Sunday, September 8, 2013

(CERPEN) ALIBI




*Alibi secara umumnya bermaksud seseorang yang mendapat pelepasan atas dasar beberapa alasan yang dibenarkan oleh undang-undang yang menyebabkan dia terlepas dari pendakwaan atau menjadi suspek satu kes jenayah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bukti atau keterangan (bahawa seseorang yg dituduh itu) berada di tempat lain ketika berlaku sesuatu perbuatan jenayah
LAILA menguak pintu banglo mewah milik tunangnya. Lantai marmar menyejukkan telapak kaki Laila saat gadis itu melangkah masuk dengan perasaan gementar. Setompok cecair berwarna merah pekat bersaiz sepuluh sen di lantai banglo itu bagai menyentap degup jantungnya. Air muka Laila berubah risau. Ombak cemas nan sasau menyesakkan nafasnya. Ikutkan hati, mahu sahaja melangkah pergi dari banglo itu.
Namun perasaan ingin tahunya menambat matanya untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Dari titisan cecair merah, kepada tompok kesan darah seolah diseret. Hidungnya mula terhidu bau darah yang memeningkan. Dengan degup jantung yang tak surut dengan rasa gelisah, Laila melangkah perlahan mengikut kesan darah yang makin memekat.
“Fiz!”
Tergamam Laila melihat tunangnya, Hafiz sedang melutut di sebelah sekujur badan yang berlumuran darah. Tunangnya itu sedang membersihkan bilah pisau yang disaluti darah dengan sapu tangan.
Hafiz memandang Laila.
“Fiz… Awak…” tubuh Laila menggelatar sewaktu cuba bertutur dengan tunangnya itu.
“Pergi!” jerkah Hafiz. “Pergi dari sini, cepat!”

***
Kisah sebelumnya…
Cuaca yang cukup mendamaikan dengan hiasan kilau sinar mentari ditemani siulan kawanan beburung di awanan. Awan berarak sesekali memayungi bumi nan redup. Angin menderu sepoi-sepoi bahasa di celahan rimbunan pokok malar hijau nan rendang. Tiada lagi tampat yang sedamai ini, melainkan di kawasan yang belum diterokai ombak kemajuan dan arus pembangunan yang mencakar langit.
Di kerusi panjang, Hafiz sedang berlutut  menghadap Laila yang melabuhkan punggungnya di atas kerusi panjang itu. Satu kotak cincin dikeluarkan. Laila tahu apa yang ingin Hafiz lakukan. Bukankah itu klise bagi lelaki, yang suka bermudah dalam mengambil hati wanita untuk menjadikan wanita itu sebagai pendamping hidup. Klise atau tidak, Laila tak kisah. Janji Hafiz ada usaha untuk melamarnya. Bukan macam sesetengah lelaki, terus menyerahkan kepada keluarga untuk melamar, tanpa dia sendiri berani menzahirkan hasrat kepada empunya hati yang didamba itu.
“Sudikah…”
Belum sempat Hafiz menghabiskan ayat klise lamarannya, Laila menghalang dengan jari telunjuk di bibir. Bukan di bibir Hafiz, tetapi dibibirnya sendiri. “Shhh… Malulah saya awak buat macam tu,”
“Oh, sorry, Excited sangat. Maklumlah, saya nak juga tiru macam lelaki  gentleman yang sanggup melamar teman wanita depan orang ramai,” jelas Hafiz.
“Ish, awak ni. Kita ni kan ada adat. Orang timur lagi. Janganlah samakan saya dengan gadis-gadis yang suka kahwin tanpa restu keluarga,”
“Fasal keluarga awak, itu jangan risau. Hari ni jugak saya akan jumpa… Tapi…”
Laila memandang wajah Hafiz kehairanan. Mengapa perlu bertapi-tapi lagi? Desis hatinya.
“Tapi…” ulang Hafiz sengaja mahu dapatkan reaksi dari lidah Laila.
“Tapi apa?” soal Laila. Umpan Hafiz mengena.
“Tapi kalau awak tak nak terima, tak apa lah,” ujar Hafiz sambil sengaja membuka kotak cincin.
Anak mata Laila tiba-tiba sahaja membulat memerhati sebentuk cincin yang tersisip rapi dalam kotak tersebut. Tiada apa yang mampu mencairkan hati wanita sepertinya dengan hanya memerhati sahaja kecuali barang kemas seperti cinicn berkarat emas yang sedang dipandangnya tanpa sebarang kerdip.
Puk!
Hafiz menutup kembali kotak cincin itu dan perlahan-lahan menarik seakan-akan mahu menyimpannya semula ke dalam poket. Acahan Hafiz berjaya.
Pantas Laila mengambil kotak cincin tersebut sambil berkata, “Siapa kata saya tak nak?”
“Jadi awak nak lah ni?” soal Hafiz mahukan kepastian.
“Tengok keadaan dulu,” jawab Laila sedang ralit membelek cincin lamaran oleh Hafiz.
“Eleh, awak terima la tu. Kalau tak, takkan awak ambil cincin tu,” balas Hafiz.
Laila hanya sengih sambil menyarungkan cincin itu ke jari manisnya. Jari manisnya yang bercincin itu diangkat ke udara dan sengaja ditaayangkan ke mentari untuk melihat keindahan jari yang disarung cincin itu.
“Suka tak?” tanya Hafiz.
“Suka. Tapi awak mesti kena tunaikan janji, jumpa dengan ayah saya hari ni jugak!” peringatan keras daripada Laila.
“Ya, saya tahu,” jawab Hafiz berbolak-balik. Risau jika anak kata nak, bapak kata tak.
***
Seperti janjinya terhadap Laila, Hafiz bertentang mata dan bersua muka dengan keluarga Laila. Di akhir pertemuan, barulah Hafiz memberanikan diri memberitahu hasratnya untuk memperisterikan Laila. Ayah Laila iaitu Haji Salman tak menolak, bahkan tak juga memberi kata putus untuk terima.
“Pak cik tak ada masalah. Kamu kena tanya sendiri dengan Laila. Kalau dia kata okey, pak cik pun okey. Kalau pak cik kata okey, maka semua ahli keluarga pak cik kena akur untuk berkata okey,” jaminan daripada Haji Salman ternyata menggembirakan sanubari Hafiz.
Tanpa berfikir panjang, Hafiz segera menghubungi emaknya yang berada di Kuantan untuk mempersiapkan rombongan meminang Laila. Segala perbelanjaan semuanya dia akan tanggung. Walaupun akhirnya duit emaknya juga yang habis.
Akhirnya seperti yang dijanjikan, Laila diikat dengan tali pertunangan. Adat orang tua jika berbincang soal bertunang, hasrat untuk mempercepatkan majlis akad nikah sememangnya mengundang pertunangan dalam tempoh singkat sahaja. Sesingkat tiga bulan. Bak kata Haji Salman, bertunang itu ibarat hubungan couple, kalau dilambatkan meranalah jiwa bertingkahlah nafsu nan bergelora. Jika disingkatkan, giranglah kesemuanya.
***
Kimi datang bertemu Haji Salman dek tak berpuashati dengan khabar berita yang baru dia dengar.
“Mana boleh, Haji. Dua tiga hari lepas saya dah bagitau yang Laila tu sukat dekat saya. Saya pun suka kat dia. Suka sama suka. Apa kes tiba-tiba boleh bertunang pulak,” ujar Kimi dengan riak wajah tak berpuashati namun masih ada tersimpan rasa hormat kepada Haji Salman.
“Sudahlah, Kimi. Banyak lagi bunga kat taman orang lain yang kamu boleh petik. Lagipun, Laila sendiri setuju nak bertunang dengan budak Hafiz tu. Bila dah si perempuannya setuju, takkanlah aku nak bantah pulak… Sudahlah, Kimi,” jelas Haji Salman memahami perasaan Kimi sekarang. Sudah lama pemuda yang berseluar jeans koyak sedikit di lutut itu ada hati terhadap anak gadisnya. Sampaikan sewaktu Laila masih di bangku sekolah menengah, Kimi dan beberapa pemuda kampung lain cuba sekodeng bilik Laila. Bila raya, Kimi dan geng pemudanya tak pernah terlupa singgah ke rumah Haji Salman semata-mata mahu bertegur dengan Laila.
“Apa ni, Haji… Tak eloklah macam tu. Haji pun tahu saya memang suka dekat Laila sejak dari kecil lagi. Haji… Alahai, apesal boleh Haji ikutkan sangat setuju orang perempuan? Dia orang tu kaum yang lemah, Haji. Sebagai ayah, Haji kena bertegas sikit,” Kimi cuba memujuk Haji Salman.
“Kamu nak aku bertegas dengan Laila? Lepas tu, kamu nak aku bertegas pulak supaya Laila dijodohkan dengan kamu? Begitu?” soal Haji Salman disulami gelengan kepala.
“Yup! Tepat sekali, Haji,”
“Sudahlah, Kimi. Lupakan je lah. Anggap je yang kamu ni memang tak ditakdirkan untuk ada jodoh dengan anak aku,”
“Ah! Saya ni Kimi-lah, Haji. Jangan Haji nak libatkan soal takdir. Saya tahu yang Haji memang tak suka saya kan. Haji kena tahu yang nak kahwin tu saya dengan Laila, bukan saya dengan Haji,”
“Ikut kamu-lah… Kalau kamu masih degil dengan pendirian kamu, aku tak boleh halang…”
Tiba-tiba kereta peronda polis singgah ke perkarangan rumah Haji Salman. Anak sulung Haji Salman merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor. Lan nama jolokannya. Elok sahaja Lan nampak Kimi, terus riak wajah Lan membengis.
Sambil berdengus, Lan menghampiri Kimi. “Kau apa hal datang rumah aku?”
“Suka hati aku lah, der. Kau sibuk apa?” balas Kimi tak mahu kalah apatalagi mengalah.
“Kurang ajar kau eh sembang macam samseng depan pegawai polis macam aku,” sanggah Lan, kemudiannya melangkah bersalaman dengan ayahnya. “Dia ada buat hal lagi ke, ayah?” tanya Lan kepada Haji Salman.
Kimi masih tak berganjak dari perkarangan rumah.
“Kau tanya sendirilah dengan budak Kimi tu. Ayah nak pergi surau kejap, ada orang nak kenduri. Ayah nak tolong orang kampung lapah daging lembu sembelih tadi,” kata Haji Salman kemudian melangkah masuk ke dalam rumah untuk bersiap.
Lan yang segak berkemeja masuk dalam, berseluar jeans kemas dan berkasut potong hitam milik PDRM, memandang wajah Kimi dengan muka ketat.
Kimi memalingkan muka, namun masih tak berganjak daripada rumah tersebut.
“Kau kenapa ni? Dah lupa kat mana rumah kau sendiri ke?” soal Lan dengan maksud tersirat mahu Kimi pulang sahaja ke rumahnya.
“Aku nak bincang dengan ayah kau, bukan kau,” Kimi menjawab.
“Bincang fasal apa?”
“Fasal aku dengan Laila,”
“Apa halnya kau dengan adik aku?”
“Aku nak kahwin dengan Laila. Aku dengan Laila suka sama suka. Aku yakin Laila mesti tengah tak gembira bertunang dengan Hafiz, anak orang kaya tu,” jelas Kimi.
Berdekah hilai tawa Lan tatkala mendegarnya. Perutnya sekaan mahu pecah mendengar pengakuan Kimi. “Dahlah, bro. Pergi mampus dengan mimpi kau tu… Kalau aku masih hidup sebagai abang si Laila tu, percayalah kau takkan dapat kahwin dengan adik aku tu punya. Kau tu mat gam, mana boleh ada hati dengan adik aku,” ujar Lan menyambung semula ketawa besarnya.
“Gelaklah puas-puas. Aku tahu aku tak berduit. Aku kerja mekanik je. Aku tahu aku ada kekurangan. Aku suka hisap gam tapi aku bukan jenis orang yang suka ambil kesempatan macam kau. Kau ingat aku tak tahu kau kerja polis… dalam masa yang sama kau kelepet duit kopi,” kata Kimi dengan nada berbisik pada ayat terakhir.
Lan berubah air mukanya. Segera digenggam baju di bahagian dada Kimi seakan mahu bertumbuk, dan berkata, “Wei, bab kerja aku kau jangan ungkit, jangan nak pertikai! Kalau kau nak rasa hidup dalam penjara macam mana, kau buatlah hal. Kalau kau nak rasa macam mana lidah kau tu bertulang, aku patah riukkan, ugutlah lagi aku kalau berani!”
Bentakan Lan sedikit pun tak menggetarkan Kimi. “Rilekslah, abang polis.  Kau ingat aku tak tahu apa aktiviti kau sebelum dapat kerja polis. Mentang-mentang belajar sampai universiti, kau ingat kau boleh lari. Rahsia kau semua dalam poket aku lah, der,” ugut Kimi.
Penumbuk sudah diangkat ke belakang untuk dihayun sekuat hatinya ke muka Kimi.
“Abang!” mujur Laila sempat menghalang. Laila  baru sahaja sampai ke perkarangan rumah dengan kereta yang dipandu Hafiz.
“Lebih baik kau kunci mulut kau, sebelum aku pecahkan perut kau dengan pistol Glock aku ni,” bisik Lan tegas kepada Kimi.
Kimi kemudian menepis genggaman bajunya daripada Lan. Elok sahaja Kimi melihat Hafiz keluar dari kereta, terus dia mengubah fikirannya. Dari berkeras untuk terpacak di perkarangan rumah Laila, terus bertukar kepada pulang ke rumahnya sendiri. Sewaktu dia melangkah bersebelahan Hafiz, sempat lagi Kimi berlaga bahu dengan Hafiz menyebabkan Hafiz tersandar ke pintu kereta.
“Jangan dilayan sangat mamat hisap gam tu, Fiz!” laung Lan sengaja ditinggikan suara untuk menyakitkan hati Kimi.
***
Pada lusa hari, Kimi datang ke rumah banglo milik Hafiz dengan plastik berisi gam. Kembang-kempis sahaja plastik itu tatkala disuakan bahagian terbukanya ke bibir Kimi. Selepas hisap, bibirnya tersenyum khayal. Keluarga Hafiz tiada di rumah kerana mereka menghadiri upacara konvoksenyen adik tiri Hafiz di Australia.
Tidak lama kemudian, pintu pagar dibuka secara automatik. Dengan terhyung-hayang, Kimi melangkah masuk ke dalam rumah. Tangan kirinya memegang botol kaca. Lalu dipecahkan dan yang berbaki adalah muncung kaca tajam.
“Hafiz!!! Aku nak Laila! Bagi dia kat aku sekarang… Kalau tak aku sendiri masuk dalam rumah, ambil dia!” jerkah Kimi.
“Woi, Kimi!” jerit Lan.
“L… Lan?! Kau buat… buat apa sini?”
Sementara itu, Hafiz yang memandu kereta jenis Volkswagen Golf GTI, menghantar Laila pulang ke rumah. Dalam perjalanan, sempat Hafiz beritahu kepada Laila bahawa abang Laila iaitu Lan ada di rumahnya.
“Dia buat apa kat sana?” soal Laila kepada Hafiz sedikit cemburu. Maklumlah, dia langsung tak pernah jejakkan kaki ke rumah Hafiz.
“Ada kerja sikit,” jawab Hafiz bersahaja.
“Saya tak kira. Apa pun jadi, saya tak nak turun dari kereta ni,” rengek Laila sembil mencemik. Bibirnya dicebik. “Saya nak pergi rumah awak, walaupun sekejap,”
Hafiz ketawa kecil. “Kita dah sampai rumah awak ni,”
“Tak kira! Saya tak nak keluar,” tegas Laila sambil memegang erat tali pinggang keselamtan atau seat belt.
“Ye lah, ye lah. Tapi biar saya telefon abang awak dulu,”
“Tak payah!” segera Laila merampas telefon pintar Hafiz.
Hafiz nampaknya tak ada pilihan melainkan terpaksa berpatah balik dan memandu ke rumahnya. Wajahnya tampak sedikit menggelabah apabila Laila merampas telefon pintar miliknya. Setibanya di hadapan rumah, Hafiz agak terkejut apabila mendapati pintu pagar automatiknya dibiarkan ternganga. Hafiz parkir di luar pagar.
“Awak tunggu sini kejap ye,” pinta Hafiz kepada Laila.
“Kenapa?” tanya Laila pelik.
“Er… Saya rasa tak sedap hatilah. Awak tunggu sini kejap je. Kalau dalam masa lima minit saya tak datang, ikut awaklah nak masuk ke tak,” kata Hafiz.
“Okey,” Laila setuju.
Hafiz segera melangkah seakan berlari ke dalam rumahnya. Sampai sahaja ke muka pintu, Hafiz terkesima melihat Kimi sedang menghunus botol pecah bermuncung kaca tajam.
“Lan! Hafiz! Aku datang… aku datang nak tuntut Laila aku!” bentak Kimi masih terserlah pengaruh khayal gam di wajahnya.
Lan terus menghala pistol Glock-nya ke arah Kimi.
“Sabar, Lan. Jangan terburu-buru,” tegah Hafiz.
Lan tak menghiraukan kata-kata Hafiz.
Pom!
Satu tembakan bergema. Gemanya bukan sahaja dalam rumah, malah gelombang gemanya turut didengari gegendang telinga Laila. Tersentak dengan bunyi das tembakan itu, Laila menunduk dalam kereta. Bimbang tembakan itu datang daripada kawasan luar pagar rumah Hafiz.
Pom!
Sekali lagi bunyi das tembakan kedengaran. Kali ini Laila yakin tembakan itu bukan datang dari luar, tapi dari dalam rumah Hafiz sendiri. Hatinya bertukar risau. Benaknya mula terdetik soal keselamatan Hafiz. Apa yang berlaku sebenarnya? Hafiz yang ditembak atau Hafiz yang menembak? Atau mungkinkah abangnya, Lan yang menembak? Tapi, atas sebab apa? Soalan itu bertandang bertubi-tubi tanpa jawapan. Dan untuk mendapatkan jawapan hanya satu sahaja caranya iaitu melangkah masuk ke dalam rumah dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku.
Laila melangkah keluar dari kereta menuju ke perkarangan rumah. Langkahannya terasa berat. Bukan kerana graviti bumi, tetapi berat dek kerana membawa pelbagai perasaan yang bermain di mindanya. Relung hatinya disiksa rasa sebak, cemas dan gelisah. Sebak memikirkan jika Hafiz yang ditembak, cemas tika memikirkan Hafiz yang menembak dan gelisah tatkala membayangkan abang kandungnya yang menembak.
Laila menguak pintu di banglo mewah milik tunangnya. Lantai marmar menyejukkan telapak kaki Laila saat gadis itu melangkah masuk dengan perasaan gementar. Setompok cecair berwarna merah pekat bersaiz sepuluh sen di lantai banglo itu menyentak degup jantungnya. Air muka Laila berubah risau. Ombak cemas nan sasau menyesakkan nafasnya. Ikutkan hati, mahu sahaja melangkah pergi dari banglo itu.
Namun perasaan ingin tahunya menambat matanya untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku. Dari titisan cecair merah, kepada tompok kesan darah seolah diheret mop. Hidungnya mula terhidu bau darah yang memeningkan. Dengan degup jantung yang tak surut dengan rasa gelisah, Laila melangkah perlahan mengikut kesan darah yang makin memekat.
“Fiz!”
Tergamam Laila melihat Hafiz sedang melutut di sebelah sekujur badan yang berlumuran darah. Tunangnya itu sedang mencabut pisau yang menikam dada Kimi dan membersihkan bilah pisau itu dengan sapu tangan.
Hafiz baru tersedar kehadiran Laila. Pemuda itu juga tergamam. Sudah menjadi polisi lisan antara dia dan Lan, jika sesiapa sahaja yang tahu atau nampak tentang kegiatan mereka, maka nyawa berkalang mautlah jawabnya.
“Fiz… Awak…” tubuh Laila menggelatar tanpa dapat dihabiskan ayatnya.
“Pergi!” jerkah Hafiz. “Pergi dari sini, cepat!” Dengan harapan Lan tak ternampak kehadiran Laila, gadis yang dicintai melebihi masa depannya sendiri.
“Kau bawa adik aku sekali, Fiz?!” Lan seakan tak percaya apa yang dilihatnya. “Aku terpaksa, Fiz. Janji tetap janji,”
“Jangan, Lan! Dia tak terlibat dalam hal ni,” halang Hafiz.
“Habis tu kau nak biar dia hidup, lepas tu kita meringkuk dalam penjara. Fiz, kalau kita kena tangkap, kita kena gantung jugak Fiz! Dadah kat dalam rumah ni cukup bukti untuk hadapkan kita ke tali gantung, Fiz!” bidas Lan.
Laila hanya terpinga-pinga keliru mendengar perbalahan antara Hafiz dan Lan.
“Tapi dia adik kau! Dia tunang aku, Lan! Tolonglah, Lan. Jangan!” jerit Hafiz merayu kepada Lan.
“Fiz, kalau kita dah masuk penjara, kena hukuman gantung sampai mati… Soal keturunan dan cinta dah tak berguna lagi, Fiz! Maafkan aku, Fiz,” kata-kata terakhir Lan sebelum…
POM!
“Laila!!!” jerit Hafiz tak mampu menghalang Lan daripada menembak adiknya sendiri semata-mata mahu menutup jenayah yang dilakukannya sendiri.
Setengah jam kemudian, polis datang ke tempat kejadian. Hafiz diberkas polis di tempat kejadian. Diberkas dalam keadaan meraung derita menangisi pemergian Laila. Banglo mewah itu disita kerana menjadi tempat pembungkusan dadah. Oleh kerana keluarga Hafiz selalu ke luar negara, Hafiz dan Lan menggunakan kesempatan itu untuk membungkus dadah dalam bungkusan kecil. Bekalannya didapati melalui pengaruh Lan sebagai anggota polis. Dadah yang diberkas akan diambil sebahagiannya oleh Lan.
Hafiz dijatuhkan hukuman mandatori sebelum sempat pendakwaan terhadap kesalahan memiliki dadah dijalankan. Hukuman mandatori itu dikenakan apabila Hafiz mengaku membunuh Kimi dengan pisau apabila Kimi; yang terkejut dengan tembakan yang diacah oleh Lan, terus menyerangnya. Hafiz segera berlari ke dapur dan mendapatkan pisau dan terus menikam dada Kimi.
Lan pula digantung tugas dan dihukum untuk melakukan tugas-tugas pejabat sahaja selepas kejadian itu. Pangkatnya direndahkan. Itu semua atas alasan kecuaian menyebabkan pistol hilang. Tiga das peluru yang dilepaskan oleh Lan. Dua daripadanya ada di lantai marmar dan bumbung. Satu lagi peluru milik Lan sahaja didapati dalam kepala Laila. Pihak polis dan pendakwa meyakini pistol itu dicuri Kimi berdasarkan cap jari Kimi di pistol. Mereka juga yakin bahawa Kimi menembak Laila menyebabkan Hafiz menikam Kimi dengan pisau. Lan pula ada alibi yang menyebabkan dia terlepas dari didakwa.
Walaupun hakikatnya, anda sendiri tahu macam mana. Terpulang kepada kita untuk mencelikkan lagi mata yang sudah tersedia celik. Yang jelas itu memang benderang, yang kelam itu memang tak terang. Namun kita masih suka melihat apa yang ada di balik kelam berbanding yang jelas didepan mata.
Firman Allah Taala :
“Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.”
[Surah Al-Mu’min/Ghafir (40) : Ayat 58]

1 comment:

nur fakhariah said...

kejam, bila abang kandung sanggup membunuh adik semata-mata menutup perbuatan yang menyalahi undang-undang...mmg x sayang keluarga...
terbaik en.writer..teruskan usaha anda :)