Wednesday, August 14, 2013

(CERPEN) NYIUR SETANDAN




JEBAT memandang pelik ke raut wajah yang saling tak tumpah dengan raut wajahnya sendiri. Bezanya, dia berpakaian baju T jenama POLO, dan seorang lagi; yang ada wajah seiras dengannya, memakai singlet pagoda bertompok lumpur kering.
Jemi pula mengerut dahi sambil melemparkan mimik muka serius. Peluh menitip di mukanya. Dia baru sahaja pulang membanting tulang mengait buah cempedak di kebun.
“Si… Siapa kau?” soal Jebat terketar-ketar. Setahunya, dia tak pernah pun diberitahu bahawa dia sebenarnya mempunyai adik kembar, atau abang kembar. Sudahlah kembar, seiras pula tu. Sebenarnya dia sudah lupa bahawa dia memang ada saudara kembar lebih kurang 18 tahun yang lalu sebelum dia diambil menjadi anak angkat.
Jemi tak menunggu lama. Dia memang sudah tahu kehadiran Jebat ke rumah Tok. Dia juga sudah tahu sejarah kembarnya itu. Walaupun Jemi dan Jebat itu saudara kembar, namun nasib mereka tak sama. Bak kata pepatah, nyiur setandan tapi berlainan jadinya.
Mereka berdua kehilangan ibu bapa seawal usia tiga tahun. Waktu itu Tok masih kuat untuk mengusahakan kebun peninggalan arwah Tok Wan. Penat lelah Tok hampir setahun untuk membesarkan Jemi dan Jebat akhirnya menjadi ringan apabila Haji Mazlan memberitahu bahawa ada pasangan yang mahu mengambil salah seorang cucu Tok sebagai anak angkat.
Tok menolak pada mulanya atas alasan Tok sudah membesarkan Jemi dan Jebat selama tiga tahun. Sudah terasa seperti cincin lekat di jari. Namun atas desakan Haji Mazlan, dan juga demi masa depan cucunya, Tok relakan juga salah seorang cucunya dijadikan anak angkat. Antara Jemi dan Jebat, pasangan itu memilih Jebat.
Nama sebenar Jemi dan Jebat ialah Nazmi. Bezanya Jemi mempunyai pangkal nama Mohammad, dan Jebat berpangkal nama Ahmad. Tok sendiri menggelarkan si abang sebagai Jemi; berasaskan Jemi keluar dahulu dari rahim, dan si adik digelar Jebat. Suku kata ‘Je’ menjadi asas pertimbangan penggunaan nama panggilan Jebat oleh Tok. Setelah hampir 18 tahun berpisah, barulah keluarga angkat Jebat mahu menghantar Jebat ke rumah Tok.
Jebat masih tercegat di hadapan rumah papan Tok dengan bagasi besarnya. Sudah seperti mahu pergi melancong luar negara. Padahal balik ke rumah Tok di Kota Sarang Semut, Kedah sahaja.
“Sapa dia tu, Jemi? Hang tak ajak dia naik ka?” suara Tok meresik dari ruang dapur. Tok membetulkan kain batiknya dan anak tudung yang diserkupnya. “Ya Allah! Jebat!” Wajah Jebat yang sudah besar panjang memang cukup asing dengan memori wajah Jebat 18 tahun yang lalu. Hanya kerana wajah Jebat seiras dengan Jemi dan cerah sedikit daripada Jemi menyebabkan Tok yakin itulah Jebat. Bingkas Tok menuruni anak tangga sehingga hampir terjatuh. Mujur Jebat sempat menyambut Tok, kalau tidak sudah pasti panjang ceritanya.
“Tok?” tanya Jebat untuk dapatkan kepastian. Bukan apa, 18 tahun lamanya tak berjumpa, raut wajah Tok pun sudah samar untuk dikesan-cam dengan wajah bergaris kedut kudrat.
“Hang tak ingat aku lagi ka, Jebat? Amboi, larat sampai tera tu sekali. Dah, jom naik atas. Tunggu buat apa kat bawah ni,” pelawa Opah ternyata gembira. Badan Tok yang sedikit membongkok langsung tak menjejaskan langkahannya.
“Kejap, Tok. Siapa nak angkat bagasi saya ni?”
“Awatnya? Hang sakit tangan ka?”
Jebat hanya tersengih dengan soalan Tok.
“Tak apa, tak apa. Sat lagi hang punya abang kembar angkat beg tu,”
“Abang?”
“Ya la, siapa lagi. Abang hang pun hang tak ingat? Ish, awat hang teruk sangat ni. Takkan hang tak jumpa laki yang muka macam hang tadi. Kenai tak dengan Jemi?”
Jebat menggeleng tapi dia tahu dia pernah dengar nama tu sebelum ini. Namun dia tak tahu bila.
***
Di Masjid, Jemi seperti hari-hari kebiasaannya menemani Tok solat jemaah Maghrib dan Isya’ di sana. Usai sahaja urusan solat, Tok menghampiri Jemi yang sudah lama menunggu. Dalam perjalanan pulang, Jemi bertanyakan beberapa soalan yang ligat bermain di fikirannya.
“Kenapa dia balik, Tok?” soalan pertama Jemi.
Tok tak menjawab. Tiada jawapan kerana soalan itu juga yang bermain di fikiran Tok.
Soalan kedua Jemi bertandang sejurus selepas itu, “Bila dia nak balik rumah keluarga angkat dia?”
Tok tak menjawab, hanya mencebik bibir sebagai isyarat tak tahu.
“Jemi rasa dia tak sesuai dengan gaya hidup kampung macam kita. Lagi cepat dia blah dari sini, lagi bagus,” dengus Jemi.
“Tak baik hang cakap lagu tu. Kalau dia tak sesuai hidup dengan cara kita, buat apa dia mai balik rumah Tok. Kalau pun hang tak berapa nak suka dengan Jebat tapi hang sebagai abang… bagilah ruang kat dia. Cuba bergaul dulu dengan dia tengok. Suruh dia tolong hang kat kebun ka, mintak dia kupas nyiur ka,” tegur Tok kepada Jemi.
“Tolong kat kebun? Kupas nyiur?” Jemi ketawa besar. “Dia tu ibaratnya macam tikus. Tok nak suruh si tikus tu baiki labu. Alamatnya bukan tolong, menyusahkan ada la,” sambung Jemi masih bersisa hilai tawanya.
***
Pap!
Dengung siren nyamuk berlegar di sekitar kepala Jebat.
Pap!
Alahai! Masa macam ini lah nyamuk nak kebulur. Siang tadi tak nak pula mencari darah. Kalau hisap darah hidup sampai bertahun-tahun tak apa lah juga, ini sesudah hisap darah nyamuk pasti akan mati. Mati tertepek di tangan aku! Haish! Ngomel Jebat seorang diri yang sedang duduk bersila sambil kedua telapak tangannya menjadi penghempap serangan nyamuk. Kadang-kadang timbul juga rasa kasihan pada nyamuk kerana tanpa darah (contoh nyamuk Anopheles) nyamuk tak dapat memberikan nutrien yang secukupnya kepada telur-telurnya. 
Kelambu sudah dipasang, tapi masih juga ada nyamuk yang berjaya membolosi benteng pertahanan kelambu tersebut. Memang nyamuk jenis gerila ni! Rela mati hanya untuk mendapatkan makanannya iaitu darah manusia. Nasib baik ini rumah Tok, kalau di rumah keluarga angkatnya sudah pasti berkepul asap Ridsect di ruang udara rumah dan dibentengi kelambu berinsektisida atau Long-Lasting Insecticidal Nets (LLINs).
“Nah, ambil Fumakilla ni,” tiba-tiba Jemi bersuara dengan muka ketat.
“Er… terima kasih,” Jebat mengambil lingkaran ubat nyamuk yang sudah bernyala itu. Asapnya membuatkan lubang hidup Jebat gatal sehingga dia sendiri terbersin. Jebat pegang ubat nyamuk berlingkar itu dan menghalakan asapnya ke arah nyamuk yang berterbangan pada perimeter kawasan tidurnya.
Jemi menahan ketawa memerhati sahaja adik kembarnya itu. Harapkan muka sahaja licin, tapi tak reti fikir, detak hati Jemi.
Lima jam setelah itu.
Jebat masih tak dapat lelapkan mata. Sekejap posisinya terlentang, baring, mengalaskan lengannya sendiri mengiring ke kiri dan ke kanan dan akhirnya duduk bersila. Sayap nyamuk yang dikipas-kipas sejak dari tadi berdesing dengung di telinganya. Teknik menempek nyamuk ternyata tidak mengurangkan walau sedikit pun nyamuk yang ada. Jiwanya makin gelisah apabila beberapa elemen sejuk seram mula terlintas di hatinya. Mahu tak mahu, terpaksalah dia baring sambil merelakan badannya diratah suntikan nyamuk. Bila dah kena gigit dengan nyamuk, apa lagi macam tidur atas miang lah jawabnya.
***
Keesokan paginya.
Berdekah-dekah Tok ketawa. Jemi masih dengan muka ketat, namun bibirnya terketar-ketar menahan tawa.
“Nak buat macam mana Tok. Saya dah pegang ubat nyamuk tu, dah pasang kelambu macam yang Tok suruh tapi nyamuk still nak gigit saya jugak. Tu yang muka dengan tangan saya ni macam dah kena gigit tebuan,” jelas Jebat.
Tok meredakan tawanya, namun gagal. “Hang tu dah besa (biasa) hidup kat bandar, tu yang hang tak kenal lagi dengan nyamuk kampung. Nyamuk kampung main serang ja tak kiralah ada kelambu ka, tak dak kelambu ka,” kata Tok diselang-seli dengan dekahan tawanya.
Jebat hanya tersengeh.
“Lepas menyorok (sarapan) ni, hang ikut abang hang. Ikut dia pi (pergi) kebun nah,” suruh Tok kepada Jebat.
Jebat angguk.
***
Haji Mazlan yang bertanggungjawab menjadikan Jebat sebagai anak angkat kepada pasangan keluarga kaya dari Kuala Lumpur datang melawat Tok di rumah. Waktu ini, Jemi dan Jebat sudah pergi ke kebun bersama-sama. Sedulang air teh dan bahulu di hidangkan kepada Haji Mazlan yang duduk di pelenggar rumah.
“Pasai (fasal) apa boleh jadi macam ni, Lan. Dulu hang kata depa tak mau bagi cucu aku balik melawat, la ni lepas 18 tahun baru depa nak bagi cucu aku duduk dengan aku,” rungut Tok.
Haji Mazlan mencicip sedikit air teh bancuhan Tok sebelum berkata, “Saya bukan apa, Tok. Saya dah cerita banyak kali kat depa sampi berbuih mulut ni ha! Tak makan karan (elektrik / tak terima pendapat) langsung. Lagipun Tok. Waktu depa mai jumpa saya tu, tak sempat sembang lama pun, terus depa blah macam tu ja,” jelas Haji Mazlan tentang kelibat keluarga angkat Jebat.
 “Nasib baik dia dah besar. Dah patut boleh cari makan minum sendiri. Aku bukan apa, Lan. Aku ni dah tua. Makan minum aku pun cucu aku si Jemi tu yang carikan. Kalau nak tanggung seorang lagi, aku tak sanggup nak susahkan si Jemi tu,”
“Apa susah, kak. Suruh ja Jebat tolong Jemi,”
“Susah, Lan. Hang cakap boleh la. Jebat tu dah lama duduk kat bandar tu. Semua benda dah tersedia. Nak makan, pi beli kat kedai. Jebat cerita kat aku yang dia basuh baju pun, hantar kat kedai jugak,”
“Ala, kak. Apa beza dengan kampung kita ni kak. Kalau bab makanan, saya pun beli makanan kat kedai Pak Teh tu hah. Basuh baju? La ni kita ada washing machine, tak gaduh aih… Lagipun kak, ni pendpaat peribadi saya lah. Jebat tu patut duduk dengan kak. Saya rasa keluarga angkat Jebat tu jenis yang tak bagi perhatian sangat kat Jebat. Tengoklah sekarang, bila depa rasa nak tinggalkan Jebat, depa tinggal macam tu ja,” Haji mazlan memberi cadangan sambil memujuk.
“Kalau hang kata kat aku macam tu 18 tahun dulu Lan, mesti Jemi dengan Jebat tu dah lama jadi orang kuat kampung kita ni. Tapi 18 tahun dulu hang kata kena pisahkan untuk kebaikan depa dua. Hang dah lupa ka?” ungkit Tok.
“Toksah (jangan) diungkit benda yang dah lepas. Saya tahu saya silap dalam hal ni. Puas saya nasihat kat keluarag angkat Jebat tu. Jebat tu anak angkat depa, tapi janganlah buat macam terkukur mengikut kata,” Haji Mazlan pula merungut.
Tok hanya menggeleng sambil tersenyum. “Tak apalah, Lan. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Cucu aku dah duduk bawah aku pun dah bersyukur tak sangka dah (sangat-sangat). Sekurang-kurangnya kalau aku mati nanti, kedua-dua cucu aku ada untuk uruskan jenazah aku,” ujar Tok mengundang rasa sebak.
Haji Mazlan terdiam. Hanya mampu mencicip air teh sambil ralit mengelamun dengan pemandangan persekitaran rumah papan Tok.
***
Dalam perjalanan pulang, Jebat menyuruh Jemi membelikannya top-up untuk telefon pintarnya.
“Pi sendirilah. Aku bukan orang gaji hang!” dingin sahaja jawapan Jemi.
“Aku minta tolong pun nak marah,” balas Jebat menyengetkan bibirnya.
“Tolong pa benda nya!?” Jemi menjegilkan matanya.
Jebat mengundur ke belakang sambil tangannya di angkat seakan menahan keberangkalian tumbukan Jemi hinggap ke mukanya. Selang beberapa ketika, mereka berdua teruskan perjalanan untuk pulang ke rumah Tok.
“Wei, kat kampung ni ada wifi tak? Takkan tak ada kut,” tanya Jebat memecah kebuntuan.
“Awat hang ni? Hang nak perli orang kampung macam kami ni? Nak kata kami ni macam katak yang duduk terkurung bawah tempurung ka? Untuk pengetahuan hang, kampung ni kampung pertama digelar sebagai kampung tanpa wayar hang tau tak,” ujar Jemi dengan nada bangga.
“Tapi kenapa aku cuba nak connect tapi tak dapat,”
“Mana aku tau, wayar putuih (putus) kut. Kerajaan dah letak piring besar macam Astro kat dewan orang ramai lepas tu kata semua orang kampung dah boleh pakai internet… Hei, dah-dah. Lekas balik. Aku dah berlengas satu badan dah ni!”
“Kejap, kejap,” Jebat menahan langkah Jemi. “Siapa tu?” soal Jebat merujuk kepada adis yang sedang menyapu di laman rumah saat mereka berdua melewati rumah Haji Mazlan.
“Tu anak Haji Mazlan,” jawab Jemi bersahaja. Riak wajahnya langsung tak menampakkan berminat untuk curi-curi lihat berbanding Jebat.
Perghhh! Memang betullah orang kata, nak cari permata kena cari di balik timbunan lumpur,” kata Jebat berpinar matanya melihat gadis tersebut.
Jemi mengetuk kepala Jebat, “Hang nak kata kami ni duduk dalam lumpur la ni!”
“Bukanlah. Perumpamaan je lah,” jawab Jebat mengusap-usap kepalanya yang masih berdenyut ketukan dari Jemi. “Nama dia siapa?”
Jemi tak menjawab. Sebaliknya Jemi terus berjalan.
“Maria?” Jebat yang mengikut Jemi cuba meneka. Jemi hanya menggelengkan kepala. “Adriana? Tasha? Maria? Shasha? Barbie? Fiona? Sofia? Karina?” semuanya digeleng Jemi. Akhirnya Jebat pasrah sahaja membiarkan misteri nama anak gadis Haji Mazlan itu bermain di fikirannya.
***
Sementara itu di rumah Haji Mazlan.
“Kinah, mai sini sat,” panggil Haji Mazlan.
Sakinah, 22 tahun, yang baru sahaja menghabiskan diploma dalam bidang pertanian tahun lalu kini menetap bersama keluarganya. Gadis yang sememangnya anak jati kampung, tidak berhasrat untuk merantau sejauh Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Hidupnya mudah. Apa yang bersilang, disimpuh. Apa yang mendatang, ditempuh.
“Awat ayah?” soal Sakinah berwajah hitam manis. Pipit yang berlekuk di pipi menambah seri. Bibir polos nipis bisa membuatkan jantung jejaka kampung berdetak tak terperi. Hati yang keras membeku boleh cair dengan tingkahnya. Atma yang kasar dan gusar melembut jika lunak suaranya bergema. Bak bait pantun yang diungkap dari buku Kumpulan Pantun Lisan Melayu, Kurik Kundi Merah Saga,
Angin bukan sebarang angin,
Angin menyusur daun kayu;
Nyanyi bukan sebarang nyanyi,
Nyanyi menghibur hatiku rindu.
“Macam mana kamu dengan Jemi. Dah fikir sehabis baik dah?” tanya Haji Mazlan yang masih berkira-kira untuk menjodohkan Jemi dengan anak gadisnya yang bongsu itu. Keluarga besar Haji Mazlan sebenarnya hanya dia seorang sahaja lelaki yang ada. Anak-anaknya semua perempuan dan daripada tujuh orang anak, hanya yang bongsu iaitu Sakinah sahaja belum berkahwin.
“Kinah ikut ayah ja. Asalkan dia bukan jenis yang dayus, malas dan selekeh sudahlah,” jawab Sakinah tak berapa ambil peduli jika jodohnya dipilih ayahnya sendiri. Dia tahu pilihan ayahnya bukan piliahan serkap jarang. Ada pengamatan dan metod tertentu yang digunakan untuk disaring sebagai teman hidup anak gadisnya. Kakak sulungnya hampir-hampir sahaja tak mahu berkahwin dek kerana kedegilan ayah enggan menerima bekas teman lelaki kakaknya. Begitu juga kakak-kakak Sakinah yang lain. Alasan Haji Mazlan adalah tak sekufu bagai tanduk bersendi gading.
“Betul ni. Muktamad?” soal Haji mazlan mahukan kepastian.
“Betul. Ikut ayahlah,” jawab Sakinah tiada pilihan untuk menyanggah.
***
Dua minggu seterusnya.
Jebat mundar-mandir di luar rumah papan Tok. Sambil mengangkat telefon pintarnya ke udara seolah-olah cuba mendapatkan signal pencawang telekomunikasi. Kemudian dia cuba menghubungi seseorang, namun cubaannya itu terhalang akibat kehabisan kredit untuk membuat panggilan.
“Hang ni pasai apa, Jebat?” tanya Tok yang memandang pelik kelibat cucunya itu di balik jendela.
Jebat menoleh dan tersengeh. “Tak ada apa-apa, Tok. Saya nak call kawan saya kat KL. Nak suruh dia top-up kredit sikit,”
“La, ya ka… Awat hang tak pi kedai Pak Teh ja?”
Jari telunjuk dan jari hantu digesel dengan ibu jari oleh Jebat menunjukkan isyarat duit tak ada. “Fulus tak ada, Tok.”
“Maksudnya hang nak pinjam duit kawan hang ka?”
“Lebih kurang la, Tok,” jawab Jebat segan.
“Daripada hang pinjam duit orang lain, baik hang pinjam duit abang hang. Dia banyak duit. Kalau tak dapat bayar pun, nanti boleh kira halal sebab adik-beradik,” seloroh Tok.
Jebat bukan tak mahu minta duit daripada Jemi tapi wajah Jemi yang seperti berjemur di bawah terik mentari sehinggan menitis peluhnya ke bumi untuk mencari rezeki menyebabkan dia segan. “Tak apa lah, Tok. Nanti-nantilah saya minta,” kata Jebat tak berniat langsung untuk minta duit dari Jemi.
Tika itu lah Sakinah datang bersama basikal Raleigh dan mangkuk tingkat dalam raga di depan.
Jebat memandang tak berkerdip. Hampir sahaja dia terlupa kewujudan gadis yang dilihatnya menyapu di laman rumah Haji Mazlan dua minggu lalu, terus gadis itu datang mengayuh menghampirinya.
“Assalamualaikum Tok, abang Jemi. Kinah bawakan lauk yang Kinah masak tadi,” Sakinah bersuara selepas menongkat basikalnya. Jebat tersenyum menganga mulutnya.
“Tu bukan Jemi, Kinah oi. Tu Jebat, kembar Jemi,” jelas Tok sambil mengambil mangkuk tingkat daripada Sakinah. “Hang sembang dulu dengan Jebat dulu noh. Tok nak pindah lauk ni dalam bekas lain sat.”
“Baik, Tok,” jawab Sakinah sambil tersenyum ke arah Jebat yang mengorak wjaah teruja. “Sorry sebab tak tahu abang Jemi ada kembar. Abang Jebat sebelum ni duduk mana?”
“Saya?” sengaja Jebat menuding jari ke arah dirinya. Bukan ada orang lain pun di situ untuk Sakinah bertanya. “Saya ni duduk KL. Sekolah sana, kolej kat sana dan macam-macam lagi kat sana,”
“Oh, dari KL rupanya. Muka abang Jebat ni macam muka abang Jemi lah,”
“Tak ada lah macam sangat. Saya putih sikit je dari dia,”
“Memanglah sebab abang Jemi suka berkebun, buat kerja-kerja kampung. Ha, abang Jebat kerja apa pulak?”
Jebat tersengeh. Takkanlah dia nak beritahu dia ni penganggur kehormat. “Kerja? Kerja tu banyak sangat. Lagi payah daripada si Jemi. Dekat KL tu, kalau hidup tak competitive tak sah,”
So abang Jebat kerja apa?”
“Kalau saya beritahu pun, susah Kinah nak faham. Kerja tu macam ada elemen-elemen falsafah macam berfikir, menonton televisyen, banyak kena fikir, tonton itu ini dan banyak lagi lah,”
Sakinah mengerut dahinya kemudian ketawa kecil. “Abang Jebat asyik ulang benda yang sama ja. Fikir lepas tu tengok tv… Ni mesti penganggur lagi kan,”
“Lebih kurang macam tu lah. Bila jadi menganggur ni banyak kena fikir. Kiranya saya ni macam pemikir jalanan lah,”
“Macam-macam lah abang Jebat ni,” kata Sakinah disusuli gelak tawa.
Jemi yang keluar sebentar ke kedai membeli beras baru pulang dengan motosikal kapcainya. Jemi melihat Sakinah dan Jebat sakan berbual dan bergelak tawa. Perasaan Jemi mendatar. Tiada rasa cemburu atau iri hati. Mukanya juga pucat. Sudah seperti ayam kena tungau. Jemi memikul beras 10 kg di bahunya dan berjalan tanpa sebarang suara.
“Eh, abang Jemi. Sihat?” tegur Sakinah. Namun soalan Sakinah tak terjawab menyebabkan Sakinah kecil hati. Kecil hati kerana malu dan segan di hadapan Jebat. Sakinah mengumam bibirnya dan matanya berair.
***
“Jebat! Mari tengok abang hang ni!” jerit Tok memeranjatkan Jebat yang sedang bersiap untuk solat maghrib. Tok menekap tapak tangan beruratnya ke muka dan tangan  Jemi. Panas. Lebih panas dari demam biasa.
“Kenapa, Tok?” soal Jebat yang baru menyusul.
“Hang cuba rasa badan abang hang ni. Panas sungguh! Panas lain macam ni,” Tok bernada gelisah.
Jebat memeriksa suhu badan Jemi. Ternyata memang panas. Hampir panas dengan cerek yang berbunyi resik. Segera Jebat mengambil air sejuk dan kain bersih lalu ditekap pada dahi Jemi yang baring menggigil. “Tok, ada panadol tak?”
“Mana nak ada, Jebat oi. Semuanya kat kedai,” jawab Tok bergelumang resah.
“Yang Tok punya ada lagi tak?”
“Habis dah,”
Lantas Jebat menyeluk poket seluar Jemi dan mengeluarkan dompet Jemi. Jebat mencari duit seringgit dua untuk beli panadol. Namun tiada. Yang ada hanya kad pengenalan dan sekeping gambar. Gambar Sakinah? Anak mata Jebat mengamati gambar tersebut. ‘Dia pun minat kat Kinah jugak? Ah! Lain kali lah fikir,’ segera dia mencantas kata-kata yang bermain di fikirannya. Dia kemudian meraba di poketnya sendiri. Mujur ada dua keping not satu ringgit. Segera dia  ke kedai dan membeli panadol.
Usai membeli panadol untuk Jemi, Jebat membantu Tok membuat Moi Sup atau bubur nasi kesukaan Jemi ketika Jemi sakit. Sebenarnya lebih tepat dikatakan Jebat yang memasak, dan Tok pula mengarah, mengkritik dan  memarahi Jebat sepanjang proses memasak.
“Cuba Tok rasa. Sedap tak,” Jebat menyuakan sesudu bubur nasi untuk dirasa oleh Tok. “Kalau tak sedap, itu apa yang saya ikut cakap Tok lah. Tapi kalau sedap, itu memang bakat semulajadi saya yang berasal dari Tok,” seloroh Jebat.
“Amboi, jangan sembang kemas sangat macam tagar kat Pulau Sembilan,”
“Tagar?”
“Guruh. Tagar tu guruh, kilat yang sabung-menyabung tu. Bunyi ja kuat,”
“Tapi saya bukan setakat bunyi ja kuat, masakan saya pun hebat,” sempat lagi Jebat membalas balik perlian Tok.
***
Malam itu, Jebat tak dapat lelapkan mata. Tak adalah penat sangat setakat pergi beli panadol dan masakkan Jemi bubur nasi. Apa yang menggusarkan fikirannya adalah gambar Sakinah dalam dompet Jemi. Sepanjang dia bersama Jemi, tak pernah pula Jemi buka mulut tentang cinta. Jauh sekali lah nak bercerita fasal Sakinah. Dalam diam, abang kembarnya juga berkongsi rasa dan minat yang sama terhadap seorang gadis. Ini tak boleh jadi ni, lambat melepas ni! Detak hati kecil Jebat. Jebat kemudian keluar ke pelenggar rumah melayan perasaan di kepekatan malam.
Rupa-rupanya Jemi pun tak dapat nak lelapkan mata dan lebih dahulu berteleku di pelenggar rumah.
“Eh, Jemi. Aku ingat aku seorang je tak dapat tidur. Kau pun sama,” Jebat bersuara.
Jemi diam menunggu Jebat duduk di sebelahnya untuk sama-sama menikmati keindahan ciptaan Tuhan di angkasa nan kelam ditaburi kerdipan cahaya bintang.
“Kau okay?” tanya Jebat.
Okay,” sepatah sahaja Jemi bersuara.
“Nasib baik kau dah sihat. Kalau macam-macam jadi kat kau, tak tahu aku siapa nak cari makan minum untuk aku,” seloroh Jebat.
Jemi ketawa tanpa membuka mulut. Bunyi seperti deheman ketawa sehaja kedengaran.
“Jemi, kau tak ada rasa ke nak keluar dari kampung cari kerja besar-besar kat bandar. Cari isteri anak orang kaya ke, janda Datin ke?”
“Aku dah biasa hidup kampung. Aku selesa dengan hidup aku sekarang,”
“Aku tahu. Maksud aku kau tak mahu ke majukan lagi hidup kau. Ada kedudukan ekonomi yang stabil, keluarga yang bahagia, anak comel-kiut-miut,”
“Jebat. Aku tau hang dah besa hidup macam tu. Walaupun hang tu kembar aku, nyiur setandan berlainan jadinya. Hang dengan aku beza,” tegas Jemi dengan nada lembut. Jika bukan kerana Jebat yang menjaganya waktu dia sakit sudah tentu ditengking sahaja adik kembarnya itu.
“Er, Jemi… Aku nak tanya sikit. Kau jangan marah pulak,”
“Pasai apa?”
“Fasal Kinah,”
Riak wajah Jemi berubah.
“Kau dengan Kinah macam mana?”
“Awat hang tanya?” soal Jemi sudah dapat agak maksud tersirat di sebalik soalan itu. “Kalau hang ada hati dengan dia, aku boleh bagitau Tok. Cepat sikit keluarga kita ada cucu cicit. Tok pun dah lama desak aku kahwin sebab tak sabar nak dapat cicit,” ujar Jemi bersama senyuman kelat.
Jebat tersengeh dan berkata, “Kalau kau boleh bincang dengan Tok untuk merisik Kinah, aku okay  je,”
“Ceh!” kata Jemi sambil menampar bahu Jebat.
***
Rombongan merisik yang diketuai Tok bertandang ke rumah Haji Mazlan. Tujuannya hanya satu iaitu memetik si bunga yang tinggal di kediaman Haji Mazlan. Sakinah hanya memerhati dari balik tirai biliknya. Haji Mazlan menyambut ketibaan rombongan itu dengan lapang dada, sudah lama dia menantikan rombongan ini untuk anak bongsunya iaitu Sakinah.
Setelah berbalas pantun sebagai seloka sebelum perbincangan serius dilanjutkan, Haji Mazlan mula bertanya untuk mendapatkan kepastian. “Tok datang ni merisik untuk cucu yang mana? Jemi ka Jebat?”
Tok menyimpulkan senyuman sebelum memandang Sakinah yang tersimpul malu bersimpuh di balik tirai bilik, lalu berkata, “ Dah dua-dua cucu aku mai sini, aku rasa baik hang tanya anak hang dulu. Dia nak yang mana?”
“Tu dia aih. Ni dah kira macam katalog barang dah ni, boleh pilih,” seloroh Haji Mazlan menggamatkan suasana. “Sat nah, saya pi tanya sat,” ujar Haji Mazlan bangun dan menunduk hormat berjalan ke arah anak gadisnya.
            Jeda beberapa ketika, Haji mazlan kembali ke kedudukan asalnya.
“Macam mana?” tanya Tok tak sabar-sabar.
“Anak saya kata mana-mana pun boleh. Dia kata dua-dua dia hormat, dua-dua tak ada cacat celanya,” jawab Haji Mazlan dengan senyuman.
Tok kemudian mengalihkan pandangannya kepada cucunya. Antara Jemi dan Jebat, mana satu pilihan Tok untuk dijodohkan dengan Sakinah?
***
“Baiklah, Nazmi. Hang dah sedia?” Pak Imam bersuara mahu memulakan majlis akad nikah.
“Dah, Pak Imam,”
“Haji, boleh mula,” Pak Imam memberi lampu hijau untuk memulakan sesi akad nikah kepada Haji Mazlan. Haji Mazlan kemudian melafazkan kalimah ijab sebagai wali kepada Sakinah. Usai lafaz ijab, kini lafaz qabul dari pengantin lelaki.
Sakinah memejam rapat matanya memohon supaya momen indah penuh debar ini berjalan selancarnya. Gegendang telinganya turut sama berdegup serentak detak jantungnya menanti kalimah qabul. Penantiannya berbaloi apabila pengantin lelaki menyebut,
“Aku terima nikahnya Sakinah binti Haji Mazlan…” bergenang air mata tanda debar di hati kecil Sakinah mula reda. Akhirnya dia sah menjadi isteri…
“Tahniah, bro!” Jebat memeluk erat saudara kembarnya Jemi.
“Terima kasih. Kalau bukan hang yang buka suara, mungkin aku takkan sampai ke tahap ni,” ujar Jemi lega segak berpakaian pengantin.
“Jangan terima kasih kat aku. Kau tahu tak, bila Tok kata dia nak jodohkan aku dengan isteri hang ni, aku tak boleh tidur langsung,”
“Samalah kita,” celah Jemi berseloroh.
“Eleh, hang tak boleh tidur sebab kecewa. Aku tak boleh tidur sebab aku rasa bersalah. Bersalah sebab aku tahu yang Kinah akan hidup lebih terjamin kalau dengan kau,”
“Eh, boleh pulak hang fikir macam tu? Aku ni kerja kampung ja. Sama ja kita dua,”
“Jemi, tak payah nak rendah diri sangat. Tahulah kembar pun. Sekalipun kita kembar, sikap kita tak semestinya sama. Macam hang kata dulu, nyiur setandan tapi berlainan jadinya,” kata Jebat mengundang tawa bersama.
Akhirnya Jemi bahagia melayari hidup bersama Sakinah dan tinggal sebumbung dengan Tok. Manakala Jebat, kembali bersama keluarga angkatnya yang baru pulang dari bercuti di Jeonju, Korea Selatan selama dua minggu.
Sabda Rasulullah, riwayat Abu Hurairah : -
“Apabila datang kepadamu seorang (lelaki) yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah nakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan atas muka bumi”
[Kitab Jami’ Al-Tirmizi : 1084]

2 comments:

nur fakhariah said...

mmg best cerpen ni...gaya bahasa yang menarik ..jarang baca gaya tulisan macam nie sekarang :)

Naufal Tarmizi said...

terima kasih kerana membaca