Monday, January 13, 2014

(CERPEN) MINIT TERAKHIR




“OKEY!” Daus menguatkan nekadnya dengan jadual belajar yang baru diciptanya. Sebagai seorang mahasiswa universiti, jadual belajar merupakan salah satu keperluan yang mendesak apatahlagi final exam kian menjengah. Masuk kali ini, sudah beberapa kali dia merangka jadual belajar yang baru. Cuma jadual belajarnya kini berbeza sedikit dari jadual-jadual belajar yang pernah dia cipta sebelum ini.
Di awal semester dahulu, jadual belajarnya lebih kepada formula seminggu satu mata pelajaran. Di pertengahan semester pula, rombakan jadual belajarnya menyaksikan setiap hujung minggu, akan ada tambahan mata pelajaran akan diulangkaji selain formula satu subjek setiap minggu. Manakala jadual belajarnya yang baru ini, menyaksikan setiap hari dibahagikan kepada beberapa masa iaitu; siang – petang – malam – subuh. Dalam erti kata lain, semakin dekat peperiksaan, semakin banyak subjek ditelaah pada satu-satu hari.
            Namun, Daus bukanlah manusia bionik atau mempunyai otak geliga seperti Prof Xavier dalam cerita X-Men. Dia hanya pelajar biasa, yang sudah terbiasa untuk mengatur dirinya dengan masa. Sekurang-kurangnya itulah yang dipegangnya. Walaupun dia sendiri tahu bahawa tiada siapa mampu menguruskan masa melainkan kita sahaja yang pandai mencuri masa.

            ‘Aku kena lebih berdisiplin dengan jadual ni!’ semat Daus dalam hatinya. Maklumlah, dia sudah banyak pengalaman buat jadual tapi sangat sedikit pengalamannya dalam mematuhi setiap jadual belajar yang pernah dibuatnya sebelum ini. Tambahan pula, semester ini banyak juga paper exam yang dianggapnya sebagai killer.
            Menganggap setiap kertas peperiksaan sebagai ‘pembunuh’ sebenarnya satu tindakan yang boleh dianggap sebagai tindakan membunuh diri. Sudah tahu kita berhadapan dengan pembunuh, buat apa masih nak berhadapan dengannya juga. Bukankah itu cari nahas namanya? Sedang Daus teringat tentang beberapa subjek pelajarannya yang dianggap killer, masih terngiang di telinga kata-kata kawannya yang juga peminat setia Prof Muhaya iaitu Zaid.
            “Kau nak hairan apa, Daus… Aku kalau kat tempat kau, aku akan anggap diri aku sebagai killer instead of  aku anggap kertas yang tak bernyawa tu sebagai killer,” ujar Zaid.
            “Kau faham tak kenapa aku gelarkan subjek final exam yang aku akan ambil ni sebagai killer? Bukan sebab benda ni ada instinct membunuh secara fizikal, tapi result-nya bisa membunuh segenap motivasi aku untuk terus belajar yang masih bersisa dalam diri ni,” sanggah Daus keluh-kesah.
            “Ek eleh… Chillax-lah, dohCenggini-lah. Kau reset jiwa kau balik, tanya sama hati apa nawaitu kau belajar. Kalau kau belajar sebab nak dapat result flying colours, pointer gila gempak... Tuhan akan uji kau dengan result yang entah apa-apa… Tapi kalau kau niat sebab nak menuntut ilmu dengan ikhlas. Lepas tu banyakkan tawakal… Insya-Allah, Tuhan akan bagi result yang kau langsung tak jangka…”
            “So, maksud kau, aku just kena betulkan niat dan tawakal je lah?”
            “Tak jugak… Kau jangan lurus bendul sangat. Mana ada kat atas dunia ni semua pakai niat dengan tawakal je, kena ada usaha gak. Setakat niat dan tawakal, semua orang boleh. Tapi tang usaha tu yang ramai tak boleh nak buat…. Bak kata orang putih, no pain no gain…”
            Daus hanya mencemik bibir tak berapa setuju dengan kata-kata Zaid.
***
            Seminggu lagi final exam bakal menjengah. Daus masih membelek-belek jadual belajarnya. Seakan ada yang tak kena, getus hatinya. Lantas dia buat beberapa perubahan dari sudut masa. Kononnya jadual belajar yang baru ini terlalu menyiksa otak. Silap haribulan boleh kelirukan otak masa nak menjawab. Tak fasal-fasal nota subjek lain digunakan sebagai jawapan kepada kertas soalan subjek yang lain.
            Sedang dia gusar dengan masalah tersilap jawab subjek lain itu, dia teringat perbualannya dengan seorang gadis yang juga kawan baiknya. Namanya Hana. Cantik tapi kasar orangnya. Gasak jugaklah kalau nak cuba mengayat gadis sebegitu.
            “Wei, Daus! Kau nak gelabah apa wei… Kau study je la subjek banyak-banyak pun. Untung-untung kalau kau tengah blank, boleh jugak kau copy ilmu lain masuk sebagai contoh dalam kertas soalan subjek lain.. Baru  win-win situation! Simbiosis bak kata orang sains, kata Hana.
            “Masalahnya kalau aku punya subjek sains, takkan aku nak bagi contoh sastera kut… Kalau soalannya fasal law, takkan aku nak bagi contoh formula math pulak…” bidas Daus.
            “Gunalah otak kau tu sikit. Jangan main taram jawab je. Tu la, kau… Paranoid sangatlah. Tengok macam aku. Aku budak ekonomi, tapi dalam masa yang sama aku baca fasal buku sejarah. Okey je. Taklah segelabah kau, Daus,”
            “Aku tak pandai cam kau… Kau bolehlah, ulat buku,”
            “Ulat buku mende kau ni?! Aku ada hidung, kau pun ada. Aku ada otak, kau pun ada… Wei, kalau kau nak tahu, hidup kita ni nanti bukan ditentukan ikut aliran dalam universiti. Kalaupun kau graduate sebagai budak law, tak pun sains, atau ekonomi cam aku, tak semestinya kau punya hidup memanjang kena berdepan dengan subjek yang kau ambil masa kat universiti. Ada kalanya, kau mesti akan kena deal dengan benda yang diluar bidang kau, kan?”
            “Itu soal hidup. Sekarang ni kita just nak prepare  untuk final exam je…”
            “Aku tahu… Aku just bagi contoh. Kau study je banyak-banyak buku. Yang penting kau kena smart. Smart dalam menjawab. Agak-agak blank, kau goreng je lah dengan ilmu yang kau ada… Lagipun ilmu tu kan sifatnya berkembang, dan bukan semata-mata statik seperti yang tercatat dalam buku je…”
            Daus hanya dengar acuh tak acuh sahaja.
***
            Lima hari sebelum final exam, Daus mula melekatkan jadual belajarnya di dinding sebelah katil. Setiap kali dia nak tidur, pasti dia akan renung jadual belajarnya dan bernekad untuk mematuhi jadual belajarnya. Harapannya agar dia akan mulakan pada petang esok hari sebab di sebelah pagi keesokannya, dia dah berjanji dengan dirinya untuk menonton wayang buat kali terakhir sebelum fokus untuk belajar.
            Entah kenapa malam ini, Daus tak dapat tidur. Fikirannya masih ligat membayangkan setiap subjek yang akan ditelaahnya. Kesemuanya ada enam subjek yang akan dia duduki kertas peperiksaan. Dek kerana dia tak dapat tidur, maka dia pun buka buku dan cuba buat nota ringkasan.
            Baru setengah jam dia berhempas pulas buat nota, Daus mula menyedari semangatnya untuk buat nota kian pudar. Tatkala itulah seakan ada pujukan yang membisik dalam hatinya yang mengatakan dia tak perlu bersusah-payah untuk buat nota, sekadar baca melalui buku sahaja. Lantas Daus terus meyakini bisikan itu dan menutup buku dan tidur dengan nyenyaknya.
            Keesokan harinya, Daus mula buka buku dan cuba memahami beberapa topik yang disuruh pensyarahnya untuk diberi perhatian lebih sempena final exam nanti. Namun, selepas setengah jam membelek buku tanpa membuat sebarang nota, Daus mula rasa mengantuk. Maka dia tiarapkan buku itu di dadanya sambil badannya dilabuhkan atas katil. Maka tidurlah Daus sambil bukunya yang membaca dirinya sendiri.
            Lima puluh minit kemudian, Daus terkejut dari tidurnya yang ‘pendek’ dek menyedari dia masih tak faham dan belum baca apa-apa lagi sebagai persediaan untuk menghadapi final exam. Jadi dia ke bilik Zaid.
            “Kau datang bilik aku kenapa?” soal Zaid sejurus selepas Daus masuk ke biliknya.
            “Aku tak boleh study lah dalam bilik aku tu… Baru kejap je mata aku tala kat buku, terus rasa pening-pening lalat,” ujar Daus.
            “Buatlah nota,”
            “Malas… Aku dah cuba buat tapi rasa macam sia-sia,”
            “Daripada kau tak buat langsung, itu lagi sia-sia. Sekurang-kurangnya nota yang kau buat tu boleh memperkasakan otak kau untuk ingat ilmu kalau pun tak keluar nota yang kau buat tu dalam soalan exam,”
“Eleh, kau bolehlah, Zaid. Aku lain,”
            “Apa yang lainnya? Kalau kau ada sikap malas, aku pun ada,”
            “Menipulah kau. Tak payah nak gebanglah, Zaid. Aku tengok kau 24 jam study,”
            “Wei, Daus… Sekarang aku nak tanya kau satu benda. Kau mula study bila?”
            “Entah… Kalau secara tak rasmi, baru semalam kut. Ke pagi tadi entah,”
            “Kiranya last minute lah kan?”
            “Ha ah,”
            “Jadi sama lah dengan aku… Orang yang study last minute macam aku ni kena lah sedar diri sikit. Sebab tu kau nampak aku macam 24 jam study. Kalau aku study  dari bukak sem, dah tentu aku goyang kaki je sekarang.”
            Daus terdiam tak mampu menyanggah.
***
            Esok merupakan peperiksaan pertama bagi Daus. Pemuda itu sudah mula rasa debar dan gelora yang berombak di dadanya. Tak senang duduk dibuatnya. Lantas dia berjumpa Hana yang suka  mengulangkaji di tasik universiti.
            “Aku tak study apa lagi ni, wei!” kata Daus dengan riak wajah gembira nan terselit resah di jiwa.
            “Dah tu, study je lah,” balas Hana ringkas.
            “Tapi aku tak faham apa yang aku baca,”
            “So?”
            So... Kau faham-faham je lah, Hana. Aku kalau dah tak faham apa yang aku baca, aku terus tutup buku tu,”
            Hana merenung tajam ke arah Daus sebelum berkata, “Kau ingat kau seorang tak faham apa yang kau baca? Aku pun tak faham apa yang aku baca… Tapi aku taklah macam kau, terus tutup buku. Sekurang-kurangnya aku cuba baca bagi faham. Kalau masih tak faham, aku redho je lah… Lagipun, soalan exam perlukan jawapan dan jawapan takkan datang dalam kepala otak kau cenggitu je kalau kau langsung tak baca!”
            Kali ini Daus tersentak.
***
            Sehari sebelum exam…
            Daus makin gelabah. Semuanya bagai tak kena. Hendak baca buku, dadanya berombak gementar sampai tangannya teruk menggeletar. Setiap kali dia mula bersemangat untuk mengulangkaji, masa tu lah pundi kencingnya rasa nak terkeluar. Berulang-alik ke bilik air dek rasa gemuruh dalam jiwa. Akhirnya, dia pasrah dan mengeluh dengan berkata, “Lantaklah! Apa nak jadi, jadi lah… Result exam bukan boleh bawak ke mana pun!”
            Knok! Knok! Knok!
            Daus terus tutup lampu dan tekup telinganya dengan bantal. Dia baring atas katil cuba lelapkan mata. Malas dia nak layan ketukan pintu kerana jiwanya sekarang tengah kacau dan emosinya tak stabil.
            Knok! Knok! Knok!
            Daus selubung seluruh tubuh badannya dengan kain selimut. Sekali lagi dia buat bodoh terhadap ketukan pintu itu.
            KNOK! KNOK! KNOK!
            Kali ini ketukan pintu biliknya bertambah hingar. Daus tak hirau. Dia terus lelapkan mata untuk tidur kerana esok adalah hari pertama untuk final exam-nya. Dia buang segala masalah yang bersarang dalam minda dan akhirnya lelap melayari bahtera mimpi jua.
            Keesokan harinya, Daus terus menuju ke bangunan peperiksaan bersama beg yang berisi nota yang langsung tak dibacanya semalam. Dia lihat jam di pergelangan tangannya, masih ada setengah jam sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu. Dia buat keputusan untuk duduk di satu sudut sambil memerhati beberapa pelajar lain sedang mengulangkaji buat kali terakhir. Daus mencemik kerana dia berpegang kepada pandangan bahawa ulangkaji pada minit-minit terakhir macam sekarang hanya akan buatkan kita lagi gementar.
            “Woi!” Hana menyergahnya sambil cekak pinggang. Ada disisinya ialah Zaid yang menggeleng kepala. “Bak sini nota aku balik! Kau tahu tak sebab kau lah aku tak dapat nak study paper exam jap lagi!
            “Kau dah kenapa, Daus? Semalam bukan main kuat aku ketuk pintu kau, takkan tak dengar,” Zaid mencelah.
            Sambil Daus menghulurkan nota yang tersisip rapi dalam begnya, dia berkata, “Ala, aku lupa… Lagipun aku pun tak study gak semalam. Sama lah kita.”
            “Banyaklah sama!” bidas Hana lalu duduk di sebelah Daus dan segera menelaah notanya buat kali terakhir. Zaid pun sama, buka notanya sendiri dan cuba mengingati beberapa poin penting sebagai bekalan ingatan terakhir sebelum melangkah ke medan peperangan pena dan kertas sebentar sahaja lagi.
            Daus pula, hanya memerhati sambil tersengih. “Boleh ingat ke? Kau orang dua tak rasa nervous ke baca last minute ni. Bagi aku, kalau baca last minute ni silap-silap boleh buat kau lupa semua benda yang kau dah ingat sebelum ni.”
            Hana membalas dengan renungan tajam sebagai tanda jangan kacau kerana dia tak dapat ulangkaji notanya sendiri semalam disebabkan Daus lupa untuk pulangkannya.
            “Lebih baik gelabah sebelum ambil exam daripada garu kepala masa tengok soalan exam!”­ balas Zaid sinis. Daus hanya tersengih dan mula terkesan dengan kata-kata Zaid tadi. Dia kemudian perlahan-lahan menarik nota yang ditiru daripada nota Hana dan mula membacanya.
            “Aik, tak nervous ke? Tak takut nanti tak ingat semua benda yang kau dah ingat sebelum ni?” perli Hana sambil matanya mengerling ke arah Daus.
            Better late than never,” ringkas sahaja jawapan Daus menyebabkan Zaid dan Hana tersenyum sendirian.
            Selepas tiga minggu peperiksaan yang agak panjang dirasakan, keputusan bagi beberapa subjek yang diambil telah dikeluarkan secara tak rasmi. Akhirnya, mereka bertiga lulus dalam gred keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Daus, walaupun memperoleh gred yang paling rendah berbanding Hana dan Zaid, sangat berterima kasih dengan dua orang sahabatnya itu kerana secara tak langsung berjaya mempengaruhinya untuk rujuk nota sebelum masuk bangunan peperiksaan. Ada soalan yang yang memerlukan poin relevan yang baru sahaja beberapa minit dia rujuk dalam notanya sebelum melangkah masuk ke dalam bangunan peperiksaan. Kalau dia masih berdegil dengan prinsip ‘sudah terlambat untuk ulangkaji’, sudah tentu lain pula hasil keputusannya.
            Sudah ditakdirkan, manusia yang berusaha tanpa lelah akan diberikan ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Istiqamah dalam usaha bisa menjadikan kekuatan doa dan tawakal pada tahap yang paling ampuh untuk mengundang hasil yang tidak disangka-sangka. Berusaha, walau lambat, jua akan dapat hasilnya. Sama seperti hidayah, perlukan usaha sendiri untuk menggapainya. Namun, jika kita langsung tak usaha, walau di minit-minit terakhir hayat kita, doa dan tawakal yang melangit tinggi pun tiada nilai disisi-Nya!
Firman Allah Taala :-
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian…”
[Surah Al-‘Asr (103) : Ayat 1 & 2]

No comments: