Friday, January 11, 2013

(CERPEN) Lisa : Mestika Aryan




Tersebut sebuah ceritera dahulu kala, tinggal seorang pemuda berbangsa Aryan dari Utara India melabuhkan bahteranya di persisir pantai Melaka. Dibawa berlayar ke Melaka bersama satu khazanah yang tiada ternilai harganya, tiada tertolok bandingnya. Hinggakan sampai ke pengetahuan Paduka Bendahara, seraya menyampaikannya ke perhatian Duli Tuanku Sultan Melaka.
Sayugia bertitah Sultan Melaka untuk merampas khazanah tiada dikira simpati pada pemuda Aryan itu. Lantas pemuda itu disula tatkala melancarkan perang bersama waris gemulah Sultan Melaka. Waris gemulah pula dibuang ke negeri Inderapura. Tiada siapa tahu, walau dari sekalian pawang, mengapa waris gemulah amuk di tanah Melaka. Hanya mereka tahu, pemuda Aryan itu kini menjadi gila tanpa mampu melabuh layar bahteranya ke negara asalnya.
“Beta mahu peti khazanah itu dibuka, memanda Bendahara!” titah Sultan jangan dimungkiri. Paduka Bendahara segera memanggil sekalian pemuda Melaka yang mahir dalam pertukangan. Berbagai cara dan kaedah digunakan, pelbagai lenturan besi di kimpalkan, dan serangkai mantera serapah dilemparkan. Namun, peti khazanah itu tetap tertutup rapat.

Sultan Melaka menjadi murka dengan keadaan itu. Lantas Sultan Melaka menghunus keris yang tersisip rapi di pinggangnya dan bersumpah,
“Barangsiapa yang mampu membuka peti khazanah ini, maka beta akan hadiahkan sepersalinan pakaian diraja bersama sebidang tanah taklukan beta kepadanya!”
Firasat pawang diraja menyatakan Sultan Melaka telah dirasuk dengan semangat peti khazanah bangsa Aryan itu. Lantas pawang diraja meminta ampun untuk menghadap ke bawah duli Tuanku Sultan Melaka.
“Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap di ampun,” sembah ampun dari pawang diraja disambut senyuman bengis dari Sultan Melaka.
“Jika pawang mahu menegur beta, usah!” Sultan Melaka mengetahui hasrat tersirat di hati pawang diraja. Namun pawang diraja tetap bersuara dan menyatakan adalah lebih baik Tuanku Sultan Melaka memberi perhatian kepada rakyat jelata.
“Apakah pawang ingin katakan selama ini beta cemerkap dalam menjaga rakyat beta sendiri!?” Mata Sultan Melaka membulat seperti melemparkan tulah kepada pawang diraja. Tirkah Sultan Melaka segera dikeluarkan, sesiapa yang tidak mahu menyokong Sultan Melaka, maka azab seksa menantinya dan tulah bakal menghantuinya.
Hampir berpuluh tahun lamanya peti khazanah itu disimpan di Istana Sultan Melaka. Sebelum Sultan Melaka gering, peti khazanah Aryan itu hilang. Tiada siapa tahu siapa yang mencuri. Ada yang menuduh pemuda Aryan yang mengambil, lalu dibunuh namun tidak juga dijumpai. Ada yang mengatakan pawang diraja, lalu dipancung kepalanya, tetap juga tak dijumpai. Akhir sekali, ada yang menuduh Paduka Bendahara, saat itulah Melaka digempur oleh Portugis. Bersama sisa perjuangan Sultan Melaka untuk mendapatkan kembali kota Melaka, peti khazanah Aryan tidak lagi menjadi perhatian Tuanku Sultan Melaka. Bahkan Sultan Melaka sempat bersumpah,
“Andai Melaka kembali hidup, beta sumpah barangsiapa menjumpai peti khazanah Aryan itu akan hidup melarat sehingga ke waris yang terakhir keturunannya!”
###
600 tahun berikutnya.
 “Gua dah banyak kali bilang sama lu, kalau mau meniaga secara aman damai, wang mesti mau kasi sama gua,” tegas Tiger atau nama sebenarnya Tahir, ketua kumpulan mafia terkenal di kota ini. Sungguhhpun umurnya sudah hampir memasuki senarai pesara kerajaan berpencen, namun kaliber dan karismanya sebagai seorang ketua mafia tiada galang gantinya.
Setiap kali nama Tiger disebut, segera jiwa para marhaen kelam kabut. Bukan sahaja marhaen, malah warga konglomerat dan politikus juga menadah lembayung pengaruhnya. Namun, segala kemegahan dan ketakutan yang dinikmati itu mula beransur berubah apabila Tiger, bukan nama sebenar, terjumpa bakul berisi bayi yang diletakkan berhampiran jambatan.
Masih segar di ingatannya, pada waktu itu dia baru sahaja selesai membelasah sekumpulan remaja yang enggan keluar dari cyber café di kawasan jagaannya. Tatkala cuba membuang hajat kecil di tepi jambatan, esak tangis bayi yang baru mengenal erti kedinginan bayu malam, menyebabkan hajatnya terhenti seketika. Pada waktu itulah dia menjumpai Lisa, anak angkat yang banyak mengubah hidupnya 360 darjah.
Jika dahulu dia hanya tahu akan nafsu amarah, kini dia kenal erti mahabbah. Jika dahulu hidupnya penuh dengan gaya songsang, kini hidupnya menghargai apa yang lebih dan apa yang kurang. Jika dahulu setiap hari hatinya kosong dan cuba dipenuhi dengan kepuasan yang kosong, kini hatinya dilimpahi ketenangan berbondong-bondong.
Cukup madah pujangga berbunga-bunga, mari kita fokus kepada lelaki tua bernama Tahir yang juga dikenali Tiger.
“Pssst! Bos!” sahut Zamri memanggil Tahir sambil menekup ganggang telefon, “Lisa kol.”
“Lisa mana?” soal Tahir bengis.
“Lisa,” jawab Zamri yang tak tahu nak beri penjelesan kepada soalan Tahir sebentar tadi.
“Hah! Anak aku tu,” Tahir mula gelabah. Habislah kalau anak perempuan kesayangannya tahu bahawa dia masih bergiat dalam kegiatan mafia. “Woi, cepat kemas rumah ni!” arah Tahir kepada kesemua anak buahnya untuk mengemas ruang tamunya yang bersepah.
Tahir menyuruh Zamri mengambil air mineral untuk membasahkan sedikit tekaknya yang kering. Sejurus selepas minum, Tahir berdehem untuk memastikan tekaknya berada dalam keadan normal.
Dengan suara tenang, Tahir mula berkata, “Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh, anak kesayangan papa sihat?”
“Amboi, panjangnya salam papa bagi,” balas Lisa dalam talian, “Alhamdulillah, sihat.”
“Ada apa anak papa telefon papa ni?”
“Saje,”
“Tipulah. Mesti duit dah habis ni. Jangan risau, nanti papa suruh Zamri bank-in,” kata Tahir sedikit tenang, menimbulkan rasa geli hati kalangan anak buahnya dan lelaki yang dipukulnya tadi. Mata Tahir menahan amarah melihat reaksi mereka menyebabkan anak buahnya memukul semula lelaki tersebut.
“Ish, papa ni. Lisa banyak lagi duitlah…” Lisa memberhentikan kata-katanya apabila terdengar bunyi bising dalam talian tersebut, “Papa belasah orang lagi ke?”
“Hah!?” Tahir terkejut dengan soalan Lisa, segera menyuruh anak buahnya keluar dari rumahnya. Zamri bersama yang lain mengheret lelaki yang menjadi mangsa belasahan mereka ke luar rumah. Kali ini Zamri dan yang lain cuba memukul di luar rumah pula.
“Woi, pakai otak sikit!” tegas Tahir dengan nada yang sederhana tinggi sambil menekup ganggang telefon. Zamri menunduk akur. Sebenarnya, jiran-jiran di sini tak tahu bahawa Tahir adalah seorang ketua mafia atau kini sudah menjadi mantan ketua mafia terkenal di kota ini.
Semenjak kedatangan Lisa dalam hidupnya, Tahir mula hidup berselimutkan watak orang kebanyakan. Bahkan semakin hari, semakin kurang kegiatan dan aktiviti hitamnya. Semuanya dilakukan demi anak kesayangannya, Lisa.
“Banyak tetamu hari ni, Pak Tahir,” sapa Aizat, anak jiran sebelah yang baru pulang dari memancing. Aizat melihat wajah bengis seorang demi seorang anak buah Tahir. Lapan orang kesemuanya termasuk Zamri. Pemuda itu tersenyum risau sebelum mengundur diri.
“Hello!? Hello!? Hello…” berkali-kali Lisa memastikan talian telefon masih bersambung.
“Ya, hello. Papa ni,” jawab Tahir menyedari Lisa memanggilnya dalam talian, “tu bunyi tukang tengah repair tandas rumah papa.”
“Aik, bukan semalam Lisa kol, papa kata tandas dah okey,”
“Yeke!?” Tahir ligat memikirkan alasan untuk diberikan kepada anak perempuannya itu, “itu semalam, hari ni rosak balik.”
Lisa hanya tertawa kecil mendengar alasan Tahir. Dia tahu tentang aktiviti bapa angkatnya. Sudah banyak kali dia mencuba untuk membantu Tahir meninggalkan sikapnya itu, namun tidak berjaya. Barangkali sudah sebati dengan diri. Perubahan yang sedikit demi sedikit yang ditunjukkan Tahir sudah cukup buat Lisa.
“Lisa nak mintak tolong sikit boleh tak?” pinta Lisa.
“Boleh,” balas Tahir ringkas.
“Lisa nak papa baca satu artikel, boleh tak papa tolong buat research sikit?”
“Boleh. Untuk anak papa, apa pun sanggup papa buat,” jawab Tahir. “Kalau tak ada apa-apa lagi, papa gerak dulu la yer.”
“Eh, kejap. Papa nak gerak ke mana?”
“Tadi Lisa suruh papa baca satu artikel, papa nak gerak pergi baca artikel tu lah,”
“Kat mana papa nak baca artikel tu?” persoalan Lisa menyentap pergerakan Tahir. Tahir hanya mampu menepuk dahi tanda agak kecewa denagn kebodohan dirinya sendiri. Terlalu bersemangat sehingga tidak tahu di mana sumbernya.
“Ye tak ye jugak,” itu sahaja ungkapan yang mampu diucapkan Tahir.
“Ish, papa ni. Lisa sent by emel jelah. Lisa dah hantar kat emel Aizat. Check yer.”
Usai panggilan telefon tersebut, Tahir segera ke luar urmah dan memanggil Aizat yang menghendap dari tingkap rumahnya. Berkali-kali Tahir memanggil nama Aizat, namun pemuda itu masih tak menjelma keluar. Mungkin takut dengan kehadiran anak buah Tahir yang memiliki raut wajah bengis.
“Hei, budak!” jerkah Zamri yang berdiri di sebelah Tahir. Segera tapak tangan Tahir hinggap di ubun kepala Zamri. “Adoi, sakit bos.”
“Bodoh. Berapa kali aku dah cakap, nak berkomunikasi dengan jiran kena cakap elok-elok,” marah Tahir kepada Zamri.
“Tapi dulu bos kata…” Zamri cuba mengungkit tindakan silam Tahir yang dahulunya tak pernah sekalipun bercakap baik dengan sesiapa.
“Tu dulu, sebelum kita jumpa Lisa. Lisa sendiri ajar aku macam mana nak berkomunikasi dengan jiran,”
“Macam mana bos?”
“Macam ni,” Tahir cuba mempraktikkan apa yang di ajarkan oleh Lisa kepada lapan anak buahnya, “panggil nama budak tu dengan lemah lembut.”
“Aizaaat,” Zamri cuba mengolahnya. Tahir menunjukkan isyarat ibu jari menandakan ia betul. Anak buahnya yang lain juga berlatih cara pengucapan yang sama seperti Zamri. Selang beberapa ketika, Tahir memberikan isyarat satu, dua dan tiga,
“Aizaat,” nama pemuda itu meleret panjang dilontarkan serentak oleh Tahir dan anak buahnya. Aizat yang berada dalam rumahnya pula menggigil ketakutan.
‘Apa salah aku, apa dosa aku kat dia orang?!’ hati pemuda itu berkecamuk. Walaupun dia tak dapat memastikan bahawa lelaki yang ada di rumah Tahir itu adalah samseng, namun renungan mata mereka yang penuh dengan amarah benar-benar menakutkannya.
Sudah banyak kali Tahir dan anak buahnya memanggil Aizat dengan nada meleret. Masih juga Aizat berkeras untuk tidak keluar. Disebabkan iman mereka senipis kulit bawang, Zamri mula rimas menunggu Aizat.
“Bos, ini tak boleh jadi ni bos,” Zamri mula bengang, “dah panggil dengan cara elok pun, dia tak nak keluar lagi ni. Baik kita baling cat merah kat rumah ni dan rosakkan harta benda kat rumah dia, bos!”
Sekali lagi tapak tangan Tahir hinggap di ubun kepala Zamri. Sambil menggosok sakit kepalanya, Zamri menunduk memohon maaf.
“Lisa ada beritahu aku, kalau kita rosakkan harta orang lain, kita kena bayar balik. Masalahnya sekarang tengah bulan, duit perlindungan tak kutip lagi, jadi kau nak tanggung semua kerosakan yang kau buat, setan!” jelas Tahir kepada Zamri dengan nada meninggi.
Sorry, bos. Jadi kita nak panggil sekali lagi ke?”
Soalan Zamri disambut dengan anggukan kepala oleh Tahir. Mereka sekali lagi memanggil Aizat dengan nada meleret.
Aizat pula semakin kelam kabut apabila mendengar kata-kata Zamri yang ingin merosakkan harta benda di rumahnya. Dengan hati yang terpaksa, Aizat keluar dengan mengangkat tangan tanda menyerah diri.
“Ha! Kan aku dah kata,” Tahir cuba menunjuk-nunjuk kepada anak buahnya bahawa strateginya untuk memanggil Aizat dengan cara yang diajarkan Lisa.
“Tak sia-sia bos hantar Lisa masuk Universiti,” ujar Zamri kagum dan menepuk tangan bersama yang lain. Tahir hanya tersenyum bongkak.
“Saya tak salah, saya tak salah!” jerit Aizat terduduk ketakutan menyaksikan reaksi mereka semua. Tahir dan anak buahnya berpandangan sesama sendiri kehairanan.
Zamri menyentuh bahu Aizat yang sedang menggigil. Gigilan Aizat menyebabkan Zamri menarik balik sentuhannya. Kemudian, sekali lagi dia menyentuh bahu Aizat, kini gigilan pemuda itu makin bertambah radius getarannya. Berulang kali Zamri mengusik bahu Aizat, sehingga menyebabkan pemuda itu menangis sambil memeluk tubuhnya sendiri.
Tiba-tiba Aizat rebah di lantai meninggalkan sisa lelah melalui pundinya.
“Air apa ni bos?” soal Zamri menunjukkan air yang mengalir di lantai. Zamri menutup hidungnya setelah cuba menghidu bau air tersebut.
“Alahai, susah macam ni. Kalau mak bapak dia balik kerja, masak aku nak menjawab,” ujar Tahir mati akal.
“Betul tu bos,” sampuk Zamri menyokong kata-kata Tahir, “Kenapalah dia pengsan kat sini, cubalah pengsan kat tempat lain, kan senang.”
Tanpa disangka, Tahir mendapat ilham berdasarkan kata-kata Zamri. “Zam, bawa budak ni masuk rumah aku,”
“Hah!?”
“Kau pekak atau nak dipekakkan?” ugut Tahir berhubung reaksi terkejut Zamri.
“Tapi bos, budak ni dah basah kot,” Zamri cuba berdalih.
“Bila Tiger suruh buat..” Tahir memberhentikan kata-katanya untuk disambut.
“…mesti kena buat!!!” anak buahnya yang lain serentak menjawab.
###
Lisa mendekati Aida yang sedang membancuh kopi di pantry pejabat. Apa sahaja rakan sekerjanya lakukan, dia cuba meniru. Satu sudu serbuk kopi dimasukkan ke dalam cawan bersama dua camca gula. Kemudian air panas dicurahkan dan dibancuh bersama campuran serbuk kopi dan gula dalam gelas. Kedua-duanya duduk di meja yang disediakan di pantry.
“Bila masa kau minum kopi?” soal Aida tampak pelik melihat kelibat Lisa. Setahunya, Lisa sangat susah untuk minum kopi. Yang dia tahu, gadis tersebut suka minum air 100 plus, tak kira siang atau malam.
“Baru belajar,” jawab Lisa ringkas sambil dihembus haba air kopi yang muncul keluar dari gelas.
“Baguslah kalau belajar, nanti baru boleh stay-up untuk research artikel baru. Kau tengok aku, dah dua tahun aku minum kopi tanpa henti,” kata Aida.
“Biar betul. Tahan pulak kau dengan air pahit ni,”
“Tengok orang lah,” jawab Aida bangga. “Tapi tu lah. Kalau bukan si Raju tu yang jadi Ketua Editor, dah lama artikel aku meletup,” sempat lagi Aida mengomel tentang nasibnya.
“Tahu tak pe,” balas Lisa menyokong dan menyambung kata-katanya, “sebab tu aku ada satu rancangan yang boleh membuatkan artikel kita meletup.”
“Maksud kau?”
“Sebenarnya aku dan papa aku dah rancang nak pergi menyiasat pasal peti khazanah Aryan,” jelas Lisa cuba meyakinkan Aida.
“Oh, ni pasal kau punya artikel yang kena reject tu la ni,” kata Aida seperti kurang berminat setelah mengetahui tentang artikel Lisa yang dikategorikannya sebagai suatu yang mustahil.
“Cuba kau bayangkan, dalam peti tu ada banyak benda berharga dalamnya. Silap hari bulan bukan sahaja kita naik pangkat dan terkenal, mungkin setiap artikel yang kita buat tak perlu ditapis lagi. Setiap kali hantar, terus terima, esok siar,” kata Lisa bersemangat.
Aida hanya melontarkan pandangan sinis dan tak berminat, lalu berkata, “Ceh! Sebagai wartawan, kau kena tahu berpijak di bumi yang nyata. Mustahil benda-benda macam ni masih wujud,”
“Sebab mustahil itulah yang aku nak pastikan,” balas Lisa.
“Sejujurnya, nasihat aku sebagai kawan, jangan percaya dengan ayat nothing is impossible,” Aida sedaya upaya cuba menyedarkan Lisa.
“Ala, babe. Lagipun kita dah kenal lama, teman lah aku pergi buat kajian. Kan dulu masa first time aku jadi trainee journalist bawah kau, kau selalu kata impossible is nothing,” Lisa mengingatkan kembali ungkapan yang pernah disebut Aida sehinggakan Aida tersedak air kopi.
Lisa membantu dnegan mengurut belakang Aida yang sakan batuknya. Setelah batuknya beransur reda, Aida membuang baki air kopinya di sinki dan membasuh gelasnya. Tampaknya Aida seperti tak mahu menemani Lisa dalam pengembaraannya mencari peti khazanah Aryan.
Selepas merenjiskan tangannya di sinki, Aida memandang wajah kecewa Lisa.
Promise me this is the last,” kata Aida menunjukkan jari kelingkingnya. Riak wajah Lisa bertukar gembira apabila mengetahui Aida bersetuju untuk menemaninya.
Sementara itu di rumah Tahir, lelaki tua berusia 56 tahun itu berjaya membaca artikel dalam e-mel Aizat yang dikirim oleh Lisa. E-mel itu memuatkan permintaan Lisa untuk menyuruh Tahir bersama dua orang lain untuk mencari peti khazanah Aryan. Disebabkan tiada orang lain yang ada disitu kecuali anak buahnya dan Aizat, maka Tahir menyuruh Zamri dan seorang lagi anak buahnya mengikutinya.
“Hei budak, tunggu apa lagi. Blah la!” sergah Zamri kepada Aizat. Gulungan kertas artikel dihempuk ke kepala Zamri oleh Tahir.
Sorry, bos. Silap saya,” ujar Zamri tunduk memohon maaf.
“Jangan minta maaf kat aku, minta maaf kat Aizat,” kata Tahir. Tanpa berlengah, Zamri meminta maaf kepada Aizat dengan wajah bengis. Aizat menerima permohonan maaf dengan rasa gementar.
“Kau ni ada penyakit darah gemuruh ek,” Zamri bersuara tatakala sering melihat Aizat bergetar atau tubuh badannya.
“Ka… kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu,” pinta Aizat sedikit cuak. Tahir membalas dengan senyuman tanda mengizinkan.
“Tata,” Zamri melambai tangan kepada Aizat yang langkah seribu meninggalkan rumah Tahir dan masuk ke rumahnya. Tapak tangan Tahir sudah bersedia untuk memukul ubun kepala Zamri, namun ditahan sahaja niatnya itu apabila Zamri menunduk memohon maaf.
“Lain kali bagi salam, bukan tata macam kanak-kanak ribena,” jelas Tahir.
“Bos…”
“Apa dia?”
“Yang ini pun Lisa ajar kat bos jugak ke?”
Tapak tangan Tahir singgah sekali lagi di ubun kepala Zamri, menyebabkan Zamri mengetuk kembali bahagian bawah mukanya.
“Takkan itu pun nak suruh orang ajar!” kata Tahir tegas.
###
“Semua dah sedia?” tanya Lisa riang. Hanya Aida sahaja tampak bersemangat, manakala Tahir dan dua orang anak buahnya memerhatikan bot yang akan mereka naiki dengan pandangan serba salah.
Satu sebab kenapa Tahir dikenali Tiger di kota adalah kerana dia sangat ganas di daratan, namun tidak di dasar lautan. Sama seperti ketua, anak buahnya juga mengalami dilema yang sama.
“Papa kau ada penyakit hydrophobia ke?” soal Aida membisik.
“Agakla,” jawab Lisa ringkas.
“Mafia macam dia orang pun takut air?”
“Siapa kata kami takut!?” tengking Zamri dengan nada meninggi. Sekali lagi kepalanya diketuk oleh Tahir. “Sorry, bos,” Zamri menunduk sambil menggosok kepalanya yang sakit.
“Dengan perempuan jangan tengking, faham?” Tahir bersuara dan disambut dengan anggukan kepala dari anak buahnya.
“Jomlah. Nanti lambat pulak nak sampai rumah Haji Dahlan,” Lisa mencelah sambil bergerak bersama Aida menaiki bot yang telah disediakan oleh pekerja Haji Dahlan.
Tahir dan anak buahnya masih tercegat di jeti. Kaki mereka seperti terpasung disitu. Tahir menyuruh Zamri bergerak dulu, namun Zamri pula menolak seorang lagi rakannya untuk naik dahulu. Akhirnya ketiga-tiga mereka masih tak bergerak walau seinci.
“Papa,” panggil Lisa yang sudah duduk dalam bot.
“Ya, kejap,” Tahir menarik nafas sedalamnya sebelum melangkah masuk dalam bot tersebut. Diikuti anak buahnya yang turut melakukan tindakan yang sama.
Enjin bot dihidupkan dan gelora alunan laut dapat dirasai sewaktu bot itu mula bergerak. Tahir dan anak buahnya menggenggam erat tempat duduk mereka. Zamri memasukkan wisel yang terdapat pada jaket keselamatan ke dalam mulutnya sebagai langkah berjaga-jaga jika terjatuh. Aida dan Lisa hanya mampu menahan ketawa.
“Akhirnya sampai juga kita kat Pulau Besar, Melaka. Yehaaa!” sorak Lisa gembira apabila menjejakkan kakinya di persisir pantai pulau tersebut. Aida pula menikmati bayu pulau tersebut, hembusannya memukau deria rasa. Manakala raut wajah Tahir pucat. Corak yang sama juga dapat dilihat pada wajah dua orang anak buahnya.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki gempal lengkap berpakaian baju melayu teluk belanga, bersongkok dan bersampin kain pelekat. Berjalan menuju ke arah Lisa dengan tongkat yang jerlus ke pasir pantai setiap kali melangkah.
“Assalamualaikum,” sapa lelaki tersebut seterusnya memperkenalkan dirinya sebagai Haji Dahlan. Lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu memiliki beberapa rumah sewa di pulau itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Lisa ceria dan seterusnya memperkenalkan ahli rombongannya.
“Macam mana dengan perjalanan Lisa ke sini tadi, okay tak?” Haji Dahlam memulakan perbualan.
“Saya okay, cuma ada tiga orang yang tak biasa naik bot,” jelas Lisa merujuk kepada bapa angkatnya iaitu Tahir dan dua anak buahnya.
“Oh, minta maaflah kalau perjalanan ke sini menyusahkan kamu semua,”
“Takpe-takpe. Lagipun kesudian Haji untuk pelawa kami ke sini pun kami dah bersyukur sangat dah,” Lisa berbual rancak dengan Haji Dahlan. Selang beberapa minit berbual, Haji Dahlan menyuruh beberapa orang pekerjanya untuk membawa Lisa dan yang lain ke rumah sewa yang telah disediakan di pulau ini.
“Tak sangka cantik jugak pulau ni,” Aida bersuara semasa dalam perjalanan menuju ke rumah sewa mereka.
So kau tak menyesal datang sini?” soal Lisa cuba mengusik. Aida hanya tersengih.
“Sebenarnya aku tak tahu pulak yang Melaka ada pulau. Yela, memang ada pula yang kecil-kecil di setiap negeri tapi taklah secantik pulau ni. Kat negeri bersejarah pulak tu,” Aida menjelaskan kata-katanya sebelum ini.
“Kalau nak ikut sejarahnya, pengembara dari Tanah Besar China melabelkan Melaka sebagai ‘The Land of Five Islands’,” Haji Dahlan bersuara sambil membuka pintu rumah sewa.
“Maksudnya Melaka ni ada lagi lima buah pulau?” soal Aida kebingungan. Setahunya, bila sebut Melaka, sudah tentu A’Famosa sahaja yang terbayang di fikiran selain sejarah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka.
“Tak jugak,” Haji Dahlan menerangkan serba ringkas tentang pulau-pulau yang ada di Melaka, “di Melaka, ada lebih kurang 12 buah pulau. Cuma Pulau Besar sahaja yang padat dengan penduduk. Kamu berdua berehatlah dulu, Haji anak tunjukkan rumah sewa untuk lelaki pulak. InsyaAllah kalau tak ada aral melintang, esok Haji akan bawa ke Makam Sultanul Ariffin, kubur tokoh yang mengembangkan agama Islam di Melaka.”
Lisa dan Aida mengukir senyuman faham.
###
Kelambu besar diikat di setiap penjuru bilik. Lisa pula sedang asyik membaca beberapa bahan penyelidikan yang diperolehinya tentang peti khazanah Aryan tersebut. Kedatangannya ke sini setelah Haji Dahlan sendiri mempelawa Lisa untuk membuat liputan berkaitan satu misteri yang terpinggir dari teks sejarah. Pada mulanya Lisa tak begitu ambil berat tentang hal ini. Namun setelah Haji Dahlan menyatakan bahawa peti khazanah Aryan itu dikhabarkan di simpan di salah sebuah pula di Melaka, Lisa terus bersetuju.
Sejak kecil dirinya juga penuh dengan teka-teki. Ditinggalkan di pinggir jambatan, kemudian dijumpai oleh salah seorang ketua mafia yang tidak asing di kota telah melahirkan perasaan intuisi yang tinggi terhadap setiap teka-teki yang tercerap di alam fana. Boleh sahaja riwayat hidupnya ditamatkan andai Tiger – atau Tahir – buat tidak tahu tentang bayi yang menangis di jambatan. Boleh sahaja bakul yang menampung bayi itu terjatuh dari pinggir jambatan lalu melayang satu lagi nyawa yang tak berdosa. Namun perancangan Tuhan mengatasi segala.
“Aku peliklah, apa yang kau syok sangat kat peti mengarut tu,” Aida mengomel.
“Peti khazanah Aryan-lah,” kata Lisa.
“Yelah. Apa yang istimewa sangat pasal peti tu?”
“Tak ada apa yang istimewa,”
“Habis tu, buat apa kau nak kaji sampai datang sini segala bagai?”
“Sebab aku nak selesaikan teka-teki peti khazanah Aryan tu,” jelas Lisa yang masih terpaku matanya di skrin komputer riba.
“Teka-teki?”
“Yup, cuba kau baca ni,” kini Lisa cuba menunjukkan sesuatu di komputer riba, “peti khazanah Aryan ni dibawa oleh seorang pemuda Aryan ke tanah Melaka. Kemudian Sultan Melaka pada waktu itu memerintahkan Bendahara untuk ambil peti tersebut.”
“Pastu hilang, then pemuda Aryan disula selepas lancarkan perang bersama gemulah Sultan Melaka…” Aida terdiam seketika, “Ah! Mengarutlah.”
“Pelik kan?” soal Lisa sejurus mendapat reaksi dari Aida.
“Memanglah! Aku dah cakap lama dah,” balas Aida.
“Tapi persoalannya kenapa peti tu tak dapat dibuka walaupun Melaka pada waktu itu negara kota yang pesat membangun,” ujar Lisa sedang ligat memikirkan jawapannya. Aida juga mengerlip matanya tiga kali sesaat.
‘Dan kenapa Sultan Melaka masih mahu menyimpan peti itu? Siapa sebenarnya pemuda Aryan tu?’ pelbagai persoalan muncul dalam hati Lisa. Aida menggarukan kepalanya memikirkan jawapannya.
Keesokan harinya, Haji Dahlan sudah siap menuggu di bot. Lisa bersama yang lain terus bergerak ke bot selepas mengambil sarapan.
“Awal hari ini, Haji. Kita nak ke mana?” soal Aida.
“Pulau Lalang…” jawab Haji Dahlan ringkas.
“Tapi semalam Haji kata nak bawa ke kubur,” Zamri menyampuk. Spontan Tahir memukul kepala Zamri menyembabkan Zamri menunduk memohon maaf.
“Jangan menyampuk bila orang tua bercakap,” tegas Tahir.
Haji Dahlan menghidupkan enjin bot. Jika semalam kod pakaiannya hanya bersampin kain pelekat, hari ini kod pakaiannya ala-ala ahli arkeologi.
“Lisa, papa rasa nak stay sini boleh. Papa tak puas lagi menikmati keindahan ciptaan Tuhan kat sini,” Tahir cuba memberi alasan untuk tidak naik bot, sekurang-kurangnya bukan untuk tempoh yang terdekat ini. Mabuk laut semalam belum puas bergelumang di dadanya.
“Lisa, abang Zam pun macam tu jugak,” celah Zamri disusuli pukulan di kepala oleh Tahir. “Sorry bos. Saya akan ikut ke mana sahaja Lisa pergi,bos,” ujar Zamri sambil kepalanya masih berbekas dengan pukulan dari Tahir.
“Lisa tak kisah kalau papa tak nak ikut pun. So jaga diri elok-elok,” kata Lisa tenang dan masuk terus ke bot bersama Aida dan Zamri.
Bot yang sedang dikemudi Haji Dahlan terus meluncur membelah alunan ombak. Menderu angin sewaktu bot tersebut membelah alunan ombak. Seakan Selat Melaka tiada penghujungnya. Warna laut biru gelap cukup menceritakan misteri yang tersimpan rapi di dasarnya. Mata Lisa dan Aida dikecilkan menahan deruan angin yang dibelah kelajuan bot tersebut. Manakala Zamri hanya memejamkan mata cuba menenteramkan gejolak di dadanya. Setiap kali bot melantun akibat membelah ombak, tangan Zamri menggenggam erat tebing bot tersebut.
Okay tak?” soal Aida kepada Zamri.
“Hah!?” respon Zamri yang kurang jelas terhadap soalan yang dibangkitkan oleh Aida. Aida hanya membalas dnegan isyarat ibu jari menandakan soalan sama ada Zamri dalam keadaan baik atau tak. Zamri hanya tersenyum untuk beberapa ketika, kemudian kembali ke posisi sebelumnya.
Setelah beberapa siri alunan ombak, akhirnya Haji Dahlan memperlahankan kemudi botnya sebelum sampai ke pinggir Pulau Lalang. Lisa merasa pelik melihat apabila banyak bot dilabuhkan di sekitar pantai pulau tersebut. Bahkan terdapat lingkaran dilarang melintas kepunyaan Jabatan Muzium Negara.
“Sini ada event apa Haji?” soal Lisa.
“Dia orang dah jumpa peti khazanah tu,” jawab Haji Dahlan dengan senyuman. Mereka semua pun turun dari bot tersebut dan dibawa Haji Dahlan ke satu khemah yang didirikan di tapak arkeologi di pulau tersebut. Lisa, Aida dan Zamri di pelawa duduk di khemah tersebut sambil menunggu seseorang untuk berjumpa mereka. Haji Dahlan menyatakan bahawa orang yang ingin bertemu dengan Lisa adalah orang yang penting.
“Siapa Haji?” soal Lisa tak sabar untuk mengetahui siapa yang ingin bertemu dengannya.
“Dia kata kamu kenal dengan dia, waktu zaman universiti dulu,” ujar Haji Dahlan yang masih berahsia identiti orang tersebut. Dalam fikiran Lisa muncul banyak sekali memori zaman universitinya. Namun tiada seorang pun yang menepati seseorang yang suka berada di lapangan ekskavasi.
‘Biarlah,’ akur hati Lisa.
Saat berganti minit dan setelah hampir setengah jam menunggu, seorang wanita masuk ke dalam khemah tersebut.
“Dr. Juwita!” Lisa terkejut melihat bekas pensyarahnya di khemah tersebut. Aida dan Zamri hanya melihat tanpa sebarang perasaan kerana mereka tak mengenali wanita tersebut. Wanita itu adalah bekas pensayarah Lisa di universiti dan sering berdiskusi tentang sejarah dunia termasuk sejarah Melayu Melaka.
“Dah lama saya tunggu kamu,” Dr. Juwita bersuara ketar seperti sedikit keleltihan.
“Tak sangka dapat jumpa Dr. disini,” ujar Lisa gembira bertemu dengan bekas pensyarahnya itu.
Haji Dahlan mempelawa Aida dan Zamri untuk meninjau sekitar tapak ekskavasi di pulau ini. Mereka berdua bersetuju untuk ikut Haji Dahlan dan membiarkan Lisa berbual panjang dengan Dr. Juwita.
###
“Haji…” Zamri memanggil Haji Dahlan yang sibuk memberi penereangan tentang kawasan sekitar tapak ekskavasi. “Saya nak tanya… buat apa dia orang korek-korek tanah kat pulau ni, Haji? Nak buat rumah ke? Kalau nak buat rumah, setahu saya, masa saya kat kampung dulu, nak bina rumah tak ada lah sampai korek tanah macam nak korek perigi.”
‘Kenapa lah mamat ni pandai sangat,’ bisik hati Aida yang hanya memandang sinis terhadap Zamri.
“Sebenarnya… inilah yang dinamakan sebagai tapak ekskavasi. Kat sinilah ahli arkeologi cuba mengkaji sejarah-sejarah bangsa kita,” jawab Haji Dahlan tenang.
Zamri ketawa besar mendengar penjelasan dari Haji Dahlan. Aida dan Haji Dahlan berpandangan sesama sendiri kehairanan.
“Kau  ketawa apesal?” soal Aida.
“Siapa tadi yang korek tanah untuk kaji sejarah tadi, Haji?” soal Zamri yang masih tak lekang tawanya.
“Ahli arkeologi,” Haji Dahlan menjawab.
“Apa ahli yang tu tak baca buku sejarah ke?” ketawa Zamri makin menjadi-jadi, “Buat apa nak susah-susah datang pulau ni nak kaji sejarah, baca jelah buku teks sejarah kat sekolah.”
Haji Dahlan senyum kelat. Aida pula menekup mukanya tanda malu dengan kata-kata Zamri. Bak kata orang lama, lebih baik berlagak bodoh dari berlagak pandai.
Manakala di khemah, Dr. Juwita sedang berdiskusi dengan Lisa tentang penemuannya di tapak ekskavasi tersebut.
“Ni peti khazanah Aryan yang disebut-sebut tu ke?” soal Lisa kepada Dr. Juwita. Bekas pensyarahnya itu mengangguk sambil tersenyum puas memiliki peti yang berbentuk segi empat dengan diameter bersaiz empat kali empat meter.
Lisa cuba memegang peti tersebut, namun dihalang Dr. Juwita yang risau akan menjejaskan bentuk fizikal peti tersebut. Banyak lagi prosedur yang perlu dijalankan sebelum peti itu boleh dibuka atau disentuh.
“Bila kita boleh buka peti ni?” soal Lisa tak sabar.
“Jangan risau. InsyaAllah, miggu depan,” jawab Dr. Juwita.
“Tapi esok lusa saya dah balik KL.”
“Kalau begitu, tunggu lepas saya balik KL, kita buka sama-sama peti ni.”
Really?” soal Lisa mendapatkan kepastian.
“Ya.”
Kedua-dua wanita yang merupakan peminat fanatik bidang sejarah peradaban manusia, memandang peti itu tanpa kerlip. Hanya senyuman lebar hingga ke telinga sebagai medium komunikasi antara mereka berdua.
Hampir setengah jam Lisa memandang peti itu. Setelah puas menjamu matanya dengan peti yang masih bersalut tanah itu, akhirnya dia meminta izin untuk bersama Haji Dahlan, Aida dan Zamri untuk meninjau kawasan sekeliling. Sebelum Lisa melangkah keluar dari khemah itu, Dr. Juwita melontarkan satu kenyataan yang agak serius bunyinya.
“Sejujurnya saya seronok dengan penemuan peti ni, tapi…” Dr. Juwita memberhentikan seketika kata-katanya. Wanita itu menghampiri Lisa yang masih tercegat dalam khemah. “…tapi saya rasa ada something wrong dengan artikel awak tu.” Bisik Dr. Juwita.
Lisa terkedu mendengar bisikan dari Dr. Juwita. Dia tahu bawa dia masih baru dalam bidang kewartawanan dan penulisan, namun tak sangka teguran tentang kelemahannnya terpancul keluar dari mulut bekas pensyarahnya.
“Saya faham. InsyaAllah, saya akan perbaiki kelemahan saya,” Lisa cuba meyakinkan bekas pensyarahnya itu. Lagipun, bukankah ada perumpaan Inggeris yang gah disebut-sebut yakni ‘practice makes perfect’.
Dr. Juwita tertawa kecil. “Bukan kamu yang saya maksudkan,” kata Dr. Juwita.
“Hah?” respon Lisa dengan nada mahukan penjelasan dari Dr. Juwita.
“Begini…”
“Lisa!!!”
Jeritan dari luar khemah mematikan penjelasan yang ingin disampaikan Dr. Juwita. Tanpa melengahkan masa, mereka berdua keluar dari khemah tersebut dan bergegas menuju ke arah jeritan itu.
Kelihatannya Aida terjelepuk jatuh ke tapak ekskavasi. Mujurlah tapak itu hanya sedalam satu meter. Impak dari insiden itu, Aida pengsan kerana kepalanya terhantu tepat ke satu kepala tenkorak yang masih dalam proses ekskavasi.
Pada waktu itu polis marin sedang melakukan rondaan menggunakan bot mereka. Aida dihantar ke hospital dengan bantuan polis marin, manakala Lisa dan Zamri pula dihantar semula ke Pulau Besar.
Berbalik kepada keadaan di Pulau Besar sebelum kepulangan Lisan dan Zamri, Tahir – atau Tiger, bapa angkat Lisa – sedang asyik melayan kerenah serta bermain dengan seorang kanak-kanak tempatan. Atan, enam tahun, membina sebuah rumah pasir yang berbentuk separa hemisfera. Atan menggelarnya sebagai istana paling hebat di dunia.
Tahir, 56 tahun, membangkang. Hujahnya adalah binaan pasir tersebut tak layak digelar istana. Dia menegaskan bahawa istana sepatutnya berpetak-petak, bukan separa hemisfera. Kemudian Tahir mengajar Atan tentang cara-cara membina istana pasir yang betul dan kukuh.
“Macam ni, ambil air sikit…” kata Tahir sambil menakung air di kedua telapak tangannya yang dicantumkan, “pastu curah sikit kat dinding istana ni, dan tekapkan pasir yang dicurah dengan air kat sini,” merujuk kepada istana tiga tingkat yang di bina Tahir bersama Atan.
“Ooo…” jawab Atan seakan teruja, “Pak cik Taiyer…”
“Tiger-lah!”
“Ooo, Taiyer-lah,”
‘Ikut suka hati kau-lah budak. Taiyer pun boleh,’ desis hati Tahir.
“… Atan nak bagitau abang Atan pasal ni!” ujar budak ekcil itu sambil berlari menuju ke rumahnya.
“Jangan lupa bawa air sejuk sikit untuk pak cik!” sahut Tahir ke arah budak kecil tersebut, namun Atan tak mempedulikan permintaan Tahir.
Tahir memperkemaskan lagi binaan istana pasirnya. Istana itu kini dibina benteng pertahanan, dilengkapi tiang pemerhati dan disempurnakan dengan beberapa pintu di celahan istana pasir itu. Lagak gayanya riang sahaja.
“Bos!!!”
Zamri menjerit risau campur terkejut dengan apa yang sedang dilakukan Tahir. Segala perbuatan Tahir terhenti, hanya air liur sahaja yang mampu ditelan waktu itu.
“Papa buat apa tu?” soal Lisa menahan ketawa.
“Aaa…” lidah Tahir kelu seribu bahasa.
Zamri melutut di hadapan istana pasir Tahir. Dengan nada sedih, dia berkata, “bos masih ingat saya?”
“Hah!?” nada amarah bercampur pelik dizahirkan Tahir.
“Tempat ni dah tak selamat. Tenpat ni memang ada sumpahan. Tadi Aida, sekarang Tiger! Sabar bos, saya tahu bos nyanyok sekarang…” raung Zamri menunduk merelakan kepalanya dipukul sekali lagi.
Lisa yang masih menahan ketawanya berkata, “Papa buat apa kat sini sorang-sorang?”
“Eh… Papa bukan sorang-lah. Papa dengan seorang budak kecil,” jawab Tahir.
“Yelah tu,” jawab Lisa tak percaya.
Zamri pula mencari-cari budak yang dimaksudkan. Tiada, memang tiada. Zamri mula menjarakkan dirinya dari Tahir secar perlahan-lahan. Sekali lagi kepalanya diketuk Tahir.
“Kau nak pergi mana? Aku tak habis lagi dengan kau,” tegas Tahir.
Lisa hanya menggelengkan kepala sambil tertawa kecil melihat tingkah laku Tahir.
“Lisa… Lisa. Papa cakap betul…” Tahir cuba meyakinkan Lisa yang dia hanya membantu seorang budak kecil untuk bina istana pasir. Namun, Lisa berlalu pergi dengan ketawa kecil.
Zamri pula ketakutan. Matanya meliar mencari sosok tubuh budak kecil yang dikatakan membina istana pasir dengan Tahir.
“Bos…” panggil Zamri sedikit gelisah, “budak tu sekarang ada kat sini ke?” sambil anak matanya mundar-mandir ke kiri ke kanan ketakutan.
Akibat rimas dengan soalan itu, kepala Zamri sekali lagi diketuk Tahir berkali-kali.
###
Sudah hampir dua bulan Lisa menanti panggilan telefon dari Dr. Juwita. Hatinya berdebar dan tidak sabar untuk menunggu saat peti khazanah Aryan itu dibuka. Bukan kerana taksub dengan mistiknya, tetapi teruja untuk menyingkap misteri di sebaliknya. Jika mengikut perjanjian lisan, sudah hampir satu bulan dua minggu lewat dari apa yang dijanjikan oleh bekas pensyarahnya ketika melawat tapak ekskavasi di Pulau Lalang.
“Lisa… masuk pejabat saya sekejap,” panggil Mr. Raju tampak gelisah. Raut wajah majikannya tak seperti biasa, seakan ada sesuatu yang membuatkan riak wajahnya risau.
Lisa tak menjawab sebaliknya terus sahaja mengikut Mr. Raju masuk ke pejabatnya. Di luar pejabat jelas kelihatan dua lelaki yang agak berisi. Salah seorangnya buncit dan seorang lagi beruban rambutnya.
“Perkenalkan, inilah Lisa,” Mr. Raju memperkenalkan Lisa kepada dua orang lelaki tersebut.
“Assalamualaikum, cik Lisa. Kami dari Bukit Aman,” salah seorang lelaki itu memperkenalkan diri secara ringkas, “kami nak cik Lisa ikut kami ke balai.”
What!?” Lisa terkejut sejurus mengetahui kedua-dua lelaki itu adalah polis. Jantungnya berdegup kencang apabila mendengar perkataan ‘ikut kami ke balai’. Hatinya kuat menjerit menyatakan yang dia tidak pernah buat apa-apa salah kecuali tak bayar saman AES.
“Ah… Jangan salah faham. Kami cuma mahu cik Lisa beri kerjasama kepada kami tentang satu kes,” jelas salah seorang anggota polis berpakaian preman itu.
“Oh…” penjelasan itu menenangkan hati Lisa yang sedang gejolak. “Tapi… boleh saya tahu kes apa?”
“Kes bunuh,”
“Bunuh!?” Mr. Raju bersuara terkejut. Lisa pula kembali kaget, seperti kepalanya berat untuk jatuh menerima tamparan ini. Seumur hidupnya tak pernah dia terlibat dalam kes bunuh, apatahlagi untuk menjadi saksi bunuh.
“Aaa…” berat lidah Lisa untuk berkata-kata.
“Kalau boleh cik Lisa datang dengan kami. Itupun kalau cik Lisa tak keberatan,” cadang anggota polis itu.
“Setuju-setuju,” Mr. Raju terus mencelah. Fikirnya jika Lisa dan anggota polis itu masih berada di sini dalam jangka waktu yang lama, suasana kerja di Daily Tales akan berubah menjadi dingin dan tak kondusif.
Lisa yang masih terkesima mengikut anggota polis itu ke balai. Hatinya kosong dan fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang menantinya nanti. Kalau kes saman fitnah atau kes laporan polis atas sebab penyiaran artikelnya, gadis itu masih boleh terima. Tapi ini kes bunuh. Takkanlah kerana artikelnya, ada orang lain yang menjadi mangsa bunuh.
Di balai polis, Lisa ditempatkan di satu bilik interogasi khas. Kedap udara dan bunyi. Terdapat sebuah cermin besar ketika dia ditempatkan di satu kerusi bersama meja panjang besi. Lisa cuba mengamati di balik cermin yang tampaknya agak kelam, namun masih menampakkan bayang pergerakan tubuh yang samar-samar.
Dia dibiarkan berseorangan untuk beberapa minit. Dalam hatinya kuat berdebat memikirkan hal dan keadaan yang mungkin akan berlaku. Barangkali dirinya akan digertak oleh dua polis yang berlakon sebagai polis jahat dan dirayu untuk memberi maklumat oleh polis yang menadapat watak baik. Mungkin juga dirinya akan diseksa jika enggan beri kerjasama. Lisa memeluk tubuh risau dan gelisah. Resahnya menitiskan peluh dari kepalanya.
Klakkk!
Pintu bilik interogasi itu dibuka. Dua anggota polis masuk dan duduk berhadapan dengannya. Kedudukan mereka berdua dengan Lisa hanya dipisahkan oleh meja panjang besi sahaja. Salah seorang anggota polis itu berjantina lelaki, misai nipis dan bertubuh sasa. Manakala seorang lagi adalah polis wanita berpangkat Inspektor, Rozita nama yang tertera di uniform polisnya. Inspektor Rozita membawa bersamanya sebuah fail yang bercop sulit.
“Assalamualaikum, Lisa,” Inspektor Rozita bersuara manakala anggota polis lelaki yang berada di sebelahnya merenung tajam ke arah muka Lisa.
“Wa.. waalaikumussalam,” terketar-ketar Lisa menjawab salam.
Straight to the point, awak kenal dengan wanita ini…” Inspektor Rozita mengeluarkan beberapa keping gambar dan meletakkannya di atas meja panjang besi itu.
‘Ya Allah!’ hati Lisa terkejut. Dua anak matanya terpaku melihat gambar tersebut. Wajah wanita dalam gambar itu amat dikenalinya. Dalam posisi yang amat mengerikan, tiga keping gambar cukup menyebabkan lututnya longlai.
“Kenal atau tak?” polis lelaki itu pula bersuara.
“Kenal,” jawab Lisa menelan air liurnya.
“Boleh beritahu kami, adakah kamu yang menculik mayatnya?” tanya Inspektor Rozita.
“Culik mayat!?” Lisa terkejut sekali lagi, “Maksudnya Dr. Juwita dah mati? Macam mana dia mati?”
“Soalan itulah yang kami nak tanya pada cik Lisa,” Inspektor Rozita bersuara sinis.
“Saya tak faham,” Lisa tahu bahawa anggota polis itu mengesyaki dia terlibat dalam kes ini, cuma dia tak tahu kenapa dia pula yang disyaki.
“Kamu kenal dengan gambar ini,” Inspektor Rozita mengeluarkan lagi beberapa keping gambar dari fail kes.
“Hah!” tubuh badan Lisa kaku. Pegun seketika perlakuan gadis itu. Peluh keresahan mula menitis  turun ke lereng rahangnya.
“Kamu kenal ketiga-tiga mangsa ini?” soal Inspektor Rozita.
“Ke… kenal,” jawab Lisa ketakutan. Menggigil tubuhnya melihat gambar Tahir, Zamri dan Haji Dahlan dalam keadaan ngeri. Posisi mayat dalam gambar sama dengan mayat Dr. Juwita, tangan kanan mereka diikat dan mulut mereka berbuih.
“Jadi, boleh beritahu kami macam mana mereka mati?” Inspektor Rozita menyoal sekali lagi.
“Saya… tak tahu,” balas Lisa yang merasakan kepalanya berat. Mati akalnya untuk menjawab pertuduhan yang terpikul atas bahunya.
“Mustahil!” Inspektor Rozita meninggikan suara.
“Kami jumpa cap jari kamu pada tangan kanan ketiga-tiga mangsa kecuali mangsa pertama, kamu masih nak berdalih lagi!?” bentak polis lelaki dengan suara yang agak garau.
“Sumpah! Saya tak tahu apa-apa,” jawab Lisa yang sudah menggigil menangis. Tak pernah dalam hidupnya diuji sebegini berat. Hanya tangisan sahaja yang mampu dihemburkan saat ini. Tak semena-mena dirinya dituduh pembunuh dalam sekelip mata. Bagaikan baru semalam sahaja dia bersua muka dengan keempat mangsa yang dibunuh itu.
Beban sebagai pembunuh mula merasuk pemikirannya. Badannya mula merasa longlai dan gegendang telinganya mula mematikan segala pendengaran dari persoalan yang dilontarkan bertalu-talu oleh kedua-dua anggota polis itu. Lisa hanya mampu melihat anggota polis di hadapannya namun tak mampu mengawal tindakannya.
Amarahnya mula menggelegak. Lisa menghantukkan mukanya berkali-kali ke meja panjang besi itu. Matanya diselaputi darah yang mengalir dari kepala tatkala dirinya jatuh tersungkur ke lantai. Hatinya kuat menyatakan bahawa hidupnya telah dibelenggu tulah sumpahan Sultan Melaka terhadap sesiapa yang menjumpai Peti Khazanah Aryan.
“Bawa dia ke hospital!” jerit Inspektor Rozita yang bingung dengan tindakan spontan Lisa itu. Anggota polis segera mengangkat tubuh Lisa di lantai dan segera menghantarnya ke hospital berdekatan.
###
“Lisa!” sergah suara wanita membangunkan Lisa. “Ya Allah, waktu macam ni mana boleh tidur. Bahaya.”
Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Kepalanya berat dirasakan.
“Kat… mana? Doktor… saya tak salah,” soal Lisa lemah. Dia memeriksa keadaan sekeliling.
“Dah, jangan nak mengarut lagi. Berapa kali mak dah kata jangan tidur waktu senja. Pergi mandi lepas tu solat maghrib sama dengan mak,” emaknya memberi leteran percuma kepada Lisa, gadis berusia 15 tahun itu. Raut wajahnya berpeluh kerana tidur di kala senja. Kepalanya dirasakan pening. Buku pengembaraan yang dibacanya sehingga terbawa-bawa kea lam mimpi disusun semula ke rak buku di biliknya.
“Astaghfirullahal-Azim,” keluh Lisa tampak lega apa yang berlaku hanyalah mainan mimpi.

No comments: