Sunday, December 2, 2012

(CERPEN) S.A.R.A.F.




KADANGKALA Tuhan ambil nyawa orang yang paling kita sayang untuk menguji sejauh mana sayangnya kita pada-Nya. Aku tahu, sejauh atau seluas mana pun sayangnya kita kepada manusia, tetap dia takkan bersama dengan kita selamanya.

Tarikh 16 Disember, satu tarikh yang masih tersemat rapi di mindaku. Masih jelas dalam memori hari pertama aku melihat wajahnya. Pertama kali aku melafaz namanya sebagai teman hidupku, hatiku berdebar kencang tatkala bertentang mata menyarungkan cincin ke jemari halusnya.


Kenduri kahwinku pula dipenuhi lautan menusia yang teruja dengan persediaan yang telah keluargaku lakukan. Kehadiran ramai tetamu menyebabkan ahli keluargaku tak menang tangan melayan.

Aku cuba membantu apa yang patut. Namun ibuku melarang dan menyuruh aku duduk bersama dengan isteriku. Ramai tetamu yang hadir bukan dengan tangan kosong. Pelbagai jenis hadiah mereka berikan kepada aku dan isteriku sebagai lambang persediaan kami menjalani hari-hari muka sebagai suami dan isteri.

Ada yang hanya datang dengan senyuman. Ada juga yang menyisip sampul berisi wang semasa bersalam dengan ayahku. Tak kurang juga yang mendoakan kebahagiaan aku dan isteri sehingga ke anak cucu.

Aku memang berbangga dengan pilihan ibuku. Aku tahu ramai manusia zaman sekarang suka berkahwin dengan pilihan sendiri. Tapi aku masih memilih pilihan keluarga. Bagiku restu keluarga lebih penting.

Mujur juga isteriku ini cantik. Tak pernah aku lihat seyuman semanisnya. Seseksi mana pun seorang wanita atau bergaya mana sekalipun gadis di seluruh dunia, jujur aku katakan, isteriku mampu menandingi mereka. Mungkin juga mereka bukan tandingan isteriku, Fazura Hanna Binti Abdullah.

Gerak langkahnya teratur, tutur katanya mendamaikan dan renung matanya menghiburkan. Relung hatiku terasa bergetar teruk setiap kali aku berdamping dengannya. Ah, aku tak sangka ibu memang pandai memilih.

Namun apa yang aku catatkan selepas ini, barangkali satu kisah yang biasa. Aku masih suaminya. Dan aku akan selamanya menjadi suaminya. Catatan ini aku coretkan untuk isteriku yang sanggup berjuang dan berkorban untuk kebahagiaan hidupku.

Inilah catatan seorang suami biasa mengenai isteri yang sangat luar biasa.

‘Saya amat rindu awak, Fazura Hanna Binti Abdullah,’ rintih rawan rinduku.

###

Hari ini adalah ulangtahun pertama aku dan Fazura bergelar sebagai pasangan merpati dua sejoli. Hari ini juga aku masih berkira tentang kejutan yang ingin aku berikan kepada isteriku. Adakah aku nak bawa dia pergi menonton wayang?

Tapi cerita apa? Bollywood atau cerita cinta adaptasi novel karya Ahadiat Akashah. Atau aku nak tempah meja restoran terkemuka untuk candle light dinner? Pening. Aku memang lemah dalam bab ini. Mungkin lelaki memang selalu begini.

Nggg! Nggg! Nggg!

Telefon bimbitku bergetar. Isteriku menelefon dari rumah.

“Assalamualaikum, bang,” suara isteriku, Fazura memang mendamaikan. Aku hanya tersenyum riang. Tak sangka selepas hampir setahun berkahwin, rawan hatiku padanya masih tidak berubah.

“Waalaikumussalam, sayang,” aku cuba bermanja dengannya.

“Abang nak makan apa malam ni? Saya boleh masakkan,”

“Saya makan apa saja yang awak masak,”

“Serius ni?” soal isteriku curiga. Isteriku sedar yang masakannya masih diperingkat amatur.

“Serius sangat,” selorohku.

Okey. Jangan tak makan yer…” isteriku menjawab riang. Halwa telingaku gemar akan suaranya yang menawan setiap sudut hatiku. Nampaknya kerja aku di pejabat memang takkan siap, angau aku terhadap isteriku masih tak pudar. Aku masih merasa nikmatnya bercinta selepas berkahwin.

Selepas selesai semua kerja di pejabat, aku bergegas untuk pulang ke rumah. Sebelum sampai rumah, aku singgah di kedai bunga dahulu.

Tokey, saya nak bunga ros,” pintaku kepada pemilik kedai tersebut. Aku lihat bunga ros yang pelbagai warnanya. Ada merah, putih, kuning dan lavender.

Aku memilih ros merah dan lavender setelah dinasihati oleh pemilik kedai. Sembilan kuntum semuanya. Aku berterima kasih kepada pemilik kedai yang sanggup melayan pelanggan seperti aku. Sanggup dia menjelaskan kepada aku apa maksud disebalik warna dan bilangan bunga ros yang aku pilih.

Setelah aku bayar, aku hidupkan kembali enjin kereta dan terus pulang ke rumah.

Kaki kananku melangkah sahaja ke rumah, bau masakan ayam masak lemak benar-benar menggamit hidungku. Yummy, mesti sedap. Pertama kali aku rasa rumahku dipenuhi bau ayam masak lemak.
Niat dihatiku untuk mengejutkan isteriku dari belakang. Aku yakin mesti dia di dapur sekarang.

Aku melangkah perlahan-lahan mendekati isteriku. Pelik juga pakaiannya, bertudung litup dan berjubah lengkap dalam rumah. Tanganku mula bergerak perlahan-lahan cuba menyentuh bahu isteriku.

“Hah!”

“Opocot mak kau!”

Alamak! Aku silap orang. Masa bila pula ibu aku datang ni.

“Eh, ibu. Bila sampai?” aku cuba berselindung dari niat sebenarku.

“Kau ni. Terkejut ibu tau tak,” ibuku mengurut dada terperanjat, “baru je sampai.”

Aku terus salam sambil mencium tangan ibuku. Aku lihat isteriku tertawa kecil di ruang tamu melihat gelagatku dengan ibu.

“Kenapa ibu datang?” soalku hairan.

“Eh, sejak bila pula ibu tak boleh datang rumah anak ibu ni,” balas ibuku sambil cubit pipiku.

“Bukan macam tu, tapi selalunya ibu akan telefon dulu,”

“Dah telefon lah, nak oiii,”

“Telefon? Saya tak dapat pun,”

“Ibu tak telefeon kamu, ibu telefon isteri kamu.”

Pelik. Isteriku tak beritahu pun yang ibuku nak datang. Nampak gayanya aku kena sambut ulangtahun pertama aku dan Fazura Hanna bersama ibuku. Huh!

“Saya naik bilik dulu lah,” aku minta diri ke bilik untuk mandi. Rasa letih masih tak hilang setelah seharian berkerja. Mujur esok hujung minggu, tak perlulah aku berpeluh dengan kemeja bertali leher ke pejabat.

Selesai mandi, aku lelapkan mata seketika di atas katil. Bunga yang baru dibeli tadi aku letakkan di meja solek isteriku.

“Awak…”

“Opocot!” aku terkejut.

“… sorry! Saya tak sedar yang awak nak tidur,” kata isteriku meminta maaf.

Aku sebenarnya masih malu dengan isteriku. Maklumlah, masih terasa baru semalam berkahwin.

“Takpe… erm,” aku mula mengatur kata, “saya beli bunga untuk awak.” Aku bingkas bangun mendapatkan bunga yang ada di meja solek.

Isteriku menghidunya dengan penuh teruja. Wangi katanya.

“Saya ada beli ros merah dan lavender untuk awak, maksudnya I love you  dan cinta pandang pertama.”

Isteriku tersenyum gembira mendengar kata-kataku. Kucupan bibirnya singgah dipipiku.

Mata isteriku masih tidak henti-henti membelek ros merah dan lavender yang aku belikan untuknya. Sebelum sempat aku sambung kata-kataku, isteriku memandangku. Kelu lidahku melihat renung matanya.

“Abang, saya ada benda nak bagitahu,” kata isteriku. Dia meletakkan semula bunga itu di meja solek. Kemudian dia melabuhkan punggungnya dan duduk di sebelahku. Dia menarik tangan kananku ke perutnya.

Aku seperti tahu apa yang ingin dia ucapkan padaku. Aku tahu yang dia lapar selepas seharian menunggu pulang dari kerja. Mungkin penangan masakan ayam masak lemak cili api resipi ibuku. Aku cuba bangun, isteriku menghalang.

I’m pregnant.”

Apa? Aku seperti tak percaya dan kaku untuk beberapa ketika. Seumpama jarum di jam bilik aku terhenti seketika.

Aku terduduk syukur. Isteriku mengandung. Yippi!

Mataku seperti nak menangis, pantas aku mendongak supaya airmata lelaki tak menitis ke bumi. Aku tak tahu nak kata apa. Aku terus memeluk erat isteriku.

Walaupun aku tak berjaya nak beri kejutan pada isteriku di ulangtahun pertama, tapi isteriku berjaya memberi kejutan yang sungguh bermakna padaku.

###

Bulan januari depan anak aku akan daftar masuk ke sekolah rendah. Aku sematkan dalam benak fikiranku untuk kerja keras dalam mencari nafkah untuk anakku. Aku tak mahu anakku rasa dirinya serba kekurangan dengan rakan-rakan sebayanya yang lain.

Aku kini menjadi pensyarah. Untuk cari rezeki lebih, aku akan sampaikan syarahan di beberapa buah institusi berkaitan bidang perbankan. Kadang-kadang aku tak balik rumah selama tiga hari berturut-turut.

Namun setiap hari ahad, aku akan luangkan masa dengan keluargaku. Lagipun keluargaku hanya ada anak lelakiku, isteri kesayanganku dan ibu.

Oh ya, sudah seminggu aku di Bangkok, Thailand untuk buat penyelidikan. Hari ini ulangtahun perkahwinan aku yang ke tujuh dengan roommate kesayanganku iaitu Fazura Hanna Abdullah. Rawan rinduku kian menggila kerana sudah seminggu tak melihat wajah isteriku.

Tak sabar aku untuk mendarat di KLIA, melihat keanggunan raut wajah isteriku.

Sejurus aku mendarat di KLIA, aku lihat anak lelaki berusia enam tahun melambai-lambai ke arah ku. Anak kecil itu berlari mendapatkan abah yang dirinduinya. Aku mendakap rindu anak lelakiku.

“Abang sihat?” soalan pertama yang keluar dari mulut isteriku. Aku hanya mengangguk.

Fazura Hanna memberikan sejambak bunga ros kepadaku. Dia suruh aku hidu tapi aku tak hidu sebab malu nak buat perkara sedemikian di hadapan khalayak ramai. Lagipun lelaki mana yang terima bunga dari wanita. Tapi hadiah tetap hadiah, mesti kita kena hargai apatahlagi datang dari isteri kita.

Aku memandang wajah isteriku tanpa kerdipan mata. Setelah tujuh tahun, mataku masih terpaku dengan paras muka isteriku. Aku akui simetri wajahnya tidak seperti pertama kali aku kenalinya, namun masih teserlah aura keayuan di mukanya.

“Balik rumah nanti boleh pandang lama-lama lagi,” ibuku memintas lamunanku. Ah, ibu masih tak pernah berubah, aku baru sahaja nak ubati rindu mataku.

Sepanjang perjalanan pulang, berbuih mulutku bercerita tentang pengalaman aku di Bangkok. Anak lelakiku hanya mendengar kehairanan. Hanya ibu dan isteriku sahaja yang bertubi-tubi menyoal keadaan disana, barang murah atau tak dan seumpamanya.

“Kan best kalau dapat pergi sana…” isteriku bersuara mengharap.

Aku memandang muka isteriku lalu aku katakan padanya suatu hari nanti aku akan bawanya mengelilingi dunia. Isteriku hanya membalas dengan senyuman seakan dia tahu aku hanya mahu menyedapkan hatinya.

“Nak saya sumpah yang saya akan bawa awak keliling dunia?” aku cuba meyakinkan dirinya.

“Mak cakap tak elok sumpah, nanti jadi sesumpah. Aiyop! Tak tahu,” anak lelakiku mencelah. Isteriku ketawa kecil bersama ibuku yang ketawa berdekah-dekah. Tak sangka, boleh tahan juga isteriku didik anak lelakiku.

“Saya amat rindu awak, Fazura!” bentak hatiku.

###

Pranggg!

Masuk yang ini, dah berpuluh pinggan pecah. Itu belum masuk mangkuk dan gelas kaca. Pasu bunga yang kawan aku hadiahkan dari China pun sudah tamat riwayatnya. Kalau anakku yang bagi pecah, boleh juga aku tegur dengan nada meninggi.

Aku pun tak pasti kenapa sejak kebelakangan ini isteriku agak cemerkap dalam mengurus hal ehwal dapur keluarga. Nasib baik dia adalah satu-satunya wanita yang aku cintai. Tambahan pula, selama ini isteriku tak pernah mengeluh dalam melakukan kerja rumah, walaupun kadangkala aku malas untuk bangun membantu.

Mungkin isteriku terlalu penat. Mana taknya, dalam banyak-banyak kerjaya didunia, aku dapat rasakan suri rumah adalah satu kerjaya yang tidak ada had waktu bekerjanya. Dan yang paling sadis, kerjaya suri rumah tak ada prospek kenaikan gaji, elaun O.T. dan juga caruman KWSP, EPF atau SOCSO.

Aku perlu lakukan sesuatu, kalau tak alamatnya rumahku akan makan beralaskan daun pisang sahaja. Sebenarnya aku sudah fikirkan untuk bawa isteriku ke Cameron Highland. Boleh dikatakan bulan madu tak rasmi.

Pranggg!

Aduhai, pecah lagi pinggan.

“Awak okey?” aku menyoal keadaan isteriku, walaupun dalam hatiku  terkesan dengan bunyi pinggan pecah tadi.

Isteriku hanya tersenyum. Kaca pinggan yang bertaburan dikutip dengan cermat.

“Auw!” jari isteriku terkena bucu tajam kaca. Aku segera mencapai jarinya dan aku masukkan dalam mulutku. Darah yang tersisa dari jari isteriku segera aku luah ke sinki.

“Sakit tak?” soalan klise untuk orang yang sememangnya kesakitan. Soalanku ini bukan kerana ingin tahu jawapan isteriku, sebaliknya sekadar menunjuk betapa aku ambil berat tentangnya.

Isteriku menahan pedih kesakitannya tanpa mengeluh sedikit pun.

Aku mengambil kotak first aid kit yang aku letak di kabinet dapur. Jari isteriku yang luka aku lilitkan dengan salonplas.

“Maafkan saya,” isteriku bersuara menahan sakit.

“Kenapa nak minta maaf pulak?”

“Sebab saya menyusahkan awak,” jelas isteriku menyebabkan aku rasa simpati dengannya.

“Saya rasa awak letih sangat ni. Apa kata awak rehat sekejap. Biar saya pulak buat kerja dapur,” saranku walaupun aku sebenarnya hanya ajak-ajak ayam.

“Eh, takpe-takpe. Dah jadi tugas saya buat kerja dapur ni,”

“Betul ni? Tak menyesal?”

Isteriku merenung tepat ke mukaku. Jemarinya yang halus menyentuh pipiku.

“Awak kan dah seharian kat pejabat, mesti awak penat. Patutnya awak yang kena rehat,” aku pula yang disuruh isteriku untuk berehat. Tutur katanya yang lembut menyenangkan hatiku sebagai suami. Dan ini jugalah sebab mengapa aku tak pernah terasa mahu kahwin lain.

“Kalau awak dah cakap macam tu, saya nak kata apa lagi. Tapi… tawaran ni datang sekali je,” aku cuba bergurau dengan isteriku.

“Ada-ada jela awak ni,” isteriku menolak pipiku.

Aku meninggalkan isteriku di dapur, membiarkan dia seorang diri mengurus hal di dapur. Dari ruang tamu, aku mengerling lagak isteriku di dapur. Mukanya tampak pucat sekali.

###

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam,” aku menyahut salam dari luar rumah. Anak lelakiku yang kini sudah berusia 15 tahun sedang membuka kasutnya di depan pintu rumah. Dia baru sahaja tiba dari kursus kepimpinan pengawas di Sungai Klah, Perak.

Sepatutnya aku yang akan mengambilnya di stesen bas, tapi mungkin anakku tak mahu menyusahkan orang tuanya, sebab itulah dia pulang sendiri ke rumah.

“Kenapa tak telefon abah?” resah isteriku melihat anaknya pulang sendirian. Naluri ibu jelas terpancar dari sinar mata isteriku. Dia terlalu risaukan keadaan anaknya.

“Takpe lah, mak. Along dah sampai kat rumah dah pun,”

“Dah makan belum?” soal isteriku. Aku melihat gelagat isteriku dengan senyuman. Setiap kali anakku pulang, terasa seperti aku di anaktirikan isteriku seketika. Tapi aku jauh sekali untuk terasa. Bagi aku, sekali-sekala kenalah bagi muka pada anak.

Anakku hanya menjawab soalan dari emaknya dengan gelengan kepala cuba meraih simpati. Emaknya hanya memicit hidung mancung anaknya dan terus bergegas ke dapur melunaskan aktiviti hariannya.

Sejak kebelakangan ini aku pelik melihat kelibat isteriku yang sering terjatuh bila berjalan. Seumpama kakinya menjadi lembut seketika menyebabkan isteriku tidak dapat mengimbangkan badan lalu terjatuh.

“Awak nak masak apa? Biar saya tolong,” aku mempelawa untuk hulur bantuan di dapur. Seperti biasa isteriku menghalang. Katanya aku tak sesuai buat kerja dapur. Jauh di sudut hatiku, aku dapat rasakan yang isteriku tak mahu ruang kerjanya diusik oleh orang lain.

“Awak pergilah layan Along,”

“Along pergi mandi. Lagipun saya nak layan awak sekarang,” selorohku cuba mengurangkan penat lelah isteriku di dapur.

“Gatal!” kata isteriku sambil memercik air dari sinki ke mukaku. Aku cuba mengelak tapi tak sempat.

“Awak… saya nak tanya sikit, boleh?”

Isteriku ketawa kecil sambil mengacau gulai lemak yang baru dibuka apinya dan berkata,

“Sejak bila awak kena minta izin saya untuk tanya soalan? Of course lah boleh,”

Aku sebenarnya teragak-agak nak tanya soalan ini, tapi aku gagahkan juga lidahku untuk menyoal. “Sejak kebelakang ni saya lihat awak pelik sikit?”

Isteriku menoleh dan memuncungkan bibirnya. Hatiku berbisik ,‘tua-tua pun masih kiut’.

“Pelik sangat ke? Biasa jer, apa yang peliknya.”

“Entahlah. Saya bawa awak jumpa doktor nak?”

Riak wajah isteriku berubah. Walaupun senyuman masih terukir di raut wajah isteriku, namun aku dapat rasakan kelatnya senyuman yang dilemparkan pada aku. Isteriku memberhentikan kerjanya seketika.

“Abang, saya minta maaf jika kelakuan saya menyebabkan abang risau. Maafkan saya, bang,” Isteriku mengucup lama tanganku. Aku dapat rasakan air matanya mengalir.

Pada mulanya aku tak mengerti.

“Awak menangis ke?”

“Tak… taklah,” isteriku masih mengucup lama tanganku. Aku memberi isyarat kepada  anak lelaki aku. Aku nampak isteriku mengesat air matanya. Matanya kemerahan.

“Selamat ulangtahun ke-15, Fazura Hanna Binti Abdullah!” aku bersuara sambil anak lelaki aku membawa kek aiskrim kesukaan isteriku. Anak lelaki aku tak henti-henti menyanyikan lagu selamat ulangtahun sambil menangkap gambar aku dan isteriku meniup lilin kek tersebut.

Isteriku memberi hadiah kucupan di pipiku. Dia membisik ke telingaku bahawa dia akan jadi isteri yang tak akan menyusahkan aku, tak akan menimbulkan risau padaku dan tidak akan menghalang jika aku berkahwin lain.

Sekali lagi aku tak mengerti apa yang isteriku katakan.

Pada mulanya aku terbayang-bayang dengan ayat terakhir ungkapan isteriku. Seakan ayat sebelumnya tidak berapa memberi impak padaku. Namun, seperti yang aku katakan sebelum ini, kelakuan dan layanan isteriku itu yang menyebabkan aku rasa tiada siapa dapat menggantikan tempatnya. Dan dia adalah wanita yang selayaknya mendapat sepenuhnya cintaku selepas cintaku pada Tuhan.

###
‘Jerebu melanda negara secara mendadak hari ini sehingga mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 di Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Shah Alam dan Cheras,’ aku membaca berita yang menghiasi dada akhbar arus perdana hari ini.
Aku melihat di balik tingkap pejabatku, selalunya pandangan aku mampu melihat 200 meter ke hadapan. Hari ini, kabus putih menyingkatkan pandangan mataku yang hanya mampu melihat 50 meter ke hadapan sahaja.
Sungguhpun negara hari ini diserang jerebu, aktiviti harian warganya berjalan seperti biasa. Umpama tiada apa yang berlaku. Jika dahulu heboh kerajaan mengiklankan supaya kita memakai penutup mulut dan hidung, namun kini ia hanya tinggal sejarah. Ah, kalau asap rokok pun orang tak tekup mulut atau hidung, inikan pula jerebu yang tiada bau dan tiada rasa. Minum air mineral dengan banyak, itu sahaja saranannya pada masa kini.
Hari ini juga ulangtahun perkahwinanku kali ke-17. Anak lelaki aku sedang menghadapi SPM. Tahun ini aku sudah berkira untuk bawa Fazura, housemate kesayanganku, ke Cameron Highland. Ya, aku tahu, dulu pun aku pernah ada keinginan untuk bawa isteriku ke sana, namun tak kesampaian.
Mula-mula aku ingat nak bawa isteriku ke Genting Highland, namun memikirkan kami sudah hampir menjengah usia senja, lebih baik aku bawa isteriku ke persekitaran yang nyaman berbanding persekitaran yang hedonis.
Setibanya aku di rumah, aku tak sabar untuk memberitahu rancangan percutian kami berdua.
“Assalamualaikum.”
Lama juga aku menanti isteriku menyahut. Mungkin dia sedang sibuk dan leka dengan kerjanya di dapur.
“Abang dah balik ni.”
Masih tiada jawapan. Pelik juga dibuatnya, kebiasaannya aku masuk melangkah sahaja ke pintu pagar rumah, isteriku aku sambut dengan senyuman manisnya. Tak mengapalah, mungkin dia sedang mencuba resipi baru di dapur.
Aku melabuhkan punggungku di kerusi sofa. Aku sandarkan kepala di kerusi sofa, sengal badan hilang seketika. Aku berkhayal yang sekejap lagi isteriku akan bawa minuman panas kepadaku.
‘Agak-agaknya kopi atau milo?’ desis hatiku. Aku memlih isteriku akan membawa sedulang minuman teh jasmine panas. Sebabnya baru semalam aku membawa isteriku beli-belah di supermarket, aku kerling dari jauh dan nampak isteriku memasukkan sebungkus teh jasmine ke dalam troli.
‘Hah!’ idea romantis tiba-tiba muncul. Begini, aku akan buat ekspresi muka semasa minum air teh yang dihidang oleh isteriku seperti tak manis atau kelat. Isteriku mesti akan tanya sama ada air panas yang aku minum itu manis atau tawar. Aku akan suruh isteriku senyum, dan bila dia senyum aku akan jawab yang senyumannya telah mengambalikan rasa manis pada teh yang dibancuhnya untukku.
Alangkah indahnya kalau itu yang berlaku.
Jenguh aku menunggu di kerusi sofa, namun isteriku masih tidak muncul. Aku menjengah di balik dapur apa yang isteriku sedang lakukan. Malangnya, batang hidung isteriku tak kelihatan. Dia tiada di dapur.

Aku mula risau. Selalunya jika isteriku nak keluar, dia akan hantar SMS kepadaku. Aku segera mencapai telefon bimbitku dan menelefon isteriku.
Nada deringnya kedengaran dekat denganku yang masih berdiri tegak di dapur. Aku mencari-cari berpandukan nada dering telefon bimbit isteriku. Rupa-rupanya ia tersorok di bawah kabinet.

Aku mula mengesyaki sesuatu. Kenapa telefon bimbit isteriku terperosok di bawah kabinet. Aku gegas berlari ke kamar peribadi dengan harapan isteriku ada di sana. Namun, harapan aku meleset. Aku kini cemas.

Serata tempat dan sudut rumah aku cari dan selidiki. Masih tiada sebarang petanda yang isteriku ada di sini. Aku buntu. Banyak kali juga aku jerit memanggil namanya.
Hatiku mula membusuk dengan hasutan nafsu. Mustahil isteriku lari dari rumah dan mustahil isteriku keluar tanpa memberitahu isteriku. Jauh di sudut hatiku, aku mengharap tiadanya isteriku pada waktu ini, bukan kerana diculik.

Aku mendail nombor 999. Aku ingin lapor kehilangan isteriku, namun aku lupakan hasratku seketika kerana aku pasti tahu respon mereka. Selagi tak cukup 24 jam hilang, maka laporan kehilangan tak boleh dilakukan.

Aku cuba positifkan mindaku. Lagipun ada satu lagi bilik yang aku belum jenguk. Mungkin isteriku ada disana. Bilik anak lelaki aku, selalunya isteriku akan mengemas bilik anakku setiap hari.

Semakin aku menghampiri bilik anak lelakiku, aku dengar suara isteriku banyak kali menarik dan menghembus nafas. Rentaknya terlalu cepat tidak seperti manusia biasa bernafas.

“Fazura,” lembut sahaja suara aku memanggil isteriku. Aku berada di hadapan pintu bilik anak lelakiku.

Masih tidak berjawab. Nafas isteriku juga tak kedengaran. Aku menggarukan kepalaku dan aku fikir isteriku tak mahu diganggu.

“Saya tunggu awak kat depan tv yer,” kataku sambil melangkah pergi.

Baru dua tapak melangkah, aku dapat rasakan isteriku seperti sukar untuk bernafas. Sebabnya setiap hela nafasnya seperti pendek dan deras kedengaran.

Aku segera ke pintu bilik anak lelakiku.

“Awak okey ke?” soalku yang masih teragak-agak untuk masuk.

Kadang-kadang aku tak faham kenapa setiap kali aku memanggilnya, hela nafasnya yang tersekat sudah tidak kedengaran lagi. Tapi bila aku melangkah pergi, bunyi hela nafasnya kembali semula.
“Saya masuk ni,”

“Jangan…” isteriku bersuara ketar menghalangku dari membuka pintu. Aku tak pernah mendengar isteriku bersuara ketar sebegitu rupa. Seperti menahan perit dan sakit ulu hati.

Aku tak sedap hati.

Tatkala aku memulas tombol pintu bilik anak lelakiku, dedaun pintu aku buka perlahan-lahan, aku lihat isteriku sedang bersandar di tepi katil. Cadar terurai berselerak dari kerangka katil.

Isteriku berpeluh di sekitar mukanya, bibirnya mengelupas kering dan pucat warnanya. Tangan kanannya mengeronyok hujung cadar, sambil tangan kirinya menggenggam erat baju di bahagian dadanya.

Aku segera mendapatkan isteriku yang masih terduduk menahan kesakitan. Aku dapat rasakan setiap hela nafasnya seperti menelan sesuatu yang sangat besar. Matanya kemerahan dan berair. Isteriku sesak nafas, pertama kali aku melihat isteriku dalam keadaan begini.

“Saya bawa awak ke hospital nak?” soalku cemas sambil isteriku menggelengkan kepala. Isteriku hanya menuding jari ke pil yang berselerak di lantai.

Aku segera mengangkat isteriku ke katil dan memangku kepalanya. Aku berikan ubat yang ditelunjukinya serta membantunya untuk minum. Sudah la bernafas pun susah, apatahlagi nak telan ubat.

Selepas beberapa ketika, detik cemasku beransur reda. Aku masih memangku kepala isteriku di katil. Isteriku terlelap. Tas tangan yang selalu aku simpan dalam kocekku, aku keluarkan dan lap setiap titisan peluh isteriku.

Sedang aku asyik mengelap setiap titis peluh di pipi isteriku, aku tak sangka pipiku pula dibasahi titis air mata jernih.

###

Aku memangkah ‘X’ di kalender peribadiku. Hari ini 16 Disember, tarikh yang menyatukan hati kecilku dengan wanita yang tak pernah aku kenali sebelum ini. Pertama kali aku mendengar nama Fazura Hanna, seakan tiada lagi nama manusia lain seindah namanya. Pertama kali aku melihat riak wajahnya, riak hatiku bergelora.

Dan pertama kali juga aku dengar rintih suara ketarnya menderita, hatiku ibarat lumpuh menderita bersama. Aku sedang duduk disisi isteriku yang sedang terbaring di atas katil. Dia terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dari mesin oksigen.

Hari ini juga jerebu kembali melanda negara. Fikiranku kusut memikirkan keadaan isteriku. Setiap kali jerebu, mesti isteriku akan mengalami sesak nafas. Aku rasa mungkin ini pengorbanan yang aku perlu bayar sepanjang 19 tahun kami berkahwin.

Aku mencium dahi dan tangan isteriku sebelum aku keluar bekerja. Kebiasaannya, apabila aku keluar berkerja, anak lelaki aku akan menjaga isteriku. Selepas waktu berkerja, aku pula yang akan ambil alih.

“Abah…” anakku bersuara. “Along rasa along tak boleh study oversea.”

Aku mula pelik. Takkan lah pelajar yang mendapat keputusan 12 A dalam SPM tak berjaya untuk dapat tawaran melanjutkan pelajaran.

“Kenapa?” soalku tegas.

“Along dah check kat sekolah tadi, dia orang kata tak ramai yang dapat sebab… sebab course yang Along apply tinggi sangat requirement yang dia orang letak,”

Aku tahu yang anak lelaki aku hanya memberikan alasan.

“Kawan baik kamu tak dapat ke?” aku cuba mencari jawapan di sebalik alasan yang anak lelaki aku berikan. Anakku menggelengkan kepalanya. “Atau kamu ada girlfriend yang study kat sini?”

“Tak ada lah,”

“Habis tu kenapa kamu tak mahu ke luar negara?”

Anak lelakiku hanya menundukkan kepala seakan serba salah. Sesekali matanya merenung tepat emaknya yang sedang terbaring mengharap bantuan mesin untuk bernafas.

Aku faham perasaan anakku, lalu aku memegang bahunya.

“Abah kan ada. Abah boleh jaga mak kamu,” tenang saja aku beri jaminan kepada anakku. Aku tahu pada saat ini, nasihat aku mungkin tak berguna untuk anakku yang sudah nekad untuk berada di sisi emaknya.

Aku tinggalkan isteriku kepada  anak lelakiku. Keadaan isteriku semakin hari semakin teruk. Jikalau dulu, aku masih mampu melihatnya ketawa. Kini aku hanya mampu melihat merintih menahan derita.

Mujurlah keadaannya teruk hanya pada musim jerebu. Kalau aku punyai kuasa untuk menakluk dunia, sudah pasti aku akan hukum sesiapa sahaja yang bakar hutan secara terbuka. Namun, aku hanya insan biasa, suami yang tak berdaya melakukan apa-apa tatkala permaisuri hatiku menghabiskan dayanya melawan derita.

“Man!” sampuk rakanku, Bob. “Aku dengar isteri kau sakit teruk, betul ke?”

“Entahlah, Bob. Aku pun tak tahu apa puncanya. Setiap kali jerebu mesti dia akan sesak nafas. Makin lama makin menjadi-jadi,”

“Kau tak bawak dia pergi jumpa doktor ke?”

“Tak.”

“La… kenapa tak bawak jumpa doktor?”

“Orang rumah aku tak nak. Katanya, nanti menyusahkan aku.”

“Habis tu kau tak cuba cara alternatif?” cadang Bob supaya aku jumpa dengan tok bomoh.

“Efektif ke?” aku meragui cadangan Bob.

“Cubalah dulu. Tak salah kalau kita cuba. Lagipun aku ada kenal dengan seorang tok bomoh ni.”

“Kalau macam tu, okey-lah. Kau bawa dia datang rumah aku esok malam.”

Walaupun aku tahu, tok bomoh kadang-kadang ada yang tak boleh dipercayai, tapi fikiran aku bergelumang dengan rasa risau terhadapan keadaan isteriku. Kalau isteriku sembuh, Alhamdulillah.

Malam esoknya, Bob membawa tok bomoh yang dikenali dengan panggilan Wak Jol. Nama penuhnya ialah Tajol Ariffin. Aku bersama anak lelakiku melihat sahaja kelibat tok bomoh tersebut yang dibantu oleh Bob.

Mulut Wak Jol kumat-kamit membacakan ayat al-Quran. Kadang-kadang ada juga diselitkan dengan kata-kata yang aku sendiri tak faham, yang pasti bukan ayat al-Quran. Telur ayam diletakkan di perut isteriku dan beberapa kali Wak Jol merendamkan telur itu dalam kepulan asap kemenyan.

“Isteri kamu ni kena buatan orang,” hasil keputusan rawatan Wak Jol sudah dikeluarkan. Kalau di hospital, belum tentu secepat ini keputusannya.

“Siapa, Wak?” soalku ingin tahu siapa yang cuba menganiaya isteriku. Wak Jol menyuruh Bob membawa satu periuk kecil yang berisi air. Mulutnya sekali lagi berkumat-kamit sambil jari manisnya mengocak air dalam periuk kecil tersebut.

“Kamu lihat betul-betul dalam periuk kecil ni. Kalau kamu ikhlas nak tahu siapa, kamu akan nampak wajahnya dalam air ni,”

“Betul, betul. Yang penting ikhlas je, Man.” Sampuk Bob yang berada di sebelah anak lelakiku.

Aku mengamati lama. Pandanganku berendam sehingga ke dasar periuk. Masih tiada raut wajah yang kelihatan. Aku kemudiannya menyuruh anakku untuk melihat sama ada nampak atau tidak. Anakku menggelengkan kepala tak nampak.

“Maknanya, orang yang buat ni guna bomoh siam. Bomoh siam kuat tu. Wak tak sampai lagi tahap untuk lawan bomoh siam,” ujar Wak Jol selepas aku dan anakku tak nampak apa-apa dalam periuk kecil. Ah, aku tahu itu taktik nak elak dari kantoi tipu helah tok bomoh tersebut.

Selepas Bob dan Wak Jol pulang ke destinasi masing-masing, isteriku cuba bangun dari katilnya. Badannya lemah. Anakku membantu isteriku untuk duduk.

“Abang, anak kita mana?”

Mataku dan anakku bertentang. Aku terkejut dengan soalan isteriku. Takkanlah isteriku lupa ingatan pula.

“Saya ada kat sebelah mak la,” anakku segera menjawab dengan nada manjanya seperti biasa.

Isteriku ketawa lemah, “lupa pulak mak. Anak mak dah besar rupanya.” Aku hanya tersenyum melihat gelagat anak dan isteriku. Rupanya isteriku tak sedar yang anak kesayangannya ada di sebelah.
###

Hari ini aku dikejutkan dengan satu panggilan dari anak lelakiku. Dia kata yang dia tak sanggup untuk berjauhan dengan emaknya. Dia minta keizinanku untuk menangguhkan pendaftarannya di Universiti Dublin.

Aku faham niat murninya. Sebagai seorang bapa, aku tahu jika aku melarang sekerasnya hasrat anakku, ia hanya menmbah nekadnya untuk terus tidak melanjutkan pelajaran ke sana. Lebih baik aku benarkan dia untuk tangguh dahulu, dari terus tak pergi langsung.

Tahun ini merupakan tahun yang sukar buat isteriku. Juga buat diriku dan anakku. Insan yang paling kami sayangi semakin menjadi-jadi sakitnya.

Jika dulu, dia hanya sesak nafas sewaktu musim jerebu. Kini, badannya seperti lumpuh separuh. Tangannya tidak mampu memegang dengan elok. Bahkan untuk berjalan, itu adalah sesuatu yang mustahil. Kadang-kadang sampai seminggu terlantar di atas katil.

Lalu aku ambil keputusan untuk bawa isteriku berjumpa doktor pakar.

Sebulan kemudian, aku dipanggil oleh Doktor Hema, doktor pakar yang merawat isteriku untuk berjumpa dengannya.

Sebelum berjumpa doktor, aku singgah dahulu ke wad isteriku. Bersama dengan sejambak bunga mawar lavender, aku perlahan-lahan menghampirinya yang baru sedar dari lenanya.

“Awak okey?” soalku dengan senyuman.

Isteriku tak menjawab. Anak matanya meliar melihat aku dan pesakit disekelilingnya.

“Saya bawa bunga untuk awak,” aku menghulurkan jambakan bunga mawar lavender kepadanya.

Isteriku masih tak menjawab. Bahkan, dia menggaru kepala pula.

“Awak lapar tak?” pelawaku apabila melihat juruawat membawa makanan yang disediakan pihak hospital.

“Awak siapa?” soal isteriku. Riak wajahku mula berubah.

Dengan tenang aku menjawab, “saya suami awak?”

“Suami?!” isteriku masih terpinga-pinga dengan jawapanku. Aku pun menunjukkan cincin kahwin yang tersarung di jari kami berdua.

“Encik Rahman, boleh jumpa saya sebentar?” Doktor Hema memanggilku ke pejabatanya. Aku segera berjumpa dengannya bersama seribu satu persoalan tentang keadaan isteriku.

“Jemput duduk,”

“Terima kasih, doktor.”

Waktu inilah aku mula bertanya kepada Doktor Hema apa yang sebenarnya berlaku. Bukan itu sahaja, aku ceritakan segala-galanya tentang keadaan misteri isteriku. Doktor Hema menyuruh aku bertenang jika aku mahu tahu apa yang isteri aku sedang alami. Melalui hasil keputusan pemeriksaan rapi oleh beberapa orang doktor pakar di hospital, hasilnya isteriku didapati mempunyai simptom-simptom penyakit saraf.

“Bahaya ke doktor?”

“Asalnya tidak merbahaya jika dicegah dari awal,”

“Maksud doktor?” aku mula risau dengan kenyataan Doktor Hema.

“Beginilah, jika mengikut teori perubatan moden, sepatutnya isteri awak tak dibenarkan untuk mengandung. Jika dia melahirkan anak, sepatutnya penghidap penyakit ini mungkin ada beberapa tahun sahaja untuk hidup,”

“Tapi isteri saya dah hidup bersama saya hampir 20 tahun selepas anak saya lahir,” tegasku seperti tak berpuashati.

“Sebab itu saya katakan mengikut teori perubatan moden. Kadang-kadang, ada juga miracle dalam hidup ini yang diluar kawalan kita,”

“Isteri saya masih boleh diselamatkan ke doktor?”

“Maafkan saya, penyakit isteri awak sudah sampai ke tahap keempat. Sukar untuk saya jamin keadaan isteri awak,”

Ya Allah, apa pula ujian yang aku harus tempuh. Mendengar penjelasan Doktor Hema benar-benar membuatku mati akal. Barulah aku sedar, yang selama ini keadaan isteriku berpunca dari penyakit yang dihidapinya. Bodohnya aku kerana tak sedar tentang keadaan isteriku.

“Jadi sekarang apa yang perlu saya buat, doktor?”

“Bertenang dan sentiasa ada disisinya.”

Saat aku melangkah keluar dari pejabat Doktor Hema, aku melihat dari jauh kelibat isteriku yang sedang asyik makan makanan yang disediakan pihak hospital. Runtun hatiku melihat wanita itu akan meninggalkanku tak lama lagi. Aku mengeluh panjang, sejurus selepas itu air mata jernihku membasahi pipi.

Aku keluar ke satu sudut koridor di balik jendela hospital, aku menangis dengan penuh esakan kecewa dengan kebodohan diriku. Aku mula terbayang segala perilaku isteriku yang mendamaikan hatiku, tutur kata yang menenangkan jiwaku dan senyumannya yang menenteramkan diriku. Sedikit masa lagi, semua itu akan tinggal kenangan. Ah! Kenapa aku terlalu pentingkan diri sehingga aku tak pernah menjaganya seteliti mugkin sama seperti dia lakukan terhadapku.

“Saya… amat rindu awak, Fazura.” Aku gagal menyekat airmataku dari turun.

###

Kini, bertemankan pohon kemboja yang tumbuh mekar di sisi batu nesan terukir nama Fazura Hanna Binti Abdullah, sekali lagi aku membacakan catatan dalam diari aku. Melalui catatan ini juga aku mampu ingati kembali kenangan aku bersama isteriku.

Setelah hampir 20 tahun bersama, akhirnya kami terpisah di dunia yang sama namun terasing di dua alam yang berbeza. Aku membersihkan perkarangan kubur arwah. Aku basahi lidahku untuk ku hadiahkan bacaan al-Fatihah dan Yasin pada isteriku.

Mampukah aku pulang ke rumah tanpa menunggu seseorang datang dari dapur. Kuatkah aku untuk terus menanti seseorang menyapa menghidangkan minuman panas sejurus aku pulang dari pejabat. Bisakah aku mengacaunya ketika dia sibuk melakukan kerja di dapur.

Tiada lagi senyum mesra, tiada lagi raut wajah tenang di mata kasarku. Yang ada hanya kelibatnya dalam memoriku yang semakin samar dimamah usia.

Setahun selepas aku diberitahu tentang penyakit isteriku oleh Doktor Hema, isteriku tak bertahan lama. Isteriku koma selama berbulan lamanya. Hampir semua doktor pakar yang merawat isteriku berpendapat isteriku sudah tiada peluang untuk sedar dari koma. Dia hanya bergantung harap kepada mesin untuk terus hidup.

Anak lelakiku pasrah. Aku pula tidak tentu arah. Mahu sahaja aku katakan isteriku masih mampu sedar, namun aku juga tak mahu membiarkan isteriku berterusan koma menderita. Lalu aku putuskan bahawa aku rela lepaskan isteriku pada tanggal 16 Disember.

Pada 16 Disember 2010, tepat ulangtahun ke-20 perkahwinanku dan Fazura Hanna, kesemua ahli keluarga dan saudara mara terdekat berkumpul di wad isteriku. Seorang demi seorang mendekati jasad isteriku yang terbujur koma dan membisikkan ucapan selamat tinggal padanya.

Aku pernah dengar ada orang kata, jika seseorang itu koma, dia mampu dengar segala yang kita cakapkan. Selepas anak lelakiku mengucapkan selamat tinggal kepada emaknya, giliranku pula selaku orang terakhir yang akan mengucapkan selamat tinggal padanya.

Aku duduk disebelah isteriku, tangan kananku memegang jemari halusnya. Sentuhan kali ini agak dingin tidak seperti selalu. Namun masih dapat aku rasa getaran di hati. Aku cium telapak tangannya dan dahinya. Lalu aku dekatkan bibirku di telinganya dan berkata,

“Sayang, selamat ulangtahun ke-20. Sejauh mana pun awak pergi, saya tetap akan ikut awak. Sejauh mana pun kita terpisah, awak sentiasa ada di hati saya,” aku mencium tangannya dan dahinya sekali lagi.

Dengan berat hati aku memberi isyarat kepada pegawai perubatan yang bertugas untuk menghentikan mesin yang membantu isteriku bernyawa.

Tittt!

Aku masih memegang tangan isteriku. Aku pejam rapat mataku untuk memendam perit perpisahan ini. Sejurus aku buka mataku, aku lihat air mata mengalir turun perlahan dari mata isteriku yang terpejam rapat. Aku terduduk semula dan menangis sambil tak berhenti mencium tangan isteriku.

‘Saya minta maaf, saya hanya tak mahu lihat awak menderita lagi…’rintih hatiku.

“Abah, jom kita balik,” anak lelakiku menyedarkan aku dari lamunan.

“Kejap, abah nak doa sekejap kat kubur mak. Pergilah dulu.”

Jika dulu aku hadiahkan bunga mawar lavender setiap kali aku pulang dari pejabat, kini bunga kemboja putih mengiringi setiap lawatanku ke kubur isteriku.

Sebelum aku melangkah pulang dari kubur isteriku, sempat aku menoleh dan berkata, “SAYA AMAT RINDU AWAK, FAZURA!”

No comments: