap sangat yang dia dapat repair balik wayar kau yang dah putus ni. Tak nak balik rumah dia ke?”

“Tak nak lah aku. Kalau aku balik, siapa nak jaga makan minum kau?” seloroh Fara.

“Tak payah nak gedik sangatlah. Selama ni aku yang jaga makan minum kau tau,”

“Bergurau pun tak boleh,” cebik Fara cuba bergurau dengan Zarina.

“Cik abang tak datang ambil ke?”

“Ah, malaslah…” balas Fara mencuka mukanya.

“Kau kena denda dengan dia lagi?” soal Zarina tanpa mengharapkan jawapan. Bagi Fara, apa yang dah lepas biarkan sahaja berlalu. Tak mahu dia sesakkan mindanya dengan kejadian dalam kelas tadi.

“Kau rasa betul ke keputusan aku untuk kahwin awal?” Fara menyoal sambil Zarina menegurnya supaya soalan itu tak sepatutnya ditimbulkan. “Ooops!” respon Fara menekup mulutnya.

Terlajak perahu masih boleh diundur lagi, terlajak kata… padah binasalah jawabnya. Fara Asyikin beristighfar banyak kali menyesali kata-katanya.

Berbalik kepada soalan Zarina tentang suami Fara. Kebiasaannya Fara akan pulang ke rumah sewa suaminya pada setiap hujung minggu. Kenapa Fara tak tinggal bersama dengan suaminya? Katanya mahu fokus dengan pelajarannya yang berbaki satu semester sahaja lagi untuk dihabiskan.

“Peliklah aku dengan kau ni. Orang lain yang dah kahwin, happy je bila nak balik rumah suami. Tapi kau ni lain,” kata Zarina kehairanan.

“Susahla…”

“Apa yang susah?”

“Bayangkan, setiap kali aku balik, mesti aku tak dapat layan cerita Korea. Laki aku suka sangat tengok cerita Nordin Ahmad…” ujar Fara mengadu, “… masalahnya kalau layan seorang-seorang takpe, ni suruh kita teman dia tengok jugak. Huh!”

“Wah, romantiknya,” usik Zarina. “Kenapa kau tak bertegas dengan dia. Kalau tak nak, cakap tak nak.”

“Eh anak dara seorang ni. Aku ni kan isteri dia, mestilah taat pada perintah dia.”

###

“Semalam kenapa tak balik rumah?” muka Rizal kemerahan menahan marah. Fara Asyikin hanya menunduk takut. “Kalau awak tak dapat nak balik semalam, lain kali SMS lah saya dulu! Eii, menyusahkan orang betullah.”

Fara masih menunduk.

“Nak buat lagi?” soal Rizal cuba meredakan amarah yang terpendam. Fara menggeleng dan kepalanya masih tunduk ke bumi. “Dah la, awak pergilah masuk kelas dulu.”

Fara meninggalkan Rizal Asraf di bilik pensyarah. Mukanya masam kerana dimarahi suaminya. Oh ya, Rizal Asraf adalah suami kepada Fara Asyikin. Seorang tutor dan mungkin akan bergelar pensyarah sedikit masa lagi.

Pemuda yang geliga pemikirannya merupakan bekas mahasiswa cemerlang di universiti ini. Kalau Fara peminat fanatik drama korea, Rizal pula peminat hardcore filem klasik Melayu terutama jika Nordin Ahmad membintangi filem tu.

Hari ini ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama. Nampaknya bukan hari yang baik untuk mereka. Awal-awal pagi dah kena sembur, haih!

“Fara!” sergah Zarina dari belakang. Fara pada waktu ini sedang memilih kuih di kafeteria.

“Apa dia?” balas Fara bad mood.

Bad mood nampak. Gaduh ek…”

“Aku pun hairan lah. Semenjak dua menjak ni, dia asyik nak marah aku jer.”

“Salah kau jugak,” spontan sahaja Zarina jawab. Kedua-duanya bergerak duduk di meja kosong. Fara mengeluh panjang.

“Orang tua-tua kata tak baik mengeluh depan rezeki,” sapa seorang lelaki yang duduk di meja bersebelahan mereka. Fara seperti mengenali lelaki itu.

“Saya yang langgar awak hari tu. Masih ingat saya?”

Memori tentang dia berlari mendapatkan bas, kembali diingatinya. Fara hanya tersenyum.

“Saya Kim,” perkenalan itu terus disahut Zarina. Zarina memperkenalkan dirinya. “Cik adik yang ni siapa namanya?” soal Kim merujuk kepada Fara.

“Cik adik yang mana?” Zarina sengaja memerli Fara. Fara terus mencubit lengan Zarina. Mengikut perjanjian lisan sebagai kawan karib, status Fara yang sudah berkahwin mesti dirahsiakan.

“Saya Fara. Fara Asyikin,” jawab Fara bersama senyuman.

“Sebenarnya saya exchange student dari korea…” belum sempat Kim menghabiskan kata-katanya, mata Fara dan Zarina saling bertentangan. Terkejut juga seorang pelajar exchange student berbahasa Melayu.

Annaseyeong,” Fara cuba menuturkan dalam bahasa Korea. Kim tersenyum gembira menghargai Fara yang cuba menggunakan bahasa ibundanya.

Sejak dari hari itu, Fara, Zarina dan Kim sering bersapa. Mula-mula sekadar sapa kemudian sering berjumpa. Sebenarnya Kim boleh cakap bahasa Melayu kerana dia belajar di Indonesia sebelum mengikuti program pertukaran pelajar di Malaysia.

Bagi Fara, peluang bergaul dengan lelaki Korea adalah satu peluang yang datang sekali seumur hidup. Dia takkan lepaskan peluang ini, apatahlagi jika dengan Kim dia boleh belajar bahasa Korea. Semakin hari, semakin banyak masa diluangkan bersama dengan Kim.

###

Sejak berjumpa dengan pemuda Korea iaitu Kim, Fara Asyikin sudah tak bermimpi lagi. Pemuda yang tampak seperti selebriti Korea dari sudut gaya rambutnya, walaupun paras wajahnya berkaca mata seperti Jaesuk, dia amat senang bila bersama dengannya.

Sehingga dia lupa bahawa dia adalah isteri kepada Rizal Asraf. Jika dulu, setiap malam Rizal akan menelefonnya dan dijawab dengan baik oleh Fara. Kini, Fara seakan tidak berapa gemar bercakap dengan Rizal.

Hal ini membuatkan Rizal seperti mati akal untuk mengawal tingkah laku isterinya.

“Mak, Rizal dah tak tahu macam mana nak bagi Fara dengar cakap Rizal?” keluh Rizal kepada emaknya.

“Kamu pun satu, suka sangat marahkan dia,”

“Saya marah sebab sayang…”

“Tapi kamu tak pujuk dia balik kan. Perempuan lain dari lelaki. Sekali kena marah, tak dipujuk, maknanya dia ingat lelaki tu benci kat dia,” nasihat emaknya. Rizal tak berapa ambil berat nasihat emaknya.

“Entahlah mak…” sekali lagi Rizal mengeluh.

Bunyi ekzos motosikal semakin bingit kedengaran di luar rumah orang tua Rizal Asraf. Abahnya mematikan enjin motosikal dan naik ke rumah.

“Assalamualaikum abah. Kuat bunyi ekzos,” Rizal mengucup tangan abahnya.

“Waalaikumussalam. Bila sampai?”

“Baru tadi…”

“Mana isteri kamu? Tak bawak sekali ke?” soal abah Rizal sambil matanya meliar mencari Fara Asyikin. Rizal terkulat-kulat mahu menjawab.

“Kat surau tadi ramai Jemaah tak?” Rizal cuba tukar topik.

“Ke situ pulak. Abah tanya mana isteri kamu?” suara abah semakin meninggi. Bekas anggota tentera dan masih menjadi tenaga pengajar kawad kaki bagi beberapa agensi keselamatan, setiap tingkah dalam keluarganya diajar dengan disiplin, menjadikan abah umpama diktator tatkala menjejak ke teratak ini.

“Errr…”

“Tak dapat datang. Ada tuisyen kot…” emak Rizal membantu sambil membawa sedulang kuih dan air kopi. Secawan kopi dihirup abah selepas ditiup beberapa kali membuang haba panas.

“Dah berapa kali abah pesan,” abah bersuara lagi, “isteri jangan dibiarkan sendirian. Sepatutnya kita sebagai suami kena jaga kebajikan isteri.”

Rizal Asraf tak bersuara, hanya senyuman kelat sahaja dilemparkan. Lidahnya kelu apabila ditegur abahnya. Jika emaknya yang bersuara memberi nasihat, lidahnya seperti lancar menyanggah.

Pada masa yang sama, di rumah sewa Zarina, Fara Asyikin baru sahaja pulang dari menonton wayang. Matanya kuyu keletihan. Tatkala dia bersandar di kerusi sofa, jemari runcingnya ligat mengurut bahu yang terasa sengal-sengal bisa.

“Aiii, lewat balik hari ni. Ada kelas ke?” Zarina yang baru keluar dari bilik air segera menyapa.

“Aku tengok wayang tadi…”

“Wayang? Dengan Rizal?”

Fara memandang Zarina seperti serba salah. Kemudian dia menggelengkan kepala. Nalurinya seperti tidak selesa, seperti ada sahaja yang tak kena.

Zarina menghampiri Fara dan duduk bersebelahan Fara.

“Jangan kata kau keluar dengan budak korea tu,” kata Zarina cuba mendapatkan kepastian. Fara mengerut dahinya, sekali lagi dia serba salah. Keluh kesahnya kedengaran.

“Salahkah aku keluar dengan dia?” Fara cuba mencantas rasas serba salah dalam hatinya.

What?” Zarina seperti tak percaya soalan itu keluar dari mulut Fara. Nak sahaja dia katakan yang kawan karibnya itu isteri orang, apa perasaan dia jika suaminya keluar dengan wanita lain.

Kerana tali persahabatan, Zarina pendamkan sahaja. Zarina menyentuh tangan sahabat karibnya itu.

“Terpulang pada kau. Tapi aku cuma nak ingatkan kau, dalam hati kau ni sudah ada orang yang dilantik Tuhan untuk menjaganya,” lembut sahaja kata-kata Zarina. Fara tersenyum resah.

Sekarang dia dapat rasakan bahawa dia tersepit antara mimpi dan realiti. Sejujurnya, cintanya terhadap suaminya sangat mendalam kerana suami-lah Persona Designata hatinya. Tapi layanan suaminya selepas kahwin semakin hari semakin kasar, menyebabkan dia rasa senang dengan kehadiran Kim.

‘Apa yang aku fikir ni?!’ bentak hatinya celaru.

###

Wangian lavender meresapi setiap sudut dalam kereta Myvi kuning milik Rizal Asraf. Malam ini, dia sudah rancang segala-galanya untuk Fara Asyikin. Harapannya Fara akan dapat lihat sisinya yang penyayang dan romantis. Rizal sedar bahawa kebelakangan ini, terdapat beberapa tindakannya tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang suami, pelindung kepada isteri.

Lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain diputarkan. Sambil memandu, kotak suaranya dilantun persis suara Anuar Zain. Niatnya untuk ambil feel.

Malam ini, bintangnya tiada. Hilang dilindungi awan mendung. Jeda beberapa ketika, bumi mula dibasahi dengan tangisan awan. Hujan turun dengan lebatnya.

Wiper cuba membantu pandangan Rizal semasa memandu, namun gagal ditambah dengan kepekatan malam. Lantas, Rizal mengambil keputusan untuk singgah sebentar di stesen minyak. Bimbang isterinya tidur awal, Rizal cuba menghubungi Fara.

Di lokasi yang berlainan, di sebuah restoran lima bintang, Kim dan Fara sedang mengambil pesanan. Telefon bimbit Fara berbunyi. Air mukanya berubah meluat. Dimatikan terus telefon bimbitnya.

“Siapa?” soal Kim.

Just my alarm…” Fara cuba berdalih.

“Kamu tahu yang saya senang bangat dengan kamu.” Fara menahan ketawanya tatkala mendengar kata-kata pemuda Korea itu. Selalunya dia mendengar perkataan bangat hanya dalam sinetron Indonesia.

“Saya pun,” balas Fara Asyikin.

Kim mengeluarkan satu kotak hitam kecil dan memberikannya kepada Fara, “this is for you.”

Rasa serba salah kembali menyelubungi jiwanya. Hatinya berat merasakan bahawa dalam kotak itu ada sebentuk cincin. Fara menolak kembali kotak itu.

“Thanks but I can’t accept this,” jawab Fara dengan rasa berat hati.

“Kamu belum buka hadiahnya, anggap sahaja ini hadiah ikhlas dari saya,” rayu Kim sambil memegang tangan Fara. Fara Asyikin menarik tangannya dengan pantas. Bimbang tindakannya itu melukakan hati pemuda Korea itu, Fara terpaksa menerima hadiah itu.

Setelah selesai makan malam di restoran itu, Kim menghantar Fara Asyikin pulang. Fara tampak selesa dengan kerusi empuk kereta SUV berjenama SSangyong Rexton II putih, namun hatinya sangat tak selesa dengan layanan ‘istimewa’ dari Kim.

Seperti biasa jika menaiki kenderaan orang Korea, maka lagu yang diputarkan adalah lagu Korea. Setiap kali lagu dimainkan, Fara dan Kim akan menyanyi bersama mengikut rentak lagu pop Korea tersebut.

Please wait,” pinta Kim selepas memberhentikan kenderaannya di hadapan pintu pagar rumah sewa Zarina. Kim meluru keluar dari keretanya dan segera membuka pintu untuk Fara Asyikin sambil membongkok badannya memandu Fara keluar dari kereta.

“Terima kasih belanja saya makan malam ni,” ucap Fara berterima kasih kepada Kim.

“Tak mengapa. It’s my pleasure. Boleh kita jumpa lagi?”

“Hah?” Fara tersimpul malu dengan soalan itu. Kim faham tindakan mendiamkan diri Fara. Kebiasaan wanita timur, diam tanda setuju.

“Sudah lewat. See you next day,” kata Kim agak keberatan untuk pulang.

Bye,” Fara Asyikin melambai. Hon dibunyikan dari kenderaan yang dipandu Kim menandakan dia bergerak pulang. Fara hanya mengangkat tangan. Dia kemudiannya bergerak masuk ke rumah sewa Zarina.

Pin!

‘Datang balik?’ hatinya menyangka bunyi hon itu datang dari kereta Kim. Fara kembali membuka pintu rumah. “Abang!” terkejut Fara apabila melihat suaminya datang ke rumah sewa ini. Gusar juga hatinya jika suaminya tahu yang dia keluar dengan lelaki lain.

“Awak sihat?” soal Rizal Asraf dengan nada lembut. Sejambak bunga mawar diserahkan kepada Fara Asyikin.

“Ni untuk apa?”soal Fara tidak mengerti tindakan suaminya.

“Saya nak ajak awak keluar makan,”

“Saya dah kenyang, lagipun saya nak tidur awal. Esok pagi ada kelas,” pantas Fara menjawab. Tidak terlintas di hatinya untuk menolak pelawaan suaminya, tetapi sejujurnya memang dia sudah kenyang.

Rizal sedikit terkilan dengan jawapan Fara Asyikin. Egonya sebagai lelaki tercalar dan peranannya sebagai suami teruji. Rizal Asraf meminta izin untuk pulang dengan memberikan alasan bahawa esok pagi dia ada mesyuarat penting.

Dalam perjalanan pulang, airmata lelakinya menitis tanpa sedar.Waktu itulah juga corong radio memutarkan lagu Perpisahan dari Anuar Zain. Segera didiamkan suara radio tersebut.

###

“Puas hati kau!” bentak Zarina memarahi kawan karibnya. Selama dia bersahabat dari kecil dengan Fara Asyikin, tak pernah dia melihat wanita itu sebagai orang yang suka mempermainkan perasaan lelaki.

“Aku just  tanya pendapat kau jer,”

Merah padam muka Zarina tatkala dia  menghampiri Fara, “aku tahu lah yang aku ni taklah baik sangat. Tapi aku pernah terbaca hadis nabi dalam sunan Tirmizi yang kata sesiapa yang meminta cerai kepada suaminya tanpa sebab, maka haram baginya bau syurga.”

“Tapi aku… aku tak dapat nak tolak perasaan ni…” Fara masih keliru dengan keadaannya.

“Eiii… berambuslah dengan kau punya perasaan tu,” marah Zarina yang sudah muak dengan alasan Fara Asyikin. “Aku tahu kau kawan aku, jadi aku minta sangat kau fikir masak-masak sebelum kau nak mintak cerai dengan suami kau. Itu saja harapan aku, itupun kalau kau masih fikir aku kawan kau,” kata Zarina terus meninggalkan Fara Asyikin keseorangan di ruang tamu.

Hasrat Fara untuk mendengar nasihat dari kawan karibnya meleset apabila Zarina menghemburkan amarah ke mukanya.

Kim mendatanginya minggu lalu dan mempelawanya untuk berkahwin. Kim tak memaksa, itu semua bergantung kepada Fara sama ada mahu menerima atau tidak.

Sugul sahaja raut wajahnya. Lantas Fara Asyikin menelefon Kim bersama tangisan dan menjelaskan perkara yang sebenar bahawa dia sudah berkahwin. Kim menasihatinya supaya diselesaikan terlebih dahulu dengan Rizal Asraf. Fara bersetuju.

 ###

Pemandangan yang cukup indah di tasik ini. Keindahan ciptaan Tuhan terserlah. Ramai manusia yang membuang segala kekusutan yang bersarang disini. Bersenam, jogging, berkayak dan termenung.

“Pandai awak pilih tempat untuk bersenam yer,” Rizal bersuara. Fara hanya membalas dengan senyuman. “Lepas ni kita nak lepak mana pulak?” soal Rizal.

Fara hanya mengangkat bahu tak tahu.

Rizal dan Fara duduk di satu pondok rehat. Hanya mereka berdua sahaja yang duduk disitu.

Rizal melihat gelagat dan ragam pengunjung tasik itu. Matanya terhibur melihat itik yang berenang di tasik secara berpasangan. Alangkah bahagianya jika dia dan Fara Asyikin seperti itu.

Fara pula termenung jauh, fokus pandangannya tidak tentu arah. Fikirannya senak memikirkan ayat terbaik untuk melafazkan permintaan itu kepada suaminya. Fara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia dah bersedia untuk bersuara.

“Awak masih ingat waktu pertama kali kita jumpa?” suara Rizal mengendurkan niat Fara.

“Bukan kita blind date  dulu ke?”

“Yeke? Sebab seingat saya, awak yang syok kat saya,” Rizal cuba bergurau dengan Fara.

“Perasan! Awak yang usha saya dulu dalam kelas,”

“Saya usha awak sebab awak baca anime waktu cikgu BM mengajar,”

“Eleh, tahulah kita ni tak pandai” Fara cuba tukar topik.

“Sebab tu awak kahwin dengan saya, orang pandai,” kata Rizal sambil menunjuk tanda peace bersama senyuman menampakkan gigi putihnya. Fara Asyikin ketawa melihat gelagat suaminya itu.

Selang beberapa ketika, mereka berdua kembali termenung. Suasana di taman itu masih ceria, namun suram bagi mereka berdua.

“Awak…” Fara Asyikin pula bersuara.

“Saya masih ingat lagi yang dulu awak tak suka saya minat pelakon wanita. Ingat lagi tak?”

“Erm, ingat…”

“Dalam masa yang sama awak tergila-gilakan sangat pelakon lelaki Jepun,”

“Tu dulu, sekarang dah lain… Sekarang K-pop,” kali ini Fara pula berseloroh. Mereka berdua ketawa bersama.

“Ingat lagi apa yang awak kata?”

Of course-lah saya ingat. Saya kan perempuan, sebanyak mana pun lelaki yang saya minat, saya hanya boleh kahwin seorang. Tapi awak lelaki, boleh kahwin lebih dari seorang…”

“Jadi masihkah awak berpegang dengan kata-kata tu?” soal Rizal mengharap. Riak  mukanya sugul menanti jawapan dari Fara Asyikin.

“Awak…” rasa serba salah kembali menghantui Fara. “Saya… saya…saya tak tahu.”

Rizal bangun merenung jauh ke mentari senja. Dia dapat rasakan hubungan suami isteri antara dia dan Fara Asyikin sedang meniti hari-hari senja, walaupun hubungan mereka masih mentah umpama setahun jagung.

Mata pria itu bergenang dengan takungan airmata seakan menanti tiris.

Fara cuba sekali lagi untuk mengemukakan permintaan cerainya.

“Eh, awak. Saya nak terkucil sekejap, nanti… nanti saya datang balik,” sampuk Rizal terus beredar meninggalkan Fara keseorangan disitu tanpa sempat menuturkan permintaannya.

Rasa serba salah yang menular jiwanya tidak pernah surut. Banyak kali juga dia beristighfar adakah ini yang terbaik untuknya. Ini semua salah Rizal yang hanya melayannya dengan baik sebelum kahwin, selepas kahwin banyak mementingkan diri.

Fara melihat sekumpulan lelaki sedang membawa banyak belon yang diisi dengan gas nitrogen ke tepi tasik. Belon itu berwarna unggu. Warna kesukaan Fara Asyikin dan sudah lama dia mengidamkan untuk memegang belon berwarna unggu. Fara mendekati kumpulan itu.

“Cantik belon ni. Boleh saya mintak satu?” Fara Asyikin meminta. Kumpulan lelaki itu memberikan semua belon kepadanya. Mereka kemudiannya terus berlari. Fara hairan melihat gelagat mereka.

“Semua belon tu untuk awak,” sapa Rizal dari belakang.

“Apa maksud awak?” Fara Asyikin kehairanan.

Rizal memegang bahu Fara Asyikin, membawa badan Fara menghadap ke arahnya. Rizal kemudian melutut dan mengeluarkan sebentuk cincin emas putih.

“Fara Asyikin, sewaktu pertama kali saya pandang awak, hati saya bergetar teruk. Sewaktu pertama kali saya melamar awak, saya mohon dan merayu untuk jadi Persona Designata bagi hati awak, yang bisa merawat dan menjaga hati awak. Selepas Tuhan izinkan saya mengisi jawatan sebagai suami awak, satu-satunya lelaki di hati awak, saya akui yang saya…” Rizal mula sebak.

Kata-katanya terhenti seketika menelan segala kesilapan yang ingin diakuinya.

Fara Asyikin kaku berdiri. Rasa gemuruh tiba-tiba menjelma. Dia makin keliru dengan niat dan perasaannya.

Rizal Asraf menyambung kembali kata-katanya, “ selepas kita kahwin, saya akui… saya gagal menjaga hati awak. Tindakan saya selalu menyakiti hati awak. Kata-kata saya selalu mengguris hati awak. Saya marah, perli awak… tapi awak tak pernah marah saya balik, sedangkan saya tak pernah sekali pun pujuk awak. Tanpa saya sedar, saya… saya melangkah pergi dari hati awak. Tapi sejujurnya cinta saya terhadap awak tidak pernah pudar walau sedikit…”

Belon unggu terlepas ke udara bersama kawanan burung yang terbang bebas di udara. Fara Asyikin terduduk mendengar kata-kata Rizal. Dia melihat setiap simetri wajah sugul bercampur sebak suaminya. Jelas terpancar nilai pengharapan yang tinggi agar dia kembali menerima Rizal Asraf dalam hatinya.

“Sudikah awak terima saya kembali sebagai Persona Designata di hati awak?”

Fara Asyikin menangis gembira tatkala mendengar lafaz seumpama lamaran dari suaminya. Dia kemudian memeluk erat suaminya dan membisik ke telinga Rizal Asraf,

“Awak senantiasa jadi Persona Designata di hati saya.”

Rizal kemudiannya membangunkan Fara Asyikin dan memegang erat tangan isterinya itu. Dia kemudian membawa Fara Asyikin ke satu pondok yang berdekatan dengan tasik itu.

Mata Fara Asyikin terkebil melihat pondok yang dihiasi seperti dalam mimpinya dengan Lee Minho. Hiasan bunga lavender yang melingkari struktur binaan pondok itu. Bahkan ramai kawan-kawannya berpakaian sukan serba unggu di kawasan sekitarnya. Umpama sebuah pesta di tepi tasik.

“Selamat ulangtahun kedua, sayang…” kata Rizal Asraf yang masih memegang erat tangan Fara Asyikin. Tiada kata yang mampu diungkap, melainkan titisan jernih air mata isterinya.

Telefon bimbit Fara berbunyi. Dia tahu yang Kim sedang menanti keputusan perhitungan antara Fara dan Rizal. Serba salah dibuatnya, hendak menerima lamaran Kim, hatinya akan sakit. Hendak menolak lamaran Kim, sudah banyak benda yang dia terhutang budi dengan pemuda Korea itu.

Rizal hanya tersenyum kelat.

“Keputusan di tangan awak. Saya terima apa sahaja yang awak pilih,” Rizal tak mahu memaksa isterinya. Dia tahu khilafnya dan sedia dihukum. Mukanya tenang dan masih mampu tersenyum.

Fara bergerak jauh sedikit dari Rizal untuk menjawab panggilan dari Kim. Rizal Asraf memandang dari jauh, dengan rasa kecamuk di hati. Matanya pedih dan kepalanya berat selepas seharian menangis. Dia pasrah walaupun hatinya seperti dicarik-carik.

Zarina yang turut berada di situ, melangkah menghampiri Rizal Asraf. Dia juga tak menyangka kawannya akan diuji sebegini rupa.

Fara Asyikin selesai menjawab panggilan. Dia menghampiri suaminya dan Zarina. Tiada sebarang riak di wajahnya. Fara mengeluh panjang.

“Sebelum awak kata apa-apa, saya ada something yang saya nak cakap dekat awak…” Rizal mencelah. Hakikatnya dia tak mampu dengar keputusan Fara Asyikin. Bimbang Fara tidak memilihnya.

 “Rasanya elok saya berkempen dahulu untuk awak. Saya pasti dia juga ada berikan tawaran yang hebat untuk awak…” kata Rizal merujuk kepada Kim. “Saya Rizal Asraf, suami dan lelaki pertama yang berjaya masuk ke dalam hati awak, ingin tegaskan bahawa…” Rizal cuba bendung sebaknya dengan geram, “… kesilapan awak adalah kesilapan saya juga. Saya tak akan sesekali lepaskan awak kepada orang lain semudah itu. Saya bersusah payah untuk mendiami hati awak, takkan saya tak boleh bersusah payah untuk pertahankan kedudukan saya di hati awak.”

Fara Asyikin mengesat airmatanya yang turun mencurah-curah. Dia amat menghargai luahan hati suaminya itu. Zarina memberikan tisu kepada Fara  Asyikin.

“Kau pilih siapa?” soal Zarina simpati.

“Perlukah aku pilih orang lain, jika Tuhan sudah pilih Persona Designata di hati aku,” balas Fara Asyikin.

Zarina terus mendakap kawan karibnya, Fara Asyikin. Fara tahu yang dia hanya mengikut emosi dan dia juga tahu bahawa Zarina telah mengadu segala-gala tentangnya kepada Rizal Asraf.

Rizal menangis gembira tatkala mendengar pengakuan Fara Asyikin. Terasa separuh jiwanya kini kembali. Dia segera mendapatkan isterinya itu sambil berulangkali meminta maaf. Dia berjanji, atas nama sebagai seorang suami, dia akan melayan Fara Asyikin umpama nyawanya sendiri.

Sedangkan lidah lagi kan tergigit, inikan pula suami isteri. Konflik yang melanda mematangkan cinta mereka. Akhirnya, Fara Asyikin dan Rizal Asraf hidup bahagia dalam pelayaran bahtera sakinah mereka.

No comments: