Thursday, August 1, 2013

(CERPEN) LADY LAUREL





Bunga merupakan ciptaan Tuhan yang sering dilambangkan dengan elemen keindahan. Kadangkala juga digunakan untuk menggambarkan emosi dan suasana. Adakalanya ia digubah menjadi cinta, juga boleh bertukar menjadi duka. Harumannya mencernakan deria kita untuk celik mengenal yang apa itu wangi, namun kadangkala bisa juga mengkaburi deria rasa tentang racun nan berbisa.

Sama seperti kisah hidup seorang gadis sederhana yang diberi nama Ain Fatihah. Gadis tinggi lampai, anak pertama pasangan peniaga direct-selling krim kulit ini mempunyai sepuluh adik-beradik. Kisah ini bermula sewaktu gadis itu berusia 15 tahun. Waktu itu dia sudah cekap dalam menguruskan hal ehwal adik-adiknya. Barangkali kerana sudah terbiasa dengan keadaan ibu bapanya yang selalu keluar meninggalkan dirinya dengan adik-adiknya, tanpa sengaja telah mengasah bakat kemahiran keibuan walaupun baru mencecah usia belasan tahun.


Taraf hidup keluarganya sederhana sahaja, tak papa kendana dan tidak megah bergaya. Setiap kali ayah dan ibu pulang, Ain Fatihah pasti akan menghidangkan air panas untuk mereka. Ibubapanya keluar seawal enam pagi dan pulang selewat dua pagi. Keluarganya hanya bergantung hidup kepada kesungguhan ibubapanya dalam mencari nafkah untuk anak-anak.

Namun pada satu pagi di hujung minggu, datang seorang lelaki dalam lingkungan 40-an ke rumahnya sambil membawa dokumen yang dikepit di celahan lengan kiri. Ibubapanya saling berpandangan apabila ternampak lelaki yang dikenali sebagai Pak Awe menghampiri perkarangan rumah. Cepat-cepat ayah menyergah Ain Fatihah untuk membawa adik-adik yang lain masuk mengunci diri dalam bilik. Ibu pula menyuruh adik-adiknya yang lain supaya duduk senyap-senyap dalam bilik tersebut.

Ain Fatihah bingung. Ini kali pertama dia melihat kelakuan ayah dan ibunya cemas ketakutan. Arahan ayah dipatuhinya. Dalam keadaan bilik yang berkunci, Ain menekup telinganya di dedaun pintu dan mencuri dengar perbualan Pak Awe dan ayah di ruang tamu.

“Arshad! Aku datang ni nak pungut balik hutang kau kat aku!” bentak Pak Awe, yang juga dikenali tokan budak dan lebih terkenal dengan perangainya yang suka berjudi. Kenapa digelar tokan budak? Sebabnya setiap penduduk di kawasan ini yang berhutang dengannya dan gagal melunaskan hutang tersebut, maka akan diniagakan ahli keluarga yang masih bawah umur atau kebudakan lagi.

“Pak Awe, saya mohon sangat kat Pak Awe untuk tunggu sampai hujung bulan ni. Kalau hujung bulan ni saya tak dapat bayar, saya sanggup Pak Awe potong lidah saya ni!” rintih rayu ayah Ain Fatihah.

“Isteri kamu takkan tak ada barang kemas?” tanya Pak Awe dengan muka bengis menyirna perasaan perikemanusiaan dalam diri.

“Tinggal rantai kahwin kami je, Pak Awe. Takkan kami nak gadaikan bukti pernikahan kami. Tolonglah tunggu sampai hujung bulan ni,”

“Hujung bulan ni?” Pak Awe merenung sejenak mempertimbangkan permohonan ayah Ain Fatihah.

Emak pula berdiri di pintu bilik yang tertutup rapat untuk mengelak anak-anaknya menghendap. Dia tak mahu anaknya tahu tentang kesusahan hidupnya dalam mencari sesuap nasi, walaupun hidup mereka tidaklah sesusah mana.
***
“PENIPU!!!”

Pak Awe berkali-kali melepaskan tumbukan ke muka ayah Ain Fatihah di pekan. Waktu itu, ayah dan ibu sedang sibuk memperomosikan krim kulit kepada masyarakat yang lalu-lalang di kawasan sekitar. Tiba-tiba sahaja, gerombolan samseng diketuai Pak Awe datang memusnahkan pernigaan ibubapa Ain.

“Kau kata hujung bulan, tapi sekarang dah masuh tengah bulan! Puiii!” ludah amarah Pak Awe sambil menghabiskan belasahannya dengan sepakan tepat ke perut ayah.

Ayah terbatuk senak disepak Pak Awe. Badannya membengkok ke dalam menahan perit. Walau dalam keadaan sakit, anak mata ayah meliar mencari di mana isterinya. Dia hanya mahu beritahu kepada isterinya, walau apa pun yang terjadi, jagalah anak-anak sedaya mungkin.

“Bos, macam mana sekarang? Tauke dah bising. Banyak duit habis bagi hutang, sekarang dia sudah mahu ambil balik duit dari kita,” bisik salah seorang pembantu ke telinga Pak Awe.

Pak Awe kemudian membongkokkan badan dan mengenggam baju ayah Ain memaksa ayah untuk bangun. Mahu tak mahu, dalam keadaan senak, ayah terpaksa bangun. “Aku nak duit aku balik, mana? Mana!?”

Tangan ayah menggeletar memasukkan jemarinya dalam kocek seluar.

Belum sempat duit yang ada dalam kocek dikelaurkan, Pak Awe menyuruh pembantunya untuk merampas sendiri duit dalam kocek seluar ayah. Ayah tak melawan.

“Duit syiling je!” amarah Pak Awe sudah sampai ke kemuncak amarah. Satu lagi tumbukan disasarkan tepat ke muka ayah Ain Fatihah menyebabkan ayah tersungkur jatuh. Untuk seketika Pak Awe mundar-mandir sambil menggarukan kepalanya yang kusut untuk selesaikan masalahnya. Dia berikan hutang kepada ayah, dalam masa yang sama dia berhutang dengan orang lain akibat kalah judi dengan harapan ayah dapat bayar hutang kepadanya bersama sedikit komisyen untuknya. Dek kerana buntu, Pak Awe tak mampu buat apa-apa melainkan menendang berkali-kali ke arah tubuh badan ayah yang sudah lunyai tak bermaya.

“Bos, tauke kata dia mau cari bos,” ujar pembantu Pak Awe yang baru sahaja dapat panggilan telefon.

“Aaargh! Yang si tauke ni pun satu la hai!” jerkah Pak Awe. “Kau orang uruskan si Arshad dengan isteri dia ni. Aku tak nak tengok muka dia orang kat atas muka bumi ni lagi!” arah Pak Awe serius.

“Campak ke laut atau ke api?” pembantu Pak Awe berikan pilihan.

Mendengar sahaja kata-kata itu, ayah Ain Fatihah merintih rayu, “Pak Awe, tolonglah jangan buat macam tu. Saya ni ketua keluarga. Saya ada sepuluh orang anak. Kalau Pak Awe bunuh saya dengan isteri saya, macam mana nasib anak-anak saya,”

“Oh, baru terfikir pasal anak. Masa pinjam tak pulak kau fikir semua benda ni. Okay… kalau macam tu, aku akan jaga anak-anak kau,” balas Pak Awe dengan ketawa sinis.

“J… Jangan! Bunuh saya seorang je, Pak Awe! Bunuh saya je! Saya yang salah. Lepaskan isteri saya, lepaskan!” teriak ayah Ain Fatihah sambil menggenggam erat kain seluar di bahagian pergelangan kaki Pak Awe.

Pak Awek menolak ayah dengan kaki. “Selesaikan dia! Aku ada urusan dengan anak-anak dia,” diselangi ketawa jahat.
***
“Akak, ni apa?” soal Ain Munirah, adik yang paling disayangi Ain Fatihah kerana itulah adik satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Yang lain semuanya lelaki. Ain Munirah baru menjengah genap usia enam tahun.

“Bunga,” jawab Ain Fatihah ringkas sambil memasak Maggie sebanyak tiga bungkus.

“Bunga apa?”

Soalan Ain Munirah tak dapat dijawab oleh Ain Fatihah dengan kadar segera. Gambar yang ditunjukkan dalam buku pun bukanlah bunga yang kebiasaannya ada di kawasan sekitar perumahan ini.

“Lad…ye… Lau…rel..” Ain fatihah membaca deskripsi yang ada di mukasuarat sebelahnya dalam buku yang sedang dibaca Ain Munirah. Ia sebenarnya bunga Daphne yang lebih dikenali Lady Laurel.

“Bunga apa tu?”

Susah Ain Fatihah nak menjawabnya. Ain Munirah pula menunggu dengan penuh mengharap supaya persoalan di dalam kotak fikirannya terjawab, tak kisahlah sama ada yang benar atau sebaliknya.

“Bunga apa tu, kak?” sekali lagi Ain Munirah bertanya.

“Entahlah. Akak pun tak pernah jumpa. Kenapa, adik suka ke?”

Ain Munirah angguk ceria.

“Kalau adik suka, nanti akak cuba cari kat kedai bunga kat pekan ye,”

“Okay! Yeayyy!”

Ain Munirah berlari riang di kawasan sekitar laman rumah yang dipenuhi dengan adik beradik lelakinya yang sedang bermain guli. Ain Munirah kemudian ceritakan kembali kepada abang-abangnya yang masih berusia dalam lingkungan tujuh hingga 14 tahun.

“Hai, budak-budak!” tiba-tiba satu suara lelaki tua menghampiri mereka.

Ain Munirah dan adik beradiknya yang lain memandang kehairanan wajah Pak Awe yang tersenyum lebar. Seolah-olah Pak Awe memandang mereka seperti musang yang ingin menerkam ayam.

“Apa lagi, tangkap dia orang ni! Jangan lepas walau satu!” arah Pak Awe kepada kesemua pengikutnya yang datang sekali. Lebih kurang sembilan orang pengikutnya datang membantu.

“Akak!!!”

Jeritan Ain Munirah meresik ke setiap penjuru rumah. Ain Fatihah segera keluar dari dapur dan mencari-cari jeritan suara Ain Munirah. Namun tak menjumpainya. Hanya van buruk yang melepaskan asap tebal ekzos sahaja baru meninggalkan laman rumah. Dan…

“Ya Allah, adik aku!” bingkas Ain Fatihah melangkah pantas cuba mengejar van tersebut sambil penglihatannya tak lari dari melihat Ain Munirah dan adik-adiknya yang lain meronta dalam van buruk tersebut. Akhirnya, Ain Fatihah akur dia bukan  makhluk Tuhan yang diberikan kelebihan mampu berlari tanpa henti. Batas manusiawinya menyebabkan gadis itu terduduk kepenatan sambil mengalirkan air mata kesal. Van buruk itu kemudian hilang dari pandangannya.

Ain Fatihah pulang longlai ke rumah. Dia tak mampu melakukan apa-apa melainkan mengharap agar ayah dan ibunya pulang, itu sahaja.
***
Sepuluh tahun kemudian…

“Ayah, ibu. Dah 10 tahun Ain tunggu. Mana ayah? Mana ibu? Ain nak cari balik adik-adik Ain yang lain, bu,” bingkai gambar keluarga pada hari raya sepuluh tahun yang lalu diamatinya. Ain Fatihah kemudian mengelap air mata jernih yang tertumpah atas kaca gambar tersebut, lalu dipeluk seeratnya. Rawan rindunya terhadap keluarganya tidak terbendung rasanya lagi.

Telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello,” Ain Fatihah menjawab panggilan telefonnya.

“Ain, jom. Aku dah kat bawah ni,”

“Siapa ni?”

“Shahir-lah. Dah-dahlah menangis tu,”

“Hah?” Ain Fatihah pelik. Macam mana lelaki satu kolej dengannya itu tahu dia sedang menangis sedangkan dia sekarang berada dalam bilik nan berkunci. Ah, takkan Shahir ni pervert kut. Setahunya, Shahir ni bukan macam tu, sekurang-kurangnya bukan terhadap dia. “Wei, kau mengendap aku eh. Baik kau bagitahu betul-betul kat aku sekarang. CCTV!? Kau pasang CCTV kan,”

“Wo-wo! Rileks, jangan nak menuduh aku di siang hari melalui talian telefon ni. Tak fasal-fasal nanti Kementerian Komunikasi Malaysia tetiba detect kau punya tuduhan tak berasas ni, habis aku tak boleh update status twitter aku,”

“Habis tu kau tahu mana aku menangis segala bagai ni?”

“Ala, ni kan zaman globalisasi. Semua benda, semua maklumat ada kat hujung jari. Kau sendiri yang update kat facebook kau kan, sedih sampai menangis la bagai,” jelas Shahir. “Dahlah, cepat turun. Kalau tak, aku malas nak tunggu kau dah ni. Aku pergi kolej seorang je la kang,”

“Okay,okay. Kejap je. Lima minit,” terus Ain Fatihah menamatkan panggilan untuk segera bersiap ke kolej.

Shahir pula duduk termenung di kedai bawah tempat kediaman Ain Fatihah. Pengenalan dia dengan Ain Fatihah dua tahun lalu masih segar dalam ingatannya. Waktu itu Ain Fatihah sedang ralit mencari tempat tinggal. Mujur rumah kedai kepunyaan keluarganya dibuka untuk sewa. Jadi dengan harapan Ain Fatihah berminat dengan dia, dia hulurkan tawaran untuk berikan sewaan rumah kedai itu kepada Ain Fatihah. Namun selepas dua tahun, Ain Fatihah tak menunjukkan langsung riak wajah istimewa tatkala berjumpa dengannya, dia mengalah. Hanya kawan, itu sahaja ungkapan Ain Fatihah.

“Pergh!!! Lima minit alam mana kau guna ni? Ni dah nak dekat lima puluh minit aku tunggu kau, tau tak,” kata Shahir sambil mengipas muka dengan surat khabar hari ini.

“Ala, kau bukan tak tahu. Aku ni bukan spesis kambing macam kau, kena air sikit terus keluar dari bilik air,” ejek Ain Fatihah.

“Okay. Kalau aku spesis kambing, kau tu sepsis badak lah ek, yang suka sangat berendam dalam air lama-lama,” balas Ain Fatihah.

Kuang ajaq!!!”

“Adoi… Wei, tak aci, wei!” Shahir berlari selepas surat khabar yang dibelinya dirampas Ain Fatihah dan digunakan untuk memukulnya.
***
Mengantuk. Sudah berpuluh kali Shahir menguap besar.

Puk!

Shahir mengusap kepalanya yang berdenyut sakit akibat dipukul dengan surat khabar oleh Ain Fatihah yang duduk di belakangnya dalam bilik kuliah. Shahir menoleh dan memberi kerlingan tajam.

Ain Fatihah menjelirkan lidah. Gadis itu berbisik, “Jangan tidurlah. Fokus, fokus!”

Mimik muka Shahir seolah-olah berkata, “Yelah tu!” Pensyarah di depan masih berceloteh panjang tentang pelajaran hari ini. Entah kenapa Shahir rasakan seperti masa belajar hari ini terasa lama pula. Sedangkan dalam jadual hanya setengah jam sahaja. Tapi bila dia bermain permainan video selama empat jam, terasa seperti empat minit pula sekejapnya. Ah, alasan semata!

Kelopak matanya makin berat. Sekejap tertutup, sekejap terbuka sedikit. Dagunya mencecah meja sebelum pipi kanannya pula merapati meja tulisnya. Akhirnya tersungkur dalam lena.

Okay class, kita rehat sekejap sebab saya disuruh untuk ganti masa Dr Mastura yang tak dapat hari ini. So dalam kita nak rehat ni, saya nak kongsikan sikit informasi tentang bunga-bunga yang kamu mungkin suka. Is there anyone here who really hate flowers?” soal Doktor Zain menghentikan kuliah pertukangannya seketika.

“Shahir! Shahir!” salah seorang pelajar lelaki bersuara sengaja nak kenakan Shahir yang sedang nyenyak terlena. Mendengar namanya disebut, serta-merta Shahir bangun dengan mata sepet. Waktu beginilah sukar pula kelopak mata nak buka.

“Dah, dah. Biarkan dia tidur. Study banyak sangat kut malam tadi,” seloroh Dr Zain bersama seikit elemen menyindir.

Shahir tersenyum malu dengan kata-kata Dr Zain. Satu kelas ketawa terbahak-bahak, terutama Ain Fatihah. “Suka ek kau, Ain,” toleh Shahir yang mana telinganya cukup sensitif mengesan suara Ain Fatihah. Tapi hatinya suka.

“Kamu tahu, my wife is a botanist, dan dia pernah beritahu yang bukan semua bunga itu seindah rupa zahirnya. Dalam keindahan dan kecantikan bunga itu, ada bisanya tersendiri,” kata Doktor Zain mengundang bunyi “Oooo…” dari kalangan pelajarnya. “Samalah juga perlambangannya bunga itu wanita atau gadis cantik. Bukan semua gadis cantik itu secantik rupa parasnya. Dalam kecantikannya itu pasti ada bisa,”

“Bisanya adalah ada duit, abang sayang, tak ada duit, abang melayang!” Shahir bersuara menyambung mengundang tawa bersama.

Nice, Shahir. Dan… selamat pagi,” perli Doktor Zain kepada Shahir.

“Padan muka,” suara Ain Fatihah pantas sampai ke gegendang telinga Shahir.

Doktor Zain kemudian meulis sesuatu di papan putih. Ada sepuluh bunga yang disenaraikan sebagai bunga cantik yang berbisa. 10 bunga tersebut adalah :
1.      Bunga Opium
2.      Bunga Daphne
3.      Bunga Lily of The Valley
4.      Bunga Aconitum
5.      Bunga Atrope Bella Donna
6.      Bunga Conium
7.      Bunga Norium Oleander
8.      Bunga Datura
9.      Bunga Angel’s Strumpet
10.  Bunga Autumn Crocus

“Dan yang paling saya tertarik adalah bunga nombor dua, iaitu bunga Daphne. Bunga Daphne ni juga dikenali dengan nama Lady Laurel atau tanaman surga. Seluruh bahagian dari bunga ini beracun tapi bahagian yang paling beracun adalah getah dan buahnya. Daphne mengandungi mezerine dan daphnin, yang merupakan racun kuat dan dapat menyebabkan sakit perut parah, sakit kepala, diarrhea, dan gila. Jika buah bunga daphne di ambil secara berlebihan, dapat menyebabkan koma yang membawa kematian,” jelas Doktor Zain panjang lebar.

Anak mata Ain Fatihah bergetar tatakala telinganya mendengar perkataan Lady Laurel. Perkataan yang lidahnya pernah tuturkan buat Ain Munirah sepuluh tahun lalu. Hati kecilnya tiba-tiba dirundung sebak memikirkan kembali tentang adik-adiknya yang lain yang hilang sekelip mata. Dia percaya vang adik-beradiknya yang lain itu diculik menggunakan van buruk yang pernah cuba dia kejar.

Di balik fakta bunga beracun yang sedang khusyuk Doktor Zain terangkan, Ain Fatihah terus menekup telinganya. Buku notanya segera ditutup dan dia terus bergerak keluar. Perbuatannya itu menyebabkan satu kelas bingung.         

‘Kenapa dengan dia ni? Baru dapat ‘cuti uzur’ ke?’ bisik hati Shahir yang turut terpinga-pinga dengan tindakan Ain Fatihah.

Usai sahaja kuliah di Kolej Kemahiran, Shahir segera pulang ke rumah kedai yang disewakan kepada Ain Fatihah. Berkali-kali dia memanggil nama gadis itu, namun tak berjawab. Telefonnnya pula dimatikan. Ah, nanti-nantilah, getus hati Shahir mengalah.
***
Ain Fatihah kelaur dari teksi yang berhenti di laman rumah lamanya.

“Terima kasih, pak cik,” ujar Ain kepada pemandu teksi sejurus keluar.

Gadis itu berdiri sambil matanya melihat setiap sudut rumah yang ditinggalkannya lebih kurang sepuluh tahun lalu. Sudah panjang lalang dan semaknya. Dinding rumah pun sudah berkulat. Pemandangan rumahnya itu sudah cukup menggambarkan bahawa rumah itu sudah tidak berpenghuni manusia, hanya makhluk lain yang mungkin menumpang.

Matanya kemudian terarah ke satu pohon yang merimbun tak jauh dari situ. Seingatnya, di situlah tempat ayah dan ibunya bersama adik-beradiknya yang lain berpiknik. Keluarganya sederhana, duduk di pohon nan rendang itu sahaja yang termampu, itupun sudah cukup tenang.

Ain Fatihah melangkah menuju ke arah pohon rendang itu. Sambil melabuhkan punggungnya, Ain Fatihah memeluk lututnya sambil dagunya dipangku. Fikirannya dibiarkan melayang kembali ke memori hilai tawa ayah, senyuman  manis ibu, tengkar usik adik beradik lelakinya dan hujan soalan adik perempuan tunggalnya iaitu Ain Munirah. Bibirnya mengukir senyuman, bersulam rasa sebak. Tiba-tiba sahaja airmatanya bercucuran. Sudah hampir sepuluh tahun berlalu, memorinya terhadap keluarga tercinta masih segar dalam ingatannya. Bagai baru tadi sahaja dia menyapa ayah dan ibu serta adik-beradiknya yang lain.

‘Ah, hati… Ujian apakah ini?’ keluh sebak sebelah jiwa Ain Fatihah.

Sedang Ain Fatihah diulit memori indah nan lara, seorang lelaki tua dalam lingkungan usia 50-an melewati kawasan rumah nan usangnya.

‘Pak Awe?’ hatinya meneka dan matanya memang kenal benar dengan muka Pak Awe yang sudah beruban dan bermisai putih.

Pak Awe ternampak Ain Fatihah yang sedang duduk di bawah teduhan pokok. Matanya mengecil untuk mengecam muka Ain Fatihah. Pak Awe yakin belum pernah dia jumpa muka gadis sebegitu jernih di kampung ini. Kalah dara pingitan kampung ini. Sah, memang dia tak cam itu ialah anak Arshad yang sudah dibunuhnya sepuluh tahun lalu. Pak Awe kemudian segera meneruskan perjalanannya membiarkan gadis itu duduk di situ. Hatinya terdetik ketakutan jika itu adalah entiti yang sering diperkatakan penduduk kampung sebagai roh tuan rumah.

Ain Fatihah bingkas bangun. Dia mengekori Pak Awe yang tetap berjalan tanpa menoleh ke belakang. Senyap sahaja Pak Awe. Nasihat penduduk kampung tentang jangan pandang belakang jika ada makhluk Tuhan lain mengekori ternyata diikuti Pak Awe tanpa lengah.

AAA-chium!” bersin Ain Fatihah secara tiba-tiba.

“Ya Allah! Hantuuuu!” lolong Pak Awe berlari tak cukup tanah.

Ain Fatihah memandang penuh kehairanan. Gadis itu tetap mengekori Pak Awe. Maklumlah Pak Awe sudah berusia 50-an, lariannya pun bukan setangkas Usain Bolt, bahkan pelajar darjah lima pun pasti boleh memotong larian orang tua itu. Ain Fatihah kemudian berhenti  di satu pokok bunga kertas yang ditanam di hadapan rumah Pak Awe.

Anak mata gadis itu mengekori pergerakan Pak Awe yang masih menggigil berlari menaiki tangga rumah papannya. Kelihatannya isteri Pak Awe juga terperanjat dengan kehadiran Pak Awe yang sebegitu.

“Kenapa abang ni!?” tempik Wan Maimon, isteri Pak Awe.

“Ha… Hantu…” jawab Pak Awe menggigil.

“Mana ada hantu siang-siang. Kalau ada pun budak-budak laki nakal je tu,”

“Be… Betul. Aku… Aku nampak sendiri… Dia… Dia kat rumah arwah Arshad…”

Ain Fatihah yang pada mulanya sekadar mahu bertegur sapa dengan memberi salam di hadapan rumah Pak Awe, tiba-tiba tersentak dengan ayat Pak Awe. ‘Arwah Arshad?’ desis hati kecil Ain yang sudah mula bergelojak bimbang.

“Ish, tak payah nak mengarutlah abang,” Wan Maimon masih tak mahu percaya kata-kata Pak Awe.

“Ha… Hantu!” teriak Pak Awe terus menutup matanya apabila ternampak Ain Fatihah berdiri di hadapan rumah dengan riak wajah serius.

“Mana bang!? Mana!?” tanya Wan Maimon yang turut diserang rasa takut. Menggigil sehingga rasa mahu terkucil.

“Jangan tengok! Nanti dia masuk dalam badan kita!”

“Ba… Baik, bang. Itu… Itulah bang. Mon… Mon dah kata. Dosa silam abang bukan mudah nak hapus macam tu,”

Kedua-dua pasangan itu memeluk ketakutan. Mata kedua-duanya ditutup rapat seolah-olah mahu kekal selamanya begitu.

“Wei… hantu!” jerkah Pak Awe cuba memberanikan diri. “Kau nak apa?”

Ain Fatihah tak ambil pusing tentang panggilan hantu. Tapi dia mahu tuntut penjelasan frasa ‘Arwah Arshad’ yang disebut Pak Awe tadi.

“Jangan ganggu kami la… Pergi!” tempik Pak Awe masih bersisa getar gigilnya.

“Mana arwah Arshad?” tanya Ain Fatihah serius.

“Mana aku tahu!”

“TIPU!!!” amuk Ain Fatihah sambil menolak salah satu pasu bunga. Bunyi pecah pasu bunga kedengaran.

“Jawab je lah, bang!” paksa Wan Maimon tak sanggup berada dalam keadaan ketakutan.

“Dia orang dah mati! Mati! Anak-anak dia orang semua dah mati! Aku tahu aku yang buat tapi aku dah bertaubatlah! Aku dah tak buat kerja-kerja tu semua!” jelas Pak Awe menjerit-jerit sampai menampakkan urat leher.

Mendengar penjelasan Pak Awe, Ain Fatihah terduduk sambil menangis sendu. Gadis itu tak dapat membendung lagi emosinya. Rawan rindunya pasti tak mampu diubati. Beg tangannya dilemparkan ke tepi. “Ayah!!! Ibu!!!” teriak tangis Ain Fatihah.
***
“Maafkan kami, Ain,” kata Pak Awe kepada Ain Fatihah satu jam selepas peristiwa yang menakutkan dirinya dan isterinya.

Ain Fatihah kelihatan masih sugul. Wan Maimon mengurut lembut belakang badan Ain Fatihah yang kelihatan lemah tak bermaya selepas menangis teresak-esak.

“Pak Awe tak tahu lagi apa yang boleh tebus kesalahan Pak Awe masa lalu. Pak Awe bersubahat untuk bunuh ayah dan ibu kamu. Culik adik-adik kamu… Banyak sangatlah kesalahan, Pak Awe. Setahun lepas tu, anak Pak Awe pula kena rogol. Sudahlah dirogol, dia bunuh diri…” kata Pak Awe disusuli tangisan.

Isterinya juga menangis bersama apabila mengenangkan kifarat yang diterima.

“Tapi… Pak Awe masih tak rasa semua ni setimpal. Maafkan Pak Awe, Ain,” pinta Pak Awe sambil menghisap rokok daun untuk sembunyikan rasa bersalah yang menyakitkan matanya.
***
Sebulan kemudian…

Knok! Knok! Knok!

“Oh, Ain, masuklah,” Doktor Julia mempersilakan Ain Fatihah masuk ke dalam makmal bunganya. Sebagai ahli botanis, makmal khas yang menghimpunkan bunga atau tumbuhan malar hijau adalah satu kemestian.

Ain Fatihah melangkah masuk dengan perasaan teruja. Dia datang ke sini bersama Doktor Zain, yang juga suami kepada Doktor Julia Puas jugalah Ain memujuk Doktor Zain untuk membawanya bertemu Doktor Julia. Alang-alang dah bawa berjumpa Doktor Julia, pergi sekalilah makmal bunga yang sering diceritakan Doktor Zain dalam bilik kuliah.

Doktor Julia kemudian membawa Ain Fatihah melalui setiap lorong yang menempatkan pelbagai bunga-bungaan dan tumbuhan herba lain. Sudah seperti lawatan sambil belajar, bezanya hanya Ain Fatihah seorang sahaja pelawatnya. Menurut Doktor Julia, jika Ain Fatihah mahu kenal semua bunga yang ada di makmalnya, ia pasti akan ambil masa selama seminggu.

So, ada apa-apa bunga yang kamu mahu lihat?” tanya Doktor Julia cuba memendekkan lawatan Ain Fatihah di makmalnya bimbang Ain bosan dengan caranya memberi penjelasan.

“Ada,” jawab Ain ringkas.

“Bunga apa?”

“Lady Vorel,”

“Huh? Rasanya ini kali pertama saya dengar nama tu,” Dr Julia ketawa kecil.

“Er, bunga Daphne,”

“Oh, Lady Laurel. Kenapa nak tengok bunga tu?”

“Er…” Ain mengerah otaknya untuk cari alasan yang sesuai tapi belum jumpa yang sesuai.

“Ni mesti suami saya yang beritahu, kan,”

“A-Ha ah!”

“Hai, macam-macamlah suami saya tu. Entah apalah yang buat dia suka dengan bunga tu. Kamu tahukan yang bunga tu boleh jadi racun?”

Ain Fatihah mengangguk.

So still nak tengok?”

“Yup,”

Okay. Kalau kamu nak tengok, jom ikut saya. Bunga yang beracun ni saya simpan kat tempat khas, so tak ada lah nanti penjahat yang datang merompak bunga beracun saya tu. Lagipun takkanlah penjahat tu nak merompak makmal bunga saya pulak, kan,” Doktor Julia berseloroh dan ketawa sendirian.

Doktor Julia kemudian membawa Ain Fatihah masuk ke bilik khas yang menempatkan tumbuhan beracun.

“Kalau kamu nak sentuh, sentuhlah,” pelawa Doktor Julia.

Ain teragak-agak untuk sentuh. “Tapi bukan ke beracun?”

“Oh. Bunga kalau sentuh belum kena racun lagi. Ada proses yang tersendiri. Kalau macam Lady Laurel ni, semuanya beracun terutama getah dan buahnya. Tapi kalau setakat sentuh belum beracun lagi. Kita kena ekstrak dulu bunga ni untuk keluarkan racun. Tak pun kalau kita termakan, so kandungan cecair dalam badan kita yang bertindak balas dengen chemical Lady Laurel ni boleh menyebabkan bunga ini menjadi racun dalam badan kita,” jelas Doktor Julia dengan penuh semangat. Sudah lama dia tak beri penjelasan tentang bidang yang sudah menjadi sebahagian dari hidupnya.

Knok! Knok! Knok!

Doktor Zain memberi isyarat ada orang telefon di balik pintu kaca bilik khas bunga beracun kepada isterinya, Doktor Julia.

“Er, Ain, kamu tengok-tengoklah tumbuhan ni dulu. Cuma jangan sentuh  apa yang sudah ada kat atas meja. Saya nak ambil panggilan sekejap. Sekejap je, okey?”

Ain Fatihah mengangguk senyum.

Doktor Julia kemudian segera keluar dari bilik khas. Ain Fatihah pula leka memerhati bunga Lady Laurel itu. Dia mengusap manja tumbuhan itu, seakan dia mengusap manja ubun adik perempuan tunggalnya yang pernah bertanya tentang bunga itu kepadanya sepuluh tahun lalu.
***
“Wei, Ain. Kau kenapa ek sejak dua menjak aku tengok kau ni macam buat hal sendiri je. Aku tegur kau buat bodoh je,” sapa Shahir apabila terserempak dengan Ain Fatihah yang baru keluar dari bilik kuliah.

Ain Fatihah berjalan laju tanpa sebarang kata.

“Aku cakap dengan kau ni,” Shahir cuba berbual denagn Ain Fatihah.

Namun Ain masih berjalan membisukan diri. Wajahnya serius, tidak seperti sebelumnya.

Shahir menggarukan kepala kehairanan. “Ai, rasa macam cakap dengan pokok je. Sabar je lah,” Shahir mengalah tapi anak matanya masih mengekori langkahan Ain Fatihah.

Ain menahan teksi. Kemudian gadis itu berlalu pergi dengan teksi tersebut.

Jeda beberapa ketika, kereta Myvi hitam berhenti mengejut berdekatan Shahir. Bunyi seretan tayar meresik ke telinga Shahir. Shahir terkedu tak mampu kata apa-apa. Hanya kelopak matanya sahaja berkelip laju.

“Ada nampak Ain Fatihah tak?” tanya Doktor Zain dari tingkap kereta Myvi hitam itu. Rupa-rupanya pemandu Myvi hitam yang hampir membuatkan jantung Shahir meletup ialah pensyarahnya sendiri.

“Oh, Doktor Zain. Ingat siapa tadi. Er, Doktor Zain nak cari dia sebab apa?”

Belum sempat Doktor Zain bersuara menjawab, telefon pintarnya berbunyi. “Hello, yang… Abang tengah cari dia la ni. Sayang tunggu kat rumah je, jangan call polis lagi. Biar abang settle-kan masalah ni dengan student abang sendiri, okay? ... Okay, abang janji. Abang akan pastikan dia tak guna bunga tu untuk racun orang. Abang kenal perangai dia… Sayang jangan risau eh. Okay, bye!” riak wajah Doktor Zain resah sejurus menamatkan panggilan dengan isterinya, Doktor Julia.

Shahir dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan sesuatu itu pasti ada kaitannya dengan Ain Fatihah. Shahir memberanikan diri bertanya, “Ada apa-apa yang saya boleh tolong?”

“Eh, tak ada apa-apa. Saya sebenarnya nak cari Ain Fatihah. Itu je,” jawab Doktor Zain.

“Oh… Kalau nak cari dia tak susah, Doktor Zain,”

“Tak susah? Maksudnya kamu tahu kat mana dia tinggal,”

“Lebih dari tahu. Dia duduk kat rumah kedai. Dan rumah kedai tu,” sambil menepuk bahunya, “sayalah tuan rumahnya. Well, sebetulnya rumah keluarga saya tapi secara pewarisannya, saya anak tunggal, so harta keluarga saya akan jatuh kat tangan saya juga. Jadi sayalah pemilik rumah kedai yang disewa Ain,”

Okay… Boleh tunjukkan saya rumah tu?”

“Boleh, tapi dengan satu syarat?”

“Apa syaratnya?”

Shahir tak menjawab sebaliknya tersenyum lebar. Pemuda itu kemudian bergerak ke pintu penumpang kereta Myvi Doktor Zain dan duduk di sebelah Doktor Zain.

“Kamu ni kenapa?” tanya Doktor Zain tak mengerti.

“Inilah syarat dia… Saya pun nak join Doktor Zain cari Ain,” jawab Shahir yang sudah menyisipkan tali pinggang keselamatan.
***
Ya Allah, betulkah apa yang aku cuba lakukan ni, bisik hati kecil Ain Fatihah. Meter teksi sudah mencecah nilai lima belas ringgit. Ain Fatihah kemudian membuka beg tangannya dan mengeluarkan bungkusan plastik kecil. Di dalam bungkusan itu, ada bunga Daphne atau lebih dikenali Lady Laurel.

Walaupun zulmat hatinya hanya bertompok kecil, namun dendam kesumatnya terhadap Pak Awe telah mengahsil kabus zulmat dendam kesumat. Dia mahu meracuni Pak Awe sehingga nafas orang tua itu berada di kerongkong. Dia mahu melihat mata Pak Awe memutih menahan siksa maut. Dia mahu Pak Awe rasakan rawan rindunya bercampur derita keluarganya atas dosa silam yang telah dilakukan orang tua. Dia mahu lihat orang tua itu derita!

Namun di balik semua hasad dendam itu, hati jernihnya berbolak-balik melakukan perkara sedemikian. Ikut hati, mati! Ikut rasa, binasa! Ikut emosi, sangsi! Dia sangsikan niatnya sendiri. Sesekali dia terfikir, murah sungguh nyawa manusia di tangan manusia lain. Sedangkan Tuhan berikan nyawa kepada manusia bukan dengan harga yang murah, sebaliknya dengan harga yang perlu ditanggung iaitu kebarangkalian nyawa itu dibalas dengan keenganan tunduk patuh pada suruhan-Nya.

“Cik, dah sampai,” suara pemandu teksi menghentikan lamunan Ain Fatihah.

Gadis itu membayar tambang teksi dan seterusnya keluar. Dia turun dari teksi di hadapan rumah lamanya. Rumah lamanya itu ditenung sambil sebelah tangannya menggenggam bungkusan plastik yang tersimpan bunga Lady Laurel. Hari ini segalanya akan terhitung, getus emosinya.

Ain Fatihah kemudian meneruskan langkah ke rumah Pak Awe.
***
Berulang-kali Shahir memanggil nama Ain Fatihah di rumah kedai yang disewa gadis itu. Doktor Zain bertambah gelisah apabila mendapati tiada satu suara sahutan pun kedengaran. Lantas Doktor Zain menaiki tangga menuju ke kediaman Ain Fatihah. Shahir mengekorinya pensyarahnya itu dari belakang.

Knok! Knok! Knok!

Masih tak berjawab. Kali ini Doktor Zain mengulangi ketukan pintu. Ulangan ketukan itu semakin kuat sehingga hampir-hampir sahaja pintu rumah kedai itu retak.

“Er, sabar Doktor Zain. Saya ada kunci pendua kalau Doktor Zain nak,” Shahir bersuara takut-takut apabila melihat Doktor Zain seperti tertekan.

“Ha apa tunggu lagi!?” bentak Doktor Zain hilang sabar.

“Oh, okay,” segera Shahir membuka pintu yang berkunci itu.

Doktor Zain meluru masuk, diikuti Shahir yang kehairanan melihat Doktor Zain melilau sasau mencari sesuatu. Habis selerak kediaman Ain Fatihah dibuatnya.  Shahir memencilkan diri apabila mendapati tindakan Doktor Zain seperti orang yang tak tentu arah. Habis susunan DVD diselerakkan, buku ditolak sehingga jatuh dan kertas bertebaran di lantai.

Doktor Zain cari apa sebenarnya?” tanya Shahir.

“Bunga,” jawab Doktor Zain ringkas.

“Bunga? Takkan nak cari bunga sampai macam ni sekali. Teruk rumah Ain dibuatnya ni. Kalau Doktor Zain nak sangat bunga, kat rumah saya ada. Banyak bunga mak saya tanam,”

“Diamlah! Sekarang ni bukan masa nak buat lawak! Kamu tahu tak yang Ain dah bawa lari bunga beracun dari makmal bunga isteri saya. Silap hari bulan, tak fasal-fasal Ain bunuh orang guna bunga beracun tu. Dan tak semena-mena nama saya dan isteri saya tersangkut sekali dengan jenayah dia… Dan kamu pun mungkin kena sekali,”

“Saya?!” Shahir hanya mampu menelan air liur risau. Segera dia menelefon Ain Fatihah. Namun tak berjaya kerana telefon bimbit Ain telah dimatikan.

“Kamu telefon siapa?”

“Ain,”

“Tak payah. Saya dah banyak kali telefon, tapi dia dah off. Which means I smell something bad gonna happen,”

Alamak!
***
Di perkarangan rumah Pak Awe, suasana cemas baru sahaja berlalu 20 minit yang lalu. Ambulans sudah lama menunggu jenazah Pak Awe diusung untuk bedah siasat. Dua kereta peronda polis yang masih bernyala lampu neon menambah tarikan kepada penduduk setempat untuk datang mengerumuni perkarangan rumah Pak Awe untuk mengetahui apa yang telah berlaku sebelumnya.

Wan Maimon, isteri Pak Awe tak henti-henti meraung. Tangisannya menyebabkan mukanya kemerahan. Dia tak sangka Pak Awe boleh meninggal dunia dengan cara sebegitu. Seorang pegawai polis wanita berpangkat Inspektor datang menenteramkan Wan Maimon. Beberapa petugas perubatan juga ada di sisi Wan Maimon untuk merawat kecederaan ringan yang di alaminya.          

Manakala Ain Fatihah, hanya memerhati dari jauh sahaja di balik kerumunan penduduk setempat. Dia dihalang dari masuk, sama seperti penduduk setempat yang lain. Garisan kuning milik Polis Diraja Malaysia telah menetapkan sempadan jarak dari lokasi kejadian jenayah.

“Kenapa tu?” tanya seorang wanita tua kepada Ain Fatihah.

Belum sempat Ain Fatihah menjawab tak tahu, lelaki tua yang ada di sebelah wanita tua itu pun berkata, “Entah apa lah nak jadi dengan Malaysia sekarang. Bergaduh sikit, tembak. Dah jadi macam Mexico dah. Ni pasal kes samseng la ni. Pak Awe kena tembak sebab katanya tak bayar hutang judi. Si Awe pun satu, dah tua-tua pun berjudi lagi. Itulah orang kata, muda-muda jangan berjudi nanti tak sempat nak buang tabiat tu. Tengok sekarang, tak fasal-fasal je umur pendek,”

“Dah sampai ajalnya kut. Kes ni hanya nak jadi cerita atau sebab je,” balas wanita tua itu.

Degup jantung Ain Fatihah kencang. Jiwanya dikerubungi rasa bersalah. Bungkusan plastik yang berisi bunga Lady Laurel dilepaskan dari genggamannya. Baru sahaja dia nekad mahu meracun Pak Awe dengan bunga itu, namun Allah sudah tarik nyawa Pak Awe sebelum niatnya itu jadi satu perbuatan. Tangannya terketar-ketar. Airmatanya yang bertakung mula berlinangan sejurus Ain memejam rapat matanya.

Ya Allah, kalau bukan kerana rahmat-Mu, sudah tentu aku akan jadi makhluk yang cuba mengambil tugas-Mu dalam mencabut nyawa pemberian-Mu sendiri, bisik hati kecilnya sayu. Ain Fatihah tahu dia adalah manusia, sang pelupa. Bukan Tuhan yang boleh menjatuhkan hukuman atas kesilapan orang lain. Seharusnya di bersabar dengan kezaliman yang dilakukan pada masa silam dan bertindak balas atas kadar mempertahankan diri, bukan berlebih-lebihan sehingga mencetuskan dendam dalam dirinya.

Bukankah Allah Taala telah berfirman,

Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (Ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".

[Surah Az-Zumar (39) : Ayat 10]

No comments: