Sunday, October 6, 2013

(CERPEN) CAHAYA ATAS CAHAYA






              
  Desir angin membelai lembut pelepah kelapa di desa nan permai. Sawah menghijau kini menanti penuh sarat butir hasilnya. Kawanan burung berterbangan mengicaukan keriangan wajah ketenangan ruang udara desa tersebut. Cengkerik dan haiwan kecil di daratan memuji kebesaran Tuhan dalam loghat dan telor yang difahami kabilah rantaian makanan masing-masing.
            Dalam ketenangan ruang legar alam, tersisip satu sisi kegigihan makhluk yang diciptakan Tuhan sebaik-baik kejadian. Bersama panahan terik mentari, Mad atau nama penuhnya Muhammad sedang mencangkul timbunan pasir untuk diratakan menjadi dataran di sekeliling rumah Lebai Man. Peluh menitip di lereng pipi pemuda tersebut. Sesekali dia menjedakan cangkulannya, mengurut rasa sengal pada otot lengannya. Dia tahu jika dia hentikan terus cangkulannya, sengal itu akan menjadi lenguh nan berbisa.
            “Sudahlah Mad. Hentikan dulu mencangkul tu. Moh minum kopi ni dulu,” ujar Lebai Man yang sejak dari tadi memerhati Mad mencangkul.
            “Sikit lagi je, Lebai… Lagipun kalau saya berhenti, rasa berat pulak nak sambung balik,” balas Mad.

            Lebai Man hanya tersenyum melihat kedegilan pemuda baik hati itu. Selama ini, jenuh dia minta pertolongan daripada penduduk lain di desa itu untuk membantunya meratakan timbunan pasir di sekeliling dataran rumah, namun tiada siapa pun yang mahu. Dia tahu kehidupan silamnya dipenuhi dengan memori luka seorang pembengis. Jika tidak dimaki, maka dikeji itu suatu lumrah bagi lidahnya sungguhpun yang bertandang itu untuk membantu tanpa mengharapkan upah. Oleh sebab itu tiada siapa mahu membantunya sehinggalah seorang pemuda datang menawarkan diri.
            Bagi Mad pula, dia datang membantu bukanlah sebab ikhlas. Tapi untuk mengelak daripada leteran dan bebelan si ibu di rumahnya, maka Mad datang juga ke rumah Lebai Man. Sekurang-kurangnya ada jugalah kerja yang dia buat. Hampir lebih dua jam mencangkul serta meratakan pasir di sekeliling rumah Lebai Man, Mad minta izin untuk rehat sebentar.
            “Nah,” Lebai Man serahkan secawan kopi kepada Mad yang duduk di sebelahnya.
            Mad menerimanya dengan ucapan terima kasih. Sedap juga air kopi bancuhan Lebai Man ini. Tak hairanlah kenapa Lebai Man tak pernah sekali berungut tentang soal jodoh, bancuh air kopi pun sedap mengalahkan kopi air tangan ibunya sendiri. Hati kecil Mad berseloroh sendirian.
            “Terima kasih ye, Mad. Aku tak tahu apa lagi yang aku nak cakap. Fasal upah kamu tu, nanti aku bagi kat kamu ye,” Lebai Man bersuara memulakan perbualan. Namun mata orang tua itu masih memandang awan putih gemawan lalu di langit biru. Membiarkan fikirannya terbang melayang kekosongan.
            “Er… Jauh betul Lebai termenung… Teringat kat bakal isteri ke?” gurau Mad menyedarkan lamunan Lebai Man.
            “Ish, tak adalah sampai ke situ,” balas Lebai Man.
            “Habis tu? Apa yang buat Lebai tengok kat atas langit tu?”
            “Biasalah, Mad. Bila dah tua-tua begini, teringatlah balik memori masa muda mentah dan bergetah dulu. Kalau aku tahu aku akan tua tak berdaya macam hari ni, dah tentu salah dan silap aku masa muda, aku akan cuba elakkan sehabis daya aku… Hurm…” keluh Lebai.
           “Ooo… Ala, Lebai. Disebabkan kesilapan lalu lah kita boleh kenal mana satu yang silap mana satu yang betul. Lagipun benda dah lepas, Lebai… Oh ya. Saya ni masih konfius sikit dengan satu perkara… Er…”
            “Fasal apa?” soal Lebai man.
            “Ye lah. Orang kat sini semua canang yang Lebai Man ni ganas orangnya. Silap sikit, kena maki. Salah sikit, kena caci. Sampai orang kata, kalau balik tak bersendi ayat keji, itu bukan Lebai Man lah. Mungkin orang lain yang menyamar jadi Lebai Man katanya,” kata Mad bersungguh-sungguh.
            “Amboi, sampai macam tu sekali,” balas Lebai Man ketawa kecil.
            “Tapi… terbuktilah apa yang orang sini cakap tu tipu je. Selama saya tolong Lebai Man, tak ada pun satu ayat yang mempersoalkan kerja saya dari mulut Lebai,” ujar Mad.
            Lebai Man tersenyum nipis. Kemudian dia melontarkan pandangnnya sekali lagi jauh ke lantai langit. Lebai Man mengaturkan hela nafasnya beberapa kali sebelum bersuara, “Mungkin dia orang masih fikirkan aku ni orang yang sama sepuluh tahun dulu. Yang baran, suka mengkritik tanpa sebab, mencaci dalam gerak kerja dan juga suka keluarkan kata-kata kesat kat orang yang berkerja di bawah aku dulu,”
            Mad terkesima. Biar betul orang tua yang ada depan aku ni seganas itu? Hati kecilnya tak mempercayai.
            “Siapa nama kamu tadi?” tanya Lebai Man.
            “Muhammad,” jawab Mad.
            “Allah…” reaksi Lebai Man yang menzahirkan rasa kagumnya dengan nama itu.
            “Tapi lebih mesra dipanggil Mad je, Lebai,” sambung Mad.
            “Tak. Lebih elok dipanggil Muhammad. Nama yang terpuji dengan maksud yang terpuji. Nama kepunyaan kekasih Tuhan yang menjadi rahmat sekalian alam. Kalam dan naluri cintanya terhadap kita, tiada tolok bandingnya dengan riwayat cinta sekalian manusia, Subhanallah, kamu ada nama yang cukup terpuji. Jadi kamu kena jaga peribadi kamu seelok nama kamu. Pandai ayah kamu pilih nama tu,” ujar Lebai menyebabkan Mad terpinga-pinga bercampur segan.
            Mad hanya mengangguk setuju tanpa sebarang jawapan.
            “Kamu tahu setenang mana Rasulullah junjungan mulia kita?” tanya Lebai tidak mengharapkan jawapan dari mulut Mad.
            Mad hanya menggeleng.
            “Tenangnya Nabi Muhammad sampai jarinya berdarah terkena batu, Nabi sempat berpuisi lagi, hal anti illa isba’un damiit, wa fi sabilillahi ma laqiit. Maksudnya, dikau hanyalah jemari yang berdarah, dan dikau terluka hanya di jalan Allah… Nabi tak pernah nak salahkan khinzir dan binatang lain yang tak ada kena-mengena, atau menghina anggota badan diri sendiri atau  selainnya,” jelas Lebai Man.
***
            Haji Nawi baru sahaja mengayuh basikal pulang dari masjid desa itu. Sedang dia mengayuh pulang, sempat dia menoleh ke rumah musuh lamanya yang pernah berebut jawatan tok siak di masjid sepuluh tahun dulu. Sekarang Haji Nawi sudah pun naik pangkat menjadi bilal. Manakala riwayat politik Lebai Man dalam organisasi masjid sudah lama berkubur. Hasadnya tiba-tiba terasa panas. Siapa yang tolong Man tu? Budak tu tak tahu ke perangai Man tu macam mana? Ah! Tak boleh jadi ni. Desis hati Haji Nawi menderu mengikut nafsu.
            Pada sebelah malamnya, keluarga Haji Nawi sama-sama menjamu selera di meja makan. Mad, anak sulung Haji Nawi memulakan bicara elok sahaja dia selesai makan. “Siang tadi, saya pergi tolong Lebai Man ratakan pasir kat keliling rumah dia,” ujar Mad.
            Ibu Mad terkesima sambil memandang suaminya, Haji Nawi yang sedikit tergamam. Namun untuk elakkan daripada dia menghamburkan kata-kata yang tak elok di depan rezeki, Haji Nawi meneruskan jamahannya tanpa sebarang reaksi balas. Namun, kunyahan Haji Nawi lebih laju berbanding sebelum Mad bersuara.
            Selesai sahaja makan, Haji Nawi mencelup jemarinya yang bersisa sedikit makanan ke dalam air terus berkata, “Apa lagi yang dia kata kat kamu?” Jauh di sudut hati Haji Nawi menanti ucapan kesal dari mulut anaknya itu. Dia yakin benar serta pasti Lebai Man ada melemparkan kata-kata kesat kepada anaknya.
            “Lebai Man kata saya kena jaga peribadi saya sebab saya ada nama kekasih Tuhan yang terpuji. Lebai Man pun kata yang ayah pandai pilih nama untuk saya,” ujar Mad.
            Haji Nawi menyengetkan senyuman sinisnya. “Ceh, aku tahu sangat orang tua tu sebenarnya nak perli aku je tu,”
            “Eh, taklah ayah. Mad yakin yang Lebai Man tak perli pun,” Mad menjawab.
            “Mana kamu tahu. Kamu tu baru kenal dia. Ni, aku ni kenal dia sejak dari zaman sekolah rendah lagi tahu. Sejak zaman Jepun menjajah Tanah Melayu lagi. Aku tahulah perangai dia macam mana,” tegas Haji Nawi.
            “Manusia boleh berubah, ayah,”
            “Ya, aku tahu. Manusia memang boleh berubah. Tapi dalam semua manusia yang berubah, hanya seorang je yang takkan berubah. Yang seorang tu Lebai Man kamu!” bentak Haji Nawi kemudian melangkah meninggalkan meja makan. Hati kecilnya mendengus menaruh dendam terhadap Lebai Man sambil dicucuk frasa hasad, ‘Tak sangka kau racun pemikiran anak aku. Tak guna kau, Man!’
***
            Keesokan harinya, Mad seperti biasa menyambung lagi kerjanya di rumah Lebai Man. Mencangkul, memasukkan pasir ke dalam kereta sorong untuk ditimbun ke satu bahagian yang agak jauh dari timbunan besar pasir sebelum meratakannya. Selang beberapa jam, Mad pasti akan duduk di sebelah Lebai Man yang termenung jauh sambil dihidangkan kopi yang dibancuh sendiri Lebai Man.
            “Saya peliklah, Lebai,” Mad cuba memulakan perbualan dengan Lebai Man.
            “Pelik kenapa?” Soal Lebai Man dengan riak wajah tenang.
            “Pelik sebab apa yang buat orang kat sini terutamanya ayah saya benci sangat dekat Lebai Man? Kadang-kadang saya rasa kesian, dalam masa yang sama saya rasa marah, tak tahu sebab apa,” luah Mad.
            “Muhammad… Kamu kena tahu, insan mulia yang mempunyai nama seperti kamu dan diangkat sebagai utusan Allah langsung tak pernah berdendam dengan orang lain dan lebih gemar memaafkan kesalahan orang lain yang dilakukan terhadap Baginda,” jelas Lebai Man merujuk kepada satu hadis daripada Saidatina Aisyah:
“Rasulullah bukan seorang yang bersifat keji dan tidak pernah bersikap keji. Beliau bukan seorang yang suka berteriak di pasar. Beliau tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, akan tetapi suka memaafkan.”
            Fahamlah Mad bahawa Lebai Man mengambil iktibar peribadi Rasulullah supaya tidak terlalu terbuai dengan kata nista orang di luar sana. Jauh benar dengan apa yang tersimpan dalam hatinya. Barangkali hatinya dan hati kebanyakan dari kita dibelenggu dengan nafsu sehingga kadangkala kita sendiri keliru antara hati dan nafsu kerana kedua-duanya terma yang bersifat abstrak dan tidak wujud dalam bentuk fizikal.
***
            Di kedai kopi, Haji Nawi sibuk berkempen sambil mengungkit cerita tentang kisah silam Lebai Man sewaktu dia dan orang tua itu bertegang urat, bertikam lidah berebut jawatan dalam organisasi masjid di desa itu.
            “Kamu tahu tak Jalil. Sepuluh tahun dulu, kalau aku tak menang untuk jawatan tok siak dah tentu masjid kita tu penuh dengan taik cicak. Dulu, kalaulah Lebai Man kamu tu menang, Jalil, aku gerenti tabung masjid kita pun akan selalu bocor…” cerita Haji Nawi sambil menokok tambah sedikit untuk menyedapkan ceritanya.
            Kebetulan Lebai Man berjalan menuju ke kedai kopi itu untuk membeli sekotak serbuk kopi. Telinga Lebai Man sudah lama kemerahan mendengar tokok tambah dari mulut Haji Nawi, namun dia segera redakan amarahnya dan gagahkan dirinya untuk meredah dalam kebingitan umpatan yang menyerikan suasana di kedai kopi itu.
            Menyedari kehadiran Lebai Man, Haji Nawi meletakkan jari ke bibir mengisyaratkan kepada pelanggan setia kedai kopi itu untuk senyap. Suasana yang pada mulanya bising bertukar sunyi sepi. Keadaan sebegitu cukup memberi indikasi penghinaan kepada sesiapa yang ada di tempat Lebai Man.
            “Timah, macam biasa,” Lebai Man bersuara meminta sekotak serbuk kopi. Suaranya kini menemani bunyi jerangan air panas. Matanya sedaya upaya menakung air mata yang sudah mula mahu menitis keluar. Sejurus sahaja Lebai Man membayar, orang tua itu segera melangkah pergi. Lebih lama dia di situ akan menyebabkan takungan air matanya tiris. Sedang dia melangkah menjauhi kedai kopi itu, dia dapat dengar desis tawa warga kedai kopi itu.
            Pada masa yang sama, Mad yang sedang membonceng motosikal kapcainya pulang setelah selesai kerjanya di rumah Lebai Man terserempak dengan Lebai Man. Mad bertegur sapa dengan Lebai Man, “Nak pergi mana tu, Lebai? Nak saya tumpangkan?”
            Lebai Man hanya tersenyum dan berlalu pergi.
            Tindakan Lebai Man itu membuatkan Mad tertanya-tanya. Apa yang lebih menimbulkan persoalan di benak hatinya adalah kelopak mata Lebai Man yang agak sembam. Menangis? Tapi sebab apa? Tanya hati Mad pada dirinya sendiri. Dia kemudian meneruskan boncengannya dan selang 100 meter dari situ didapati ayahnya ada di kedai kopi dengan hilai tawa.
            “Kau orang nampak tak muka orang tua tu macam mana? Nampak tak?” soal Haji Nawi bersulam ketawa besar.
            Mad hanya mampu menggeleng kepala mendengar kata-kata ayahnya sahaja.
***
Keesokan petangnya, Mad pulang ke rumah dengan membawa sebungkus hadiah. Mad terus duduk di sebelah ayahnya, Haji Nawi yang sedang membaca kitab jawi di atas ruang tamu.
“Ayah baca apa tu?”tanya Mad.
“Er… Kitab Masbuq dan Muwafiq. Kitab jawi fasal solat… Kenapa?” soal Haji Nawi semula.
“Saje tanya. Er… Ayah. Ada hadiah untuk ayah ni,”
“Hadiah? Dari siapa?”
“Er, Lebai Man yang…”
Belum sempat Mad menghabiskan ayatnya, Haji Nawi terus menepis hadiah tersebut. “Kamu ni memang dah melampau, Mad!” bentak haji Nawi bingkas bangun.
“Ayah… Saya tak habis lagi cakap, ayah,” ujar Mad.
“Kaum tak perlu nak tunjuk baiklah, Mad! Kamu tu sedar tak yang kamu tu kena tipu hidup-hidup dengan manusia bertopengkan syaitan macam Lebai Man tu,”
“Ayah… Saidatina Aisyah sendiri kata Rasulullah terima hadiah dan membalas setiap pemberian kepada Baginda. Takkan kita sebagai umat Baginda nak tolak hadiah yang orang bagi kat kita,”
“Kamu ni kena lempang dengan aku baru nak berakal… Dengar ni, kamu jangan percaya sangatlah apa yang Le…”
“Balik-balik jangan percayakan Lebai Man lah. Asyik-asyik ada je yang salah dekat orang tua tu. Rasulullah sendiri tak pernah nak berdendam dengan orang yang menolak dakwah Baginda, takkan kita yang masalah tak sebesar mana pun nak berdendam dengki mengalahkan Baginda!”
“Aku bukan Rasulullah! Aku manusia biasa, yang ada salah dan silapnya setiap hari. Bukan maksum. Puas?!” sanggah Haji Nawi mengejutkan Mad.
Mad terdiam.
“Ha! Kenapa diam? Tadi kencang sangat nak sembang fasal Rasulullah segala bagai,” perli Haji Nawi.
“Lebai Man pun bukan utusan Allah. Tapi dia tetap berusaha untuk ikut akhlak Nabi. Saya pun bukan maksum, tapi saya masih nak ikut apa yang Nabi dah tunjukkan… Ayah, buat apa Rasulullah bersusah-payah berkelakuan baik kalau umatnya sendiri tak mahu ikut apa yang Baginda dah tunjukkan. Baginda dah dijanjikan syurga, dah dijanjikan kebal dari segala dosa. Tapi Baginda masih ingatkan kita sewaktu nyawa di hujung kerongkong, meninggalkan hayatnya yang penuh dengan tauladan tanpa dakwah yang bersifat mengongkong. Kita sebagai umatnya apa balasan kita untuk Baginda?” balas Mad membawa kepada mukanya ditampar ayahnya.
***
            Sepuluh tahun berikutnya, di pusara Lebai Man, Haji Nawi membacakan yasin kepada bekas musuh lamanya. Kini dia anggap memori dia memusuhi Lebai Man sebagai satu sisi hitam dalam dirinya. Dia sudah menghakis rasa tidak puashati yang membenak dalam hatinya. Walaupun mengambil masa sepuluh tahun untuk sedar, namun Haji Nawi masih berkesempatan untuk mengikis egonya yang kian umurnya mendekati penghujung cerita kian terhakis.
            Jika bukan kerana ayat terakhir yang terpancul dari mulut anak sulungnya sebelum dia menampar sendiri pipi anaknya itu, sudah tentu peringatan itu tak akan terngiang-ngian dalam mindanya yang membawa kepada ketukan pintu hatinya yang dipenuhi tompokan hasad. Hidupnya kini lebih tenang sambil berusaha mengambil inspirasi akhlak peribadi Rasulullah. Walaupun dahulu dia seoronok dengan hilai tawa namun ia tidaklah setenang kala ini. Mehnah itu ada, yang penting mujahadah (bersungguh-sungguh).
Ada satu bintang,
Sinarnya berseri,
Cahaya atas cahaya,
Empat yang utama :

Satu menyampaikan,
Dua amanah,
Tiga bijaksana,
Empat membenarkan.

Jangan kita ragu,
cubalah sedaya mampu,
Ikuti sunnahnya,
Hidup kan bererti.
{Lirik lagu Selawat Atasmu dari Nowseeheart}
            Pernah sahabat Rasulullah iaitu Hisyam bin Amir bertanya kepada Saidatina Aisyah tentang akhlak Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassallam. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi Sallahu ‘Alaihi Wassallam adalah al-Quran." Bayangkan jika membaca al-Quran bisa membuatkan hati kita menjadi tenang, bagaimana pula jika Rasulullah ada bersama kita tika susah dan senang? Hakikatnya, dunia kita ini mampu menjadi lebih tenang jika kita semua mahu berusaha mengikuti peribadi Baginda Sallahu ‘Alaihi Wassalam!

No comments: