Sunday, May 18, 2014

(CERPEN) KEKASIHKU HANG JEBAT


“Bangun!!!”
            Satu kelas bangun menghormati kedatangan guru masuk ke dalam kelas. Itu merupakan masa pertama bagi sesi persekolahan.
Pagar sekolah sudah pun dikunci rapat menjadikan pelajar sekolah yang datang lambat, akan pasti pulang semula ke rumah masing-masing. Yang datang awal, akan mula dicabut kejahilan yang melekat liat dalam benak fikiran dan hati menggunakan ilmu yang bakal diajar.
            Namun, tak seperti pelajar bermasalah lain, seorang pelajar yang sering digembar-gemburkan sebagai yang tak berdisiplin, suka melawan kata-kata guru dan dianggap sebagai kurang ajar, tetap masuk dalam kelas. Seorang pelajar yang gemar menjinjing begnya dan duduk seperti biasa dalam kelas. Mata guru yang sudah mula mengajar itu membara bagai nak bakar hidup-hidup pelajar tersebut.
‘Masuk tak bagi salam, main terus duduk je. Haish!’ bisik hati guru tersebut dengan pandangan amarah.
Pelajar yang dikatakan bermasalah tu sering sahaja datang lewat ke sekolah. Buatlah dengan cara apa pun, pasti dia akan masuk ke dalam kelas walaupun lewat. Sungguhpun pintu pagar berkunci rapat, pelajar tu tetap akan cari jalan sama ada memanjat atau melalui laluan ‘lubang tikus’ yang selalu digunakan pelajar bermasalah lain untuk balik awak.
Pelajar bermasalah yang dimaksudkan itu tak dikenali dengan namanya sendiri tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hang Jebat!

***
            Krrring!!!
            Rehat bermula. Hang Jebat tak pergi ke kat kantin. Dia tak pergi dan tak akan pergi. Disebabkan terlalu banyak kecurian berlakan dalam kelas, maka sudah menjadi peraturan sekolah ini di mana para pelajar tak boleh berada dalam kelas semasa waktu rehat. Jadi, ‘port’ kegemaran Hang Jebat adalah di belakang tandas sekolah, berdekatan dengan ‘port’ pelajar bermasalah yang lain iaitu dalam tandas.
Hang Jebat langsung tak bersosial dengan pelajar bermasalah tu. Walaupun dia tahu yang pelajar bermasalah yang duduk dalam tandas lama-lama sebab tengah menjamu makan kat setan. Maklumlah, setan dan iblis makanannya asap. Dia orang pulak hisap rokok dalam tandas.
Selesai se-pam dua hisap rokok, geng pelajar yang merokok tu keluar dan menyedari keberadaan Hang Jebat kat belakang tandas. Ketua geng tersebut iaitu Zam datang sambil memagut baju Hang Jebat.
Dengan riak bengis, Zam mengancam, “Ingat! Kalau aku tahu ada cikgu tahu yang kami hisap rokok, nahas kau aku kerjakan!”
Hang Jebat langsung tak tunjukkan muka takut. Mukanya seakan langsung tak berminat.
Lalu Zam lepaskan semula pagutan baju sekolah Hang Jebat. Sambil ketawa kecil dan memperbetulkan baju Hang Jebat, Zam berkata, “Aku tahu kau takkan mengadu kat cikgu. Kalau mengadu pun, cikgu nak percaya ke?!” Galak Zam ketawa besar bersama-sama gengnya yang lain. Sebelum mereka beredar, sempat Zam memerli, “Ceh! Hang Jebat konon…”
***
            “Lisa!”
            Termenung.
            “Lisaaa!”
            Masih termenung. Jauh betul lamunan pelajar perempuan cemerlang sekolah. Kad matrik sekolah yang dipakainya tertera nama Merlisa. Namun, dia lebih suka dipanggil dengan nama Lisa sebab katanya nak dapat tuah nama Lisa Surihani. Mana tahu dapat secantik dan sebijak bini Yusry.
            “Lisa! Lisa! Lisa!” Kali ini, kawan baik Lisa iaitu Murni menggoncangkan badan Lisa berkali-kali. Barulah Lisa berhenti mengelamun. “Kau ni termenung seorang ni dah kenapa? Fikir pasal masa depan ke?!” ujar Murni.
            “Masa depan tu, ada lah jugak… Tapi yang aku tengah terfikir sekarang ni… Eh, tak ada apalah,” balas Lisa yang kemudiannya melupakan hasrat untuk beritahu apa punca dia termenung jauh sebentar tadi.
            “Ala, bagitahu la… Please…
            “Betul. Serius! Tak ada apa-apa…”
            “Alaaa, aku tahu kau tipu. Tadi sikit lagi kau nak cakap, kan? Cakap je lah. Kata kawan.” Murni tak berhenti mendesak. Pelbagai mimik muka dilakukan Murni untuk desak Lisa beritahu apa sebenarnya yang membuatkan dia termenung jauh tadi.
            Lisa pandang muka Murni sambil menggeleng kepala. Dia tahu kalau kawan baiknya itu mendesak, pasti desakan itu berakhir dengan dia terpaksa tunaikan permintaan kawan baiknya itu. “Okey-okey! Sebab kau dah ungkit kau tu kawan aku, aku bagitahu kat kau apa yang buat aku terfikir panjang tadi… Sebenarnya aku ternampak budak kelas sebelah balik dari tandas lepas habis waktu rehat.”
            “Budak kelas sebelah? Tandas? Oh, dia orang tu memang bermasalah.  Budak laki, biasalah. Kalau ke tandas lama-lama, mesti berasap. Nak kata merokok, tak mengaku. Tapi takkanlah dia orang berak dan kentut dalam tandas sampai asap berkepul-kepul…” bebel Murni yang punya jawatan pengawas sama seperti Lisa. Pengawas di sekolah tersebut dikenali Ketua Pelajar.
            “Dah-dah! Kau tak yah nak jadi mak-mak kat sini, Murni. Kau nak dengar cerita aku ke atau kau nak aku dengar bebelan kau?” celah Lisa.
            “Eh, terlanjur pulak mulut aku ni. Silakan, cik Lisa,” seloroh Murni.
            “Aku nampak seorang budak kelas sebelah yang tadi tu, muka dia langsung tak pernah nampak kat kantin sekolah. Kau pun tahu kan yang aku selalu balik awal dari kantin. Setiap kali aku nak masuk kelas balik, mesti aku ternampak budak tu duduk seorang merenung seorang kat belakang tandas. Setiap hari waktu rehat, tu je lah rutin harian dia. Pelik aku!”
            “Musykil aku dengan kau ni, Lisa. Setahu aku, Zam yang suka sangat lepak dalam tandas tu, ada jugaklah pergi kantin. Mungkin kau je tak nampak, Lisa.”
            “Bukan pasal Zam la. Zam tu memang tak boleh pakai. Depan cikgu memang baik macam pijak semut pun tak mati. Tapi depan kita yang Ketua Pelajar, macam hantu je perangainya.”
            “Tapi sekurang-kurangnya Zam yang bermasalah tu, still lagi dia hormat cikgu. Yang pelajar yang tak bermasalah pulak, ada je yang tak hormat cikgu. Tak ke mana kalau belajar tapi tak hormat orang yang mengajar.”
            “Ah, aku tak kisah kau nak backup Zam ke apa ke, yang penting aku bukan cakap pasal Zam sekarang. Aku cakap pasal budak kelas sebelah tu… Hang Jebat.”
            “Hang Jebat?! Mysterious lah budak tu.”
            “Kan!”
***
            Beberapa hari kemudian, Murni mendapati Lisa asyik memerhatikan seorang pelajar nan bermasalah yang digelar Hang Jebat. Lantas Murni mengusik, “Minat kat budak tu ke?”
            “Ish, tak lah! Aku cuma tertanya-tanya kenapa dia selalu duduk kat belakang tandas waktu rehat. Tu je,” balas Lisa.
            “Hmmm… Tertanya-tanya? Bahaya tu.”
            “Apa yang bahayanya?” soal Lisa tak mengerti.
            “Ye lah. Kalau tertanya-tanya tu dibiarkan macam tu je, nanti jadi penyebab kepada jatuh cinta,” usik Murni tertawa kecil.
            “Yeak! Murni… awak ke tu?!” seloroh Lisa bagai tak percaya perkataan jatuh cinta disebut Murni.
            “Macam ni lah. Apa kata awak tanya je Hang Jebat tu, mana tahu awak akan tahu kenapa dia selalu duduk kat belakang tandas waktu rehat.”     
            Lisa hanya tersengih dengan cadangan  Murni. Sejujurnya, dia masih ada rasa malu untuk tegur lelaki yang hanya dikenali dengan nama gelaran.
***
            Keesokan paginya, Murni dan Lisa ditugaskan untuk menjaga pintu pagar sekolah. Apabila loceng dibunyikan maka mereka lah yang membantu guru untuk mengunci pagar tersebut. Lisa melihat jam tangannya. Seminit lagi loceng akan dibunyikan. Lisa kemudian memandang Murni dengan muka pengharapan.
            “Aku faham. Kau nak suruh aku tunggu sampai budak yang selalu lambat datang sekolah tu sampai, kan?” ujar Murni.
            Lisa angguk mengiyakan.
            Hampir sepuluh minit mereka berdua menunggu, akhirnya Hang Jebat yang ditunggu pun tiba. Pelajar itu pada mulanya terkejut melihat ada dua Ketua Pelajar perempuan sedang menunggu di pintu pagar. Rasanya dah lewat tapi kenapa pintu pagar tak tutup lagi, getus hati kecil si Hang Jebat. Lantaran itu, dia berjalan dengan lagak seperti tiada apa-apa yang berlaku melewati pagar tersebut.
            “Er, nama awak siapa?” Lisa bersuara.
            Langkahan Hang Jebat terhenti. Tanpa menoleh memerhatikan muka Lisa, dia membalas, “Entah.”
            Uiks!
            Lisa dan Murni tersentak. “Entah?” soal Lisa seakan tak percaya nama yang disebut oleh Hang Jebat. “Er, sedap nama tu. Tapi saya nak nama yang ada dalam IC… boleh tak?” pinta Lisa sekali lagi.
            Namun Hang Jebat tak menjawab, malah dia berlalu pergi begitu sahaja.
            “Eiii! Geramnya saya! Kalau saya ni lelaki, dah lama saya hentak kepala mamat tu kat dinding sekolah! Poyo, berlagak… dah la datang lambat, lepas tu buat bodoh je bila masuk sekolah. Patutnya ucaplah terima kasih ke, apa ke…” Leteran Murni langsung tak dihiraukan Lisa.
            Semangat ingin tahu Lisa mencanak naik. Dia ingin tahu siapa sebenarnya pelajar bermasalah yang hanya dikenali sebagai Hang Jebat itu. Mungkin juga dia mahu tahu sebab-sebab Hang Jebat secara konsisten datang lambat ke sekolah dan selalu duduk termenung belakang tandas.
***
            Pada masa rehat, Lisa buat helah kepada Murni dengan mengatakan dia berpuasa. Maka dia tak boleh ikut serta Murni untuk melantak makanan di kantin sekolah. Walhal Lisa ambil kesempatan itu dengan menghampiri Hang Jebat yang sedang ralit termenung di belakang tandas.
            “Hai, awak!” tegur Lisa memeranjatakan Hang Jebat.
            Hang jebat mengerut dahi sambil matanya terbeliak rimas dengan kehadiran Lisa.
            “Boleh saya duduk lepak kat sini?”
            Tiada jawapan. Hang Jebat buat bodoh.
            Lisa duduk dan anak matanya memerhatikan apa yang sedang Hang Jebat perhatikan. Pelik. Apa yang cantiknya semak-samun di belakang pagar berdawai berhampiran belakang tandas sekolah? Tiada apa-apa panorama yang menyenangkan. Oh, mungkin budak ni berkhayal kut! Getus hati kecil Lisa. Lisa kemudiannya bertanya, “Awak berkhayal pasal apa ek?”
            Untuk mengharapkan jawapan keluar dari mulut Hang Jebat, sampai kiamat pun belum tentu.
            “Biar saya teka. Mungkin awak fikir pasal masa depan? Apa yang awak nak jadi, apa yang akan terjadi ataupun… entah apa yang akan berlaku pada awak masa akan datang? Samalah kita. Saya pun fikir benda yang sama jugak… Selalu. Setiap masa… Oh ya. Awak ada cita-cita?”
            Sekali lagi Hang Jebat mengunci mulutnya.
            “Saya ada cita-cita. Saya nak jadi lawyer. Sebabnya saya boleh tolong orang, tak kiralah dia baik atau dia dituduh jahat… Mesti awak nak tanya saya kenapa saya nak tolong orang yang dituduh jahat, kan? Saya ada alasan tersendiri. Bagi saya, seseorang manusia tu tak boleh dibuktikan bersalah selagi tak ada bukti kukuh yang menunjukkan dia bersalah.”
            Kriiing!
            Loceng tamat waktu rehat bergema.
            Hang Jebat terus bangun meninggalkan Lisa terpinga-pinga di belakang tandas.
            Lisa sempat menyahut kepada Hang Jebat dengan berkata, “Jumpa lagi esok!”
***
            Waktu rehat esoknya, Lisa mengotakan janjinya dengan duduk di belakang tandas. Lisa datang awal sedikit menyebabkan Hang Jebat terkesima melihat Lisa yang sudah duduk menunggunya.
            “Duduklah,” pelawa Lisa.
            Hang Jebat duduk menjauh sedikit. Dia cuba untuk tak hiraukan keberadaan Lisa di belakang tandas. Matanya memerhatikan panorama semak-samun yang langsung tak digemari Lisa.
            “Peliklah. Apa yang cantik sangat tentang semak-samun tu?” Lisa menyuarakan isi hatinya.
            Namun Hang Jebat sedikitpun tak membalas.
            “Okey. Hari ni saya nak sembang dengan awak pasal impian saya. Untuk pengetahuan awak, saya ada banyak impian yang saya nak capai. Selain daripada cita-cita untuk jadi lawyer, saya nak melancong ke Korea. Kakak saudara saya pernah jejakkan kaki kat Korea dan dia kata Korea memang cantiiik! Awak ada impian tak? Melancong ke? Pergi mana-mana ke?”
            Seperti biasa, Hang Jebat masih dengan perangainya – termenung dan enggan bercakap.
            “Hmmm… Kalau saya tengok keadaan awak sekarang, saya yakin awak pun ada impian jugak kan. Mungkin awak tanya saya, apa buktinya? Buktinya awak selalu termenung. Saya pun selalu termenung dan berangan. Dengan angan-anganlah kita ada impian, dan dengan impianlah kita memasang cita-cita… Jadi saya agak awak ni ada impian untuk jadi kaya. Kaya sampai semua benda awak boleh buat dan beli. Betul tak?”
            “Heh,” Hang Jebat separa tertawa tapi singkat.
            “Oh, awak nak tergelak ek?” tanya Lisa mendapatkan kepastian tanpa perlukan jawapan lisan.
            Serta-merta Hang Jebat menukar mimik mukanya serius kembali.
            “Baguslah kalau awak ada impian. Bagi saya, impian yang kita ada perlu kita kejar. Kalau berterusan mengelamun tentang impian tetapi tak berusaha untuk mengejarnya, sia-sia je lah Tuhan berikan akal kepada kita,” kata Lisa sebelum loceng rehat berbunyi.
Selama berminggu-minggu juga Lisa sentiasa bercakap dengan Hang Jebat di belakang tandas sewaktu rehat. Walaupun Hang Jebat tak membalas jawapan kepada soalan yang ditanyakan, namun Lisa tak ambil peduli. Lagipun dah lama gadis itu mahu seorang kawan yang mendengar apa sahaja keluhan dan pandangannya. Kalau dengan Murni, ada sahaja yang disanggah. Kadang-kadang naik rimas dan meluat pun ada.
            Pertemuan singkat di waktu rehat itu mula disedari oleh Zam. Lantas Zam mengadu kepada guru disiplin tentang Lisa dan Hang Jebat. Memandangkan percintaan adalah sesuatu yang menjadi taboo di kawasan sekolah, maka Hang Jebat digantung sekolah selama seminggu. Manakala Lisa, diberikan amaran lisan walaupun Lisa menegaskan dia hanya berbual dengan Hang Jebat.
            Diheret rasa bersalah, maka pada hujung minggu Lisa berusaha untuk menjejaki Hang Jebat. Namun gagal kerana tiada siapa tahu lokasi rumah Hang Jebat.
            Selepas seminggu, kelibat Hang Jebat tak lagi kelihatan. Lisa berkali-kali singgah di belakang tandas, namun Hang Jebat masih tiada. Sewaktu dia ditugaskan untuk jaga pagar, dia pernah terlewat satu masa pembelajaran di kelas dek kerana menunggu Hang Jebat datang ke sekolah. Malangnya batang hidung Hang Jebat langsung tak kelihatan.
            Sebulan selepas itu, Lisa dapat tahu Hang Jebat dibuang sekolah atas dasar tak datang ke sekolah selama sebulan tanpa alasan. Tinggallah perbualan di belakang tandas dengan Hang Jebat sebagai satu memori dalam kotak fikiran Lisa sahaja.
***
            Sepuluh tahun berikutnya…
            Knok! Knok! Knok!
            “Masuk!”
            Seorang gadis pertengahan 20-an masuk ke dalam pejabat firma guaman Khairil Anas & Co. Dengan berpakaian baju kurung lengkap berjilbab, gadis itu datang bersama fail untuk ditemuduga sebagai peguam pelatih. Fail yang berisi resume dan sijil-sijil akademik itu diserahkan kepada peguam yang ada tag nama ‘Tuan Khairil Anas’ di atas meja.
            “Boleh saya tahu nama penuh awak… Er, seperti yang ada dalam IC ye,” pinta Tuan Khairil Anas.
            Dengan riak wajah penuh debaran gemuruh, gadis itu memulakan pengenalan dirinya, “Na… Nama saya… Nur Merlisa Hanani binti Khairuddin.”
            “Oh… Kenapa lambat sangat nak apply jadi peguam pelatih?”
            “Oh… Saya… Asalnya saya ambil course chemistry kat U. Kemudian saya tukar ambil law. Sebab tu macam lambat sikit nak jadi lawyer,  tak masuk lagi chambering kat firma guaman lain.”
            “Kenapa pilih firm ni untuk jadi peguam pelatih?”
            Ikutkan hati kecil gadis itu, mahu sahaja dia jawab entah. Tetapi disebabkan dia mahu kerja dalam firma guaman yang baru tersebut, maka dia puji menggunung tinggi kemampuan firma guaman baru tersebut.
            Selepas mendengar penjelasan daripada gadis tersebut, maka Tuan Khairil Anas pun berkata, “Satu soalan terakhir. Kenapa awak tukar course untuk ambil law dan jadi lawyer?”
            “Er… Sebab lawyer adalah impian saya. Saya ingat lagi masa saya beritahu kat seorang kawan saya pasal impian saya tu. Saya tak rasa menyesal tukar course sebab apa yang saya buat, itulah yang terbaik untuk impian saya.”
            “Oh… Nampaknya saya tak ada alasan untuk tolak permohonan awak untuk jadi peguan pelatih kat firma guaman ni. Jadi saya ucapkan… selamat datang ke firma guaman Khairil Anas & Co., Lisa.”
            Tak ada apa yang mampu menggambarkan betapa gembiranya gadis itu kala ini. Akhirnya dia sudah boleh beramal sebagai seorang peguam dan sekaligus dapat melunaskan impiannya untuk mengejar cita-cita sebagai seorang peguam.
            Sebelum Lisa melangkah keluar dari pejabat, Tuan Khairil Anas sempat berkata, “Sebut tentang impian ni, saya ingat lagi ada seorang kawan pernah beritahu saya masa sekolah dulu. Katanya, impian yang kita ada perlu kita kejar. Kalau berterusan mengelamun tentang impian tetapi tak berusaha untuk mengejarnya, sia-sia je lah Tuhan berikan akal kepada kita.”
            Lisa terkesima. Dia amati raut muka Tuan Khairil Anas dan mengagak, “Hang Jebat?!”
            Tuan Khairil Anas mengukir senyuman mengiyakan.
            Tanpa disangka, Lisa akhirnya bertemu juga dengan pelajar bermasalah yang hanya dikenali sebagai Hang Jebat. Tambah mengejutkan apabila pelajar bermasalah itu kini seorang peguam yang cukup petah dan punya firma guaman yang gah. Beberapa bulan kemudian, Tuan Khairil Anas akhirnya buat keputusan untuk melamar Lisa.
            Siapa sangka, satu lagi impian Lisa tercapai iaitu bersuamikan seorang peguam. Ironinya dia tak menyangka bahawa kekasihnya itu ialah Hang Jebat.
Firman Allah Taala :
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”
[Surah Huud (11) : Ayat 6]

1 comment:

huda dini aqilah said...

Cerita ini agak sama dengan cerita lain. Tapi cerpen Encik Naufal semua menarik. :)