Saturday, May 10, 2014

(CERPEN) BUTIR CINTA DI JALANAN





Dua hari.
Itulah usia sebenar perkahwinan kami. Menjadi isteri kepada seorang aktivis mahasiswa dalam keadaan kami berdua masih terikat dengan belenggu politik Hal Ehwal Pelajar universiti, bukan satu momen yang mudah untuk diukir indah. Aku sebagai isteri, aku juga kadangkala sebagai penguat motivasi. Kadangkala suamiku pulang dengan senyuman nan lebar, namun kebanyakan masa raja hatiku lebih banyak memendam rasa di balik wajah nan gusar.
            Aku kini berpeluh menunggu dengan sabar suamiku dalam kereta. Suamiku sedang sama-sama berganding bahu dengan sekumpulan mahasiswa UPSI untuk memberi sokongan moral kepada saudara Adam Adli yang digantung pihak pengurusan universiti tersebut. Aku hanya memerhati dari dalam kereta sahaja. Bukan kerana aku tak menyokong tindakan dan wadah perjuangan suamiku, tetapi suamiku sendiri yang menyuruh aku duduk dalam kereta.
            “Abang takut kalau polis apa-apakan, Dian. Biar abang yang kena bantai dengan polis-polis tu asalkan tak ada siapa yang berani sentuh isteri abang ni!” ujar suamiku kepadaku sebelum dia menyertai sekumpulan mahasiswa UPSI tadi.
            Sungguhpun ini baru hari kedua kami bergelar suami isteri tetapi aku sendiri dapat rasakan satu hubungan kepercayaan yang amat tinggi antara aku dan suamiku yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Walaupun apa yang suamiku lakukan sekarang mungkin dianggap bodoh, dicerca sebagai pengkhianat pemerintah serta dicemuh sebagai lelaki yang tak mengenang budi pemerintah, tetapi bagi aku – suamiku jujur orangnya kerana dia rela menghulurkan badannya sebagai benteng daripada serangan ganas pihak berkuasa bagi pihak masyarakat yang masih lena hanya kerana memperjuangkan kesaksamaan, keadilan dan kebenaran.
            Ketika para isteri lain dihamburkan dengan madah indah pada malam pertama, aku hanya dibuai jeritan marhaen menuntut cukai tak dinaikkan. Tatkala para isteri dikalungkan rantai emas, aku hanya dibelenggu dengan sorak demonstran nan cemas. Sewaktu para isteri lain sibuk berbulan madu dan berjalan-jalan, aku pula mengutip butir cinta di jalanan.
***
            “Kamu ni dah tak betul ke?! Nak demonstrasi tapi bawak bini sekali. Kalau kena sembur dengan FRU, lepas tu bini kamu tu mati… Apa kamu nak jawab dengan mak bapak mertua kamu?! Nak kata syahid? Hah?!” bentak bapa saudara suamiku ketika wajah suamiku terpampang dalam dada akhbar bagi senarai demonstran yang dikehendaki pihak polis. Gambar aku terlindung di belakang kepala suamiku tapi masih boleh dicam oleh ahli keluarga kami.
            Hakikatnya bukan salah suamiku. Aku sendiri yang merayu kepada suami untuk ikut sekali berdemonstrasi. Aku nak juga rasai apa yang diperjuangkan oleh suamiku. Nak rasakan jerit-perih berarak dalam lautan manusia menuntut sesuatu yang sudah menjadi hak bagi rakyat di Malaysia.
            Mulanya demonstrasi tu berlaku dengan aman. Tapi entah kenapa aku dapat rasakan ada beberapa kelompok kecil seakan mengapi-apikan keadaan. Suamiku membisik menyatakan bahawa dia orang tu sebenarnya SB atau perisik polis. SB ni memang akan ada kat mana-mana. Benda yang sepatutnya aman pun boleh bertukar huru-hara bergantung kepada matlamat perisik tersebut.
            Saat pengalaman yang paling aku tak dapat lupakan bila disembur dengan water cannon FRU. Bertempiaran lari para demonstran bila disembur. Lelaki yang suamiku kata sebagai SB tadi pun turut sama berlari. Namun sebelum dia lari, dia sempat buat tindakan memprovok FRU tersebut antaranya menunjukkan jari tengah dan botol air. Ironinya, bila lelaki tu hilang dalam lautan manusia, barulah FRU menyembur dengan gilanya kepada demonstran.
            Aku pertama kali disembur dengan water cannon. Hanya Tuhan yang tahu betapa seksanya aku rasa pada waktu tu. Aku dapat rasakan mataku sangat pedih untuk dicelik. Dadaku sesak nafas. Berkali-kali aku nak muntah namun tak berjaya muntah.
            Mujur waktu tu suamiku memelukku dengan erat ketika semburan water cannon hampir tepat mengena aku. Kurang sedikit kesannya. Ada pak cik yang berjalan dengan kami tadi betul-betul kena sembur depan muka dan pak cik tu nyawa-nyawa ikan tersadai atas jalan di hadapan Masjid Jamek. Suamiku sempat memberikan air mineral, garam dan ubat gigi kepada aku dan menyuruh aku berteduh dalam Masjid Jamek.
            Dalam masa yang sama aku lihat, suamiku memberanikan diri mengangkat tangan menyuruh trak FRU tersebut berhenti kerana pak cik tersebut sedang tersadai atas jalan nyawa-nyawa ikan. Namun, FRU mana ada sifat kemanusiaan bila bertugas dalam menyuraikan demonstrasi yang dijana pembangkang. Lantas aku lihat suamiku disembur dengan water cannon. Semburan itu menyebabkan suamiku hilang buat seketika. Rupa-rupanya tujahan semburan water cannon itu telah menyebabkan suamiku tertolak jauh beberapa inci dari tempat pak cik tua itu tersadai atas jalan.
            Aku berlari keluar membantu suamiku.
            “Pergi!!!” jerit suamiku menyuruh aku masuk semula ke dalam Masjid Jamek.
            Aku berdegil tetap mahu memapah suamiku. Tak mahu aku membiarkan suamiku menderita seorang diri. Menyedari aku takkan berganjak dari memapah suamiku, suamiku menyuruh aku membantunya mengangkat pak cik tadi.
            Kejadian yang berlaku tadilah antara sebabnya kenapa bapa saudara suamiku begitu marah dengan suamiku.
***
            Tiga bulan pertama dalam perkahwinan merupakan saat yang sukar bagi satu mahligai perkahwinan apatahlagi jika berkahwin muda. Memang sukar apabila berkahwin ketika masih belajar. Kalau aku ada anak, dah tentu aku takkan berikan keizinan kepada anak aku untuk berkahwin awal. Yang kata rezeki datang selepas berkahwin, bagi aku ada benarnya tapi tengok jugalah suami yang macam mana. Kalau suami jenis kaki tidur, memang takkan bertambahlah rezeki walau berkahwin berkali-kali atau beranak berkali-kali.
            Apa-apa pun, yang paling penting aku perlu senantiasa sokong dan beri motivasi kepada suamiku. Pernah sekali semasa demonstrasi di UPSI, suamiku berkata kami mungkin terpaksa tidur dalam kereta sebab tak ada duit untuk bayar hotel. Dalam purse suami ada sepuluh ringgit dan dalam dompet aku hanya ada lima ringgit. Dengan lima belas ringgit kami makan dan beli ubat untuk ubati luka yang diperoleh suamiku hasil provokasi konstabel polis yang menjaga demo di hadapan pagar UPSI.
            Semasa dalam kereta, suamiku tidur dengan dengkuran keletihan. Ketika para isteri lain dapat pelukan dan tidur beralaskan lengan suami tercinta, aku pula hanya dapat amati wajah keletihan suamiku sahaja. Damba hati kecilku merengek dan membebel dalam diam. Aku tak bisa jadi seperti isteri tokoh-tokoh besar yang punyai jiwa besar untuk ikhlas bersama suami dan perjuangan si suami. Aku wanita biasa-biasa yang sama seperti kebanyakan isteri di dunia yang mahukan kebersamaan dengan suami dalam saat yang penuh privasi.
            Namun apabila aku fikirkan kembali, ranjau yang aku lalui bersama suamiku sebenarnya kebahagian dalam definisi rumahtangga kami sendiri. Walaupun dalam keadaan berpeluh di bawah terik mentari atau terpaksa menanggung lenguh dek menunggu dalam kereta selama 5-6 jam, yang penting aku dapat bersama-sama dengan suamiku sendiri.
            Sesibuk dan segenting mana pun keadaan suamiku, selepas selesai urusannya, pasti dia akan melayani aku seperti awek yang baru ditemuinya. Kadang-kadang dia bawa aku ke tasik, kadang-kadang juga dia belanja makanan kegemaran aku walaupun aku tahu dia tak gemar makanan tersebut dan suamiku selalu mendengar semua keluhan aku tanpa mengeluh. Kalau suamiku marah, tiada sentuhan fizikal menyakitkan yang aku terima. Hanya kebisuan yang agak merimaskan sahaja.
***
            Selepas dua tahun bergelar isteri kepada aktivis sepenuh masa, dalaman aku mula memberontak hebat. Apatahlagi hanya aku sahaja yang berjaya tamatkan pembelajaran di university. Suamiku pula masih dalam pergantungan dek tindakan tatatertib pihak universiti. Aku mula memasang impian untuk ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bekerja di syarikat yang besar. Aku sudah rasa tak selesa dengan keadaan sekarang – terpaksa ikut sahaja ke mana suamiku pergi. Jadi aku panjangkan impian aku kepada suamiku.
            “Awak nak kerja apa, Dian?” tanya suamiku selepas aku jelaskan apa yang aku nak.
            “Cikgu ganti… Apa-apa je,” balasku.
            “Kalau awak kerja, siapa nak temankan saya?”
            “Ala, awakkan berdemo, berforum dan berceramah dengan ramai orang. Takkan itupun awak nak saya temankan. Lagipun saya rasa dah tiba masa kita tukar lifestyle kita. Kita kena fikir masa depan!”
            “Awak… Sebab saya fikir masa depanlah saya buat semua ni. Kalau tak ada orang macam saya yang buat semua kerja-kerja yang melecehkan ni, dah tentu kerajaan kita akan sesuka hati buli rakyatnya.”
            “Bang! Saya bukan sebut pasa masa depan rakyat… Cuba kecilkan skop pemikiran abang tu. Saya hanya nak abang fikir tentang masa depan kita…. Abang tak terfikir ke nak ada rumah sendiri, anak, atau ada perniagaan sendiri. Tak pun abang tak terfikir ke kalau ada apa-apa jadi kat saya, contohnya saya kena operate ke? Abang ada duit simpanan tak masa tu… Tak ada kan?!”
            Kenyataan aku tak dibalas suamiku. Dia hanya membisukan diri tanda suamiku itu sedang memendam rasa amarahnya.
Aku malas untuk mencurahkan lagi minyak ke dalam amarah yang bakal marak dalam hatinya, maka aku memeluk lengan suamiku sambil berkata, “Saya tahu abang bukan milik saya seorang. Abang milik rakyat marhaen. Tapi satu sahaja permintaan saya buat abang iaitu… cubalah fikir tentang masa depan kita sebelum abang fikirkan tentang masa depan orang lain.”
***
            Aku tidak lagi mengikuti suamiku ke destinasi yang ditujunya sama ada dengan tujuan berdemo, berforum, berdiskusi mahupun berceramah. Aku diizinkan untuk bekerja namun kesemua kerja yang aku minta semuanya tak dapat. Kecuali satu. Polis!
            Aku mohon untuk jadi polis pun sebab aku rasa gaji dan prospek kerjaya polis adlaah yang paling terjamin sekali. Tambahan pula, sebelum kahwin aku memang gemar dengan aktiviti lasak dan menjadi polis wanita antara cita-cita aku masa sekolah menengah sebab aku terpengaruh dengan drama Gerak Khas arahan Datuk Yusof Haslam. Sejujurnya aku tak beritahu pun pasal kerjaya polis ni sebab aku takut suamiku akan terasa dengan tindakan aku mohon kerja polis.
            Penipuan terpaksa aku lakukan. Aku kata kepada suamiku yang aku terpaksa pergi kursus kerjaku selama beberapa minggu walhal aku pergi temuduga polis. Hasilnya aku berjaya diterima sebagai polis. Disebabkan aku ada degree dalam bidang Sains, maka aku diserap masuk dalam unit forensik. Selepasa beberapa hari dalam unit tersebut, aku jadi bosan. Unit forensik sebenarnya tidaklah semudah cerita CSI. Jadi aku mohon untuk ditukar ke unit lain. Tanpa aku sangka, aku diserap masuk ke dalam unit FRU bagi zon tengah iaitu kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.
            Sampai ke hari ini, suamiku langsung tak tahu tentang kerjayaku.
***
            “Apa yang orang bangsat-wan buat kat atas kerusi politik?! Dia orang tidur, tuan-tuan puan-puan! Dia orang tidur dengan nyenyak atas katil duit cukai yang dikutip dari susah payah kita. Dari peluh para petani dan pesawah. Dari keletihan memerah otak para pekerja kita. Dari kelenguhan memeras keringat otak para ahli akademik kita… Dan kita semakin hari, saban hari… dan hari-hari kena tipu hidup-hidup dengan bangsat-wan kat atas sana!!!”
            Aku dengar ucapan dari pembesar suara nan berkobar-kobar. Aku kenal sangat suara tu. Itulah suara suamiku. Kalau dulu aku bersamanya. Kini aku memerhatikan suamiku dalam pakaian seragam FRU. Disebabkan ia pakaian seragam, tak ramai yang tahu ada tujuh anggota FRU wanita sedang berkawal menjaga keamanan demonstrasi tersebut.
            Kalau aku bukan dalam tempoh bertugas, nak sahaja aku banggakan diri dengan beritahu bahawa lelaki yang berucap tadi ialah suamiku. Dah lama rasanya tak berjumpa. Apatahlagi aku selalu tak ada kat rumah setiap kali suamiku pulang dan begitu juga suamiku tiada di rumah sewaktu aku pulang dari kerja.
            Kling! Kling! Kling!
            Aku tergamam. Beberapa anggota FRU wanita yang lain turut berkongsi reaksi yang sama dengan aku. Sebelum aku jalankan tugas sebagai FRU tadi, kami diberitahu bahawa tugas kami hanya untuk menjaga keamanan demonstrasi ini. Senjata dan peluru pemedih mata diserahkan kepada kami dengan alasan bila lagi kami nak ada pengalaman sebegini.
            Selepas ketua FRU aku beri amaran kepada para demonstran, aku gelabah. Aku gelabah memikirkan apa yang bakal berlaku kepada suamiku yang memimpin demonstran tersebut. Aku toleh ke belakang dan memandang ke arah bumbung trak FRU. Aku menjerit memanggil ketua pegawai FRU, tetapi jeritan aku diganggu oleh beberapa demonstran yang bertindak melulu membaling batu ke arah kami.
            “Isikan peluru dalam kelongsong!” arah ketua FRU
            Aku tersepit antara dua persimpangan.
            “TEMBAK!!!”
            Puff!
            Peluru pemedih mata dilepaskan dan asap berkepul keluar dari peluru tersebut. Bertempiaran lari para demonstran dalam keadaan peluru pemedih mata bertalu-talu dilepaskan oleh rakan sekerjaku yang baru sahaja menyertai FRU sama seperti aku. Aku pula, langsung tak lepaskan peluru pemedih mata tersebut dek teragak-agak untuk berbuat demikian.
            Suasana bertukar huru-hara sekelip mata. Jika dahulu apa sahaja yang FRU lakukan pasti tidak akan dibalas para demonstran, namun berbeza untuk kali ini. Beberapa das  tembakan dilepaskan terhadap FRU. Walaupun ia berlaku dalam beberapa saat sahaja, tetapi itu tetap suatu yang mengejutkan aku. Bukan sahaja FRU, bahkan demonstran yang tak terlibat dengan das tembakan itu pun terkesima. Aku dan beberapa anggota FRU wanita yang baru sahaja merasai pengalaman pertama menyuraikan perhimpunan aman bertambah keliru. Kami hanya dibekalkan senjata pemedih mata dan langsung tiada peluru hidup yang boleh digunakan untuk membalas tembakan.
            Ketua FRU kemudian mengarahkan anggota wanita untuk ke belakang dan digantikan dengan anggota FRU yang sudah terlatih. Anggota FRU yang terlatih itu terus menyerang, menyepak dan membelasah sesiapa sahaja yang berpakaian biasa tanpa menyoal sama ada mereka itu ahli demonstrasi yang melepaskan tembakan atau tak. Seperti mencurahkan minyak ke api yang sedang marak, tindakan FRU menggempur para demonstran tanpa usul periksa menyebabkan beberapa peserta demonstrasi mengamuk lalu bertempur dengan anggota FRU tersebut.
            PIUUUU…. BOOOM!
            Salah satu trak FRU nan merah meletup. Aku tak tahu siapa yang gunakan bazooka untuk letupkan trak tersebut yang jaraknya agak jauh dari tempat aku berdiri tetapi aku yakin yang ia datang daripada atas bangunan. Secara logiknya mustahil peserta demonstran ni ada senjata secanggih itu. Aku yakin mungkin itulah provokasi yang selalu suamiku sebutkan pada aku.
Tiba-tiba aku terdengar perbualan ketua FRU dalam talian khas : “Tangkap ketuanya walau dengan apa cara sekalipun. By hook, by crook or by bullet!!!”
            ‘Abang?!’ getus hati kecilku teringatkan tentang suamiku. Apakah nasib suamiku kala ini? Dalam keadaan huru-hara yang bakal bertukar kacau-bilau, aku harus cari suamiku sebelum melarat ke tahap darurat. Aku tinggalkan posisi FRU yang sudah berselerak akibat serangan letupan trak FRU tadi dan mencari suamiku dalam pakaian serba hitam nan berat FRU.
            Aku menjerit berkali-kali memanggil nama suamiku. Pada masa yang sama aku lihat ada pergaduhan dalam kalangan peserta demonstrasi. Kebanyakannya lelaki yang buncit dan botak menyerang sesiapa sahaja yang memakai baju T ‘Turunkan Cukai!’ termasuklah kanak-kanak dan wanita. Lagak mereka seperti golonga barbarian! Aku cuba membantu dan apabila penyerang yang berpakaian baju T hitam itu melihat perkataan FRU, terus dia cabut lari.
            “Sabar-sabar! Jangan bertindak melulu. Kita datang sini nak berhimpun secara aman… jadi jangan bertindak balas dengan pihak berkuasa! Jangan termakan umpan provokasi pihak-pihak yang berpakaian seperti kita!”
            Suara itu aku kenal. Itulah suara suamiku. Dalam kekalutan orang ramai cuba menyelamatkan diri dan ada sebahagiannya melawan pihak berkuasa, suamiku masih cuba mengawal perhimpunan aman ini.
            Dalam lautan manusia nan bergelora ni, aku terus menerjah badai provokasi mencari suamiku. Apa yang berlaku, takkan aku tinggalkan suamiku walaupun tindakan aku mungkin bakal mengundang aku dianggap sebagai pengkhianat dalam media pengampu pemerintah. Anak mataku meliar mencari arah mana datang suara suamiku yang masih memberikan arahan menenangkan demonstran yang sudah mula sayup kedengaran ditenggelami jeritan dan pekikan panik. Jelas di mata aku, ada beberapa pihak berkuasa berpakaian preman menggila dengan menjadikan undang-undang berada di tangan mereka sendiri.
            Kemudian aku terlihat segerombolan pihak berkuasa berpakain preman serba hitam sedang merempuh kawanan demonstran yang berdiri mengundur diri. Umpama badang yang berang sedang nekad merempuh demonstran yang tak bertindak apa-apa. Pihak berkuasa tersebut memegang cota dan beberapa perlatan seperti besi atau kayu sambil melaungkan perkataan, “PENGKHIANAT!”
            Aku lihat di balik celahan demonstran yang mula cuak, tersepit suamiku yang cuba dilindungi oleh beberapa peserta demonstran yang lain. Aku tak mampu menghalang apa yang bakal berlaku. Pertempuran nan berdarah berlaku depan mata aku dalam sekelip mata. Hilang kemanusiaan, muncul pula kebinatangan.
            Apa yang perlu aku lakukan untuk selamatkan suamiku? Getus hatiku risau. Di depan aku ada pertempuran antara pihak berkuasa dengan peserta demonstran, di belakang ada ramai peserta demontsran yang sedang dibelasah oleh budak muda dan botak berpakaian hitam, di sebelah kiri trak FRU yang diletupkan sedang dijilat api dan disebelah kanan pula adalah tempat anggota wanita FRU berlindung. Apa yang perlu aku buat untuk suraikan pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berjaya dijadikan boneka politikus bagi melempiaskan rasa tak puas hati politikus dalam permainan catur maut mereka.
            Idea datang! Aku berlari sekuat hati menuju ke tempat kawan-kawan FRU wanita aku berlindung. Aku ambil senjata pemedih mata dan tiga butir peluru. Kawan-kawan aku tu tak bertanya apa-apa kerana dia orang sedang diulit rasa risau sama ada masih boleh hidup atau tak selepas ini. Jadi aku ambil semua benda tu dan bergegas ke lorong terjadinya pergaduhan antara pihak berkuasa dengan peserta demonstran.
            Peluru dimasukkan dalam kelongsong. Sasaran dikunci walaupun sepatutnya dilayangkan menghadap ke langit 30 darjah. Aku terus lepaskan tembakan dan bekas peluru pemedih mata itu mengena badan belakang salah seorang pihak berkuasa. Asap pemedih mata yang keluar berjaya mengaburkan pandangan dan membantutkan baran mereka. Aku lepaskan dua lagi butir peluru pemedih mata. Selepas aku lepaskan tembakan itu, aku pakai pelindung gas dan mencari suamiku dalam kepulan asap pemedih mata itu.
            Sewaktu kakiku melangkah masuk dalam kepulan asapa nan tebal itu, aku lihat ramai orang yang bergaduh terpaksa berlari tanpa arah tujuan asalkan dapat lari dari kepulan asap tersebut. Puas aku cari, namun kelibat suamiku langsung tak kelihatan. Aku terus mencari sehingga aku lihat sekujur tubuh yang berdarah banyak di bahagian hidung dan mulut terlentang atas jalan. Aku hampiri dan amati… ternyata itu suamiku!
            Aku gunakan sepenuh tenaga aku dan heret suamiku keluar dari kepulan asap tersebut. Aku berjaya bawa suamiku ke dalam Masjid Jamek. Peserta demonstran yang berlindung di Masjid Jamek semua terkejut melihat aku masuk, mungkin dia orang semua terkejut aku berpakaian FRU. Namun tak ada satu tindakbalas yang menyakitkan dilemparkan pada aku, malahan mereka bertepuk tangan menghargai tindakan aku membawa peserta demonstran yang tercedera. Dia orang bahkan membantu aku. Walhal peserta demonstran yang aku heret ni ialah suamiku.
            Setelah aku yakin suamiku diberikan perlindungan dan rawatan sepatutnya di Masjid Jamek itu, barulah aku minta diri untuk kembali ke pasukan pihak berkuasa aku. Sebelum aku melangkah pergi, dia orang semua tanya nama aku. Aku hanya membalas bahawa aku ialah isteri kepada salah seorang peserta demonstrasi “Turunkan Cukai!” sambil memandang wajah suamiku yang cedera agak teruk. Dia orang semua terkejut dan tak menyangka yang aku sebenarnya seorang wanita yang berpakaian lengkap FRU. Mungkin disebabkan aku pakai pelindung gas menyebabkan muka aku tak nampak sejelasnya.
            Aku bergegas berlari semula ke arah tempat kawan-kawan FRU wanita aku berkumpul dan berlindung. Aku berlari di tengah-tengah kekalutan yang tercetus. Bahkan ada beberapa orang yang ambil kesempatan dengan memecah masuk ke kedai. Aku tak ambil peduli sebab sekarang fokus aku adalah kembali semula ke pangkuan pasukan aku. Suamiku dah boleh dianggap selamat, maka tiada apa yang perlu aku risaukan.
            Setibanya aku di tempat yang aku ingin tuju, kawan-kawan FRU wanita aku dah tak ada. Yang ada hanya beberapa pihak berkuasa berpakaian preman hitam yang memandang aku dengan riak wajah nan bengis.
            “Kau tahu tak kita ni satu team! Wei, bedebah! Siapa bagi arahan kat kau untuk tembak pemedih mata kat belakang badang kawan kami?! Kau tahu tak dia tengah tenat sekarang?!” jerkah salah seorang dari mereka.
            Aku tak jawab. Aku cuba lari, namun sekumpulan preman itu sempat membentes dan menyepak aku berulangkali. Aku senak! Aku kemudian diangkat dan dikepit kedua tangan aku oleh dua orang preman dan seorang yang lain yang aku yakin sebagai ketua mereka menyiapkan penumbuk. Satu tumbukan hinggap ke perut, dua tumbukan berturut-turut ke bahagian muka dan diakhiri dengan satu tendangan lutut yang tepat mengena dada aku. Aku dilepaskan. Aku rasa lemas dan segera tanggalkan topi keledar bersama pelindung gas.
            “Tuan! Perempuan, tuan!” jerit salah seorang preman yang tak menyangka aku ni seorang perempuan.
            “Ah! Perempuan tak perempuan! Apa aku kisah?!
“Tapi kalau wartawan tahu ni… naya rancangan kita, tuan!”
            “Kau uruskan wartawan… Aku tahu nak cover macam mana!” arah ketua preman tersebut. Tak lama kemudian ketua preman tu bersorak gembira dengan mencetuskan ayat provokasi, “Jihad!!! Aku dah tumbangkan FRU haram jadah ni! WOI! Jom belasah FRU… baru dia tahu apa kuasa rakyat!!!” Beberapa peserta demonstran yang termakan provokasi tersebut berlari menuju ke arah aku.
            Mujur jeritan itu didengari oleh beberapa polis Unit Tindakan Khas (UTK). UTK menghambat demonstran itu dan menyelamatkan aku. Aku dihantar ke hospital dan keesokannya aku dapat surat penukaran unit. Aku ditukarkan ke unit logistik Bukit Aman. Namun selepas aku sembuh, aku sendiri mohon untuk letak jawatan. Permohonan diluluskan tak sampai tempoh 24 jam!
***
            Semenjak demonstrasi terburuk yang sepatutnya menjadi aman, suamiku sudah ada kerjanya sendiri. Walaupun dia masih bergiat aktif dalam demonstrasi, namun dia sudah ada rancangan masa depan untuk kami dan anak dalam kandungan ini.
            Ramai yang kata lelaki atau perempuan yang kuat demo ni adalah yang paling tak guna sekali. Percayalah yang sebenarnya ia adalah kata-kata hina daripada manusia yang tak reti bersyukur dengan kewujudan puak pendesak yang mendesak pemerintah untuk lebih peka dengan kebajikan rakyatnya. Jika kita semua mengiyakan sahaja apa yang dilakukan oleh pemerintah sampai rakyat pula yang perlu jaga kebajikan pemerintah, apa guna lagi jadi rakyat. Lebih baik jadi lembu yang diikat dan ditunjukkan rumput yang perlu dimakan tanpa kita selidiki sama ada rumput itu beracun atau tidak.
            Cinta bukan hanya terzahir dalam novel semata. Cinta bukan hanya lahir dalam dunia yang penuh kepasrahan cuma. Namun selalunya cinta itu ada di jalanan, hanya menunggu kita sahaja untuk mengutip butir cinta di jalanan!
Firman Allah :
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
[Surah Ali Imran (3) : Ayat 14]

No comments: