Friday, June 6, 2014

(CERPEN) LAKUNA DI HATI




Kahwin.
Maksud dalam bahasa mudahnya adalah penyatuan dua hati yang dihuni dalam dua diri dua insan yang berbeza jantina dan berbeza citarasa. Umpama magnet yang menyatu kuat jika ia disatukan dari kutub yang berlainan – kutub utara dan kutub selatan.
Hmmm… Saya hanya mampu mengeluh panjang.
Entah kenapa setiap kali berbicara mengenai perkahwinan, hati saya berbunga-bunga menyebutnya. Membayangkan mahligai bahagia yang bakal menjelma bersama teman sehidup semati – itu sebenarnya impian tertinggi gadis seperti saya.
Saya tak tahu apa definisi kahwin yang ada pada manusia lain tetapi apa yang pasti saya bukan antara manusia yang mudah untuk diterima jodohnya oleh keluarga. Banyak kali saya berseloroh; sambil memendam pasti bahawa itu sejujurnya apa yang lahir dari hati, tentang kesediaan saya untuk berkahwin. Namun keluarga saya menghalang dengan ayat yang sama :
“Belajar dulu rajin-rajin. Susah kalau dah kahwin!”

Saya belajar di luar negara. Untuk dijaga oleh keluarga, memanglah suatu yang mustahil. Maka, kebanyakan masa saya di sini, saya habiskan dengan kawan-kawan. Kawan-kawan di sinilah yang menjaga saya dan kebanyakan kawan-kawan saya sudah dua pertiga yang membina mahligai bahagia dengan pasangan masing-masing.
Memang ada yang tercicir dari proses pelajaran di universiti tetapi tak banyak. Ada juga kawan saya yang mana suaminya itu sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana di universiti yang sama. Saya nampak tak susah pun seperti mana yang keluarga saya ungkapkan kepada saya bila saya berseloroh menyatakan saya dah sedia nak kahwin.
Bila tengok kawan-kawan yang dah kahwin semua mesra dengan pasangan masing-masing, saya rasa ada sesuatu yang kosong dalam hati. Bergaul dengan kawan sudah tentu berbeza dengan bergaul dengan teman sehidup semati. Bila lihat kawan saya melayan baik suaminya dan si suami memuji baik kawan saya, seakan ada lakuna di hati saya. Hmmm…
***
            “Masa kau akan tiba, Liya,” ujar Eiha ketika saya menjadi pengapitnya.
            Saya pulang ke Malaysia atas tiket yang Eiha belanja semata-mata untuk membantu dan menjadi pengapit Eiha semasa majlis resepsi perkahwinannya di Malaysia. Eiha dan pasangannya melangsungkan pernikahan di tempat saya belajar. Jadi untuk memuaskan hati sanak-saudara dan sahabat-handai di Malaysia, maka mereka buat majlis resepsi di dewan felda.
            Melihat senyuman tersipu malu Eiha dan pasangannya sudah menunjukkan betapa indahnya perkahwinan itu. Semua yang hadir tak ada pun menunjukkan riak wajah monyok. Kesemuanya tersenyum ceria seakan mendoakan jinjang pelamin yang dibina akan kekal sehingga ke hujung usia.
            Selesai majlis resepsi, sengaja saya lanjutkan masa saya di Malaysia sebelum pulang ke universiti saya untuk meluangkan masa bersama keluarga. Saya tak sangka dalam beberapa bulan lagi, abang kandung saya akan melangsungkan perkahwinan. Saya tumpang gembira membayangkan masa saya untuk ke jinjang pelamin pasti tak lama setelah abang saya buat keputusan untuk berkahwin.
            Malangnya abang saya sempat mengusik, “Jangan nak fikir kahwin, belajar bagi habis dulu!” Usikan abang saya itu didengari oleh emak saya dan emak saya menegaskan sekali lagi dengan nada serius.
            Masalahnya saya ni pelajar perubatan. Bidang saya takkan habis hanya dalam masa empat tahun. Tujuh tahun selalunya baru habis belajar dalam erti kata kalau saya terus mahu jadi pengamal perubatan. Alamatnya, mungkin adik saya kena langkah bendul saya untuk kahwin dulu sementara saya pula… melopong sahaja lah melihat adik sendiri berkahwin terlebih dahulu.
***
            DI KLIA, saya berjalan sendirian sekadar menghabiskan masa di sana disebabkan oleh penerbangan yang tergendala beberapa jam. KLIA sudah saya ibaratkan seperti rumah kedua saya selepas rumah sewa saya di universiti. Selok-beloknya sudah cukup saya arif. Bukanlah susah sangat sebenarnya.
            Sedang saya berjalan sambil mengheret bagasi beroda saya, tanpa saya sedar bagasi saya itu telah terlanggar bagasi orang lain. Hendak dijadikan cerita, bagasi itu milik salah seorang pelajar Malaysia di universiti yang sama dengan saya, Nizam namanya.
            Sorry,” ujar saya.
            Nizam hanya membalas permintaan maaf saya dengan senyuman.
            “Balik ke universiti atau baru sampai Malaysia?”
            Nizam hanya tunjukkan tiket penerbangannya.
Oh, sama dengan saya. Dalam masa yang sama, saya baru teringat bahawa ini kali pertama saya bertegur dengan Nizam. Nama Nizam ni bukanlah asing bagi pelajar perempuan Melayu di tempat saya belajar. Setiap malam, nama Nizam antara nama yang selalu kami sebut-sebut. Nak kata kacak, tidaklah sekacak Jericho Rosales tapi comel sebab ada lesung pipit.
            Saya pun berlalu pergi memandangkan Nizam pun buat macam saya ni tak wujud. Mana taknya, saya tegur dia dengan perkataan tapi dia hanya jawab dengan perbuatan. Hmmm… Barangkali lelaki terhangat di pasaran memang macam tu kut. Demanding betul saya ni, kan?! Ada hati nak mengorat Nizam. Ceit! Mana boleh perigi cari timba lah, Liya oi!
***
            Cuti semester saya banyak habiskan masa bersama kawan-kawan menjelajah ke segenap kawasan bersejarah di Eropah. Walaupun tempat yang saya lawati itu cantik, namun saya tetap rasa ada sesuatu yang tak kena. Kecantikan yang saya lihat sekarang tampak kurang menyerlah. Barangkali kawan-kawan saya yang ikut serta menjelajah kebanyakannya sudah berpasangan. Hmmm… Entah bila saya dapat kongsi kegembiraan ini.
            “Jangan mengelamun banyak sangat, Liya. Nanti jodoh lambat datang,” usik Eiha yang sedar saya termenung jauh.
            “Mana suami kau?” soal saya kepada Eiha.
            “Ke tandas jap… Oh ya, aku lupa nak tanya. Kau ni dah ada yang berpunya ke?”
            “Kenapa kau tanya macam tu?”
            “Saje… Tak boleh ke?”
            “Er… Emmm… Agak tak boleh la.”
            “Apa maksud kau ‘agak tak boleh’?”
            “Sebab aku tertakluk dengan syarat dan peraturan keluarga aku. No marriage before graduate.
            “Oh ye ke? Kenapa kau tak bagi je alasan yang kahwin muda dapat elak dari maksiat?”
            “Gila kau aku nak cakap macam tu kat depan mak bapak aku. Kang tak pasal-pasal dia orang anggap aku ni dah terlanjur. Lagipun abang aku tu kan peguam. Kang tak pasal-pasal dia kritik pasal kahwin muda. Dia pernah kata Nabi tak pernah galakkan pun kahwin muda, Nabi hanya galakkan kahwin bagi yang mampu je. Kalau tak mampu, puasa – tak kira muda atau tua!”
            “Okey. Aku faham… Katakanlah kalau ada lelaki yang mampu dan nak kahwin dengan kau. Kau nak?”
            “Erm… Depend. Bergantung sama ada dia tu tua atau muda. Kalau tua, aku kena pastikan dia ada harta lebih kurang berbillion dolar.”
            “Kalau yang muda?”
            Saya terdiam. Kalau betul ada yang nakkan saya, apa salahnya. Cuma kena lepas tapisan keluarga terlebih dahulu lah. Saya biarkan soalan itu tanpa jawapan.
***
            Semalam, saya dapat panggilan dari Malaysia. Habis saya kena ceramah dengan mak dalam telefon. Mak tegaskan kalau sekali lagi dia dengar ada orang nak sunting saya sebagai isteri, mak saya takkan teragak-agak untuk hentikan pembelajaran saya di sini dan daftarkan saya di universiti tempatan. Kata mak, apa guna hantar saya belajar jauh ke luar negara jika nak berkahwin secara tiba-tiba. Tambah mak lagi, baik belajar dalam negara sahaja kalau nak kahwin sangat.
            Saya faham kebimbangan mak disebalik ugutan mak tersebut. Mak saya sebenarnya tak mahu masa saya di sini disia-siakan dengan satu perkara yang belum menjadi keutamaan bagi saya. Mungkin juga semua ugutan mak itu atas dasar pengalamannya sendiri. Saya masih ingat lagi, abang saya pernah beritahu yang mak ni pelajar universiti paling pandai dan pernah ditawarkan untuk sambung PhD secara fast track. Namun kelahiran abang saya dan disusuli saya beberapa tahun berikutnya telah menguburkan terus impian mak saya untuk sambung peringkat doktor falsafah.
            Mungkin mak tak mahu kejadian yang menimpanya berulang menimpa saya. Saya faham tapi apakah mak betul-betul faham apa yang saya rasa sekarang. Kalaulah saya boleh katakan pada mak yang terdapat lakuna dalam hati saya. Hmmm…
***
            “Kenalkan, ini Nizam… dan Nizam, ini Aliya.”
            Suami Eiha perkenalkan Nizam pada saya. Sebenarnya saya agak keberatan untuk sertai pertemuan yang dirancang oleh Eiha dan suaminya. Saya baru tahu yang Nizam sebenarnya kawan baik suami Eiha. Perbualan Eiha beberapa hari yang lalu dengan saya sebenarnya nak bagi hint bahawa Nizam ada niat nak mengahwini saya.
            Malangnya, saya terpaksa menolak. Namun lidah saya terlalu berat untuk mengungkapkannya. Secara tak sedar, saya tersepit antara dua persimpangan. Perlukah saya pilih simpang yang menemukan saya dengan hasrat keluarga saya untuk melihat saya sebagai doktor perubatan atau saya perlu pilih simpang yang menemukan saya dengan solusi lakuna di hati saya? Kedua-dua pilihan itu saling berlawanan arus antara satu sama yang lain.
            Saya lihat Nizam masih lagi malu. Tak banyak cakap dan anak matanya langsung tak melihat saya. Sebolehnya dia berpaling dari melihat saya. Nak kata dia fobia pada wanita, tak juga sebab dengan bersahaja dia tengok muka Eiha. Sedikit sebanyak timbul persoalan dalam hati, kalau betul mamat ni nak kahwin dengan saya, kenapa nak malu bagai?
            Pertemuan itu saya rasakan terlalu bosan. Mungkin saya sudah memilih untuk ikut kata-kata mak saya dan mengunci rapat hati saya dari menerima sesiapa. Namun serapat mana pun saya mengunci pintu hati saya, ia masih tak dapat menghilangkan rasa lakuna di hati saya.
***
            Akhirnya setelah beberapa kali menolak ajakan Eiha untuk keluar bersama suaminya dan Nizam, hidup saya kembali tenang tanpa diganggu oleh ajakan tersebut. Sejujurnya, saya tak suka dengan pertemuan tersebut. Saya dapat rasakan Nizam bukanlah lelaki idaman saya sebab dia terlalu mengharap kepada orang lain untuk mendapatkan saya. Saya tak mahu hidup bersama dengan suami yang selalu mengharap belas ihsan terhadap orang lain. No way, man!
            Setelah tujuh tahun bergelumang dengan terma kedoktoran dan perubatan, maka saya pulang ke Malaysia. Kini menunggu keputusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengagihkan posisi saya di hospital yang telah saya pilih. Hari graduasi sengaja saya tak pergi sebab bagi saya apa guna pergi hari graduasi tanpa keluarga. Keluarga adalah segalanya bagi saya sekarang.
            Jujur – lakuna itu masih ada dalam hati saya!
***
            “Doktor Aliya!” panggil seseorang dari belakang.
            Saya tak berapa kenal dengan sosok tubuh agak tinggi yang berlari menghampiri saya itu.
Dengan cermin mata bingkai hitam, lelaki berjubah doktor itu berkata, “Doktor Aliya ingat lagi saya?”
            Saya menggeleng.
            “Tak ingat eh… Tak apalah. Saya ni doktor baru kat sini. Kalau tak keberatan boleh doktor tunjukkan jalan kat kawasan ni?”
            “Maaf. Saya bukan tak nak tunjuk tapi saya rasa semua jalan kat kawasan hospital ni dah ada papan tanda. Ikut sahaja papan tanda dan saya rasa itu lebih membantu,” ujar saya dingin. Bukan apa, sudah terlalu biasa saya disapa sebegitu oleh kebanyakan doktor atau pergawai perubatan lelaki di hospital ni. Jadi tolakan saya ni bukanlah kali pertama saya lakukan sejak hari pertama saya mula berkhidmat di hospital ini.
            Saya kemudian membawa diri di sebuah taman yang direka khas oleh pengurusan hospital untuk warga hospital yang stress dengan kerja mereka. Saya mencicip secawan kopi ais yang saya dapatkan dari vendor machine yang diletakkan di situ. Sambil mengurut leher dan menghela sisa lelah kepenatan bekerja, fikiran saya sekali lagi mengelamun panjang memikirkan tentang nasib saya.
            Adik saya akan berkahwin beberapa bulan lagi. Saya pula masih bujang. Mak dah lama bising fasal kenapa saya selalu sangat tolak calon-calon suami yang dicadangkannya sehingga mak sendiri bagi saya sendiri putuskan calon yang saya mahukan. Entah apa yang sudah jadi pada saya. Sejak saya putuskan untuk kunci rapat hati saya dari menerima sesiapa, terus saya jadi tawar hati untuk berkahwin. Kekosongan atau lakuna dalam hati saya masih dirasai, namun untuk menyelesaikan masalah itu, saya rasa kahwin sudah tidak menjadi prioriti.
            Saya cuba atasi masalah lakuna di hati dengan mencari harta sebanyak mungkin. Bukan itu sahaja, saya komited dengan kerja sehingga ada satu hari langsung saya tak pernah balik ke rumah semata-mata fokus menyiapkan laporan pembedahan yang telah saya lakukan. Beberapa hari lagi, saya dimaklumkan saya akan dinaikkan jawatan sebagai Ketua Jabatan Kardiologi hospital ini bagi menggantikan seorang doktor senior yang sudah bersara. Dalam usia muda, saya berjaya melonjakkan nama saya dan kemahiran saya pada pandangan pihak pengurusan hospital.
            Namun, apa jua yang telah saya lakukan, lakuna itu tetap wujud dalam hati saya. Perlukah saya cari lelaki idaman sendiri? Sejujurnya saya sudah penat memikirkan tentang ini. Ah, biar mak sahaja yang tentukan! Getus hati saya mula tak tahan menanggung rasa kekosongan dalam hati.
***
            “Mak tak tahu apa yang kamu tengah fikirkan… Tapi petang tadi, ada seorang lagi datang nak merisik pasal kamu. Mak kata lah yang kamu tu single...”
            Entah apa yang mak bebelkan pun saya tak beri perhatian sangat. Saya terlalu penat. Seharian di hospital sambil memikirkan tentang nasib saya yang boleh dianggap bakal memasuki kelab anak dara tua, sungguh memenatkan. Akhirnya saya hanya kata pada mak, “Saya ikut je apa yang mak pilih.”
            “Kalau mak pilih yang doktor nak tak?”
            “Ikut mak… Saya penat ni, mak!”
            “Okey! Maksudnya Liya nak kahwin dengan siapa sahaja yang mak pilih la ni?”
            “Ya, mak. Mak pilihlah siapa pun… Liya penat ni, mak!”
***
Hari pertunangan.
            Pulang dari hospital, baru saya teringat  yang saya sebenarnya bertunang hari ni. Itu pun sebab ada seorang doktor bercemin mata bingkai hitam yang tegur saya pasal hari pertunangan saya. Mulanya saya pelik macam mana doktor tu tahu pasal pertunangan saya, tapi memandangkan saya perlu bersiap, maka saya bergegas pulang semula ke rumah.
            Sampai ke rumah, apa lagi, berdesing telinga dengan leteran mak. Mak siap kata yang dia ingat saya ni sengaja nak lari dari rumah. Mujur juga dia faham yang saya dah terbiasa ke hospital setiap hari. Untuk tak pergi ke hospital, itu agak janggal buat saya.
            Selepas siap bersolek dan pakai baju tunang, baru saya teringat siapa sebenarnya yang nak bertunang dengan saya. Lantas saya bertanya pada mak, “Siapa yang nak bertunang dengan saya, mak?”
            “Ya Allah! Bertuah punya anak. Kan mak ada bagitahu hari tu!”
            “Er… Saya rasa mak tak pernah bagitahu.”
            “Ada. Mak ada bagitahu. Masa tu kamu balik dari kerja, puas mak cerita pasal budak laki tu sampai kamu tertidur!”
            “Saya penat kut. Bila penat memang saya takkan dengar apa-apa… Mak ada gambarnya tak?”
            “Ada… Kejap mak pergi ambil.”
            Sementara menunggu mak ambil gambar tunang saya, hati saya mula rasa berbunga kembali. Tak sangka pula saya akan bertunang. Mungkin selepas bertunang akan bergerak pula ke jinjang pelamin. Paling penting, pertunangan ini akan jadi langkah pertama untuk merawat lakuna di hati.
            “Nah,” mak serahkan gambar tunang saya.
            “Hah?!”
            “Nama dia Nizam. Katanya kawan kamu satu universiti dan doktor satu hospital dengan kamu.”
            Sungguh saya tak sangka. Selepas bertahun-tahun saya tolak ajakan Eiha dan suaminya untuk bertemu Nizam serta saya pernah anggap Nizam seorang yang tak gentleman, akhirnya dia juga satu-satunya calon suami yang mak saya pilih. Yang lagi saya tak sangka apabila dialah lelaki berkaca mata bingkai hitam yang selalu bertegur sapa dengan saya walaupun saya langsung tak bagi muka pada dia. Ah, hati saya berbunga kembali!
Firman Allah Taala :
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
[Surah Ar-Ruum (30) : Ayat 21]

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum sdra/i Naufal, sy tertarik dgn blog lain awk mngenai akta jnyah sihir..blh sy tahu apakh awk seorg peguam syari'e?sy ingin mndptkn khidmat nasihat utk kes jnyah bgini..sy skrg mnngalami kes di sihir oleh org asing yg brda d ngra kita..apa blh sy mngambil sbrg tndkan d smping berusaha mrawat penyakit sy di darul syifa..baru satu sessi rwtan..sy jg ada mrujuk pkra ini kpd pdrm tp d mnta spy mrujuk kpd jbtzn agma islam..nmun sy sdkit buntu bgmn utk bermula..mohon sbrg pncerahan dan prtlgan..sy blh d hbngi sufie501@gmail.com dan no hp 011 11641430..syukran jazilsn..

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)