Tuesday, August 6, 2013

(CERPEN) NAK RAYA DUIT TAK ADA




Sudah hampir tiga tahun berlalu, kedai runcit milik arwah Pak Hashim kini diusahakan oleh anak tunggalnya iaitu Ramadan. Berkat usahasama bersama dengan Saiful Ammar, kedai runcit itu berjaya juga dinaiktaraf sebagai Pasaraya. Sungguhpun tidak sebesar Pasaraya Mega seperti Giant, Mydin dan seumpamanya, sekurang-kurangnya itulah hasil titik peluh yang diusahakan mereka berdua selama ini.

“Nah, bang. Min ada bawa sikit bekal untuk abang. Makanlah sekali dengan abang Ammar,” ujar Hanis Aminah, satu-satunya isteri Ramadan. Sungguhpun dahulu hampir sahaja Ramadan mahu mengambil Maria Marissa sebagai madu Hanis Aminah, namun hasrat itu dilupakan tatkala Hanis Aminah mengandungkan anak lelakinya yang bernama Ahmad Safwan Syawal.

Safwan itu pilihan nama Hanis Aminah, dan Syawal… tahu sahajalah siapa yang suka dengan nama dalam bulan Islam. Tak lain dan tak bukan, arwah ayah Ramadan iaitu Pak Hashim. Kalau ikut Ramadan, dia ambil nama paling mudah iaitu Ahmad. Mudah tapi punyai makna nan indah. Akhir sekali, anak sulung yang sudah berusia tiga tahun itu dinamakan Ahmad Safwan Syawal.

Kini, Hanis Aminah sarat mengandungkan anak yang kedua.


“Awak ni. Kan bang dah cakap jangan datang kedai. Min kan mengandung,” kata Ramadan khuatir tentang kondisi Hanis Aminah yang berjalan seakan mengangkat beban yang berat di perut.

Manakala Ammar yang baru sahaja lepas menyuruh pekerja bawahan untuk memasukkan stok yang baru sampai ke stor terus meluru ke arah mangkuk tingkat yang dibawa oleh Hanis Aminah. “Hurm… Sedapnya,”

“Eh, jemputlah makan, abang Ammar,” pelawa Hanis Aminah gembira apabila Saiful Ammar mengiktiraf masakannya.

Ramadan pula mengambil kerusi untuk Hanis Aminah duduk. Dengan kandungan yang sudah hampir lapan bulan, penatnya bukan kepalang. Apatahlagi berjalan dari rumah ke Pasaraya milik suami, usah disanggahlah lelahnya.

“Duduk, Yang,” suruh Ramadan terhadap isterinya, Hanis Aminah. Ramadan kemudian melihat Ammar yang sedang tekun menuang kuah pada nasi putih. “Amboi, tak sabar-sabar kau ni ek,”

Ammar hanya tersengeh lalu menyuapkan nasi ke mulut. Ternyata masakan Hanis Aminah memang tak mengecewakan. Melihat Ammar menikmati maskan Hanis Aminah dengan riak wajah teruja dengan kelazatan masakan tersebut, Ramadan tak menunggu lama untuk menyertai Ammar merasai air tangan isterinya sendiri.

Selesai sahaja menjamu selera, Ammar mengemas mangkuk tingkat tersebut. Dia sendiri mahu membasuhnya. Hanis Aminah menghalang, namun Ammar bertegas kerana cukuplah Hanis Aminah membawa sendiri makan ke Pasaraya. Ammar kemudian menyuruh Ramadan untuk hantar Hanis Aminah pulang.

“Kau jaga kedai eh,” pesan Ramadhan sebelum menghantar Hanis Aminah pulang.

“Okay,” balas Saiful Ammar sambil pencungkil gigi diketap. Ammar kemudian mencari-cari apa kerja yang dia boleh buat. Walaupun tarafnya di Pasaraya Ramadhan ini sama seperti pangkat Timbalan Pemilik Kedai, namun dia tetap mahu melakukan sesuatu. Dia masih ingat lagi, kerana duit gaji di kedai runcit yang sudah bertukar pasaraya inilah dia mampu bermimpi untuk berkahwin dengan kakak kembar Hanis Aminah iaitu isterinya sendiri, Hanis Amirah. Akirnya mimpi itu jadi realiti.

Kring!

Telefon pasaraya berbunyi. Segera Ammar bergegas ke pejabat yang juga terdapat dalam pasaraya tersebut.

“Hello,” Ammar mula bersuara.

“Hello, bang Ammar. Maria ni,” balas Maria Marissa dalam talian.

“Maria? Er, ada apa? Mana dapat nombor telefon pasaraya ni?”

“Maria dapat dari katalog pasaraya yang ibu abang bagi kat Maria,”

Ah, takkan ibu masih berkeras mahu jodohkan aku dengan Maria Marissa! Gelisah hati Ammar tatkala mendengar penjelasan Maria Marissa. “Kenapa call?”

“Saja. Sebab dah lama tak dengar suara abang. Dah hampir tiga tahun kita tak jumpa, kan,” kata Maria Marissa.

“Ha ah,” walaupun Ammar tahu isterinya berada di rumah, namun dia sebolehnya tak mahu terjerat dalam skandal yang boleh memusnahkan mahligai cintanya bersama Hanis Amirah.

“Abang, Maria call ni sebab nak invite abang ke majlis tunang Maria,”

Tunang! Terkejut hati kecil Saiful Ammar. “De… Dengan siapa?”

“Zain. Katanya bapak dia kenal dengan abang Ammar,”

“Siapa bapaknya?”

“Husin… Sarjan Husin kalau tak silap Maria lah,”

“Oh…” Ammar masih ingat nama itu. Sarjan Husin lah yang bertanggungjawab membawanya lari dari buruan Bob sehingga ke Perak. “Er, macam mana Maria boleh kenal? Kan Maria sambung belajar kat Korea,”

“Pasal tu, rahsialah,” jawab Maria segan malu dalam talian.
Ammar ketawa kecil, “Baguslah. Akhirnya jumpa juga kamu dengan jodoh yang ditetapkan Allah. Moga kekal bahagia sampai akhirat sana ye,”

“Terima kasih, bang Ammar. Jangan lupa datang tau, khamis minggu depan,”

“Insya-Allah,” jamin Ammar dengan lafaz ketentutan Allah.

***
 Di Rumah Saiful Ammar.

Hanis Amirah, yang tak mampu bersuara setelah kotak suaranya rosak teruk akibat terkena tembakan rambang oleh Bob tiga tahun lalu, mengurut belakang suaminya di ruang tamu. Hanis Amirah menggunakan jemarinya berbahasa isyarat untuk bertanya sama ada suaminya itu dalam keadaan baik atau masih berat kepala memikirkan hal kerja.

“Abang okay. Ada Hanis, bertambah rasa okay abang ni,” usik Saiful Ammar mengundang senyuman lebar di bibir Hanis Amirah.

Waktu itulah ibu Ammar keluar dari bilik dan bergerak ke ruang dapur.

“Dah habis menjahit, bu?” tanya Ammar kepada ibunya, Puan Zalina.

Dengan kaca mata tebal yang melurut sehingga ke hujung hidung, Puan Zalina memandang dengan senyuman ke arah pasangan suami isteri di ruang tamu. Puan Zalina memotong sedikit buah dan dihidangkan kepada Ammar dan Hanis Amirah. “Tak menang tangan ibu nak menjahit, maklumlah raya dah nak dekat,”

“Aih, bu. Puasa pun belum, macam mana raya dah nak dekat,” seloroh Ammar.

“Maksud ibu, tempahan untuk baju raya dah nak tutup. Bulan puasa ibu dah tak nak ambil tempahan dah. Semua tempahan baju raya ibu akan terima sebelum bulan puasa je,”

“Wah, bagus ibu ni. Dah berniat untuk luangkan masa beribadat dan beriktikaf di masjid bulan puasa ni. Kalau macam tu, ibu boleh join saya dengan Hanis bermalam di masjidlah,” cadang Ammar kepada ibunya.

“Ibu bukan tak nak join kamu. Tapi amanah orang. Ibu kena siapkan semua tempahan sebelum raya. Maksudnya bulan puasa tu mungkin penuh dnegan aktiviti menjahir. Ibu nak lunaskan amanah orang,”

“Amanah orang?” soal Ammar sambil memandang ke arah isterinya lalu ketawa kecil. “Amanah untuk menjahit baju raya lah ni. Ikut ibu lah, kami tak menghalang. Lagipun Qiyamullail tu kan sunat, tunaikan amanah tu wajib,”

“Ha! Tepat sekali. Dan… Perkara yang paling ibu seronok sekali kamu tahu apa?” Puan Zalina menyuruh anak dan menantunya meneka.

Hanis Amirah menggeleng tak tahu, Ammar pula tak mahu tahu.

“Maria dah balik dari Korea semalam dan dia akan tolong ibu menjahit kat butik,” riak wajah teruja Puan Zalina tak dapat disembunyikan lagi.

Ammar terdiam. Dia mengerling ke arah isterinya. Air muka Hanis Amirah serta-merta berubah. Dia tahu isterinya masih sangsi dengan kedudukan Maria Marissa. Sehingga ke hari ini, Hanis Amirah masih tak dapat menyaingi keterujaan Puan Zalina terhadap Maria Marissa. Kalau bukan kerana dia menantu Puan Zalina, sudah tentu Puan Zalina buat tak tahu akan kewujudannya di muka bumi ini, getus hati kecil Hanis Amirah.

Bagi Ammar, dia tahu isterinya itu sudah tidak mampu bersuara. Namun Ammar tidak sedikit pun menganggap kekurangan Hanis Amirah itu sebagai satu kelebihan baginya yang tak perlu mendengar suara amarah dan leteran si isteri. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Hanis Amirah menderita dalam diam. Menderita kerana isterinya itu tak mampu meluahkan rasa sayang, rasa benci, rasa terkilan dan rasa simpati melalui perkataan.

Hanis Amirah bangun dari mengurut bahu suaminya dan masuk ke dalam bilik. Hanya tangisan tak berlagu sahaja menemani jiwa sepinya. Andai dia seperti isteri lain yang mampu bersuara, sudah tentu dia tak perlu mendengar nama-nama perempuan yang menjejaskan perasaan percayanya terhadap Saiful Ammar.

“Pergilah,” Puan Zalina menyuruh Ammar untuk memujuk Hanis Amirah. Puan Zalina tahu dia terlepas cakap, tapi dia juga tak dapat membohongi dirinya sendiri yang teruja dengan kehadiran Maria Marissa. Sejak dari dulu lagi, dia sudah berkenan dengan Maria Marissa, cuma takdir sahaja tidak menyebelahi niatnya.

Ammar masih tak berganjak.

“Ammar, kamu beritahu dekat isteri kamu. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap menantu ibu yang paling ibu sayang,” pesan Puan Zalian bergenang air mata bersalah di tubir kelopak mata.

Ammar senyum mengerti.

Setelah reda tangisan Hanis Amirah, barulah Ammar masuk mengjenguk keadaan isterinya itu. Ammar ambil sekotak tisu, dan meletakkannya bersebelahan Hanis Amirah.

“Sayang tahu tak apa ibu pesan kat abang tadi?” Ammar memulakan pujukannya.

Hanis Amirah memalingkan badannya supaya Ammar tak dapat melihat mukanya yang sedang dirundung sedih.

“Ibu suruh abang beritahu kat Hanis, yang Hanis seorang sahaja menantu yang ibu paling sayang,”

Hati Hanis Amirah sedikit lega, namun itu masih belum mencukupi untuk meredakan kesedihannya. Menyedari kelebihan yang ada pada Maria Marissa berbanding dirinya, dia hanya boleh berdoa supaya jodohnya dengan Ammar berkekalan atau dia perlu mengangkat bendera putih jika Maria masih berkenan terhadap suaminya.

“Dan satu lagi yang abang nak kamu tahu. Ni keluar sendiri dari mulut abang dan abang nak Hanis ingat baik-baik, simpan elok-elok dalam kotak fikiran Hanis. Satu-satunya permaisuri di hati abang selain ibu, ialah nama wanita yang pertama kali abang sebut dalam majlis akad nikah iaitu Hanis Amirah binti Haji Arshad,”

Jaminan dari suaminya pun belum cukup menguatkan keyakinannya bahawa Maria sudah tidak menaruh hati pada Saiful Ammar.

“Sebelum tu, abang nak beritahu Hanis satu benda. Petang tadi Maria  call abang…”

Tersentap jantung Hanis Amirah. Air matanya bagai mudah sangat gugur berlinangan. Dengan reaksi spontan, Hanis Amirah melontar bantal ke arah Ammar tanda protes.

“Sabar… Sabar, Yang,” segera Ammar memeluk isterinya, Hanis Amirah.

Hanis Amirah menangis marah dan geram dalam dakapan suaminya. Jika dia bersuara, sudah tentu dia akan menjerit bahawa suaminya itu hanya miliknya, bukan boleh dikongsi sesuka hati tanpa melalui izinnya dan Penciptanya.

“Abang sayangkan Hanis,” ujar Ammar sambil mengucup ubun-ubun isterinya. “Abang cuma nak cakap yang Maria ajak kita untuk hadir majlis pertunangan dia khamis minggu depan,” lembut sahaja Ammar memberi penjelasan.

Tangisan Hanis Amirah bertambah parah. Kini tangisannya bukan lagi kerana geram. Tapi tangisannya adalah tangisan memohon kemaafan kerana salah sangka terhadap Saiful Ammar. Hanis Amirah memeluk erat suaminya. Ammar hanya tersenyum sambil mengurut belakang isterinya menyurutkan rasa sedih dalam dada Hanis Amirah.

***
Malam Sebelum 1 Ramadhan.

Kesemua anak-anak, menantu dan cucu berkumpul di rumah Haji Arshad untuk makan malam bersama.

“Ahmad Safwan Syawal, pergi salam dengan Pak Long Ammar,” Ramadan yang mendukung anak sulungnya yang berusia tiga tahun menyuruh anaknya itu bersalam dengan Saiful Ammar. Ahmad Safwan Syawal menyambut salam tangan yang dihulur Ammar dengan telapak tangannya yang kecil.

“Pandainya,” ujar Ammar sambil menyentuh pipi gebu Ahmad Safwan Syawal.

“Tak bunyi pun, sekali lagi bagi bunyi,” Hanis Aminah mencelah. Atas arahan ibunya, Ahmad Safwan Syawal sekali lagi mencium tangan Ammar dengan bunyi yang dibuat mulutnya sendiri, mengundang hilai tawa semua.

Ramadan kemudian menyerahkan anaknya kepada isteri, Hanis Aminah. Hanis Aminah kemudian memberikan pula anaknya itu kepada kakak kembarnya, iaitu Hanis Amirah. Hanis Amirah melayan mesar anak saudaranya itu. Bermain dengan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah tidaklah susah kerana tidak perlu gunakan bahasa sebagai penjelasan. Hanya cukup memahami dan tindakan yang menceriakan hati si kecil, maka penjagaan si kecil sudah tentu mudah.

Ramadan dan Saiful Ammar kemudian berbual sebentar di ruang tamu sementara menanti nasi arab yang dimasak secara bersama oleh mertua mereka siap.

“Aku ingat aku nak pergi Nilai, beli baju raya dan kelengkapan raya. Aku nak rayatahun ni gempak sikit,” kata Ramadan dengan anak mata serius, walaupun dia hanya beringat atau berkira-kira sahaja untuk pergi.

Okay-lah. Aku dekat-dekat Johor sini je,” balas Ammar acuh tak acuh, sambil membaca majalah yang ada di bawah meja kecil di hadapan kerusi sofa yang didudukinya.

Okay je? Ni, Ammar. Kau join-lah dengan aku sekali. Bagi surprise sikit,”

Surprise apanya. Kitakan nak bawa isteri kita jugak,”

“Siapa nak bawak bini, wei? Kita dua je. Cuba kau fikir, kalau kita bawa isteri kita pergi shopping, alamatnya bukan poket je bocor, kaki pun boleh jadi pengkor tau. Lagipun kau tengoklah keadaan Min tu, sarat dah pun. Mana larat nak jalan sana sini,” ujar Ramadan sambil memuncungkan bibir menunjuk ke arah Hanis Aminah yang sedang membantu mengemas meja makan.

“Malaslah. Lagipun aku dengan Hanis lebih selesa beli baju raya kat sini. Tahun lepas kita pergi Masjid India, macam nak pitam aku dengan Hanis bersesak-sesak kat situ,”

“Itu Masjid India KL, tahun ni kita pergi Nilai, tak adalah se-crowded yang kau sangka. Macam ni lah, apa kata tahun ni kau dengan aku tong-tong untuk buat persiapan raya keluarga mertua, dalam masa yang sama kita yang akan pergi beli baju raya untuk keluarga kita. Amacam?” Ramadan mengangkat-angkat keningnya mendapatkan persetujuan Ammar.

Ammar ragu-ragu untuk setuju. Anak matanya memandang raut wajah Hanis Amirah. Masih dia ingat lagi kejadian membeli baju raya dua tahu sudah, Hanis Amirah kecil hati kerana ramai penjual baju raya sangka isterinya itu buat-buat tak nak bercakap. Akhir sekali, Hanis beli baju raya yang dah siap, walau tak sedondon dengan Saiful Ammar.

“Ala, boleh je lah. Sebagai bos kau kat pasaraya tu, aku arahkan kau untuk ikut aku,” Ramadan cuba bertegas.

“Ewah, banyak cantik kau guna pangkat kau untuk paksa aku yang sedang berada di dua persimpangan dilema. Habis tu, title adik ipar yang kau pegang nak letak mana?” soal Ammar bergaduh pula pasal siapa yang perlu ikut siapa.

“Ala, walaupun aku digelar adik ipar, kau kena tahu yang isteri aku tu kembar tak berapa nak iras dengan isteri kau. Setakat lahir dua minit awal, tak memberikan apa-apa makna. Dua-dua lahir pada tahun yang sama, bulan yang sama, minggu yang sama, hari yang sama, cuma beza dua minit je pun, tak sampai satu jam,” bidas Ramadan.

“Ah, cakap dengan kau memang buat lidah aku kelu dan clueless. Ikut kau lah,” Ammar mengalah akhirnya.

“Okay, chantek! Kau jadi tukang kira-kira, aku pulak pemandu. Deal?” Ramadan menghulur tangan untuk memeteraikan janji lisan mereka.

Ammar dengan muka terpaksa menerima huluran salam tersebut.

“Eh, kejap-kejap,” Ramadan menarik balik huluran salamnya.

“Apa lagi ni?”

“Aku tak letakkan cop mohor perjanjian lagi kat tapak tangan,”

“Cop mohor?”

Hakkktuih!

“Ah, jangan nak mengada-ngada suruh aku salah tangan kau dengan air liur kau tu,” ujar Ammar meninggalkan terus Ramadan.

“Wei, kita tak meteraikan janji kita lagi ni,” Ramadan cuba memanggil Ammar, namun Ammar buat tak endah. “Okay,okay. Kira jadilah ni eh.”

***
5 Ramadhan.

Ammar menggaru kepala sambil membuat kira-kira perbelanjaan raya tahun ini. Dia sedang duduk bersila di atas katil, manakala isterinya sedang mengemas rumah bersama ibu. Rambut Ammar sudah mencanak bersimpang-siur. Stress! Bentak hati Saiful Ammar. Sekali lagi dia melihat senarai kira-kira yang dibuatnya.
Belanja Persiapan Raya :-
1.      Baju Raya ( RM100 x 8 unit)
2.      Kelengkapan Raya (RM500)
3.      Bahan Mentah (termasuk Kambing dua ekor ; RM2000)
4.      Duit Raya (RM300)
5.      Buluh Lemang (200)
6.      Langsir Raya (RM300)
JUMLAH = RM4100 (Bundar kepada RM5000)
Pendapatan
1.      Duit Gaji (RM1000 x 2 orang = RM2000)
2.      Bonus Raya (RM200 x 2 = RM400)
JUMLAH = RM2400
            Perbelanjaan – Pendapatan = RM5000 – RM 2400 =RM2600
            ###Perlukan RM2600 lagi!



 
Mana nak cekau duit untuk tampung perbelanjaan persiapan raya ni, gusar hati Saiful Ammar. Perbelanjaan empat ribu seratus ringgit paling kurang, tak termasuk kos-kos tambahan macam pengangkutan dan duit minyak lagi. Sudahlah pendapatan dia dan Ramadan, walaupun dijumlahkan bersama, hanya separuh sahaja dapat tampung perbelanjaan raya tahun ini.

“Tak boleh jadi ni. Aku nak kena jumpa Ramadhan jugak,” kata Ammar terus keluar dari rumah.
Skuter merah jambunya dihidupkan dan dibonceng ke rumah Ramadan. Nasib baik Ramadan baru pulang dari jogging.

“Wei, kau tak jogging ke?” tanya Ramadan bermandi peluh.

“Nak jogging macam mana kalau kau suruh aku buat kira-kira untuk persiapan raya tahun ni,” bidas Ammar kemudian mematikan enjin skuter merah jambunya.

“Wah, pantas, cekap dan amanah! Inilah abang ipar aku yang mithali, wajar dicontohi…”

“Dah, dah. Jangan nak mengarut lagi. Aku datang ni sebab ada benda sikit nak bincang dengan kau. Bajet kita sekarang tak cukup,”

“Ha! Sebelum kau bincang pasal bajet, cuba kau teka dengan siapa aku jogging?”

“Dengan Min?” Berdekah-dekah Ammar ketawa bila membayangkan Hanis Aminah yang sarat mengandung berjogging.

“Wei, agak-agaklah aku nak jogging dengan Min, dia tu sarat mengandung kut…” Ramadhan melihat ke kiri dan ke kanan sebelum membisik ke telinga Ammar, “Aku jogging dengan Maria tadi…”

“Hah! Wo-wo! Tunang orang kut,”

“Aku tak habis cakap lagi kau dah cantas. Aku jogging dengan Maria dan juga tunang dia bersama dengan mak bapak Maria sekali,” jelas Ramadhan.

“Oh, lain kali cakap bagilah keliyaaar! (clear). Dah, jom bincang kejap. Aku ada bawa hardcopy kira-kira yang kau suruh buat. Check-lah sendiri,” Ammar menyerahkan salinan kertas A4 yang tertera perbelanjaan dan pendapatan untuk persiapan raya tahun ini.

“Mak aiii! Ni belum masuk duit minyak lagi ni,” terperanjat Ramadhan melihat angka yang diperlukan dalam kerta tersebut.

“Tahu tak apa. So aku rasa kita lupakan je lah hasrat kita tu. Sederhana cukuplah,”

“Wei, mana boleh,” sanggah Ramadhan berkeras mahu teruskan juga. “Pasal duit, kau jangan risau, aku tahulah nak buat macam mana. Malam ni kau bawa isteri dengan ibu kau buka puasa sekali kat rumah bapa mertua kita,”

“Kalau kau dah cakap macam tu, okay-lah.”

***
10 Ramadhan.

“Argh! Yang kau gatal pergi canang kat keluarga mertua kita kenapa? Kita pun belum confirm lagi nak pergi Nilai tu. Duit gaji dan duit bonus kita pun kau belum bagi lagi untuk bulan ni,” bentak Ammar terhadap Ramadan dalam pejabat pasaraya.

“Sabar, bertenang. Inni So’im, aku berpuasa sekarang,” dalam Ammar sedang marah, sempat lagi Ramadan mengusik gurau.

“Habis tu aku tak puasa lah!? Wei, baik kau fikirkan jalan untuk bagi cukup duit kita ni untuk tampung belanja persiapan raya. Nak paling selamat, duit kita mesti ada lima ribu ringgit dalam simpanan,” peringatan serius oleh Ammar.

“Jangan risau. Aku tahulah apa yang aku buat,” jamin Ramadan dengan senyuman tersimpul rahsia yang tersimpan.

“Kau memang patut tahu. By hook or by crook, kau mesti dapatkan duit tu jugak. Aku tak nak reputasi aku sebagai menantu terbaik Haji Arshad tercalar macam tu sahaja,” kata Ammar dengan nada memberi amaran keras sambil Ramadan mengajuknya dengan gerak bibir.

Pada sebelah malamnya, Ramadan menggodek sesuatu dalam garaj rumahnya. Motosikal berkuasa tingginya yang berselimut kain pelbagai corak berjahit, dibuka semula.

“Wahai, intan payung permaisuri hati selepas bini, sudah lama kiranya kekanda tak menjenguk dinda,” peluk Ramadhan erta-erat pada badan besar motosikal berkuasa tingginya.

Masih segar di ingatannya, dia gunakan semua duit yuran kolej yang diberikan oleh arwah ayahnya untuk beli motosikal ini. Setiap bulan dia akan servis motosikalnya itu, dan pada malam ini segala usaha dan penat lelahnya menjaga buah hati tak bernyawanya itu akan terjawab.

“Dinda, malam ini kekanda perlukan ketangkasan dan kepantasan dinda. Kita akan buktikan gandingan dan chemistry antara kita berdua  bisa meruntuhkan apa sahaja halangan yang berada di hadapan kita. Kita akan buktikan kepada Ammar, bahawa nothing is impossible and impossible nothing! Kita akan tunjukkan bahawa kita berdua mampu menjana duit raya!!!” terus Ramadhan memecut laju dengan motosikal berkuasa tingginya meredah bayu malam ke satu lokasi rahsia.

Sampai sahaja ke destinasi iaitu di kawasan yang sunyi dari kenderaan berat dan motokar, kedatangan Ramadan disambut oleh seorang lelaki yang dikenalinya sebagai Ziro.

“Hey, bro! Lama tak jumpa,” Ziro menyapa berlaga bahu dengan Ramadhan.

“Biasalah, bulan puasa. Banyak duduk kat masjid,” seloroh Ramadhan.

“Gila rempang lu, bro. Tak silap aku, lu tak pernah datang sejak lu kahwin, bro. Aku ingat lu dah tak mau join  benda-benda rempit ni, bro,”

“Memang aku tak nak join. Tapi keadaan yang memaksa. So aku datang ni nak race dan aku bet pertaruhan lima ribu ringgit kalau aku menang,”

Ziro setuju dengan bersyarat, “Kalau lu kalah, motorbike lu akan jadi bayarannya. Amacam? Ada bran?”

“Tengok oranglah. Ini Ramadan, nama baik pada bulan yang baik. Jangan kau menganga tengok kepantasan motorbike aku sudahlah,”

“Kepantasan bukan segalanya, bro. Bukan segalanya,” ujar Ziro senyum menyenget. Ziro kemudian memberi isyarat kepada pelumba haram yang lain untuk bersedia.

Dalam banyak-banyak pelumba, hanya motosikal Ramadan sahaja berkuasa tinggi. Yang lain semua motosikal EX5, Legenda, Modenas Kriss 2, Honda petak dan pelbagai lagi motosikal kapcai. Ia sudah umpama Valentino Rossi dengan motosikal 2500cc datang berlumba haram dengan mat rempit se-Malaysia yang hanya pakai motosikal 125cc.

“Sedia semua!!!” jerit Ziro. “Gentleman, start your engine! Dan satu, dua… Mula!!!”

VROOOM!

***
Di Hospital Besar Tun Aminah Johor Bahru, 15 Ramadhan.

Di pinggir katil, Ammar merenung tajam ke arah Ramadan. Ramadan buat-buat tak pandang Ammar. Mujur di sebelahnya ada Hanis Aminah, isterinya. Ibubapa mertua Ramadhan turut memerhatinya penuh rasa kasihan. Kaki tergantung bersimen kerana patah, kepala berbalut dan tangan bersimpuh simen.

Kemudian jururawat bertugas menyuruh kesemuanya keluar kerana waktu melawat sudah tamat. Semuanya, termasuk Hanis Aminah, bergerak keluar dari wad tersebut. Ramadan memerhati sahaja isterinya keluar meninggalkannya. Tidur sendirian di atas katil tanpa dapat bergerak banyak, memang sangat sepi. Sepi yang tak bertepi.

“Seronok tak?”

Soalan Ammar memeranjatkan Ramadhan. “Ya Allah. Wei! Kaki aku ni nasib baik patah tau tak, kalau tak dah berbekas kat pipi kau tu. Aduii!” Ramadhan menghela nafas perlahan-lahan menyurutkan rasa debar terkejutnya.

“Mana duit lima ribu?” soal Ammar.

Ramadan sengeh.

“Ada tak?”

Ramadan geleng.

“Haish, apa lah nasib kau ni. Itulah lain kali jangan merempit. Dahlah merempit guna motorbike, tak pernah dibuat orang. Kalau kalah dengan sama saiz tak apa jugak, ni kalah dengan motor kapcai. Apa kes, bro?” berdekah-dekah ketawa Ammar dalam frekuensi yang terkawal.

“Motor dia orang tu dah modified. Lagipun dia orang main tipu, bolehlah,”

“Ni, dengar apa abang ipar kau nak cakap. Duit yang datang dari sumber yang haram, akan jadi haram kalau kita guna. Cuba kau fikir, kalau kau menang dengan duit tu, kau nak bagi kami pakai baju duit haram kau tu, nak bagi makan anak bini kau ketupat hasil duit haram kau tu, macam tu?”

Ramadan menggeleng sedar.

“Sebab tu kau kena bersyukur sebab Allah lindungi kau dari mengheret keluarga kau, termasuk keluarga aku, dari menikmati duit pertaruhan lumba haram tu. Okay, sekarang ni aku nak kau rehat cukup-cukup, dan pasal persiapan raya tu, biar aku take over,” Saiful Ammar memberi sedikit harapan kepada perancangan mereka berdua.

“Tak syak lagi, kau memang abang ipar yang paling best  pernah aku dapat,” kata Ramadhan dengan riak wajah sebak.

“Mestilah, dah aku je satu-satunya abang ipar yang kau ada.”

***
Di Butik Puan Zalina, 20 Ramadhan.

“Assalamualaikum, Rahman. Aku ada benda sikit nak offer kat kau ni. Kau nak tak? Aku nak jual skuter merah jambu aku. Aku dah servis elok-elok, semua cantik lagi. Nett price aku bagi dalam seribu, boleh? Tak boleh eh. Harga boleh bincang lagi, Man. Tak nak jugak eh. Okay, macam tu tak apa lah,” masuk kali ini, sudah 20 puluh kenalan lelaki Ammar menolak tawarannya terhadap penjualan skuter merah jambu miliknya.

Hanis Amirah memerhati penuh kehairanan kelibat suaminya. Puan Zalina dan Maria Marissa pula sedang ralit menjahit baju raya yang ditempah. Hanis menghampiri suaminya dan bertanya melalui bahasa isyarat, apa yang menyebabkan suaminya runsing sekarang?

“Abang okay je lah. Tak runsing apa-apa pun. Cuma abang nak jual skuter tu je,” jawab Ammar tenang.

‘Abang nak beli motosikal baru?’ tanya Hanis Amirah dalam bahasa isyarat.

“Taklah. Abang rasa malas dah nak jaga skuter tu, tu yang abang nak jual,” kata Ammar menyembunyikan hakikat sebenar.

‘Hanis ada kawan perempuan yang suka dengan semua benda yang berwarna merah jambu. Dia mesti suka skuter merah jambu abang tu,’

“Betul ni!?”

Hanis Amirah mengangguk mengiyakan.

Call dia cepat, beritahu yang abang nak skuter merah jambu tu kat dia. Harga boleh nego lagi,” suruh Ammar tanpa berlengah.

Hanis Amirah merenung tajam ke arah muka Ammar.

“O-oh, lupa pulak abang. Er, biar abang je yang call,” baru Ammar teringat isterinya tu tak mampu bersuara. Ah, apa dah jadi dengan kau ni! Marah hatinya sendiri.

***
25 Ramadhan.

Sepatutnya malam ini Ammar bersama-sama dengan isteri dan ibunya beriktikaf di masjid. Namun disebabkan kesibukannya mencari duit untuk menampung perbelanjaan persiapan raya dan untuk berbelanja sakan di Nilai nanti, otaknya terlupa tentang kepentingan malam yang lebih baik dari amalan ibadah seribu bulan iaitu Lailatul Qadr.

Dalam biliknya, Ammar masih mengerah otaknya untuk mencari di mana lagi lubuk rezeki yang dapat membantunya mencari duit lebih. Skuter yang sepatutnya dijual dengan harga seribu, hanya dapat dijual lima ratu ringgit sahaja. Entahlah, hatinya mula terdetik bibit-bibit pasrah dan putus asa.

Buntu dengan masalah yang bersarang di minda, Ammar ambil keputusan untuk ke masjid beriktikaf di sana. Segera dia segarkan badan, kemudian membuka almari untuk mengambil jubah yang dibeli isterinya untuk raya tahun lepas. Sedang dia mengambil jubah, anak mata Ammar terpandang kepada bekas emas milik isteirnya. Tangannya terasa gatal untuk sentuh.

“Ni gelang kahwin aku dulu ni,” ujar Ammar, kemudian mulalah dia mendapat idea yang kurang molek. Iaitu cagaran emas. Dia hanya kekurangan lebih kurang dua ribu lebih ringgit lagi sahaja, dan gelang emas ini harganya lebih kurang tiga ribu. “Kalau pergi kat Ar-Rahnu Bank Rakyat, boleh dapat dua ribu lebih lagi ni.”

Tapi itu kan gelang perkahwinan. Bukti cinta dan tanggungjawabnya terhadap Hanis Amirah sebagi isteri yang akan dijaga didunia dan dibawa bersama ke akhirat. Hati Ammar berbolak-balik.

“Ah, cagaran je. Nanti aku bayar balik, dapatlah rantai ni,” kata dirinya sendiri menguatkan keyakinan. Maka tanpa berlengah, dia pakai jubah dan terus ke masjid untuk beriktikaf. Harapnya esok pagi dia akan terus ke kuanter Ar-Rahnu. Gelang emas itu pun dibawa sekali dan diletakkan dalam kocek jubah.

***
 Keesokan pagi.

“HILANG!!!” jerit Puan Zalina ternyata terkejut dengan kenyataan Ammar. Hanis Amirah sudah bercucuran air mata.

Saiful Ammar pula bagai nak gila mencari gelang emas yang sepatutnya ada di kocek jubah. Barangkali tercicir mungkin. Sudah ke serata tempat dia mencari. Di tandas masjid, di tempat Imam berkhutbah, pejabat muazzin, kawasan kolah tempat berwudhu’ dan pelbagai sudut lain yang ada dalam perkarangan masjid. Namun, keputusannya masih sama. Gelang emas hilang buat selama-lamanya.

Sejak dari hari itu, tiga hari tiga malam isteri Ammar tak bertegur. Memanglah Hanis Amirah tak mampu bertegur dengan suara, namun kali ini bila berselisih, mesti buat endah tak endah. Bukan itu sahaja, Puan Zalina, ibu Ammar pun turut sama menyertai mogok protes bersama-sama dengan menantunya, Hanis Amirah.

Bahu Ammar terasa bagai memikul beban yang berlipat kali ganda beratnya berbanding semasa sebelum akad nikah. Ah, mana lagi aku nak cekau duit nak ganti gelang emas tu, bisik hati Ammar buntu.

***
“… diumumkan bahwa tarikh satu syawal, Hari Raya Adilfitri adalah pada esok hari…” semua mata fokus pada skrin teelvisyen di rumah Haji Arshad. Puan Zalina sama-sama tinggal di rumah itu untuk menyambut hari raya bersama.

Manakala Ammar dan Ramadan pula, duduk memangku dagu memerhatikan keindahan gemerlapan taburan bintang di langit nan kelam.

“Apalah nasib kita ni, bro?” keluh kesah Ramadan yang masih bersimen kaki kanannya.

“Entahlah. Patutnya aku tak ikut cakap kau. Sekarang, semua benda yang kita rancang semuanya tak jadi. Nak pergi Nilai-lah, nak tumbankan dua ekor kambinglah, beli baju raya untuk semualah, nak bagi duit raya lima puluh ringgitlah,” Ammar mengomel mengungkit kesilapannya.

“Bukan lima puluh, dua puluh ringgit je,”

“Ah, sama lah tu. Tak semena-mena aku hutang dengan kau,”

“Ha! Kau guna duit gaji dan bonus aku tu untuk apa ek?”

“Beli gelang emas baru untuk isteri aku lah. Ni semua kau punya pasallah,”

“Aik, salahkan aku pulak. Kau yang gatal nak gadai gelang tu kan sampai senang-senang je letak gelang tu calam kocek jubah kau. Kau tahu, perbuatan kau tu dah dikira mencuri. Cuba kau bayangkan kalau kau berjaya gadai gelang emas milik Hanis tu, kau dah heret aku dan keluarga aku makan duit hasil curi kau tau,” bidas Ramadan dengan cara yang sama pernah Ammar sebutkan kepada dia dahulu semasa dia terlantar di hospital akibat kemalangan berlumba haram.

“Yelah, yelah. Aku tahu aku salah jugak dalam hal ni… Nampak gayanya tak kesampaianlah kita nak tengok keluarga kita tersenyum gembira dan bahagia hasil titik peluh usaha kita,” Ramadan pasrah.

Waktu itulah Haji Arshad, bapa mertua menyertai mereka berdua. “Apa yang dibualkan ni?”

“Tak ada apa-apa, abah,” jawab Ammar tersengeh bersama Ramadan.

“Abah dah tahu semuanya. Isteri kamu berdua dah ceritakan semuanya kat abah, termasuk ibu kamu, Ammar. Abah sebenarnya tak mengharapkan pun duit kamu, persiapan raya sederhana pun dah okay dah. Kamu balik beraya dengan abah kat rumah ni pun, dah cukup bahagia bagi abah dan mak kamu,” ujar Haji Arshad menguntum senyuman.

Ammar dan Ramadan pula tersenyum lega bercampur segan. Segan kerana pekung di dada sudah terbongkar.

“Cuma abah nak pesan satu je. Niat yang baik tak menghalalkan cara yang tidak baik,” pesan Haji Arshad merujuk kepada frasa matlamat tidak menghalalkan cara.

“Baik, abah,” serentak kedua-dua menantu Haji Arshad itu menjawab.

***
1 Syawal.

“Wah, baju baru nampak!” sapa Ammar kepada Ramadan.

“Mestilah!” Ramadan memeluk erat abang iparnya itu.

Sebelum mereka bergerak ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri, mereka bersalaman dan meminta ampun di pagi raya sesama keluarga.

Hanis Aminah mencium tangan suaminya, Ramadan. Sedang Hanis Aminah mengucup tangan suaminya, Ramadhan menyentuh ubun-ubun isterinya yang berlapik tudung dan berbisik, “Terima kasih sebab jahitkan baju raya untuk saya.” Tanpa disangka air mata isterinya membasahi tangan Ramadhan. Tahulah Ramadhan isterinya menangis.

Manakala Saiful Ammar pula menyuruh isterinya, Hanis Amirah untuk menghulurkan tangan kanannya. Dengan bahasa isyarat, Hanis Amirah menyoal untuk apa?

“Adalah. Sesuatu yang sayang nanti-nantikan,” kata Ammar.

Hanis Amirah tak mengerti. Dia menghulurkan tangan kanannya kepada suaminya, Saiful Ammar.

“Awak,” sambil mengeluarkan gelang emas yang dibelinya hasil duit gajinya dan berhutang dengan duit gaji Ramadan berserta bonus raya sebagai ganti gelang emas perkahwinan yang dihilangkannya, lalu dia berkata, “Ini sebagai ganti gelang emas yang saya hilangkan, hasil usaha titik peluh saya sendiri, sama seperti gelang emas yang saya belikan untuk awak masa perkahwinan kita dulu,”

Menitis air mata jernih Hanis Amirah. ‘Saya tak perlukan gelang emas ni. Cukuplah awak disisi saya masa hari raya ni,’ ujar Hanis Amirah berbahasa isyarat menyebabkan mata si suami bergenang.

“Eh-eh, kau menangis Ammar,” usik Ramadhan menyebabkan kesemua yang ada ketawa.

“Mana ada,” sanggah Saiful Ammar mendongak memaksa air mata yang bergenang di tubir kelopak mata masuk kembali.

Kala sinar Aidilfitri hampir menjelma, ingatlah pada waktu itu gelodak hawa nafsu akan mendominasi jiwa. Jika kita tunduk pada telunjuk nafsu sendiri, maka gugurlah kita sebagai insan yang boros dan rugi. Ingatlah selalu firman Allah ini:

‘Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.’
[Surah Al-An’am (6) : Ayat 141]

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

 Cerpen ini adalah berdasarkan watak dan karakter dari novel ‘Nak Kahwin Duit Tak Ada’ tulisan Naufal Tarmizi yang diterbitkan pada bulan Jun 2013. Boleh dapatkan novel ini di kedai buku MPH, Popular dan cawangan-cawangannya.

No comments: