Saturday, November 3, 2012

(CERPEN) Cinta Alzheimer


Mus’ab Umair, nama yang tercatit dalam kad ID yang tergantung di leher seorang lelaki dewasa. Bertugas sebagai Pegawai Syariah di salah sebuah Intitusi pengajian tinggi di Pusat Bandar. Tingginya sama seperti kebanyakan lelaki Asia – dalam lingkungan 1.60 hingga 1.80 sentimeter.Kelibatnya sama seperti penjawat awam yang lain. Dokumen, fail, rehat dan tandas menjadi nadi kelangsungan kerjaya selama hampir 10 jam sehari.

Matanya mundar-mandir. Sekejap lihat jam di dinding pejabatnya, kemudian kembali fokus kepada kertas kerja di meja. Sememangnya deksripsi tugas sebagai seorang Pegawai Syariah terlibat dalam menganjurkan pelbagai acara keagamaan di institusi tersebut. Natijahnya, lambakan kertas kerja dan laporan kewangan perlu dilunaskan sebelum ‘due date’.


Berada di tingkat 6, berlatarbelakangkan suasana pejabat yang kondusif yang menampakkan suasana persekitaran institusi pengajian tersebut, Mus’ab atau Mus bergelut untuk menyiapkan kerjanya. Hari ini corak kerjanya ibarat lipas kudung berbanding hari-hari sebelumnya. Jeda beberapa ketika, lirikan senyuman terukir di wajah ketika kornea matanya asyik memandang ke arah satu kotak berbentuk hati berwarna merah.

Paap!

Satu lagi fail dihempas dengan sengaja oleh Abdul Ghafur, rakan sekerja Mus. Pendek, berjerawat pasir dan botak. Sungguhpun fisik tubuhnya tak segak atau kacak, di pejabat ini dia adalah yang paling berpengaruh. Setiap kelibat dan tingkah laku staf di pejabat itu – terutama tingkat 6 – akan dikhabarkan kepada Pendaftar (bos pejabat tersebut).

“Ni projek mana pulak?” soal Mus kehairanan. Mata Abdul Ghafur membulat  dan memandang atas bawah tubuh Mus.

“Encik Mus’ab Umair, dah berapa lama kerja kat sini?! Nak saya ‘brief’ lagi apa tugas awak?” soal Abdul Ghafur menyindir. Mus mengalah. Lagipun selama ini, nama sahaja Pegawai Syariah, segala projek yang tak ‘syariah’ pun diletak di bahunya. Dia memandang ke skrin desktop komputernya yang terpampang kata-kata ‘al-wajibat aksaru minal-awqat’. ‘Huh’, keluh Mus tanda pasrah. Mus terus melaksanakan kerjanya yang tersisa.

Selang beberapa minit, Mus kembali tersenyum. Dibeleknya kotak hati berwarna merah dan dibuka penutupnya. Sebentuk cincin emas. 996, itulah nombor yang terukir di celahan dalam cincin itu. Akhirnya kau akan aku sunting, desis hati Mus. Siapa yang ingin disuntingnya? Sudah tentu seorang wanita. Tapi siapa?

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Nadya Zarrina Binti Seman, sila ambil sijil kursus kahwin di kaunter pendaftaran yer” pengumuman lantang oleh salah seorang ahli koordinator kursus kahwin. Memori itu yang terngiang-ngiang di fikiran Mus. Saat kali pertama mendengar nama pujaan hatinya. Dan bidadari syurga gamaknya – itulah yang Mus fikirkan, bidadari syurga miliknya. Waktu itu kedua-duanya sudah bertunang dengan insan lain, namun mungkin tiada jodoh maka percaturan mereka telah dirombak oleh Yang Maha Adil.

Dia kini berada di tengah lautan manusia yang ingin bergegas pulang. Di salah sebuah pusat persinggahan pengangkutan awam. KL Sentral, namanya sudah cukup menceritakan wajah dan keadaannya. Jam yang terpampang di skrin digital milik KTMB menunjukkan sudah masuk waktu 6.25 petang. Mus beratur membeli tiket komuter untuk pulang ke rumahnya setelah seharian di pejabat. Barisan yang panjang. Bosan menunggu, Mus berjalan-jalan sekitar KL Sentral. Fikirnya untuk membeli tiket setelah reda.

Sedang dia berjalan ke satu kedai ke kedai yang lain, matanya terlihat satu kotak bereben unggu. Warna kesukaan Nadya.

“Awak nak coklat tak? Saya belanja.”pelawa Mus kepada Nadya. Nadya membuat muka pipi kembung, tanda gemuk barangkali. Salah satu memori yang Mus takkan lupa semasa mereka keluar ber’dating’ lima tahun dulu.

 Mus mengambil kotak tersebut dan membawanya ke kaunter bayaran.

“Cik, boleh saya ambil kotaknya sahaja? Dan rebennya sekali?”

Pekerja wanita itu terpinga-pinga untuk menjawab. Mana taknya, gerainya hanya menjual coklat atau biskut. Kotak dan reben adalah hiasan yang datang bersama dengan coklat. Pekerja wanita itu hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala. Mus menjelaskan kepada pekerja wanita tersebut yang beliau ada membeli cincin untuk seorang wanita yang cukup istimewa.

“ Sebab itu saya minta jasa baik cik adik untuk saya beli kotak dan reben ini. Bukan saya minta free, saya boleh bayar,” tegas Mus.

“Pak Cik…”

“Tua sangat ke saya?” Mus cuba berseloroh dengan pekerja wanita itu. Akhirnya pekerja wanita itu memberikan kotak dan reben yang baru kepada Mus.  Dan pekerja tersebut memberikan kotak itu secara percuma, tanpa perlu dibayar. Mus tersenyum lega.

“Terima kasih yer. Moga Tuhan membalas jasa baik cik adik. Dan satu lagi, boleh tolong ikatkan reben ni tak? Saya nak style yang macam kotak tadi, kemas dan cantik,”

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Eskelator. Mus memilih untuk turun ke tempat perlepasan komuter dengan menggunakan tangga. Lima tahun dahulu, dia bukan penggemar tangga. Ini semua berpunca daripada sikap Nadya, yang memaksa Mus mengikuti sikap pujaan hatinya itu. Pernah Nadya berfalsafah bahawa orang yang naik eksklator ibarat orang yang malas dan suka memerhatikan kesusahan orang lain, sedangkan orang yang naik tangga tak pernah hiraukan orang yang malas dan fokus dengan kerjanya. Masuk akal juga falsafah Nadya.

“Ada orang tak?” tanya Mus kepada seorang lelaki Melayu berseluar pendek yang sedang duduk menunggu komuter. Kotak rokok dan telefon blackberry hitam di genggaman tangan kanannya. Mus terus duduk, tanpa sempat lelaki tersebut menjawab. Dikeluarkan cincin yang akan dihadiahkan kepada Nadya. Cadangnya untuk bagi surprise. Rancangnya untuk propose.Penat menunggu, akhirnya kelopak matanya seperti tirai pentas, sedikit demi sedikit dilabuhkan. Matanya terlelap.

Kematu. Mus terus bangun kerana tak tahan menunggu secara duduk. Dia bergerak ke garisan kuning. Melambung-lambung cincin, mundar-mandir, dan berkhayal di sekitar garisan kuning.
Sedang asyik melabung cincin emas hadiah surprise untuk Nadya,

POOONNNNN!

Siren komuter berbunyi menandakan komuter telah sampai. Serentak dengan bunyi siren itu, lambungan cincin itu tak dapat digenggam kemas Mus. Cincin itu tercicir dan jatuh ke landasan yang bertanda ‘merbahaya’ itu. Komuter masih tak kelihatan dan pegawai keselamatan baru mengangkat bendera keselamatan. Tanpa berfikir panjang, Mus terjun ke landasan komuter untuk mendapatkan 
cincin itu.

Pritttt! Prittt!

Berkali-kali pegawai keselamatan memberi amaran kepada Mus. Dalam masa yang sama, mengarahkan orang ramai agar berada di luar garisan kuning. Mus yang masih berada di landasan, kini sedang disuluh dengan cahaya. Bukan cahaya lampu suluh pegawai keselamatan tetapi cahaya yang berasal dari lampu komuter. Mus panik dan mengharapkan orang ramai mengangkatnya. Namun tiada siapa berani, bukan kerana pengawal keselamatan menghalang mereka dari melepasi garisan kuning, tetapi komuter sudah semakin hampir.

Dalam suasana yang terdesak, muncul di celahan kerisauan orang ramai satu tangan kanan yang berkedut sehingga menampakkan urat-urat tebal. Tangan itu cuba dihulurkan kepada Mus yang semakin terjejas pandangannya akibat silauan cahaya lampu komuter.

POOONNNN!

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Terima kasih Haji,”

“Untuk apa?” jawab lelaki tua yang menghulurkan tangan menyelamatkan Mus dari landasan komuter.

“Kalau Haji tak bantu saya tadi, tak tahu lah apa dah jadi dengan saya,” keluh Mus.

“Ajal maut itu ketentuan Tuhan. Begitu juga jodoh, jika Tuhan mahukan ia berlaku, pasti ia akan berlaku,” kata-kata Haji tersebut disambut dengan anggukkan dari  Mus. Mus cuba meminta diri untuk pulang. Lelaki tua yang dikenalinya dengan panggilan Haji hanya menunjukkan isyarat lambaian pulang sahaja. Saat Mus meninggalkan kawasan komuter itu, masih kelihatan orang ramai yang ralat untuk menaiki komuter yang baru sahaja tiba. Barangkali mereka tidak tahu keadaan sebenar Mus.

Mus segera pulang ke rumahnya dengan menaiki teksi.

“Nak ke mana bang?” soal pemandu teksi yang berkopiah.Jefri namanya. Janggutnya perang, barangkali diinaikan janggutnya. Sesekali nampak seperti seorang tabligh, dengan celak menjadi perhiasan mata.

“Balik rumah,” jawab Mus ringkas. Jefri terus memandu membawa Mus balik ke rumah.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Tret! Tret!

Bunyi telefon bimbit Mus. Nada dering yang khusus untuk memberitahu ada SMS. Dari Nadya rupanya, bisik hati Mus dengan senyuman.

Pujaan Hati (Nadya) : Salam… jadi tak nak jumpa?

Nadya ada bersama keluarganya di Langkawi. Sedang bercuti bersama keluarga. Getaran dirasai pada telefon bimbitnya. Oh, abang Mus, getis hatinya.

My Love (Mus’ab) : Wslm… jadi.  Kat KLCC, tasiknya. 16 haribulan. Ok?


Mus melihat telefon bimbitnya dan ada satu SMS yang berbunyi :

Pujaan Hati (Nadya) : Nak Nadya datang seorang ke? Atau bawak teman?

Ikutkan hati dan nafsu, Mus nak sahaja menyuruh Nadya datang keseorangan. Namun, memikirkan yang dia adalah seorang lulusan bidang agama, buat apa ada ilmu agama jika tak amal. Takkan nak mengkhianati prinsip agama yang dipelajari selama ini, bisik hati Mus dengan tegas. Sedangkan sisi dirinya yang lain menghasut supaya Mus memberi alasan bahawa tiada apa yang melampau akan dilakukan jika bertemu berdua. Mus membalas SMS tersebut. Nadya segera membaca SMS yang diterimanya :

My Love (Mus’ab) : Terpulang pada Nadya. Saya lelaki, awak perempuan. Banyak bezanya walaupun dunia sekarang pentingkan hak sama rata.

Nadya senyum. Lesung pipit dipipinya jelas kelihatan tatkala membaca SMS dari Mus.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Jam 9.00 pagi. Kemeja putih yang tergantung di dinding masih berkedut. Selepas direndam dalam downy semalaman dan dikeringkan dengan bantuan kipas, baunya semerbak harum. DIcapainya kemeja itu dan disterikakan. Begitu juga dengan seluar hitamnya yang bersaiz 42 ukur lilit pinggangnya. Sesekali Mus melihat ke cermin, dan mengusap perutnya. Boroi dan buncit, Mus tersenyum. Bahagia dan sihat mungkin.

Baju kemeja putih digandingkan dengan tali leher bercorak  unggu. Ya, warna kesukaan Nadya. Mungkin boleh jadi modal untuk meraih perhatian Nadya.  Jam tangan rolex yang sudah tidak berdetik jarumnya di sarungkan. Ah, bagi cukup syarat jer, tegas hati Mus. Bak kata orang Perak, biar papa asalkan bergaya.

“Siapa pula yang siapkan air kopi dan roti ni?” soal Mus kehairanan apabila melihat ruang meja makan siap terhidang dengan sarapan pagi. Ah, bedal saja, desis hati Mus sambil menghirup secawan kopi. Tak habis pun kopi yang dihirupnya, terus bergegas mencapai kasut kulitnya berwarna hitam.

“Oh ya, terlupa. Minyak wangi,” Mus masuk kembali ke biliknya dan mencari minyak wangi. Malaikat Subuh. Itu sahaja yang ada. Minyak wangi atau lebih dikenali minyak atar. Disapu sedikit di nadi tangan, bawah cuping telinga dan seterusnya ke baju. Cukup. Kini Mus sudah siap untuk ke tasik KLCC.

Suasana yang ceria di tasik KLCC, atau lebih sesuai digelar taman KLCC. Ada kanak-kanak yang bermandi-manda, bermain di taman permainan, remaja yang meliar, pasangan yang mengingati memori lalu dan ibubapa yang bergambar dengan bangunan KLCC. Mus berjalan dengan lagak gaya tenang dan sekali-sekala mengukir senyuman dan bertegur sapa dengan pengunjung di situ.

Sejam berlalu. Dua jam berlalu. Mus membeli majalah gosip artis untuk menghilangkan kebosanan. Geleng kepala sambil menjamu mata. Tajuk yang kontradik dengan gambar, pengakuan yang lelucon dan ‘posing’ yang menarik. Habis membaca, jam di menara MAXIS menunjukkan Nadya sudah lewat 4 jam. Benarlah apa yang diperkatakan orang, penantian itu satu penyeksaan. Mus membuka ikatan tali lehernya. Panas dan terkilan. Kali ini dia dah putus harapan. Dia seakan membuat satu resolusi bahawa tiada lagi surprise, tiada lagi dating dan tiada lagi cincin emas untuk Nadya.

Cincin. Mana cincin? Soal hatinya. Mus tercari-cari cincin emas yang akan diberikan kepada Nadya. Baru dia teringat yang dia mungkin terlupa nak ambil cincin semasa di landasan komuter. Mus bergegas ke stesen komuter.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Kring! Kring!

Telefon bimbit Nadya berdering.

                Nadya                  : Hello.
                ASP Kathy           : Hello, boleh saya bercakap dengan Puan Nadya?
                Nadya                  : Ya, sedang bercakap.
                ASP Kathy           : Saya ASP Kathy dari KL Sentral. Suami puan ada di sini.
                Nadya                  : Terima kasih Kathy, nanti saya kesana yer.

Nadya terus meletakkan telefon bimbit dan bergegas kesana. Lahir tahun 1961, Nadya merupakan seorang usahawan kosmetik. Walaupun sudah tua, kulitnya masih jelita sama dengan usianya. Tidak terlalu muda dan tidaklah terlalu tua.

Nadya tiba di KL Sentral. Sungguhpun sudah berusia, dia masih larat menuruni tangga ke tempat perlepasan komuter.  Segera dicapai kaca mata yang tergantung dilehernya untuk dipakai. Matanya meliar mencari kelibat suaminya. Barangkali di tempat orang ramai sedang berkumpul. Jantungnya berdegup kencang. Fikirannya mula melayang dan membayangkan satu plot penceritaan sama seperti cerita My Name Is Khan lakonan pelakon pujaannya.

Nadya membayangkan suaminya berada di tempat Rizwan Khan yang menghidap penyakit autisme. Tapi segera ditepis cereka negatif itu. Sepanjang pengetahuannya, suaminya tak ada tanda-tanda penyakit autisme. Atau mungkin Alzheimer, fikiran Nadya kembali meliar dengan persepsi negatif. 

Nadya mengingati kembali apa yang berlaku kebalakangan ini. Setiap perlakuan suaminya yang mencurgiakan diingatinya satu persatu. Sebagai contoh, suaminya memberi SMS tentang pertemuan di KLCC, sesuatu yang hanya dibuat semasa zaman muda. Bahkan berpakaian kemas seperti mahu keluar ‘dating’  pada pagi tadi. Sah, Alzheimer, yakin Nadya dengan persepsinya. Kaki Nadya terus melangkah laju mendapatkan suaminya, Mus’ab Umair, seorang Pegawai Syariah.

“Abang tak apa-apa?” periksa Nadya sejurus melihat Mus duduk terdampar keletihan. Peluh yang mengalir dimuka suaminya dilap dengan tas tangan berwarna ungu.


“Maafkan saya. Saya dah tak larat nak pergi balik ke taman tasik KLCC…”

“KLCC? Kenapa abang nak pergi sana?” soal Nadya kehairanan. Mus hanya tersenyum.

“Mesti awak dah lupa apa yang kita dah janji semalam? Kan kita dah janji untuk berlakon macam pertama kali kita jumpa untuk raikan ulantahun kita yang ke-…”ujar Mus tanpa menghabiskan kata-katanya. Seperti sedang menantikan sesuatu.

Teng! Teng! Teng!

“Pengumuman penting, kami warga KL Sentral mengucapkan Selamat Ulang Tahun Perkahwinan ke-25 buat Encik Mus’ab Bin Umair dan Puan Nadya Zarrina”

Terkejut Nadya mendengar pengumuman tersebut yang disulami dengan tepukan gemuruh orang ramai yang menunggu ketibaan komuter. Terharu dan bergenang air mata di persisir kelopak mata Nadya. Tidak lama lepas itu, komuter tiba. Mus dan Nadya menaiki komuter tersebut. Mus menyerahkan kotak dan reben unggu kepada Nadya dan meminta maaf sebab cincinnya dah hilang.

“Tak apa, cincinnya saya dah pakai sebab saya ambil semalam. Ni kotak coklat free lagi ek,” ujar Nadya ringkas. Kedua-duanya tersenyum riang meraikan hari yang indah bersama sebagai suami dan isteri.

No comments: